Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 24

PERSOALAN TENTANG ILHAM

'Jadi, selama ni cara otak aku berfikir ni terbalik ke dengan orang lain? Biar betul? Macam mana boleh jadi macam tu?'

Ilham meraup mukanya ke belakang. Satu keluhan berat dilepaskan. Tubuhnya disandarkan ke kerusi.

'Sama ada aku memang lahir macam ni atau ada sebab lain aku jadi macam ni? Tapi apa sebabnya?' Ilham menyelongkar semula peti memorinya untuk mencari puncanya. Punca yang menjadi asbab cara berfikirnya yang unik.

Dia melayarkan bahtera di lautan memorinya demi mencari harta karun. Harta karun dalam bentuk jawapan. Jawapan yang ingin dicarinya selama ini. Dia ingin mencari apakah yang membentuk cara berfikirnya sebegitu. Pasti ada sebabnya. Kalau tiada angin yang bertiup, masakan pokok boleh bergoncang.

Perkara yang membentuk cara berfikir seseorang ialah perkara yang berlaku semasa zaman kanak-kanak. Ya, apa yang berlaku pada zaman kanak-kanak boleh mencorakkan cara berfikir, persepsi tentang dunia serta cara kehidupan individu tersebut.

Memori zaman kanak-kanak Ilham disingkap kembali. Segala peristiwa yang berlaku kala itu diulang tayang semula. Apa-apa perkara luar biasa yang mungkin menjadi pencetus perubahan cara berfikirnya cuba dicari. Kebiasaannya, individu yang mengalami pengalaman luar biasa semasa zaman kanak-kanak akan meninggalkan kesan yang mendalam pada dirinya.

Ilham mengambil sehelai kertas lalu dicatatkan satu-persatu kenangan lalu yang mampu diingatinya. Apa-apa kenangan yang mungkin menjurus kepada pola pemikirannya saat ini.

Sesi ulang tayang kehidupannya dimulakan pada saat dia masih bersekolah.

Pada masa itu, dia memang telah terlebih dahulu mengenali cabang Fizik Moden iaitu Fizik Kuantum dan Relativiti. Fizik Klasik langsung tidak dikenalinya. Sampaikan semasa saat dia mula-mula mempelajari Fizik di bangku sekolah menengahnya, Ilham tiba-tiba berasa pelik dengan apa yang disajikan pada waktu itu.

Manakan tidak, dalam otaknya sudah disetkan bahawa ilmu Fizik itu merujuk kepada konsep ruang dan masa, dimensi selari dan sebagainya. Akan tetapi, tidak pula dia mengenali Fizik melalui sisi Hukum Gerakan Newton-nya. Akibatnya, dia berasa janggal lagi aneh. Malah, otaknya langsung tidak boleh menerima bahawa Fizik itu memang sebegitu.

"Bukan! Bukan! Ini bukan Fizik yang aku kenal selama ni. Mana dia konsep ­time-space continuum, relativiti masa, parallel universe seperti yang aku kenal sebelum ni?" soal Ilham ketika dia sedang memberontak pada waktu dia masih di bangku sekolah menengah.

Bukan setakat itu sahaja, lebih parah lagi, otaknya sendiri tidak mampu menerima informasi yang disuapkan kepadanya oleh guru Fizik. Dia boleh menerimanya, tetapi dengan cara menghafal, bukan memahami. Hafal dan faham itu dua perkara yang berbeza. Natijahnya, dia tidak mampu untuk mengaplikasikan konsep-konsep Fizik dalam kehidupan seharian.

Ilham meletakkan tanda pangkah di sebelah senarai yang pertama, iaitu semasa di sekolah menengah. Nampaknya bukan waktu ini. Dia sudah pun mempunyai pola pemikiran yang aneh kala ini.

Ilham terus melayari bahtera ke persinggahan seterusnya. Saat ini, dia masih di bangku sekolah rendah. Ketika usianya menginjak 12 tahun, dia sudah pun membaca sebuah buku tentang Relativiti. Buku itu bertajuk 'Waktu' tulisan Robert Snedden.

Buku itukah yang menjadi punca dia berfikiran sebegitu? Mungkin. Buku itulah yang membuka pintu kepada Ilham ke sebuah dunia Relativiti. Ilham masih ingat saat dia menghabiskan buku itu dengan sekali bacaan. Pening lalat dia dibuatnya. Suatu kenangan yang tidak boleh dia lupakan.

Walau bagaimanapun, buku itu hanya menerangkan mengenai konsep relativiti masa. Bagaimana pula dengan Fizik Kuantum? Dari mana dia mengetahuinya?

Lagi sekali Ilham meletakkan tanda pangkah di sebelah senarai yang kedua. Pelayarannya diteruskan ke persinggahan seterusnya. Saat ini, dia masih kanak-kanak. Satu sahaja yang terlintas di benaknya pada saat ini.

Ilham.

Ilham itulah pencetus minatnya dalam bidang Fizik. Ilham itulah yang menyebabkan dia menanamkan cita-citanya sebagai ahli fizik. Ilham itulah yang mula memperkenalkan konsep-konsep Fizik yang ada dalam Fizik Teoretikal. Ilham itulah yang membuka sebuah pintu untuk ke dunia Fizik Kuantum dan Relativiti.

Dengan kata lain, ilham itulah yang membentuk pola pemikirannya yang unik dan lain dari yang lain. Saat ketika dia menerima ilmu pengetahuan melalui sang ilham, otaknya masih kosong dan belum menerima apa-apa maklumat lagi. Boleh dikatakan, ilmu pengetahuan daripada ilham itu adalah perkara pertama yang diterima otaknya.

Dia mengenal dunia ini dengan kaca mata yang berbeza dengan manusia lain. Dia tahu ada realiti berbeza yang tersembunyi di sebalik realiti yang dipaparkan di hadapan mata kasar manusia biasa. Walaupun dia tidak tahu bagaimana dia boleh mengetahuinya.

Dia tahu akan kewujudan dimensi yang tersembunyi di sebalik lipatan dimensi. Walaupun dia tidak tahu bagaimana caranya untuk ke sana.

Dia tahu akan hakikat sebenar ruang. Ia berbeza benar dengan apa yang disajikan di hadapan mata. Walaupun dia tidak tahu cara untuk membuktikannya.

Dia tahu mengenai peri pentingnya kaedah saintifik dalam membuktikan kesahihan sesuatu dakwaan dalam Sains. Dia tahu tentang peri pentingnya sebuah eksperimen untuk menentukan kesahihan sesuatu dakwaan dalam Sains. Walaupun tiada sesiapa pun yang memberitahunya sebelum ini, yakni sebelum dia mengetahuinya.

Bagaimana dia mengetahui itu semua? Melalui ilham. Tatkala menyebut tentang ilham, pelbagai persoalan mengasak mindanya.

Pertama tentang dari mana. Dari mana ilham itu datang? Kedua tentang bagaimana. Bagaimana ilham itu boleh sampai ke mindanya? Ketiga tentang sejak bila. Sejak bila dia mula mendapat ilham itu semua? Sejak bila dia berhenti menerima ilham itu? Sejak bila pula ilham mula mempengaruhi cara dia berfikir?

Yang terakhir dan yang paling penting. Persoalan tentang kenapa. Kenapa dia boleh mendapat ilham itu? Kenapa bukan orang lain? Dia bukannya perlukan sangat pada ilham itu pun. Jika benar dia memerlukannya, kenapa ilham itu seperti langsung tidak memberi manfaat kepada dirinya? Malah, ilham itu menjadi seolah-olah beban pula buat dirinya.

Ilham yang datang bukan sebagai anugerah. Sebaliknya menjadi beban pula buat si penerima. Beban kerana dia terpaksa untuk mengambil bidang yang langsung tidak mampu dihadam otaknya.

Ilham dapat rasakan otaknya benar-benar kerdil dan terbatas. Tidak mampu menampung ilmu pengetahuan yang terlalu jauh untuk digapainya. Ilham itu pula, langsung tidak mampu dimanfaatkan walaupun dia sangat-sangat memerlukannya ketika dia mengambil bidang ini.

Analoginya sebegini. Bayangkan anda ada sebuah buku. Buku yang terkandung ilmu pengetahuan di dalamnya. Akan tetapi, otakmu tidak mampu menghadam ilmu yang terkandung di dalam buku itu. Langsung engkau tidak faham apa-apa. Maka buku itu terbiar berhabuk di dalam rak buku tanpa engkau mampu manfaatkan apa-apa di dalamnya.

Bezanya di sini, ilmu pengetahuan itu bukan diperoleh melalui buku, tetapi dibawa sang ilham. Melalui ilham, ilmu itu terus meresap masuk ke dalam minda, tetapi tidak mampu dimanfaatkan. Ibarat sebuah buku yang dibiarkan berhabuk di dalam rak buku.

Persoalan tentang ilham. Bagaimana dia boleh mendapat ilham itu? Bukankah ilham itu hanya boleh diperolehi melalui proses berfikir? Bukankah sepatutnya si penerima faham sendiri apa yang ilham itu ingin sampaikan? Bukankah sepatutnya si penerima ilham itu tahu cara untuk memanfaatkan ilmu daripadanya?

Kenapa pula Ilham Hakimi tidak mampu memahaminya? Pelik bukan?

***

Ilham mengatur langkahnya ke arah dewan kuliah. Seperti biasa, langkahnya perlahan sahaja tanpa semangat. Otaknya sudah penat dikerahkan untuk memikirkan berbagai-bagai perkara. Sungguh, dia sudah berputus asa sekarang.

Tatkala dia berselisih dengan dua orang pelajar sekuliahnya, telinganya sempat menangkap butir perbualan mereka berdua.

"Satu lagi universiti tutuplah," ujar pelajar itu kepada rakannya. Dia kelihatan benar-benar terkejut dengan berita itu. Matanya masih ditumpukan pada skrin telefon pintarnya, membaca berita yang dikongsikan di media sosial.

Rakannya yang berjalan di sebelah tidak memberi apa-apa reaksi. Riaknya masih sama. Langsung tidak terkejut. Perjalanannya diteruskan.

Dengan pandangan yang masih difokuskan ke hadapan, dia berkata dengan selamba, "Ala biasalah tu. Kau macam tak tahu pula."

"Nasib baiklah universiti kita ni dalam Wilayah Eurasia kan? Takdalah terkesan sangat dengan keadaan ekonomi yang tengah gawat ni," kata pelajar itu sambil berjalan.

Ilham pada masa itu sedang berjalan betul-betul di sebelah mereka berdua, khusyuk mendengar. Entah kenapa perbualan mereka benar-benar menarik perhatiannya.

"Tak semestinya. Wilayah Eurasia ke, wilayah autonomi ke, sama je. Kita tetap terkesan dengan kegawatan ekonomi global," ujar pelajar itu tanpa rasa bersalah. Sedikitpun dia tidak berasa takut akan apa yang dikatakannya itu.

"Weyh, kau ni biar betul! Takkanlah!" balas rakannya pula hampir tidak percaya.

Ilham terus-menerus mendengar perbualan mereka berdua. Tidak terasa ingin menyampuk. Sedikit sebanyak dia berasa gerun dengan apa yang dikatakan pelajar itu. Dia khuatir akan masa hadapannya kelak. Apa akan terjadi kepadanya sekiranya dia tidak sempat menghabiskan pengajian?

"Sama ada universiti ni tutup ... atau ...." Dia sengaja berjeda untuk menimbulkan suspens. Pandangannya yang difokuskan ke hadapan dikalih ke sisi. Menghadap wajah rakannya yang mula cuak.

"Atau?" Pelajar itu menelan liurnya yang tiba-tiba terasa pekat.

Dengan riak serius pelajar itu menjawab, "Atau kau kena buang dari universiti kalau kau tak perform. Sebab kerajaan dah taknak tampung pelajar-pelajar yang tak tonjolkan prestasi cemerlang. Alasan mereka mudah je, sebab lepas pelajar tu keluar, mereka takkan menyumbang apa-apa pada produktiviti wilayah ni."

"What? Are you serious?" soal pelajar itu lagi hampir tidak percaya. Langkahnya termati serta-merta. Matanya membuntang luas.

Rakannya turut mematikan langkah. Ilham turut melakukan perbuatan yang sama. Dia ingin terus mendengar perbualan mereka berdua yang kedengaran begitu rancak.

'Betul ke apa yang mereka cakapkan tu? Kenapa aku langsung tak tahu?' soal Ilham di dalam hati.

"Betullah kan. Kau tahu apa. Berangan je kerjanya." Pelajar yang bernada serius sedari tadi menembak rakannya secara tiba-tiba dengan kata-katanya. Langkahnya yang terbantut tadi diteruskan semula.

'Kena sebiji kat muka aku,' kata rakannya di dalam hati sambil turut menghayun semula langkahnya.

Ilham turut menerima tembakan itu. 'Ya, selama ni aku langsung tak kisah pasal sekeliling aku. Apalah yang aku buat selama ni.'

"Kau ada dengar cerita tak?" Pelajar yang bernada serius tadi membuka topik baru. Suasana yang tegang sebentar tadi beransur reda.

"Apa dia?" Malas sahaja rakannya membalas. Masih terasa dengan apa yang dikatakan rakannya tadi.

"Pasal tawaran dari Universiti Eurasia," sambungnya lagi.

"Ah, universiti tu. Tu bukan universiti untuk budak-budak genius ke? Takyahlah nak berangan masuk situ."

Mendengarkan perkataan 'genius' itu menyebabkan Ilham terbejat langkahnya. Dia yang sedang berjalan di hadapan sedikit daripada mereka berdua terus menoleh ke belakang. Tingkah Ilham itu menyebabkan mereka berdua terkejut. Selalunya Ilham ini jarang benar berbual dengan orang lain kecuali mengenai hal-hal yang penting sahaja.

"Tawaran? Untuk budak-budak genius?" soal Ilham ingin tahu. Dia teringatkan mengenai tawaran yang disebutkan Prof. Zahran tempoh hari. Itu ke tawaran yang dia maksudkan?

"Ya. Kenapa?" soal salah seorang daripada mereka.

Menyedari perbuatannya yang sedang bercakap dengan orang lain, menyebabkan dia menggelabah secara tiba-tiba. Lidahnya berasa kelu untuk menyambung bicara lalu dimatikan sahaja hasratnya untuk bertanya dengan lebih lanjut.

"Takda apa-apalah," ujar Ilham lalu kembali memandang ke hadapan. Langkahnya diteruskan dengan kelajuan berkali ganda daripada sebelum ini. Dia ingin lari daripada mereka berdua. Berasa malu pula secara tiba-tiba.

Dua pelajar yang berada di belakangnya saling berbalas pandangan. Terpinga-pinga dengan tingkah Ilham sebentar tadi. Setelah masing-masing bersetuju untuk tidak membahaskan perkara ini dengan lebih lanjut, perjalanan diteruskan. Mata kembali difokuskan ke hadapan agar tidak terlanggar pokok atau tiang lampu yang menghalang perjalanan.

'Genius? Kenapa aku tak dapat?' soal Ilham sendiri.

'Ah, egonya kau Ilham Hakimi. Kau bukannya genius pun selama ni. Kau cuma perasan je selama ni. Sebab tulah kau tak layak masuk universiti tu. Pedulilah soalan Professor Zahran hari tu. Dia nak psiko je tu.' Ilham berkata dengan dirinya sendiri pula.

Langkahnya diteruskan untuk menuju ke kelas.

Sejurus sampai di kelasnya, Ilham mengambil tempat duduk di suatu sudut di dalam kelas itu. Tempat duduknya itu agak berjauhan daripada pelajar lain kerana dia suka bersendirian. Tanpa disedari Ilham, suasana di dalam kelas itu kelihatan tegang sekali, seperti ada perkara buruk yang bakal berlaku.

***

"Belum, dia belum bersedia lagi. Last time aku uji dia, soalan mudah pun dia tak mampu jawab," tutur Prof. Zahran kepada seseorang di hujung talian.

"Kau pasti ke dia subjek yang kita cari tu? Kau tak silap orang? Kalau ya, kenapa dia langsung tak menunjukkan potensi dia?" balas seseorang dari hujung talian.

"Mungkin betul apa yang kau katakan tu," balas Prof. Zahran pula.

"Subjek 232 mungkin dah salah beri maklumat. Data-data yang berjaya dikumpul setakat ni, masih tak cukup untuk membuktikan yang dia adalah salah seorang daripada potential subject yang kita cari," sambung Prof. Zahran lagi.

"Kau dah jalankan prosedur tu?" soal lelaki di hujung talian.

"Sudah. Aku suruh orang-orang kita pasang device di sekitar kawasan fakulti dan kolej kediaman tempat subjek tu tinggal, untuk detect EM field yang dihasilkan subjek."

"Mungkin ada banyak interference semasa data sedang dikumpulkan. Kau ada method lain untuk kumpulkan data?" soal lelaki itu lagi melalui corong telefon.

"Ada, melalui test dan kuiz yang aku jalankan selama ni. Tapi, setakat ni aku tak nampak apa-apa yang special mengenai dia ni. Mungkin betul kata kau, kita dah tersilap orang. Dan aku dah buang masa kat universiti yang dah nak tutup ni."

Prof. Zahran meletakkan telefonnya. Dia kemudian beredar untuk menuju ke kelas. Tanpa disedarinya, perbualan dia dengan rakan di hujung talian didengar seseorang, salah seorang pelajarnya. Akan tetapi, dia hanya sempat mendengar di hujung perbualan sahaja.

Dengan pantasnya pelajar tersebut menyebarkan berita yang tidak dipastikan kesahihannya itu melalui media sosial. Berita tergempar itu pula dengan cepat sekali tersebar sepantas kilat dalam kalangan rakan sekelasnya. Itulah yang menjadi punca ketegangan suasana di kelas pada hari ini.

Walau bagaimanapun, Ilham Hakimi langsung tidak menyedarinya. Dia terlampau sibuk untuk memikirkan pelbagai perkara mengenai dirinya sehingga tidak mengambil kisah akan apa yang berlaku di sekeliling. Tambahan pula, dia jarang membuka aplikasi Whatsapp.

"Weyh, betul ke kau cakap ni, memang universiti ni nak tutup?"

"Habis tu, macam mana dengan kita ni?"

Perbualan antara mereka berdua hanya melintas sekali lalu di cuping telinga Ilham. Langsung dia tidak mengambil kisah. Baginya, itu mungkin khabar angin atau desas-desus yang belum diketahui kesahihannya. Sama seperti apa yang dia dengar sebelum ini melalui perbualan dua orang pelajar tadi.



Previous: BAB 23
Next: BAB 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.