Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 40

RANCANGAN GILA RAIMI


Petang itu, Ilham pergi ke Kolej Alpha untuk membincangkan tentang tugasan berkumpulan bagi Subjek Teknokrat dan Pembangunan. Dia ada meminta kebenaran daripada Fizri untuk berbincang pada waktu malam. Walau bagaimanapun, Fizri tidak membenarkannya kerana alasannya terlalu bahaya.

Bagi Ilham, Fizri bersikap terlampau overprotective terhadapnya. Semakin lama semakin pelik dia dengan sikap lelaki itu.

Dia boleh memilih untuk berbincang di perpustakaan sahaja untuk tugasan berkumpulan ini. Akan tetapi, Ilham sengaja meminta untuk diadakan perbincangan di kolej kediaman salah seorang daripada mereka. Dia ingin melihat sendiri bangunan asrama kolej kediaman lain. Dia ingin memastikan kebenaran kata-kata Raimi tempoh hari.

"Ilham," panggil salah seorang ahli kumpulannya mematikan lamunan mereka berempat.

Mereka sedang duduk berbincang di bilik salah seorang ahli kumpulannya. Ilham sendiri yang meminta perbincangan dilakukan di tempat itu. Ahli kumpulannya yang lain sehingga berasa pelik dengan permintaan bukan-bukan daripada Ilham itu.

"Ha? Ada apa?" soal Ilham sambil memandang ke arah Aizat yang duduk di sisinya.

"Banyak lagi benda nak kena bincang ni. Takut tak sempat pula kau nak balik." Aizat mengerling jam tangannya sekilas.

"So kau stay jelah kat bilik ni malam ni. Esok aku hantar kau balik. Kau takda transport kan? Esok pagi mana ada kelas." Aizat menyambung bicaranya.

"Lama lagi ke? Sampai malam ni rasa tak boleh kot." Ilham turut mengerling jam tangannya.

"Kenapa? Kau ada hal ke?" soal Aizat lagi.

"Tak. Peraturan kat kolej aku tak boleh berada di luar kawasan kolej pada waktu malam. Hujung minggu pun pada waktu tertentu je," terang Ilham. Sengaja dia menceritakan peraturan di Kolej Psi untuk memancing reaksi mereka.

Semua orang yang berada di dalam bilik itu terpaku mendengar cerita Ilham. Hatta rakan sebilik Azim, penghuni bilik itu turut memandang ke arah Ilham pelik.

"Kau biar betul? Ada pula peraturan macam tu ek? Kau duduk kolej mana?" soal Aizat pelik sambil menggaru-garu pelipisnya.

"Kolej Psi," jawab Ilham.

"Ha!" Ketiga-tiga pasang mata ahli kumpulannya memberi reaksi hampir serentak dengan mata yang terbeliak luas. Rakan sebilik Azim yang sedang baring di katilnya turut bangun. Memerhatikan Ilham dengan reaksi terkejut.

"Kau biar betul?" soal Azim inginkan kepastian.

Ilham mengangguk laju sebagai jawapan.

"Genius ke apa kau ni Ilham?" Rijal yang agak pendiam dalam kumpulan itu turut bersuara.

"Wah, aku tak sangka ada penghuni Kolej Psi kat kelas kita ni!" luah Azim teruja sambil menepuk-nepuk bahu Ilham.

Ilham terpinga-pinga melihat reaksi mereka bertiga. Rakan sebilik Azim turut bangun dari katilnya lalu berjalan menghampiri Ilham.

"Apa yang korang cakap ni? Tak ... dalah, mana ada. Biasa-biasa je result aku sebelum ni," tutur Ilham tersipu-sipu malu.

"Habis, macam mana kau boleh duduk kat situ?" soal Azim lagi.

"Entahlah," jawab Ilham malas memanjangkan cerita. Menyesal pula dia bercerita kepada mereka bertiga.

"Ya je, kau ni Ilham. Setahu aku tu kolej elit tu. Entah, katanya cuma budak-budak genius dan yang terpilih je duduk situ." Azim pula yang melebih-lebih terujanya.

"Ha'ahlah. Aku pun dengar macam tu juga. Katanya, budak Mathematical Beauty pun duduk situ juga," sampuk Aizat pula.

"Mathematical Beauty? Alisya ke?" Ilham tiba-tiba tertarik mendengar gelaran Alisya disebut di bibir Aizat.

"Kau kenal ke dia tu? Famous kan minah ni?" sambung Aizat lagi.

"Aku jumpa dia hari tu kat library," cerita Ilham.

"Awesome-lah kau, Ilham! Macam mana kau boleh kawan dengan minah pelik tu? Kau faham ke apa dia cakap?" Azim pula cuba menyakat Ilham.

"Minah pelik?" Ilham tidak menjawab soalan yang diajukan Azim tetapi membalas semula dengan soalan.

"Yalah, orang kata dia pelik. Maksud aku, pelik dari segi cara dia memahami konsep Matematik tu. Tu berdasarkan gosip yang aku dengarlah. Katanya, budak sama course dengan dia pulaukan Alisya ni sebab jealous dengan kebolehan budak tu," jelas Azim bersungguh-sungguh.

"Cara dia faham?" Ilham mendengar penjelasan Azim dengan teliti.

'Famous betul kau ni Alisya. Sampaikan budak kelas aku pun tahu pasal kau. Tapi aku rasa aku faham kenapa semua orang pulaukan kau,' kata Ilham di dalam hati.

"Jap, kau kata apa tadi, Azim? Kebolehan?" Ilham tiba-tiba menyedari sesuatu.

"Hah, kebolehan," balas Azim.

"Kebolehan macam mana tu?" soal Ilham lagi ingin tahu.

"Ha ... tu aku tak tahu. Aku dengar sampai situ je," balas Azim.

"Okeylah. Tutup cerita pasal Alisya. Macam mana dengan assignment kita ni? Aku nak balik kejap lagi ni. Sorry menyusahkan korang," putus Ilham.

"Takpalah, esok banyak free, kan? Esok kita sambung discuss kat fakulti je. Korang semua okey kan esok? Papahal roger je kat aku. Korang semua ada simpan nombor aku, kan? Tak pun korang Whatsapp je aku," putus Azim sebagai ketua kumpulan.

Ilham mengemas barangnya untuk pulang. Sebelum dia melangkah keluar, Aizat memanggilnya sekali lagi. Ilham menoleh ke arah Aizat. Bersedia untuk mendengar apa yang ingin disampaikan Aizat.

"Ilham, kau nak balik, kan? Biar aku jelah hantar. Jap eh, tunggu aku kemas barang jap," ujar Aizat.

Aizat terkocoh-kocoh mengemaskan barang-barangnya. Ilham tercegat di hadapan pintu menanti Aizat mengemaskan barang-barangnya. Rijal pula masih bersantai di tepi dinding. Tiada tanda dia ingin pulang jika dilihat daripada tingkahnya.

Sambil-sambil menunggu, mata Ilham meliar ke segenap ruang bilik untuk dua orang penghuni ini. Hiasan dalam bilik ini kelihatan biasa sahaja, seperti biliknya dahulu semasa di universiti sebelum ini.

Hanya ada dua buah katil bujang, dua buah almari baju, dua set meja kerusi untuk belajar berserta dua buah ampaian. Bilik ini turut dilengkapkan dengan sebuah kipas, tiada penghawa dingin seperti biliknya di Kolej Psi.

Benar seperti yang dikatakan Raimi, suasana blok kolej kediaman lain biasa sahaja, seperti kebanyakan bangunan asrama di mana-mana institusi pengajian. Tidak seperti kolej kediaman tempat dia tinggal. Melihat kepada reaksi tiga orang rakannya juga, dia sudah dapat mengagak. Mungkin ada sesuatu yang luar biasa berkaitan Kolej Psi.

"Jom, Ilham!" Ajakan Aizat itu mematikan lamunannya. Ilham terus keluar dari bilik Azim lalu berjalan mengekori Aizat ke keretanya.

"Kau Rijal taknak balik ke?" soal Azim seperti menghalau.

"Oh ya ya. Sorry, berangan sampai ke bulan tadi." Setelah ditegur Azim, barulah dia mula mengemaskan barang-barangnya.

***

Ilham termenung melihat seorang pekerja menggantikan lampu pendarfluor di biliknya. Masuk kali ini, sudah hampir sepuluh kali lampu di biliknya rosak tanpa sebab sejak dia menuntut di universiti ini. Jam di tangannya dikerling sekilas. Tinggal beberapa minit lagi sebelum kelas pertama bermula.

Ilham berasa pelik sungguh memikirkan masalah lampu di biliknya. Bukan itu sahaja, penghawa dingin di biliknya juga seringkali rosak. Dia fikir, keadaan kemudahan di universiti ini mesti dalam keadaan yang baik. Akan tetapi, perkara sebaliknya yang berlaku.

Seringkali Ilham berpanas sepanjang malam sehingga berpeluh-peluh pada keesokan paginya akibat kerosakan penghawa dingin di biliknya. Malah, dia pernah bergelap pada suatu malam ketika sedang sibuk menelaah matapelajaran untuk ujian keesokan harinya. Ilham sehingga tidak sempat menghabiskan pembacaannya. Itulah padahnya mengulang kaji pada saat-saat akhir.

Usai pekerja itu menyelesaikan tugasnya, dia terus berlalu keluar dari bilik Ilham. Ilham sempat mengucapkan terima kasih kepada pekerja itu. Begnya terus diambil untuk pergi ke kelasnya. Semenjak dua tiga hari ini dia semakin bersemangat untuk ke kelas.

Tempoh hari, semasa pembentangan untuk subjek Teknokrat dan Pembangunan, Ilham membentangkan slaidnya dengan baik sekali. Dia curahkan segala ilmu yang tahu mengenai politik dan Sains Sosial. Tidak sia-sia dia mencari informasi tambahan di Internet.

Sejak akhir-akhir ini, Ilham bertambah minat untuk menambahkan pengetahuan dalam geopolitik, politik ideologi, sejarah, sosiologi dan sebagainya. Niatnya cuma ingin memahami apa yang berlaku di sekelilingnya, agar dia dapat meramal perkembangan isu semasa di sekelilingnya.

Dia harus peka dengan isu semasa agar tidak terkejut dengan apa sahaja perubahan politik, sosial dan ekonomi yang mendatang. Hal ini disebabkan, perubahan-perubahan tersebut sudahnya akan memberi kesan kepada masa hadapannya juga. Dia harus tahu agar dia mampu bersedia, sekurang-kurangnya dari segi mental.

***

Raimi mendapati dirinya berjalan ke pintu pagar universiti. Dia sendiri pun tidak faham dan tidak ingat apa tujuan dia berjalan ke tempat itu. Ketika sampai di pintu pagar, Raimi dapat lihat beberapa orang askar sedang berkawal seperti pengawal sempadan wilayah.

Dengan langkah bersahaja dan penuh pasrah, Raimi berjalan ke pintu pagar. Tiada tanda-tanda pun dia ingin melarikan diri atau mengelak daripada berhadapan dengan askar-askar tersebut. Sebaliknya dia hanya menyerah diri sahaja.

"Subjek 288, sila serah diri sekarang," arah askar itu dengan mendatar tetapi tegas.

Raimi terus terjaga dari tidurnya dalam keadaan berpeluh-peluh. Perlahan-lahan dia bangun dari katil. Bajunya sudah lenjun dengan peluh. Raimi perhatikan keadaan sekeliling biliknya yang gelap-gelita dan panas dek penghawa dingin yang tidak berfungsi.

'Dah kenapalah pula ni? Apasal pula gelap ni? Panas betul. Air-cond dengan kipas tutup ke?' rungut Raimi di dalam hati.

Raimi bangun lalu mula berjalan sambil meraba-raba di dalam gelap. Suasana di dalam bilik itu terlampau gelap sehingga Raimi tidak mampu melihat apa-apa. Dinding bilik dirapati untuk mencari suis lampu dan kipas. Setelah dia menjumpainya, suis itu cuba ditekan, tetapi hampa. Bekalan elektrik mungkin terputus, atau lampu dan kipas di biliknya telah rosak.

Raimi berjalan pula ke tingkap biliknya. Tingkap dibuka seluas-luasnya untuk membenarkan udara segar masuk. Rimas dia dibuatnya dengan keadaan bilik yang bergelap dan panas.

'Dah dua kali dah aku mimpi macam tu. Ada petanda apa-apa ke? Aku dapat rasakan mimpi ni akan jadi betul. Tapi ... kenapa aku berjalan ke pintu pagar?' gerutu Raimi seorang diri sambil memerhatikan langit malam yang dihiasi bintang-bintang.

Dengan berpandukan cahaya bulan dan bintang yang masuk melalui tingkap, Raimi berjalan ke sebuah meja di biliknya. Dia mengambil telefon pintar di atas meja itu lalu mula menaip sesuatu. Dia berhasrat untuk memulakan rancangannya tidak lama lagi. Memandangkan ideanya kali ini agak gila, dia tidak memaksa dua orang rakannya itu untuk turut serta.

***

"Kau dah gila ke Raimi? Macam mana kalau kita kena tangkap?" soal Marisa tetapi dengan suara diperlahankan. Dia tidak mahu orang lain mendengar perbincangan mereka bertiga.

Syafiyah hanya mendiamkan diri sedari tadi dan mendengar sahaja. Sedikit pun tidak menyampuk perbualan. Dia masih bersedih dan terkejut dengan kehilangan Zalfa yang berlaku secara tiba-tiba. Sungguh, selepas Zalfa mengucapkan selamat tinggal melalui suara hatinya, gadis itu benar-benar menghilangkan diri.

Raimi melepaskan keluhan berat sebelum menjawab, "Sebab tulah aku kata kau tak perlu ikut kalau tak sanggup. Aku bagitahu ni pun sebab taknak kau risau pasal aku je. Lagipun, kau akan tahu sendiri juga walaupun aku taknak bagitahu."

"Tak, sebenarnya aku bukan nak halang kau. Cuma aku nak tanya je kenapa kau memilih untuk melakukan kerja gila ni?" soal Marisa lagi.

"Hari tu kan, kau ada cakap pasal langgar peraturan, kan?" Raimi cuba menduga Marisa.

"Then?" Marisa membalas dengan soalan.

"Untuk kita rungkaikan kebenarannya, mungkin kita kena buat sedikit pengorbanan." Raimi bercakap dengan penuh berkias, tetapi Marisa dan Syafiyah faham akan kiasan itu. Mereka berdua sanggup untuk mengikut rancangan gila Raimi.

Previous: BAB 39
Next: BAB 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.