Home Novel Fantasi Reality Override
PROLOG

Seorang lelaki sedang asyik memerhatikan seekor belalang beristirahat di atas sehelai daun sambil duduk mencangkung. Berhampiran dengan lelaki tersebut terdapat sebatang pokok berdiri gah memasak di atas permukaan tanah. Kedengaran derapan tapak kaki menghampiri lelaki itu, namun dia tidak mempedulikannya. Barangkali dia sedang terlampau asyik memerhatikan belalang tersebut.

"Ilham, kat sini rupanya kamu. Apa kamu buat kat sini?" tanya Dr. Luqman prihatin.

Dia menguntumkan senyuman manis seraya menunduk di sebelah lelaki yang dipanggil Ilham tadi. Ilham tidak mempedulikan pertanyaan Dr. Luqman sebaliknya terus memerhatikan belalang tersebut.

"Ilham, meh kita masuk dalam," ajak Dr. Luqman.

Sebelah tangannya dihulurkan untuk memegang tangan Ilham. Ilham yang baru menyedari kehadiran Dr. Luqman di sebelahnya terus menoleh. Riak wajahnya tidak menunjukkan sebarang ekspresi.

"Doktor, saya nak cuba tangkap belalang ni. Doktor tahu tak macam mana nak tangkap belalang ni?" tanya Ilham kepada Dr. Luqman dengan nada selamba.

"Ish, budak zaman sekarang ni, tangkap belalang pun tak tahu," seloroh Dr. Luqman lalu mengambil tempat Ilham. Ilham bangun untuk memberi laluan kepada Dr. Luqman untuk menangkap belalang yang diperhatikannya sedari tadi.

Tidak sampai seminit, belalang itu telah pun berada di dalam genggaman tangan Dr. Luqman. Dengan mudahnya Dr. Luqman dapat menangkap seekor belalang.

"Ha, nampak! Senang je kan nak tangkap belalang. Kamu nak cuba pegang belalang ni?" Dr. Luqman menghulurkan belalang itu kepada Ilham. Ilham menadahkan tangannya untuk mengambil belalang itu lalu digenggamnya sekuat hati. Dr. Luqman sedikit terkejut dengan tindakan Ilham itu.

"Doktor, boleh saya tanya satu soalan?" Ilham menunjukkan tangannya yang masih menggenggam seekor belalang kepada Dr. Luqman.

"Tanya je lah." Dr. Luqman menunjukkan kesediaannya untuk melayan kerenah Ilham.

"Doktor, cuba teka, ada apa dalam genggaman tangan saya ni?" Ilham mengajukan soalan dalam bentuk teka-teki.

Dr. Luqman mengukirkan senyuman yang manis di bibirnya tatkala mendengar soalan yang diajukan kepadanya. "Oh, kamu nak suruh saya teka ada apa dalam genggaman tangan kamu tu ke? Sudah tentulah jawapan saya belalang, dan Negeri Beringin Rendang menang. Yeah!" Sekali lagi Dr. Luqman cuba berseloroh dengan Ilham.

Ilham menggeleng sekilas.

"Habis tu?" Senyuman Dr. Luqman masih tidak lekang daripada bibirnya.

Ilham memusingkan tubuhnya untuk menghadap sebatang pokok besar di hadapannya. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya lalu dihembuskannya semula. Dr. Luqman menanti dengan penuh sabar apakah yang ingin ditanyakan pelajar kesayangannya ini.

"Macam mana dengan keadaan belalang dalam ni? Hidup? Mati? Atau something else?" Semakin lama semakin pelik soalan yang diajukan Ilham kepadanya.

Dr. Luqman mengerutkan dahinya. Dia cuba menafsirkan apakah maksud soalan yang diajukan Ilham kepadanya. Apa sebenarnya yang dia cuba sampaikan? Dia tahu benar, Ilham ini merupakan pelajar yang sangat pintar dan segala bait bicaranya penuh dengan maksud yang tersirat.

"Emmm... hidup?" teka Dr. Luqman teragak-agak. Dia khuatir jawapannnya akan menyinggung perasaan Ilham.

Ilham hanya menggelengkan kepalanya.

Dr. Luqman menghela nafas berat. "Mati?" Jawapan itu dilemparkan dengan rasa berat hati seolah-seolah ada batu besar sedang menimpanya pada saat ini.

Sekali lagi Ilham menggelengkan kepalanya.

"Jadi, apa jawapannya?" Akhirnya Dr. Luqman mengalah.

"Doktor memang tak tahu ke jawapannya?" tanya Ilham semula inginkan kepastian. Dia mengerutkan dahinya.

Dr. Luqman memegang tangan Ilham lalu menguntumkan senyuman di bibirnya. "Ilham, bagilah tahu apa jawapannya. Saya akan dengar," ujar Dr. Luqman penuh kelembutan.

Giliran Ilham pula menghela nafas berat. Dia membuka mulutnya untuk memulakan bicara, "Jawapannya, belalang ini hidup dan mati sebelum saya buka genggaman tangan saya ni. Kedua-duanya possible dan wujud pada masa yang sama, dalam kebarangkalian. Bila saya buka, belalang ni akan jadi salah satu daripadanya iaitu sama ada hidup atau pun mati. Soalan saya di sini, seandainya belalang ni mati bila saya buka genggaman tangan saya, bagaimana pula dengan kebarangkalian belalang ni hidup? Ke mana perginya kebarangkalian tu?" Ilham merenung Dr. Luqman dengan tajam, menantikan jawapan.

Dr. Luqman melopong mendengar jawapan yang terpacul keluar dari mulut Ilham. Dia amat tidak menyangka bahawa Ilham akan mengaitkan soalan teka-tekinya dengan salah satu teori dalam Fizik Kuantum.

"Schrödinger's Cat Box Experiment eh? Eksperimen tu ke? Kucing tu hidup dan mati dalam masa yang sama dalam sebuah kotak yang tertutup. Bila kita buka kotak tu, kucing tu akan jadi sama ada hidup atau mati. Betul tak, Ilham?" Dr. Luqman sengaja mahu menduga kebijaksanaan Ilham.

Tangan yang digenggam erat tadi dilorotkan ke bawah. Ilham menunduk seraya berkata, "Quantum superposition ends, reality collapse. Seandainya pemerhatian kita berdua ke atas belalang ini menunjukkan belalang ni telah pun mati, maka realiti belalang ni hidup telah pun collapse. Sebab tu kita tak nampak realiti yang lagi satu. Persoalannya di sini, ke mana perginya realiti tu? Ada satu teori mengatakan bahawa realiti tu collapse disebabkan tindak balas berlaku antara si pemerhati dengan fenomena yang diperhatikan semasa proses pemerhatian sedang dijalankan. Satu lagi teori mengatakan realiti itu semua wujud tapi ia wujud di dunia yang lain. Dunia yang sama macam kita cuma dengan sejarah yang berbeza," balas Ilham pada pertanyaan Dr. Luqman.

"Bagus, Ilham." Dr. Luqman menguntum senyum. Sebelah tangannya menepuk bahu Ilham.

Dia berhasrat untuk mengajak Ilham masuk tetapi sekali lagi Ilham bersuara.

"Doktor, bagaimana kalau realiti yang collapse tu sebenarnya bukan berada di dimensi lain atau bukan juga disebabkan tindak balas dengan pemerhati." Kata-kata itu dilantunkan dengan mendatar sekali. Riak wajahnya juga tidak menunjukkan sebarang ekspresi namun dapat dilihat juraian air mata membasahi pipinya. Barangkali dia sedang menangis.

"Takpa, ia cuma teori, Ilham. Kamu tak perlu pun mempercayainya. Kenapa kamu tanya?" pujuk Dr. Luqman. Dia dapat mengagak bahawa pelajar yang berada di hadapannya ini mungkin sedang terluka. Dapat dilihat daripada riak wajahnya.

Ilham melepaskan keluhan berat.

"Realiti tu somehow hanya boleh dilihat dan dialami orang-orang tertentu je. Sebenarnya realiti yang biasa dialami majoriti manusia lain hanya sebahagian sahaja daripada kebarangkalian kuantum. Tapi, sebab mereka telah biasa melihat realiti yang satu, mereka takkan dan takkan pernah menyedari hakikat kewujudan realiti yang lain. Realiti tu wujud, doktor. Realiti tu wujud. Hanya orang tertentu saja yang boleh alami realiti tu. Bila kita cuba nak convince orang lain tentang kewujudan realiti lain yang berbeza, kita akan dituduh gila, penipu dan pendusta. Sungguh, sifat manusia tu memang suka sangat menghukum, melabel semata-mata kerana realiti yang kita alami tak sama dengan apa yang majoriti alami. Sungguh, dunia ni memang kejam. Memang kejam!" Suaranya sudah naik satu oktaf. Matanya dibeliakkan.

Dr. Luqman kehilangan kata mendengar bait-bait bicara yang dilontarkan Ilham. Mendalam sungguh maksudnya. Penuh dengan makna yang tersurat dan tersirat. Susunan kata yang dilontarkan dengan penuh emosi.

Ilham tiba-tiba sahaja mengangkat sebelah tangannya yang sedang menggenggam belalang tadi. Dia melemparkannya sekuat hati ke arah sebatang pokok yang berdiri gah di hadapannya. Lagaknya persis orang ingin melontar peluru dalam acara olahraga. Begitu bersungguh-sungguh.

Dr. Luqman terkejut dengan tingkah Ilham secara tiba-tiba itu. Dia berjalan ke arah pokok untuk melihat keadaan belalang yang malang itu. Belalang itu jatuh tidak bermaya di atas tanah. Serangga itu sudah pun tidak bernyawa dek dibaling dengan begitu kuat ke arah sebatang pokok. Kasihan belalang itu, menjadi mangsa Ilham untuk melampiaskan amarahnya.

Ilham menunduk memandang rumput yang tumbuh di atas tanah. Pipinya masih lagi basah dengan linangan air mata. Barangkali dia sedang menangis. Namun begitu, riak wajahnya tidak menunjukkan sebarang ekspresi. Dr. Luqman berjalan semula ke arah Ilham. Dia masih lagi menundukkan kepalanya.

"Ilham, kamu tak apa-apa?" tanya Dr. Luqman risau. Tangannya diletakkan di atas bahu Ilham.

Ilham senyap, tidak menjawab walau sepatah pun. Kepalanya masih lagi ditundukkan.

Ngau! Kedengaran bunyi kucing mengiau di belakangnya.

Ilham membeliakkan matanya. Kepalanya didongakkan ke atas. Tanpa mempedulikan Dr. Luqman yang masih lagi memegang bahunya, dia terus memusingkan tubuhnya untuk mendapatkan kucing tersebut.

Kelihatan seekor kucing sedang beristirahat di atas lantai. Kucing itu nampaknya sedang bersiap-siap untuk tidur tengahari.

"Oh, mungkin dengan belalang doktor tak faham. Saya nak guna kucinglah lepasni. Barulah namanya Schrödinger's Cat Box Experiment, kan?" kata Ilham sambil terus berjalan ke arah kucing tersebut. Tiba-tiba sahaja Ilham kelihatan bersemangat.

Dr. Luqman menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada kata-kata Ilham tadi. Lantas dia segera berjalan ke hadapan Ilham untuk menghalangnya daripada meneruskan niatnya.

"Ilham, kamu okey ke? Jom kita masuk dalam." Dr. Luqman meletakkan kedua-dua tangannya di atas bahu Ilham. Riak wajahnya menunjukkan kerisauan.

Ilham menepis tangan Dr. Luqman dengan kasar. Dia memandang Dr. Luqman dengan senyuman sinis terukir di bibirnya. Air mata yang membasahi pipinya diseka dengan kasar sekali.

"Dah tentulah saya okey."

Next: BAB 0

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.