Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 25

PERANCANGAN SELEPAS INI

"Apa yang kau nak buat lepas ni, Ilham? Lepas kau balik nanti?" Soalan yang diajukan rakan Ilham itu menghentikan aktivitinya seketika.

Buku-buku yang hendak dimasukkan ke dalam kotak diletakkan sebentar di sisi. Ilham berkalih pandang ke arah pintu. Rakan sekuliah Ilham merangkap jiran satu aras dengannya dilihat sedang berdiri tercegat di muka pintu. Wajahnya sugul sahaja, sama seperti Ilham. Pasrah dengan masa hadapan mereka.

Ilham sengaja membiarkan pintu biliknya terbuka agar mudah baginya untuk keluar masuk dari biliknya dan membuang sampah.

"Entahlah." Ilham melepaskan keluhan berat. Dia sendiri pun tidak tahu apa yang harus dilakukannya selepas ini. Dalam sekelip mata, masa hadapannya direnggut begitu sahaja. Dia tidak sempat berbuat apa-apa. Segalanya berlaku dengan begitu pantas.

Beberapa minggu yang lalu, Ilham mendapat berita yang amat sukar untuk dipercayainya. Secara tiba-tiba dia mendapat pengumuman bahawa universiti ini akan ditutup tidak lama lagi. Para penuntut universiti yang belum sempat menghabiskan pengajian masing-masing diberhentikan secara paksa tanpa diberi sebarang pampasan.

Mendengarkan berita yang amat menggemparkan itu, Ilham hanya mampu menjerit di dalam hati. Masa dirasakan seperti berhenti seketika. Degupan jantungnya turut terhenti sama tatkala berita itu sampai ke cuping telinganya. Segala perasaan kecewa, marah, sedih dan bimbang bercampur-baur di dalam hati.

Walau bagaimanapun, ada sesuatu yang membuatkan Ilham berasa geram. Beberapa minggu sebelum pengumuman itu dibuat, beberapa orang pensyarah universiti telah pun berpindah ke universiti lain. Antaranya termasuklah Prof. Zahran sendiri. Oleh itu, kerjaya mereka dapat diselamatkan. Padanlah suasana universiti ini semakin suram sejak kebelakangan ini.

Sungguh Ilham berasa geram dengan mereka. Senang-senang sahaja mereka ingin melepaskan diri, sementara pelajar-pelajar universiti dibiarkan dalam keadaan terkontang-kanting tanpa hala tuju.

Selepas Prof. Zahran berpindah secara tiba-tiba, pensyarah lain mengambil alih subjek Quantum Mechanics yang diajarnya. Pada masa itu, semua orang tidak mengesyaki apa-apa melainkan Ilham. Perpindahannya yang berlaku secara tiba-tiba itu menyebabkan Ilham berasa ada sesuatu yang tidak kena.

Akan tetapi, dia malas untuk memikirkan itu semua, lalu rasa syak yang bertandang di hati diusir begitu sahaja. Lagipun, dia sudah malas untuk memikirkan soal tawaran yang diutarakan Prof. Zahran tempoh hari. Dia sendiri tahu yang dia langsung tidak layak untuk menerima tawaran tersebut. Biarlah tawaran itu diberikan kepada orang lain sahaja.

"Aku sendiri pun tak tahu nak buat apa. Mungkin aku balik kampung jelah kot. Apa lagi aku nak buat," sambung Ilham setelah lama berjeda mendiamkan diri.

"Tak, maksud aku, kau nak buat apa lepas kau balik kampung nanti?" Rakan Ilham mengulang soalannya semula yang mungkin kurang jelas pada pendengaran Ilham tadi.

"Tak tahu lagi," jawab Ilham ringkas. Dia malas memanjangkan cerita. Dia tiada semangat untuk bercakap banyak pada hari ini.

"Kalau aku ... tengoklah nanti, kerja apa yang aku boleh buat untuk sara family aku." Tanpa disuruh, rakan Ilham memberitahu akan perancangannya selepas ini pula.

Mendengarkan kata-kata rakannya itu menyebabkan Ilham termenung seketika. Dalam benaknya mula terdetik akan nasib keluarganya nanti selepas dia pulang dengan tangan kosong. Apalah reaksi mereka nanti jika mengetahui akan berita ini. Pasti mereka berasa terkejut dan sukar untuk mempercayainya. Harapan mereka punah begitu sahaja.

Ilham tidak sempat memberitahu ibu bapanya lagi akan penutupan universiti ini. Hal ini disebabkan dia tidak dapat menghubungi mereka. Perhubungan telekomunikasi seringkali terganggu dek konflik berpanjangan antara wilayah.

"Okeylah Ilham, aku balik bilik dulu. Aku pun belum habis kemas barang aku ni," kata rakan Ilham sebelum berlalu meninggalkan biliknya.

Ilham tidak membalas kata-kata rakannya. Dia tidak tahu bagaimana untuk memberi reaksi. Otaknya sudah beku untuk menjana ayat bagi membalas kata-kata rakannya itu. Matanya melirik ke arah muka pintu, melihat ke arah rakannya yang sudah menghilang di balik dinding biliknya.

Ilham bersandar ke almari besi yang berada di belakangnya. Keadaan biliknya yang masih bersepah dibiarkan begitu sahaja. Dia mahu berehat sebentar demi melepaskan lelah. Penat-lelahnya memang boleh diubati dengan berehat sebentar, tetapi hatinya yang diserang gundah-gulana sudah tidak mampu dirawat.

***

Sinar mentari terik yang menerjah masuk melalui celah langsir biliknya menyilaukan pandangan Ilham. Sebelah tangan diangkat untuk melindungi matanya daripada terkena pancaran sinar ultraungu. Kepalanya terasa pening sedikit akibat terlalu lama tidur di atas katil.

Jam di dinding biliknya sudah menunjukkan pukul 11.00 pagi, tetapi Ilham masih terlena di katilnya. Matahari pun sudah memancar garang di dada langit. Segala makhluk yang melata di atas muka bumi sudah keluar untuk mencari rezeki masing-masing melainkan Ilham. Dia masih lena diulit mimpi sedari tadi.

Begitulah keadaannya saban hari sejak dia pulang dari universiti tanpa sempat menghabiskan pengajiannya pada hari tersebut. Dia benar-benar sudah hilang semangat untuk meneruskan kehidupan. Segala tenaganya seperti sudah disedut keluar.

Ilham bergolek ke kiri, berhasrat ingin menyambung tidurnya semula walaupun dia sudah lama dibuai mimpi.

"Ilham!" laung Mariah dari luar bilik. Bergema suara ibu Ilham di segenap ruang rumah kediaman keluarga Ilham.

Panggilan itu tidak pula menggerakkan tubuh Ilham. Sebaliknya dia bergolek pula ke kanan untuk mengambil posisi yang lebih selesa. Panggilan ibunya yang memetir hanya berlalu di cuping telinganya ibarat bayu berhembus lembut di tepi pantai.

"Ilham!" panggil Mariah sekali lagi. Kali ini lebih kuat intensitinya kerana jarak antara Mariah dengan anak lelaki tunggalnya lebih dekat.

Ilham yang mengesan perbezaan intensiti suara ibunya terus membuka matanya yang terpejam. Kelihatan Mariah sedang bercekak pinggang di sisi katilnya. Terpisat-pisat Ilham bangun dari katilnya. Matanya terus membeliak luas. Akibatnya, kepala Ilham berasa berpinar-pinar seketika dek terbangun dalam keadaan mendadak.

"Bangun, Ilham. Kamu ni nak jadi apa hah? Sejak kamu balik dari hari tu sampai hari ni, ini je kerja kamu hari-hari. Membuta je!" bebel Mariah yang sudah tidak tahan dengan sikap anaknya itu.

Ilham masih mamai di atas katilnya. Bebelan ibunya langsung tidak diendahkan. Hanya berlalu dibawa pergi angin yang bertiup. Dia sudah biasa mendengar ibunya membebel hampir setiap hari. Itulah sebabnya leteran si ibu hanya melantun-lantun sahaja di cuping telinganya.

"Ilham, mak ni bukan apa. Mak nak sangat tengok anak mak macam orang lain. Cuba tengok anak jiran sebelah tu, Fauzan. Pagi-pagi lagi dia dah keluar pergi kerja. Matahari belum keluar lagi dia dah pergi. Kamu pula...." Suara Mariah menjadi sebak secara tiba-tiba. Berasa tidak sanggup untuk meneruskan bicaranya. Hati sudah diulit rasa sayu dek melihat keadaan anak tunggalnya yang semakin teruk saban hari.

'Fauzan tu lain. Dia dah ada kerja. Degree dia pun sempat habis. Bukan macam aku ni,' kata Ilham di dalam hati. Dia tidak mampu menzahirkannya. Lidahnya sudah kelu untuk berbicara. Dia langsung tidak mampu untuk menyuarakan rasa hatinya.

Sejak pulang ke rumah, Ilham banyak mendiamkan dirinya. Dia menjadi semakin pendiam. Dek rasa kecewa yang menggunung, dia sudah tidak mampu bersuara melainkan ada hal penting untuk dikatakan. Dia dilanda kemurungan berpanjangan dek tidak tahan dengan bala yang datang bertimpa-timpa.

Fauzan anak jiran sebelah yang disebut Mariah tua beberapa tahun daripada Ilham. Dia sekarang sudah berkerja sebagai doktor di hospital berhampiran. Sejak kecil lagi, Mariah gemar benar membandingkan Ilham dengan Fauzan, terutama sekali dari segi akademik.

Setelah Ilham memilih untuk mengambil bidang Fizik, ibunya seringkali mempersoalkan pilihannya. Dia lebih berkenan dengan pilihan yang diambil Fauzan iaitu untuk menjadi seorang doktor.

Sekarang, dalam saat hatinya hancur dihempap gunung kekecewaan pun, ibunya masih ingin membandingkan dirinya dengan Fauzan. Kata-kata ibunya tadi menjadi ibarat sedas peluru yang menusuk tepat ke dadanya. Menyerang tangkai hatinya.

"Dahlah, Ilham. Mulai hari ni kamu berubah. Mak nak tengok kamu jadi macam orang lain. Buat sesuatu yang berfaedah. Jadi produktif," sambung Mariah mengakhiri bicaranya.

Setelah puas berleter panjang, akhirnya Mariah berlalu meninggalkan Ilham seorang diri di bilik. Mariah melepaskan keluhan sambil menggeleng di luar bilik anak terunanya. Berasa kecewa dengan sikap Ilham.

Ilham melemparkan pandangan ke arah muka pintu yang kosong. Riak wajahnya menunjukkan rasa tidak puas hati.

'Sikit-sikit Fauzan. Sikit-sikit Fauzan. Kalau dah suka sangat dengan Fauzan, kenapa tak ambil dia je jadi anak,' omel Ilham di dalam hati.

Ilham membuang pandang ke arah jendela di sisi katilnya. Langsir yang masih tertutup diselak ke tepi. Mahu membiarkan cahaya matahari dan udara segar menerobos ke dalam biliknya.

Tatkala langsir bilik itu terbuka separuh, mata Ilham dapat menangkap dengan jelas habuk-habuk yang berterbangan di biliknya dalam jarak beberapa centimeter. Setiap butir habuk yang berterbangan di hadapannya, diperhatikan dengan penuh minat. Pergerakannya diamati. Dia dapat melihat dengan jelas walaupun tanpa cermin mata.

"Ilham! Cepat ambil tuala mandi!" arah Mariah keras.

Arahan ibunya menyebabkan Ilham tersentak daripada lamunannya. Habuk-habuk yang diperhatikan tadi telah menghilang entah ke mana.

"Ya, mak! Kejap lagi!" sahut Ilham sambil terkocoh-kocoh menolak langsir biliknya. Pantas dia turun dari katilnya. Hampir tergolek Ilham dibuatnya. Tuala yang berada di ampaian dicapai sebelum berlalu ke bilik air.

***

Beberapa minggu berlalu, Ilham masih tertanya-tanya apa yang patut dia lakukan dalam hidupnya selepas ini. Masa yang berlalu sudah tidak boleh diundur kembali. Tiada gunanya lagi jika Ilham ingin terus menyesali masa lalunya. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Kini, dia sedang duduk termangu di atas katil. Matanya menatap skrin telefon pintar. Jari-jemarinya bermain di atas skrin sesentuh telefon pintar. Sejak dari tadi, dia ralit memerhatikan satu demi satu status rakan-rakannya di Facebook.

Pada mulanya, kebanyakan daripada mereka menzahirkan rasa kecewa di media sosial, terutama sekali di Facebook. Walau bagaimanapun, setelah beberapa minggu berlalu, mereka sudah boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan baru mereka. Hanya Ilham sahaja yang masih tidak mampu menerima hakikat dan terus diulit rasa kesal tidak berpenghujung.

Sebahagian daripada rakan-rakan Ilham sudah berkerja. Walaupun mereka tidak dapat kerja yang mereka inginkan, namun mereka cukup bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan. Asalkan halal. Ada juga yang telah mendirikan rumah tangga. Majlis perkahwinan disambut dengan penuh kesederhanaan. Mereka tidak mampu untuk bermewah-mewah.

Ilham pula masih tidak berganjak daripada statusnya sehingga hari ini. Dia terus diperangkap masa lalu.

Ilham berhenti mengambil tahu status rakan-rakannya. Dia tidak mahu dihambat rasa cemburu pula. Cukup-cukuplah rasa kecewa menyesakkan kalbunya. Dia beralih untuk memerhatikan perkara lain di suapan beritanya. Ada banyak lagi perkara lain untuk dilihat di suapan berita selain daripada kisah hidup orang lain.

Ilham ada mengikuti beberapa halaman di Facebook. Halaman itu membincangkan pelbagai isu semasa yang berlegar di alam maya dan alam nyata. Akan tetapi, tiada satu pun yang menarik minatnya. Dia tiada mood untuk membaca berita itu semua. Pasti halaman itu sudah dipenuhi dengan komen-komen bodoh para netizen. Komen-komen yang akan menorehkan luka di hatinya.

Quantum ... whatever? What a pseudoscience shit!

Itu antara komen paling menyakitkan hatinya yang pernah dijumpai Ilham di media sosial. Adakah patut Fizik Kuantum dituduh sebagai salah satu cabang pseudosains? Sungguh tidak patut. Lebih-lebih lagi itu bidang yang paling diminati Ilham sejak dia kecil lagi. Dia cukup tidak suka orang memperlekehkan ilmu yang paling diminatinya itu.

Walau bagaimanapun, Ilham faham kenapa si netizen itu sanggup melemparkan komen sebegitu. Fizik Kuantum adalah salah satu cabang yang paling sukar difahami dan paling pelik di dalam Sains. Kebanyakan saintis sendiri berasa skeptikal dengan teori-teori dalam Fizik Kuantum.

Fizik Kuantum lebih bersifat falsafah. Kebanyakan teorinya tidak mampu dibuktikan melalui data-data yang dikutip melalui eksperimen. Pemerhatian tidak dapat dilakukan. Hanya dibuktikan melalui persamaan Matematik yang tertulis di atas kertas.

Fizik Kuantum penuh dengan teori-teori pelik yang tersasar daripada landasan kebiasaan ilmu Sains. Bertentangan dengan logik akal. Fizik Kuantum duduk di sempadan antara Sains dan pseudosains. Seandainya tidak berhati-hati, pasti mudah akan tersasar daripada landasan yang betul.

Oleh sebab itulah Fizik Kuantum seringkali menjadi mangsa eksploitasi para pengamal pseudosains untuk membenarkan dakwaan mereka. Fizik Kuatum penuh dengan perkara tidak pasti serta lubang-lubang yang masih belum difahami. Lubang-lubang itulah yang menjadi jalan bagi para pengamal pseudosains untuk menyelinap masuk dalam ilmu Sains.

Maka, orang yang cetek ilmu pasti dengan mudahnya menuduh seluruh bidang Fizik Kuantum itu sebagai pseudosains. Walhal yang berbuat onar itu hanyalah segelintir yang tidak bertanggungjawab.

Ilham mengimbau kembali kenangan silam yang terlipat kemas dalam memorinya. Kenangan silam yang pahit lagi menyakitkan. Peristiwa pahit itu baru berlaku beberapa hari yang lepas. Saat itu, hujan turun dengan lebatnya. Ketika hari menginjak senja, Ilham diminta ibunya untuk membeli barang keperluan di kedai runcit.

Sedang dalam perjalanan pulang, Ilham terserempak dengan seseorang yang dia paling tidak mahu untuk berjumpa. Dia ingat, dia tidak mahu berjumpa dengan lelaki itu, tetapi entah kenapa hari ini malang datang tanpa diundang.

"Ilham! Kau buat apa sekarang?" soal Fauzan kedengaran seperti berbasa-basi.


Previous: BAB 24
Next: BAB 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.