Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 35

EKSPERIMEN

"Saya bagi kerja punya mudah pun kamu tak boleh buat, Ilham!" marah Zahran pada suatu pagi.

Ilham hanya menunduk mendengar bebelan pensyarah itu. Mulai hari ini, Ilham telah pun rasmi sebagai salah seorang peserta Program Scientist Apprentice. Masa lapang harus dimanfaatkan untuk setiap pelajar yang menyertai program itu untuk menyiapkan projek masing-masing. Sebenarnya lebih tepat, dikorbankan.

Hari ini Ilham hanya diberi tugasan-tugasan mudah. Dia harus belajar mengenal peralatan di dalam makmal dan cara-cara menggunakannya. Dia harus belajar bagaimana mengambil bacaan daripada alat-alat tersebut.

Walau bagaimanapun, Ilham cukup-cukup tidak suka untuk berada dalam makmal. Apabila disebut sahaja perkataan eksperimen di hadapannya, Ilham terus memberi reaksi seperti allergik. Dalam tubuhnya seperti ada suatu mekanisme untuk menolak segala hal berkaitan eksperimen.

Oleh sebab itulah Ilham selalu memberi alasan bahawa dia hanya bagus jika melibatkan soal teori. Kelebihan dia di bahagian teori, bukan eksperimen. Tidak tahu sejauh mana kebenaran dakwaan itu atau dia cuma mencari alasan.

Bagi Ilham, seperti juga Albert Einstein, seorang ahli fizik teoretikal yang tidak pernah membuat eksperimen sepanjang hayatnya begitu jugalah dia. Kalau boleh, dia mahu menjadi ahli fizik teoretikal sahaja. Tidak perlu untuk membuat eksperimen. Tidak perlu untuk berada di dalam makmal pun.

Adakah Ilham mahu mengelat di sini?

"Ilham! Kamu dengar tak apa saya cakap ni?" herdik Zahran lagi.

Tersentak lamunan Ilham dibuatnya. Bahunya terhinjut sedikit akibat terkejut mendengar herdikan itu. Beberapa pelajar sarjana dan doktor falsafah turut berada di dalam makmal itu. Suara Zahran yang memetir di segenap ruang makmal menarik perhatian mereka. Masing-masing menumpukan pandangan ke arah Ilham yang masih menunduk.

"Kamu kena ingat, sebagai bakal penyelidik, kamu harus biasakan diri kamu dengan amali di dalam makmal. Takkan kamu nak bergantung kepada teori semata-mata!" herdik Zahran lagi.

Dengan pandangan seluruh penghuni makmal itu difokuskan ke arahnya, Ilham bertambah-tambah malu dibuatnya. Mukanya merah padma menahan rasa marah dan malu yang bercampur-gaul di dalam hati.

Ilham terus menunduk mendengar leteran tidak sudah-sudah daripada Zahran. Tidak sanggup untuk mengangkat wajah, apatah lagi untuk melawan. Walaupun dia tidak memandang, dia dapat rasakan renungan maut daripada pelajar-pelajar lain yang berada dalam makmal tersebut.

Apa salahnya dia jika hanya mahu bergantung kepada teori semata-mata. Masing-masing ada peranan, teoretikal dan eksperimental. Ahli fizik teoretikal ada peranannya. Ahli fizik eksperimental ada peranannya. Mereka hidup saling bergantung dan saling memerlukan. Kenapa perlu direndahkan dan diperlekehkan?

Walau bagaimanapun, benarkah tindakan Ilham itu untuk tidak mengambil peduli langsung akan fizik eksperimental? Adakah benar dia memang lebih mahir dalam fizik teoretikal atau dia hanya mahu mencari alasan akan kelemahannya? Adakah Ilham hanya ingin mencari alasan dan lari daripada masalahnya?

Tidak dinafikan eksperimen memainkan peranan yang sangat besar dalam mengembangkan ilmu Sains. Eksperimen bertujuan untuk menguji sejauh mana kebenaran sesuatu dakwaan yang dibuat.

Setelah pemerhatian terhadap suatu fenomena alam dilakukan, inferens akan diputuskan. Kemudian, eksperimen akan dijalankan untuk mengkaji sejauh mana kebenaran dakwaan yang dibuat melalui pemerhatian itu sendiri. Setelah kesimpulan dibuat, barulah dakwaan itu boleh dijadikan sebagai salah satu hukum alam.

Itu pun, jika data-data dalam eksperimen itu boleh diulang semula oleh pengkaji-pengkaji yang lain. Tidak cukup dengan itu, data-data mesti direkod secara sistematik. Eksperimen pula haruslah dijalankan dalam keadaan yang terkawal. Segala pemboleh ubah yang boleh mengganggu keputusan eksperimen harus dimalarkan.

Pendek kata, jika tiada eksperimen yang dibuat, alamat tidak berkembanglah ilmu Sains. Begitulah peri pentingnya eksperimen dalam Sains. Ilham faham itu. Dia faham sangat.

Namun begitu, ada satu persoalan seringkali bertandang di benaknya. Bagaimana pula dengan fenomena alam yang wujud di dunia ini tetapi tidak mampu diperhatikan dengan mata kasar? Bagaimana pula jikalau fenomena alam yang tidak dapat diukur dengan mana-mana instrumen di dalam makmal?

Dari sinilah datangnya peranan fizik teoretikal. Dalam cabang fizik teoretikal, kebanyakan teori tidak dapat dibuktikan dengan pemerhatian atau pengukuran instrumen di dalam makmal. Hanya dibuktikan melalui persamaan Matematik sahaja. Jika ada pun, jumlahnya sangat sedikit dengan kos perbelajaan yang sangat mahal.

"Saya betul-betul kecewa dengan kamu, Ilham. Kecewa!" Zahran mengakhiri bebelannya dengan perkataan kecewa itu ditekankan. Sengaja dia berbuat begitu.

Setelah bebelan panjangnya itu berakhir, Zahran terus berlalu keluar daripada makmal itu. Ilham terus menunduk dan kekal berdiri terpacak di tempatnya. Dia tidak bergerak walau satu inci pun dari tempatnya. Kepalanya juga tidak berani untuk diangkat. Berasa malu untuk berhadapan dengan beberapa pasang mata yang menatapnya sedari tadi.

Beberapa pasang mata yang memerhatikan itu kembali meneruskan kerja masing-masing. Ilham pula masih kekal terpacak di tempatnya. Baru hari pertama dia mengikuti program ini, dia telah dimalukan dengan begitu teruk.

'Kalau Prof. Zahran tu tak suka dengan aku, kenapa dia beria-ia sangat nak dengan aku?' Ilham melepaskan geram di dalam hati.

Bahunya terasa ditepuk dari belakang.

"Ilham...," panggil seseorang dengan lembut.

Ilham menoleh ke arah punca suara. Dilihatnya Fizri sedang mengukirkan senyuman ke arahnya. Ingin menenangkan Ilham barangkali.

"Kau okey?" soal Fizri prihatin.

Ilham tidak menjawab. Tangan Fizri yang masih terletak di atas bahu Ilham ditepis perlahan. Dengan langkah yang perlahan dan lemah-longlai, Ilham menuju ke arah begnya yang terletak di dalam rak di suatu sudut makmal itu. Fizri hanya memerhatikan tingkah Ilham dengan penuh kerisauan.

Ilham mengambil begnya lalu mula berjalan ke arah pintu. Dia ingin keluar tetapi dihalang oleh Fizri. Sebelah tangan Ilham dipegang bagi mengelakkan Ilham pergi meninggalkannya. Ilham menghentikan langkahnya tetapi tidak menoleh.

"Ilham, kau okey tak? Kalau kau tak okey, aku boleh tolong kau apa yang patut." Fizri sudah bersedia untuk menghulurkan pertolongan.

"Aku okey, lepaskan tangan aku," pinta Fizri dengan nada perlahan dan mendatar. Melalui nada yang dilontarkan Ilham, Fizri dapat rasakan yang Ilham sedang menanggung derita di kalbunya.

"Takkan kau nak balik cepat sangat. Ada banyak masa free ni lagi. Kelas kau pukul 12.00 kan, nanti?" Fizri cuba mendesak Ilham untuk terus tunggu di makmal.

"Dahlah, aku nak balik. Pelajar loser macam aku ni tak layak pun join program ni. Dan aku tak layak pun ada dalam makmal ni. Dah, lepaskan tangan aku," pinta Ilham sekali lagi tetapi dengan nada yang tinggi sedikit daripada tadi.

"Ilham, kenapa kau cakap macam tu?"

Telefon pintar Ilham yang berada di dalam poket seluarnya berbunyi menandakan ada pemberitahuan masuk. Ilham terus mengeluarkan telefon pintarnya untuk melihat pemberitahuan tersebut.

Ada mesej baru daripada kumpulan Whatsapp kelas yang baru disertainya semalam. Mata Ilham terus terbeliak luas tatkala membaca mesej tersebut.

Salam. Hari ni subjek QM ada kuiz mengejut, pukul 12 nanti. Prof. baru je bagitahu aku tadi.

Ketua kelasnya yang menghantar mesej tersebut. Satu hembusan nafas dihela sebelum memasukkan semula telefon pintar itu ke dalam poket seluar.

"Kenapa, Ilham?" soal Fizri musykil setelah mendapati perubahan mendadak pada riak wajah Ilham.

Ilham tidak menjawab soalan Fizri, sebaliknya terus mengatur langkah keluar dari makmal itu dalam keadaan tergesa-gesa. Fizri ditinggalkan dalam keadaan terpinga-pinga.

'Ada kuizlah pula! Prof. ni bad mood ke apa, sampai tiba-tiba nak buat kuiz. Kat sana dengan kat sini sama je. Perangai tak berubah. Dahlah tak study apa lagi ni. Aku nak baca apa ni,' gerutu Ilham di dalam hati.

Berkecamuk Ilham memikirkan satu demi satu masalah datang menimpanya hari ini. Pagi-pagi sahaja sudah dimarah dengan teruk. Dimalukan di hadapan orang ramai. Tengahari ini, dia ada kuiz mengejut pula. Nasib baiklah pensyarah itu telah memberitahu awal-awal sebelum kelas bermula. Kalau tidak, matilah dia.

Pada masa itu, dia hanya terfikirkan satu sahaja tempat. Tempat yang sesuai untuk dia mengulangkaji pelajaran iaitu di pusat sumber. Nasib baiklah pusat sumber itu berada tidak jauh sangat dari Fakulti Sains. Dia hanya perlu berjalan kaki untuk ke sana.

Ilham menelusuri susur gajah untuk menuju ke arah pusat sumber. Ceria sungguh hari ini dengan matahari memancarkan sinar cemerlang di dada langit. Cuaca itu berlawanan sekali dengan perasaan yang bermain di kalbu Ilham kala ini. Jikalau perasaannya itu mahu diungkapkan dalam bentuk cuaca, ia ibarat hujan-lebat berserta guruh dan kilat sabung-menyabung di kaki langit.

Jam di tangan dikerling sekilas. Sekarang masa menunjukkan pukul 9.30 pagi. Masih ada beberapa jam sebelum kuiz bermula. Sempat lagi untuk Ilham mengulangkaji pelajaran pada waktu yang terluang ini.

Terkocoh-kocoh Ilham mengambil tempat duduknya di sebuah meja kosong di pusat sumber tersebut. Buku teks Quantum Mechanics dikeluarkan bersama beberapa helai kertas kajang dan alat tulis.

Memandangkan dia telah agak lama meninggalkan pelajarannya, otaknya sudah berkarat sekarang. Dia ingat-ingat lupa sahaja pada pelajaran sebelum ini. Apa yang diajarkan Zahran dalam kelas yang dihadirinya sepanjang minggu ini juga tidak berapa difahami. Sungguh, mindanya benar-benar bercempera sekarang.

Seperti biasa, setiap kali Ilham belajar, dia pasti akan mencatat apa-apa di atas kertas atau di mana-mana ruang kosong di dalam buku. Memandangkan ruang kosong di dalam bukunya sudah habis diconteng, kali ini Ilham hanya menconteng di atas kertas kajang yang dikeluarkannya tadi.

Beberapa persamaan Matematik dan formula Fizik dicatat di atas kertas. Beberapa gambar rajah turut dilakarkan. Namun, persamaan yang paling disukainya merupakan Persamaan Schrödinger. Ilham suka sangat dengan persamaan itu sehingga menerbitkannya berkali-kali setiap kali ada masa terluang.

***

Masa berlalu dengan begitu pantas. Jam sudah pun menunjukkan pukul 11.50 tengahari. Tinggal beberapa minit sahaja lagi sebelum kuiz bermula. Kelam-kabut Ilham dibuatnya tatkala menyedari hakikat itu.

Dengan pantasnya dia mengemaskan segala barangannya. Beg disangkutkan ke bahu segera. Kertas-kertas yang bertaburan di atas meja segera dikutip lalu diselitkan sahaja ke dalam buku. Hendak menyusun kertas-kertas itu ke dalam fail memang tidak sempatlah. Buku itu juga tidak sempat dimasukkan ke dalam beg, hanya dipeluk sahaja ke dada.

***

"Pi, pemalar dalam Matematik. Nisbah ukur lilit bulatan dengan diameternya. Irrational number. 3.14159265359 ... dan nilai titik perpuluhan ini akan berterusan tanpa sebarang pengulangan atau paten. Misteri, kan?" Alisya bercakap seorang diri sambil memandang kosong ke atas. Entah apa yang ditatap si gadis.

Dia berjalan seorang diri sambil memeluk buku nota kesayangannya ke dada. Beberapa helai kertas yang penuh dengan persamaan Matematik turut terselit di dalam buku tersebut. Ketika dia berjalan, dia memang tidak akan melihat apa yang ada di hadapannya. Mindanya sudah dipenuhi dengan teorem Matematik sehingga dia tidak sedar apa yang berlaku di sekeliling.

Dari arah bertentangan, Ilham sedang berjalan dalam keadaan tergesa-gesa. Dia tidak mahu terlambat untuk ke kelasnya. Matanya juga sudah tidak difokuskan ke hadapan. Mindanya ralit mengingati beberapa konsep Fizik yang berkaitan.

Sedang dia berjalan, tubuhnya dirasakan terlanggar sesuatu. Habis kertas-kertas yang terselit di dalam buku miliknya terbang bercempera. Mindanya yang sudah sedia serabut bertambah serabut. Masanya terbuang begitu sahaja kerana terpaksa mengemaskan semula kertas-kertas tersebut. Tidak akanlah mahu ditinggalkan begitu sahaja.

Seorang gadis terjelepok di atas lantai di hadapannya. Di sekeliling gadis itu, penuh kertas-kertas bertaburan di atas lantai. Terpanar Ilham seketika melihat gadis itu. Cantik pula pada pandangan matanya, laksana seorang puteri yang dihiasi kelopak bunga Sakura berguguran di sekelilingnya.

Akan tetapi, bukan seorang puteri yang berada di hadapannya. Bukan juga kelopak bunga Sakura yang berguguran. Sebaliknya apa yang disajikan mungkin lebih indah daripada itu. Bergantung kepada siapa yang menilainya. Bagi Ilham, persamaan Matematik memang indah, laksana kelopak bunga Sakura.

Gadis yang terjelepok itu mengambil buku nota yang tergeletak di atas lantai. Beberapa helai kertas di sekelilingnya turut dikutip lalu diselitkan ke dalam buku nota yang berada dalam pegangannya.

Ilham turut mencangkung untuk mengutip kertas-kertas itu. Buku teks Quantum Mechanics diambilnya kemudian diselitkan kertas-kertas itu ke dalamnya. Dia melakukan semuanya dengan pantas. Tidak sempat untuk melihat sama ada kertas itu milik dia atau gadis itu.

Sedang mereka berdua ralit mengutip, tiba-tiba kedengaran suara gadis lain memarahi seseorang.

"Kau ni buta ke Alisya? Kau jalan tengok apa? Tengok, sampai kau terlanggar orang ni!" marah Auni sambil bercekak pinggang. Tidak pula dia terasa untuk menolong mereka berdua.

"Eh, takpa. Saya yang salah kat sini. Saya kelam-kabut sangat tadi." Ilham yang telah selesai mengutip kertas yang bertaburan di atas lantai membalas kata-kata Auni. Dia sudah pun berdiri pada waktu itu. Alisya juga turut berdiri di sisi Auni yang masih marah.

"Ni adik saya ni memang macam ni. Mereng sikit otak dia ni," balas Auni acuh tidak acuh.

"Maaf ya, saya nak cepat ni. Ada kuiz kejap lagi." Ilham meminta diri dengan lembut sebelum berlalu pergi meninggalkan mereka berdua.

Auni memerhatikan Ilham berjalan pergi dari jauh.

"Hensem juga mamat tu. Walaupun cemerkap sikit dia tu," ulas Auni bercakap seorang diri.

Alisya tidak mempedulikan ulasan kakaknya. Sebaliknya dia sibuk menilik kertas-kertas yang baru dikutipnya tadi. Dia meniliknya berkali-kali sebelum mencuit bahu kakaknya.

"Apa?" Auni mencerlung tajam ke arah Alisya.

"Kak. Budak tu dah terambil kertas Alisya punya. Jadi, Alisya nak minta balik kertas tu kat dia," beritahu Alisya naif.

"Hah?" Pening Auni mendengar permintaan Alisya itu.

"Lukisan Alisya nampak tak lengkaplah," kata Alisya lagi sambil merujuk kertas-kertas yang penuh dengan persamaan Matematik itu.

"Dah mula dah budak ni cakap merapu." Auni menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Three x-squared minus two y ...." Alisya tiba-tiba sahaja menggumam sesuatu sambil matanya menatap ke arah pintu keluar.

Ilham telah pun lama menghilang dari balik pintu keluar yang diperhatikannya.


Previous: BAB 34
Next: BAB 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.