"Hai, nama saya Nor Hayati, tetapi orang panggil saya Yat sahaja, ringkas bukan? Ini adalah kisah kehidupan saya yang dilihat melalui kaca mata Facebook juga dikenali dengan nama mukabuku. Hmm... apa-apa sahajalah. Oh ya, sebelum anda semua terlupa nama akaun mukabuku saya namanya Yat Yati. Jangan lupa add saya okey?"
Hayati pun login ke akaun Facebook miliknya,
Akaun Facebooklogin
Alamat Email: [email protected]
Kata laluan: *******
Hayati membaca satu demi satu status yang dikemaskini oleh rakan-rakan Facebook-nya. Dia melihat pula senarai rakan-rakannya yang sedang berada dalam talian. "Ah, ramai pun course-mateaku tengah online," desisnya dalam hati.
"Kalau aku update status ni mesti ramai yang like ni. Nak update ayat gempaq-gempaq punya!" tambahnya lagi dengan nada penuh semangat.
"Hari ini aku belajar sesuatu yang baru ditemani oleh sahabat-sahabat sejati yang setia menemani perjuanganku hingga ke akhirnya."
Hayati menekan butang 'send' untuk mengemaskini statusnya. Dia seterusnya perlu memastikan jumlah 'like' atau komen daripada rakan-rakannya sahaja.
Satu minit.
Dua minit.
Tiga minit.
Masa berlalu.
Satu jam telah pun berlalu tetapi masih lagi tiada siapa yang memberi komen mengenai statusnya itu. Hayati mula bosan. Hayati skrol suapan berita miliknya untuk menghilangkan kebosanannya. Dia mula membaca status yang dikemaskini oleh rakan-rakan sekuliahnya yang sedang berada dalam talian. Dia juga melihat gambar-gambar yang dimuatnaik oleh rakan-rakanya.
Terdapat pelbagai gambar yang mereka muatnaik antaranya gambar seorang rakannya sedang bergambar di hadapan Menara Eiffel di Paris, gambar sedang bermain salji di Korea, gambar di Tembok Besar China dan pelbagai lagi destinasi yang dituju oleh rakan-rakannya. Sementara itu, Hayati yang melihat gambar-gambar itu cuba mengingat balik kali terakhir dia pergi melancong ialah semasa dia berada dalam darjah enam ke Langkawi, itupun ketika dia mengikuti rombongan sekolahnya selepas beria-ia merayu kepada ibu dan bapanya. Ada perasaan cemburu terlintas di hatinya semasa melihat gambar-gambar itu.
Dia melihat pula gambar-gambar lain pula. Kali ini gambar seorang rakan sekuliahnya sedang ber-selfie bersama teman lelakinya dengan gaya yang menggoda. Dia mengenakan shawl dengan gaya fesyen terkini. Hayati berasa meluat melihat gambar itu. Dia melihat jumlah 'like' pada gambar itu telah mencecah angka ratus walhal gambar itu baru dimuatnaik beberapa minit yang lalu. Jumlah komennya sudah berpuluh-puluh. Kebanyakannya terdiri daripada perempuan yang memuji kekacakan teman lelakinya yang dikatakan mirip-mirip hero filem Korea.
Tidak kurang juga yang memuji gaya gadis itu bertudung yang mengikut arus fesyen terkini. Gadis itu berlainan benar dengan Hayati yang berpakaian sekadarnya sahaja mengikut keperluan. Dia bukan tidak mahu berfesyen, tetapi dia tidak pandai untuk mengenakan pakaian mengikut arus fesyen terkini, malah dia pernah ditertawakan kerana anehnya cara dia berpakaian. Sejak daripada hari itu, dia tidak mahu lagi mencuba berpakaian cantik seperti gadis remaja yang lain.
"Handsome sangat ke boyfriend dia tu?" desis Hayati di dalam hati. Mahu sahaja dia memberikan komen seperti itu kepada gadis itu tetapi dia tidak sanggup menerima cacian daripada peminat-peminat yang menyokongnya.
Hayati berasa bosan. Dia membaca pula status-status yang dikemaskini rakan-rakannya yang lain beberapa minit yang lalu.
"Bosan betul kuliah hari ni. Menyesal aku ambil course ni!"
Jumlah like: 69
Jumlah komen: 80
"Sial betul hari ni! Kopi aku sejuk, assignment aku tak siap, kuliah bosan! Benci betul!"
Jumlah like: 48
Jumlah komen: 53
"Jom kawan-kawan release tension dengan layan movie Korea."
Jumlah like: 39
Jumlah komen: 67
"Penatnya shopping, habis duit aku beribu-ribu."
Jumlah like: 88
Jumlah komen: 169
"Status macam ni yang orang suka, patutlah tiada siapa layan status aku," rungut Hayati sendirian dalam biliknya.
Hayati melihat semula status yang dikemaskininya, satu like dan tiada komen walaupun setelah dua jam berlalu. Dia berasa sedih dengan keadaan dirinya yang seperti tidak wujud di kelas itu. Tiba-tiba sahaja Hayati mendapat satu idea. Dia ingin mengubah keadaan kelasnya ke arah lebih positif. Dia membuka group Facebookkuliahnya pula.
Dia menyampaikan mesejnya kepada rakan sekuliahnya.
"Hai, kawan-kawan. Tadi saya baca status kawan-kawan semua. Saya perhatikan status kamu kebanyakannya kurang unsur positif dan menerapkan budaya ilmu. Kawan-kawan semua, kita semua ini sudah bergelar graduan universiti. Sepatutnya apa yang kita cakapkan mencerminkan tahap intelek yang kita miliki termasuklah status Facebookkamu itu. Ingat tak, semasa minggu orientasi kita sering diingatkan untuk menerapkan budaya ilmu walau di mana sahaja kita berada, bukan semasa di kuliah sahaja. Jadi, mulai hari ini pastikan status kamu itu ada unsur-unsur motivasi dan budaya ilmiah.
Sekian ikhlas dari Yat."
Dalam masa beberapa minit sahaja Hayati menerima komen daripada rakan-rakan sekuliahnya. Hayati menjangkakan motivasi daripadanya menerima reaksi yang positif, namun sebaliknya yang berlaku. Dia menerima tohmahan demi tohmahan, tidak kurang juga ada yang melontarkan sindiran yang pedas lagi berbisa.
Komen 1: Dah takda kerja ke, sampai beri ceramah percuma kat sini? Takda sapalah nak dengar ceramah kau.
Komen 2: Semak betullah budak nerd lagi skema ni!
Komen 3: Pergi mampuslah!
Komen 4: Eh, eh, kesiannya Cik Yat seorang ni, takda siapa komen status dialah tu sampai sampai dok meroyan dekat sini. Dia tak tahu ke group ni ditubuhkan untuk gossip-gossip dan mengumpat pensyarah.
Komen 5: Ala, macam kau tak tahu pula Yat nikan sugar daddy pensyarah. Itu yang dia bising kita mengumpat ni.
Komen 6: Ni mesti lonely sangat sebab takda boyfriend ni, tu yang meroyan macam orang gila tu. Meh aku kasi kau boyfriend aku satu nak? Aku pun dah bosan dengan mamat Korea ni. Nak tukar angin pula.
Komen 7: Suka hati akulah aku nak update apa status aku. Jangan suka jaga tepi kain orang boleh tak?
Komen 8: Aku rasa kalau kau takda dalam kelas ni lagi bagus! Aman sikit kelas kita ni.
Hati Hayati rasa seperti dihiris-hiris apabila membaca komen-komen yang dilemparkan rakan-rakan sekuliahnya. Dia amat tidak menyangka rakan-rakannya sanggup melemparkan kata-kata kesat kepadanya.
Dalam keadaan menitiskan air mata dia bermonolog, "Apa salah yang aku buat?! Aku cuma ingin menasihatkan mereka, namun inikah balasan yang mereka berikan kepada aku? Aku berbuat baik pada mereka tetapi mereka balas dengan caci maki? Selama ini aku cuba menjadi baik, aku rasa aku takda buat salah apa-apa sampai menerima bala yang dahsyat macam ni."
Monolog sedihnya terhenti apabila dia dikejutkan dengan notifikasi daripada Facebook yang memberitahu bahawa ada mesej baru dikirimkan ke kumpulan kuliah Facebook itu. Mesej itu tertulis "Alhamdulillah, kelas kita ini dah kembali normal selepas perempuan gila tu berambus daripada group ni."
Kemudian komen-komen di bawahnya turut menyokong apa yang baru dikirimkan itu. Dia melihat mesej yang baru dikirimnya tadi baru dibuang daripada suapan berita kumpulan itu. Sekali lagi hatinya sakit bak dicacakkan dengan 10 000 anak panah pada saat dia membaca mesej itu.
Hayati nekad. Dia mengemaskini statusnya yang baru. Kali ini dia bukan lagi ingin memberikan mesej positif, tetapi dia ingin melampiaskan kemarahannya kepada rakan-rakan sekuliahnya.
"Aku tak sangka betul dalam dunia ini banyak betul orang-orang yang bodoh! Sampah-sarap ini banyak betul menyemak di kelas aku! Celaka betul!"
Selang beberapa minit...
"Aku sahaja yang layak masuk ke universiti ini. Macam manalah diorang tu semua boleh masuk universiti ni. Menyemak betul!"
Selang beberapa minit lagi...
"Aku tahu tahap pemikiran aku yang supergenius mengalahkan Einstein ini telah menyebabkan kawan-kawan semua cemburu dengan aku. Itu pasal diorang semua taknak kawan dengan aku."
Selang beberapa minit lagi...
"Aku rasa diri aku ini istimewa sangat. Sampah macam mereka tak layak jadi kawan aku."
Begitulah hari-hari yang dilalui oleh Hayati sejak dia mula dibuli rakan-rakan sekuliahnya di alam siber. Bawah matanya mula menampakkan lingkaran hitam dek kerana tidak cukup tidur melayari Internet dan media sosial. Dia tidak lagi berfikiran positif. Dia mula mengasingkan dirinya daripada rakan-rakan kuliahnya yang lain. Hidupnya sudah tidak ceria seperti sebelum ini.
Aina rakan sebilik Hayati masuk ke bilik mereka setelah habis waktu kuliah. Dia terkejut melihat Hayati sedang nyenyak tidur di hadapan komputer ribanya. Dia tertidur dalam keadaan terduduk kerana terlampau mengantuk. Sepanjang malam Hayati berjaga melayari Internet. Aina menggelengkan kepalanya melihat tingkah rakan sebiliknya. Dia menghampiri Hayati lalu cuba mengejutkannya.
"Yat, bangunlah! Awak takda kelas ke hari ini?" tanya Aina dengan riak kerisauan di wajahnya.
"Hmm... kejap lagilah. Aku ada kelas hari ni tapi aku ponteng," balas Hayati malas.
"Ponteng? Apa dah jadi dengan awak, Yat? Selalunya awak rajin pergi kelas, bersemangat lagi. Setengah jam sebelum kuliah lagi awak dah siap-siap," tanya Aina dalam keadaan terkejut.
"Bisinglah kau Aina! Aku tahu apa aku buat. Kau tak perlu nak sibuk-sibuk hal aku. Aku malas nak datang kelas sebab tak sanggup nak hadap muka budak-budak tu. Pasal pelajaran kau tak perlulah risau, aku tahulah macam mana nak catch up balik," balas Hayati lagi.
Hayati menghela nafas panjang. Dia kesal dengan perubahan sikap yang dialami rakan sebiliknya. Aina rakan sebiliknya tidak sekelas dengan Hayati, oleh itu mereka tidak pergi ke kelas bersama-sama.
Aina melabuhkan punggungnya di sisi Hayati. Dia memulakan bicaranya, "Yat, saya rasa awak patut kurangkan masa awak di Facebook. Saya tahu kita tak boleh nak tutup mulut orang lain. Sampai bila-bila pun kita takkan dapat puaskan hati semua orang, ianya bukan perkara yang boleh kita kawal. Tapi kita boleh kawal macam mana cara kita bertindak balas terhadap sesuatu peristiwa itu, sama ada kita redha atau sebaliknya."
Hayati hanya mendiamkan diri mendengar nasihat daripada rakan sebiliknya itu.
Kemudian Aina menyambung lagi, "Sabarlah Yat, setiap perkara yang berlaku itu mesti ada hikmahnya."
Hayati merenung wajah Aina dalam-dalam. Titisan air jernih mula mengalir di tubir matanya.
"Jadi, apa patut aku buat sekarang?" tanya Hayati secara tiba-tiba.
"Saya rasa awak patut block sahaja rakan-rakan Facebook awak yang menyakitkan hati awak itu. Kalau awak nak unfriend terus pun lagi bagus, sebab merekalah yang memberi pengaruh negatif pada hidup awak. Nak buat apa kita ada kawan tapi beri kesan negatif pada kita, kan?" Aina memberi cadangan kepada rakannya.
"Tapi, mereka semua itu coursemate aku. Kalau aku unfriend mereka nanti macam mana aku nak tahu perkembangan kelas aku? Nak tahu pasal assignment, quiz, test, dan nota-nota kuliah semua kat Facebook. Kalau aku termiss nanti macam mana?" bantah Hayati kurang bersetuju.
"Sebab itulah, awak kena rajin-rajin datang kuliah, take note apa-apa pengumuman penting. Jangan ponteng walau sehari pun supaya awak boleh catch up apa yang pensyarah ajar. Kalau awak nak friend pun cari rakan sekuliah awak yang baik-baik, yang boleh beri impak positif dalam kehidupan awak. Tak semua kawan awak macam tu kan?" Aina menasihatkannya lagi.
Hayati mengangguk lemah. Dia akur dengan cadangan yang diusulkan Aina. Tanpa membuang masa, dia terus melakukan apa yang diminta Aina kepadanya. Dia juga berjanji tidak akan ponteng kuliah walau sehari pun supaya dia boleh mengikuti perkembangan apa yang sedang dipelajari di kelasnya. Dia juga mula berkawan dengan rakan-rakannya yang mengajak ke arah kebaikan. Apa yang paling penting, dia sudah tidak mempedulikan lagi kata-kata kesat yang dilemparkan rakan-rakannya itu. Benarlah kata Aina, kita memang tak boleh kawal tindak-tanduk orang lain, tetapi kita boleh kawal bagaimana kita bertindak balas terhadap apa yang berlaku ke atas diri kita.
-Tamat-