Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 37

RAHSIA

Raimi melangkah masuk dengan bersahaja ke dalam bangunan asrama tempat tinggalnya, Blok X-11. Fikirnya, tiada siapa pada waktu itu yang berada di ruang legar bangunan tersebut. Dari luar, suasana bangunan asrama itu nampak lengang sahaja. Malah, seluruh kawasan kolej kediaman itu hampir tiada manusia yang lalu-lalang melainkan mereka bertiga.

Sampaikan Raimi sendiri pun hairan ke manakah perginya kelibat pelajar-pelajar lain yang turut menghuni kolej itu. Mungkin mereka memang menurut peraturan kolej ini dengan patuh sekali. Pada waktu ini mereka memang dilarang keluar pun. Hanya Raimi sahaja yang berdegil untuk keluar pada waktu ini.

Hampir tiap-tiap malam Raimi akan keluar senyap-senyap tanpa pengetahuan sesiapa. Ke manakah destinasi yang ingin ditujunya pada malam-malam begini? Hanya lelaki itu sahaja yang tahu.

Kaki diatur tenang untuk melangkah masuk ke dalam bangunan. Mata sudah tertumpu ke arah pintu lif untuk naik ke tingkat atas. Laju sahaja kaki diatur untuk berjalan ke arah tempat mata memandang.

"Haikal Raimi!" Panggilan yang amat tidak disangka-sangka itu menghentikan langkahnya.

Raimi menoleh ke belakang, ke arah punca suara. Hatinya sudah mula terasa cuak. Dia tahu dia sedang melakukan kesalahan sekarang. Adakah tembelangnya sudah pecah?

Raimi melihat Fizri sedang menyandar ke dinding sambil berpeluk tubuh. Mata Fizri merenung tajam ke arah Raimi. Fizri yang berdiri hanya beberapa langkah dari tempat Raimi berada, mula berjalan perlahan menghampiri lelaki itu. Raimi pula hanya berdiri tercegat di tempatnya.

Setelah Fizri berada betul-betul di hadapan Raimi, mulutnya terus dibuka untuk memulakan bicara.

"Ke mana kau pergi? Kau tahu kan peraturan kat sini? Yang kau tak boleh keluar pada waktu malam kecuali dengan kebenaran felo yang bertugas." Fizri menyebut semula peraturan kolej itu yang telah dihafal di mindanya.

"Aku pergi bilik kawan aku, bincang dengan kawan, nak buat assignment." Raimi memberi alasan yang baginya munasabah.

"Kalau ya pun nak bincang buat assignment, kenapa tak inform dulu kat felo yang bertugas? Kau inform pada aku pun boleh." Fizri tetap mempertahankan pendiriannya.

"Kenapa kau beriya sangat nak ambil tahu ke mana aku pergi? Dan macam mana kau tahu aku akan balik pada waktu begini?" Raimi tidak menjawab soalan. Sebaliknya dia pula yang cuba menduga Fizri.

"Raimi, ini tugas aku sebagai pembantu felo, aku perlu ambil tahu ...."

"Ini bukan semata-mata sebab tugas kau sebagai pembantu felo, kan?" pintas Raimi. Matanya mencerlung tajam memandang wajah Fizri seperti sedang mengesyaki sesuatu.

Raimi terus berpaling lalu melangkah ke arah lif. Butang tingkat tiga ditekan sebelum pintu lif itu terbuka untuk Raimi memasukinya. Meninggalkan Fizri berseorangan di bawah. Ruang legar itu kembali sunyi. Hanya bunyi orkestra serangga di luar sahaja yang mengisi keheningan.

Fizri yang tinggal seorang sahaja di bawah itu melepaskan keluhan. Kakinya turut diatur perlahan ke arah lif.

"Tolonglah jangan bertindak sendiri. Aku buat ni untuk kebaikan kau," gumam Fizri sambil berjalan.

Butang tingkat satu ditekan. Lif yang baru sampai ke tingkat tiga turun semula ke tingkat G. Walaupun dia hanya perlu menaiki beberapa anak tangga untuk sampai ke tingkat satu, dia tetap juga ingin menggunakan lif.

Sejurus memasuki bilik, Raimi menghenyakkan tubuhnya ke atas katil yang empuk itu. Sambil meramas-ramas rambutnya yang sedikit kusut, Raimi termenung sejenak memikirkan sesuatu. Sebentar kemudian, Raimi bangun semula untuk mencapai telefon pintarnya yang diletakkan di atas meja belajar.

Laju jari-jemarinya menari. Menaip sesuatu di atas skrin telefon pintar. Butang 'SEND' ditekan untuk menghantar mesej kepada seseorang. Dia berhasrat untuk membincangkan sesuatu perkara yang mustahak kepada Marisa dan Syafiyah.

***

Zalfa berjalan seorang diri menuju ke sebuah taman mini di Fakulti Perubatan Universiti Eurasia. Dari jauh, dia dapat lihat Syafiyah sedang duduk seorang diri di atas bangku. Gadis itu kelihatan termenung jauh memikirkan sesuatu.

"Zalfa Dayana, hari ni macam biasa, kamu ada tugasan. Ingat, kalau kamu gagal ikut arahan kami, kamu tahu apa akan jadi pada abang kamu," pesan Akmal, salah seorang saintis yang berkerja di Universiti Eurasia.

Pesanan yang disampaikan melalui salah seorang penghantar mesej rahsianya masih terngiang-ngiang di telinga gadis bertubuh kecil itu. Pesanan berbaur ugutan itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa gerun di hatinya.

Kalau ikutkan, Zalfa ingin sekali untuk mencari di mana para saintis itu menyorokkan kedua-dua abangnya, tetapi dia tidak tahu hendak mula dari mana. Lagipun, dia tidak boleh bertindak melulu. Dia risau akan keselamatan mereka berdua. Dia juga hampir tiada masa untuk melakukan penyiasatannya.

Pada siang hari, dia cukup sibuk. Masanya penuh untuk menghadiri kelas. Pada malam hari pula, pihak saintis akan menghantar seorang wakil ke biliknya untuk menjemput ke suatu tempat. Lokasinya dirahsiakan. Zalfa sendiri tidak tahu ke mana dia dibawa kerana dia akan ditidurkan terlebih dahulu setiap kali dibawa ke tempat itu.

Tempat itu merupakan sebuah makmal rahsia. Zalfa tidak dapat mengagak di mana lokasi makmal rahsia itu terletak. Sebabnya, Zalfa langsung tidak pernah nampak sebarang tingkap setiap kali dia datang ke makmal itu. Jika tidak, bolehlah dia menjenguk keluar untuk mengenal pasti kedudukan makmal itu melalui persekitarannya.

Setiap malam, Zalfa diberi pelbagai ujian berbeza oleh para saintis. Pada malam pertama, dia diberi ujian untuk menguji tahap kepintarannya. Malam keesokannya pula, pengetahuannya dalam bidang Farmakologi diuji oleh para penyelidik di dalam bidang tersebut. Dia diberi berbagai-bagai soalan untuk dijawab.

Malam yang lain pula, dia diberi beberapa sampel tumbuhan dan ditanyakan mengenai bahan aktif yang terkandung pada tumbuhan tersebut. Para penyelidik dalam bidang berkaitan pula akan menguji sejauh mana ketepatan maklumat yang diberikan.

Malam ini, entah apalah ujian yang akan diberikan kepadanya. Apa yang pasti, kebanyakan ujikaji yang dijalankan berkisar mengenai pengetahuannya tentang khasiat tumbuh-tumbuhan.

Zalfa sendiri terfikir, kenapa mereka betul-betul berminat dengan pengetahuan yang dimilikinya? Sedangkan mereka ada barisan penyelidik yang terbaik dalam bidang Farmakologi. Bukankah selama ini golongan Sains amat skeptikal dengan kewujudan manusia seperti mereka?

Jikalau mereka tahu dan meyakini mengenai kewujudan manusia seperti dirinya, sudah pasti dia akan diserang dari segenap arah dan cuba dihapuskan. Dia tahu sangat bahawa kewujudan dirinya memang memberi ancaman pada perkembangan ilmu Sains terutamanya sekali perubatan.

Oleh sebab itulah Zalfa seboleh-bolehnya cuba melarikan diri daripada komuniti perubatan sejauh yang boleh. Kalau boleh dia tidak mahu dekat pun dengan bidang itu. Dia tidak mahu menggunakan kuasanya, tetapi dia juga tidak mahu kuasa yang dimilikinya ini disia-siakan.

Setiap perkara yang diciptakan di dunia ini pasti ada sebabnya. Suatu pernyataan yang dia dan abangnya telah persetujui. Bagi Zalfa, pasti ada sebab kenapa dia diberikan kuasa itu. Pasti ada siginifikannya kuasa yang dianugerahkan kepadanya itu. Oleh itu, dia nekad untuk mencari sebabnya.

"Zalfa?" Panggilan Syafiyah itu mengejutkan Zalfa yang sudah tenggelam jauh dalam lamunannya.

Mindanya sudah terlalu jauh menerawang ke tempat lain sehingga tidak sedar tubuhnya di alam nyata sudah sampai ke destinasi yang ingin dituju. Syafiyah menepuk tempat kosong di sebelahnya di atas bangku. Mempersilakan Zalfa duduk di sisinya. Senyuman manis dilirik di bibir Syafiyah.

Syafiyah sudah mula rapat dengan Zalfa, gadis yang mula-mula dikenalinya sebaik menjejakkan kaki di universiti ini. Walaupun mereka belajar di tahun pengajian yang berbeza, Syafiyah tetap ingin berkawan dengan Zalfa. Dia sendiri pun tidak tahu daya tarikan apa yang ada pada gadis itu.

Tidak seperti Zalfa, Syafiyah berasa agak tidak selesa dengan pelajar lain. Dia cukup segan untuk berbual dengan mereka. Baginya, dia rasa dirinya tidak layak untuk bersama pelajar-pelajar lain. Dia merasakan dirinya kerdil berada di samping pelajar-pelajar genius yang lain.

Kenapa Syafiyah bertanggapan sebegitu? Sebabnya, pelajar-pelajar lain memang terpilih untuk melanjutkan pengajian di universiti ini. Setahunya, hanya pelajar yang benar-benar genius sahaja yang layak untuk melanjutkan pengajian di universiti ini.

Walau bagaimanapun, keputusan akademik Syafiyah biasa-biasa sahaja. Dia tidak rasa pun dirinya layak. Bagaimana dia boleh tiba-tiba mendapat tawaran ke universiti ini?

Walau apa-apa pun, Syafiyah tidak mahu mensia-siakan peluang yang terbentang luas di hadapannya ini. Dia berazam untuk belajar bersungguh-sungguh. Dia berazam untuk mengejar cita-citanya semula untuk menjadi seorang doktor.

Zalfa melabuhkan punggung di sisi Syafiyah. Gadis itu senyap sahaja. Sedikit pun tidak mahu bercakap. Dia menunggu Syafiyah yang memulakan dahulu topik perbualan. Riak wajah yang terpamer pada wajah Zalfa pula sentiasa tegang. Sampaikan Syafiyah sendiri runsing akan apa yang difikirkan gadis itu.

"Zalfa, saya tengok awak ni selalu muram je. Kenapa? Awak ada masalah ke?" Syafiyah memulakan topik perbualan.

"Tak," jawab Zalfa sepatah. Wajahnya ditundukkan. Langsung tidak menoleh ke arah Syafiyah.

"Kalau ada masalah, awak kongsilah dengan saya. Saya susah hati tengok awak monyok macam ni." Syafiyah menzahirkan keprihatinannya.

Zalfa tidak menjawab. Kali ini dia hanya mendiamkan diri sahaja. Dia berasa tidak sanggup untuk berkongsi masalahnya dengan sesiapa. Dia tidak mahu Syafiyah turut diheret sama dalam masalahnya.

"Okey, takpalah kalau awak tak bersedia. Nanti, bila awak dah bersedia awak cerita, eh? Bila-bila masa je saya sanggup jadi tempat luahan hati awak," pujuk Syafiyah penuh kelembutan.

Zalfa menjadi serba salah pula dengan kebaikan yang dihulurkan Syafiyah. Terlalu serba-salah sehingga hatinya terdetik untuk meninggalkan sahaja gadis itu. Biarlah dia menanggung derita ini seorang diri.

Syafiyah meneruskan bicara selanjutnya dengan menceritakan pelbagai perkara yang dialaminya hari ini. Zalfa pula hanya diam mendengar dengan setia. Sedikit pun dia tidak menyampuk. Raut wajahnya masih sama. Masih dihiasi dengan kesuraman tanpa sinar bahagia.

"Zalfa, petang ni saya nak jumpa kawan-kawan saya kat tepi Tasik Universiti, awak nak ikut?" ajak Syafiyah sebelum mereka berdua berpisah.

Zalfa hanya menggeleng pantas sebagai jawapan. Senyuman pahit diukir di bibirnya. Tidak mahu mengguris hati Syafiyah kerana menolak pelawaannya.

"Oh, takpalah kalau macam tu. Nanti kalau free, kita berbual lagi, tau. Bye," ucap Syafiyah sebelum mula berjalan meninggalkan taman mini itu.

Zalfa menghantar Syafiyah pergi dengan pandangannya. Bibir yang mengukir senyum terpaksa tadi kembali muram. Wajah ditundukkan ke bawah. Runsing memikirkan nasib dua orang abangnya. Zalfa baru sahaja ingin tenggelam dalam lamunannya sebelum sekali lagi disapa seseorang. Spontan Zalfa mengangkat wajah. Seorang wanita sedang berdiri di hadapannya.

"Cik Zalfa Dayana, ikut saya sekarang. Dr. Akmal ingin berjumpa dengan kamu," arah seorang wanita tegas. Matanya mencerlung tajam ke arah Zalfa.

Zalfa terkejut melihat kehadiran wanita itu. Langsung dia tidak perasan akan kehadiran wanita itu. Dia inilah yang selalu menjemputnya untuk pergi ke makmal rahsia itu. Dia ini jugalah yang selalu menyampaikan pesanan daripada saintis itu.

Zalfa bangkit dari kerusi dengan penuh keterpaksaan. Dia tiada pilihan selain mengikut arahan wanita itu. Jika tidak, dia tidak tahu apa akan terjadi kepada dua orang abangnya. Di belakang wanita itu, beberapa orang askar Eurasia telah pun berdiri tercegat memerhatikan setiap gerak-geri Zalfa.

Zalfa pelik dan terkejut dalam masa yang sama. Dia tahu akan kehadiran askar-askar ini di sekitar kawasan universiti, tetapi dia tidak tahu apa tujuan mereka berada di sini. Mungkin, gerak-gerinya selama ini diperhatikan para askar yang berkawal di sekitar universiti ini. Nampaknya, dia harus lebih berwaspada selepas ini. Dia tidak boleh bertindak sesuka hati.

Dia juga mungkin terpaksa menjauhkan diri dengan Syafiyah demi keselamatan gadis itu. Selepas itu, barulah dia boleh mula bertindak. Dia tidak perlu risaukan lagi akan keselamatan orang di sekitarnya.

***

"Macam mana dengan hasil siasatan kau, Raimi?" soal Marisa membuka bicara. Dia memandang ke arah Raimi yang bersandar di sebuah pokok berhampiran dengan bangku yang didudukinya.

Marisa menongkat dagu sambil menatap pemandangan tasik di hadapannya. Angin petang yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyapa lembut wajah mereka. Pemandangan tasik nan luas terbentang ditemani dengan tiupan sang angin cukup menenagkan jiwa. Namun itu tidak cukup untuk meredakan resah yang bersarang di hati Raimi sejak semalam.

Perjumpaan mereka bertiga pada petang ini bukan untuk berkelah atau berseronok semata-mata. Dia ada hal mustahak yang ingin dibincangkan. Sejak semalam lagi dia tidak sabar-sabar untuk menceritakan penemuannya semalam kepada dua orang sahabat baiknya itu.

"Nantilah, tunggu Fiya datang dulu. Takkan kita nak tinggalkan dia?" Raimi meminta Marisa bersabar.

Marisa mendengus perlahan, namun akur dengan permintaan Raimi. Sudah tidak sabar sungguh Marisa nampaknya. Sampaikan kehadiran sahabat baiknya sendiri pun tidak boleh ditunggu lagi.

"Raimi, Marisa, sorry. Lama tunggu ke? Tadi kelas habis lambat tadi," pohon Syafiyah yang kepenatan akibat kelas yang penuh pada hari ini.

Marisa mempersilakan Syafiyah duduk di sisinya. Syafiyah menghenyak punggung di atas bangku. Berasa lega setelah penat seharian berjalan di sekitar Fakulti Perubatan.

"Taklah lama sangat. Baru sekejap. Raimi, apa lagi, ceritalah apa yang kau nak cerita tu." Marisa dan Syafiyah memandang ke arah Raimi serentak.

"Kau tahu, kita mungkin tak boleh keluar sesuka hati dari kawasan universiti ni. Semalam aku ronda sekitar pintu pagar. Kat situ, askar kawal ketat. Orang yang keluar masuk dari kawasan universiti ni kena lalui pemeriksaan yang ketat," cerita Raimi bersungguh-sungguh.

Marisa dan Syafiyah saling berbalas pandangan. Hampir tidak percaya dengan apa yang didengar mereka.

"Tapi ... kenapa masa kita mula-mula masuk kita tak perasan pun, kan?" soal Syafiyah tidak percaya.

"Sebab kita bertiga tidur nyenyak masa dalam perjalanan ke sini. Sedar-sedar je dah sampai kat bangunan tu. Ingat tak? Marisa siap keluar air liur basi lagi tu." Sempat lagi Raimi berseloroh.

Seloroh Raimi itu hanya membangkitkan kemarahan Marisa. Gadis itu bingkas bangun untuk memukul Raimi. Syafiyah pula sibuk memikirkan sesuatu. Raimi yang sedang cuba melarikan diri daripada Marisa itu tidak dipedulikannya.

"Oh, patutlah. Macam tu ke. Patutlah takda siapa perasan akan kawalan ketat kat pintu pagar keluar tu. Tapi ... semua orang yang masuk universiti ni memang tertidur dulu ke kat pintu pagar?" Soalan rawak Syafiyah itu mengundang rasa ingin tahu di benak Raimi.

Raimi dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan universiti ini, seperti ada sesuatu yang ingin disorokkan. Marisa turut berhenti daripada terus mengejar Raimi. Dia sendiri pelik akan kenyataan yang dikeluarkan Syafiyah.

"Betul juga kata kau tu." Marisa turut mengiyakan kata-kata Syafiyah.


Previous: BAB 36
Next: BAB 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.