Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 46

KE MANA PERGINYA ALISYA

"Eh, kat depan pintu ni ada guard pula jaga," ujar Azim setelah sampai di hadapan pintu Kolej Psi.

"Ya ke? Hari tu masa aku hantar takda pun?" soal Aizat di belakang.

"Takpalah, aku turun sini jelah kalau macam tu." Ilham yang sedari tadi senyap tiba-tiba bersuara.

"Betul ni?" soal Azim inginkan kepastian.

"Takpa. Tak jauh dah ni dengan blok aku. Terima kasih tau, tolong hantar aku." Azim ingin meneruskan rundingan lagi tetapi Ilham telah pun keluar dari kereta.

"Ilham, kalau ada apa-apa lagi kau mesej je aku tau." Azim menjongolkan kepalanya keluar dari tingkap kereta sedikit untuk bercakap dengan Ilham yang sudah pun menghampiri pondok pengawal.

Ilham menoleh ke arah Azim lalu melambai ke arah mereka lemah. Dia betul-betul letih dan tidak bermaya sekarang. Bila-bila sahaja dia akan tumbang di sini. Walau bagaimanapun, dia cuba juga menggagahkan dirinya untuk pulang ke bilik.

Sebaik melepasi pondok pengawal, Ilham dapat lihat riak wajah serius pegawai yang bertugas di pondok tersebut. Mereka mengenakan peralatan canggih pada tubuh mereka tetapi Ilham tidak tahu apa fungsinya. Riak serius yang terpancar pada wajah pegawai itu juga menimbulkan rasa gerun di hatinya.

'Takpalah, aku balik bilik dulu. Mana tahu, esok nanti Alisya akan balas mesej ni, tak pun aku telefon je malam ni.' Ilham terus melangkah untuk pulang ke biliknya.

***

"Lepas ni kamu ikut pegawai ni ke bilik kamu. Lepas insiden tadi, ada sikit perubahan tugas untuk kamu," arah doktor itu setelah selesai merawat Fizri.

"Eh, tapi ...." Fizri yang agak terkejut dengan perubahan drastik itu ingin membantah tetapi dipintas seseorang.

"Takpa, kamu jangan risau Fizri. Preparation dah selesai. Barang-barang kamu akan dihantar ke bilik kamu nanti," sampuk Luqman yang datang tiba-tiba ke bilik rawatan itu.

Fizri terus berjalan ke arah Luqman. Mereka berkomunikasi dengan isyarat mata tanpa disedari dua orang lagi yang berada di dalam bilik itu.

"Takpa, nanti saya datang bilik kamu," kata Luqman tiba-tiba. Fizri akur mengikut langkah pegawai yang membawanya ke bilik.

Fizri dibawa ke sebuah bilik untuk staf sepertinya. Bilik itu menempatkan dia seorang. Menurut pegawai itu, bilik itu memang ditempatkan untuk beberapa orang staf sepertinya. Dia tidak sangka pula makmal ini turut menempatkan tempat tinggal untuk pekerja.

Setelah pegawai itu meninggalkan dia seorang diri di dalam bilik, Fizri terus mengeluarkan peranti berbentuk sebatang pen dari dalam poketnya. Dia ingin menghubungi seseorang saat ini, tetapi risau gerak-gerinya diperhatikan. Nampaknya selepas ini dia perlu lebih berhati-hati untuk bertindak.

'Maafkan saya prof., saya tak sempat selamatkan S-209 sebelum mereka dapatkannya.'

***

Sejurus sampai di bilik, Ilham terus menghempaskan dirinya ke atas katil. Beg yang disangkut di bahu dicampak entah ke mana. Kesakitan di kepalanya sudah tidak terbendung lagi. Kepalanya dirasakan seperti ingin pecah sahaja saat ini. Tubuhnya pula terasa sangat letih.

Tanpa sempat membetulkan posisinya di atas katil, Ilham telah pun berlayar jauh ke lautan mimpi nan luas. Dengan harapan sakit kepalanya akan hilang setelah dia tersedar nanti.

***

"Mathematics is the secret languange of universe."

"Alisya? Apa awak buat kat sini?"

Ilham ternampak Alisya duduk seorang diri di sebuah bilik gelap di atas lantai. Bilik itu tersangat gelap dan hanya menampakkan mereka berdua sahaja di dalamnya, seperti ada sebuah lampu sorot yang menerangi mereka berdua.

Beberapa buah buku berselerakan di sekeliling gadis itu. Dia melontarkan renungan kosong ke arah Ilham. Dua ulas bibirnya yang mungil langsung tidak digerakkan setelah dia menuturkan kata-kata tadi. Soalan Ilham langsung tidak dijawabnya.

Ilham berjalan setapak demi setapak ke arah Alisya. Matanya ralit memerhatikan gadis itu.

"Ilham, jom kita cari jawapannya bersama ...." Alisya tiba-tiba sahaja mendepangkan kedua-dua tangannya ke hadapan.

"Jawapan apa?" Baru sahaja Ilham ingin menanyakan soalan itu, Alisya tiba-tiba menghilang di hadapannya bersama beberapa buah buku di sekelilingnya. Meninggalkan Ilham seorang diri di sebuah ruang serba gelap itu.

Ilham panik melihat situasi tidak diduga di hadapannya. Terus dia mencari-cari keberadaan Alisya di dalam bilik serba gelap itu. Walau bagaimanapun, kakinya pula rasa tidak boleh digerakkan. Bukan disebabkan terpaku di atas lantai atau terasa berat. Sebaliknya dia terasa tubuhnya ringan dan terapung di dalam sebuah ruang berkeluasan infiniti.

Benaknya pula tiba-tiba dibanjiri dengan pelbagai persoalan yang tidak pernah terlintas, pelbagai teori yang tidak pernah didengari serta pelbagai model yang tidak pernah terbayang. Minda Ilham terasa sesak kerana menerima terlalu banyak informasi secara tidak terkawal.

Kepalanya terasa amat sakit sangat akibat lautan informasi berasak-asak masuk ke dalam mindanya. Otaknya sehingga mengalami tekanan melampau dek tidak tahan dengan kelajuan informasi yang mengalir.

Ilham memegang kepalanya yang terasa ingin pecah. Tubuhnya mengerekot menahan kesakitan. Bagaikan sebiji belon yang diisi udara sehingga pecah, begitulah situasi yang dirasakan Ilham sekarang.

Satu demi satu imej model-model yang tidak pernah dibayangkannya terlayar di ruangan minda. Teori-teori yang tidak pernah didengarinya pula terjana di dalam bentuk persoalan. Persoalan yang bukan datang dari dirinya sendiri, seperti ada orang lain yang mengawal tubuhnya yang menanyakan soalan-soalan itu.

Maklumat terus-menerus mengalir masuk sampai suatu tahap Ilham sendiri sudah tidak mampu menanggung kesakitan lagi. Dia dapat rasakan ini mungkin pengakhiran di dalam hidupnya. Walau bagaimanapun, segalanya terhenti serta-merta tatkala Ilham membuka matanya.

Ilham mendapati dirinya masih berada di atas katil di biliknya. Apa yang berlaku tadi hanyalah mimpi semata-mata. Mimpi yang seakan-akan realiti. Mungkin ilham yang menerjah masuk ke benaknya bukan mimpi, kerana telah pun menjadi di alam realiti. Akan tetapi, apa maksud Alisya dengan mencari jawapannya?

Ilham membetulkan posisi tubuhnya yang tidur tertiarap tadi. Baru dia sedar keadaan dalam biliknya panas membahang. Nasib baiklah dia terbangun pada waktu tengahari. Kalau tidak sudah tentu keadaan biliknya akan bergelap sekarang.

'Eh? Aku tak pasang air-cond ke tadi?' soal Ilham pelik.

Dia bingkas bangun lalu menuju ke arah suis. Sakit di kepalanya masih belum hilang lagi setelah dia terjaga dari tidur. Jarinya cuba memetik suis kipas tetapi tiada sebarang tindak balas daripada kipas berkenaan. Penghawa dingin pula cuba dibuka tetapi tindak balasnya tetap sama.

Akibat tidak puas hati, Ilham memetik suis kipas berkali-kali tetapi tindak balasnya tetap sama.

'Ala, takda current ke?' gerutu Ilham sambil berjalan malas ke arah katil.

Dia menghempaskan tubuhnya ke katil semula. Ilham membuang pandang ke luar tingkap yang tertutup separuh dengan langsir. Matahari nampaknya sudah tergelincir. Ilham tidak dapat mengagak sekarang ini pukul berapa, tetapi kemungkinan besar waktu tengahari. Sudah agak lama juga dia tidur, namun masih belum berjaya meredakan kesakitan di kepalanya.

Ilham berjalan ke arah tingkap lalu membukanya seluas-luasnya. Mahu membenarkan udara segar masuk. Jikalau kipas dan penghawa dingin tidak berfungsi, nampaknya terpaksalah dia menggunakan cara lebih mesra alam.

Beg yang tergeletak di atas lantai diambil. Ilham mahu mencari telefon pintarnya. Dia berharap ada mesej daripada Alisya masuk tetapi hampa. Dia membuka pula aplikasi Whatsapp untuk memeriksa sama ada Alisya telah membaca mesejnya atau belum.

Sekali lagi dia berasa kecewa. Tanda betul hanya sekali sahaja dipaparkan di skrin. Menunjukkan mesej itu belum sampai. Ilham terus terduduk di atas lantai.

'Kenapa dia tak jawab lagi ni?'

'Takpalah, cuba aku call dia. Mana tahu dapat.' Ilham mengambil keputusan untuk menelefon terus gadis itu seandainya dia gagal menghubungi melalui Whatsapp.

Walau bagaimanapun, Alisya langsung tidak dapat dihubungi. Sebaik melihat semula ke arah skrin telefon pintarnya, baru dia perasan yang telefon pintarnya tidak mempunyai isyarat.

'Apasal pula takda signal pula ni?' Telefon pintar itu terus dicampak Ilham. Nasib baiklah telefon pintar itu mendarat di atas katil.

Sekali lagi Ilham menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Dia sudah tidak tahu apa yang patut dilakukannya sekarang. Terkebil-kebil dia memandang siling bilik. Dia mahu menunggu sekurang-kurangnya sehingga petang ini sebelum keluar semula untuk pergi ke Tasik Universiti. Mana tahu, dia boleh berjumpa Alisya di sana.

***

Semasa matahari hendak melabuhkan tirainya di ufuk barat, barulah Ilham mula keluar dari biliknya untuk ke tepi Tasik Universiti. Dia pergi berjalan kaki sahaja memandangkan semua bas tanpa pemandu masih rosak dan tidak boleh digunakan.

Sampai sahaja di tepi tasik, terus Ilham mencari-cari di mana tempat Alisya selalu menghabiskan masa pada waktu petang. Dia berharap sangat gadis itu berada di situ.

Kebiasaannya, setiap petang, memang Alisya akan berada di tepi tasik di tempat yang sama. Melakarkan keindahan lukisan alam. Adakalanya melalui lakaran pelbagai warna di atas kanvas. Adakalanya melalui kombinasi angka dan simbol Matematik untuk membentuk sebuah persamaan.

Walau bagaimanapun, pada petang yang hening ini, hanya bangku kosong sahaja menyambut kedatangan Ilham. Tiada lagi telatah gadis pelik bergelar Mathematical Beauty yang menyambut kedatangannya.

Seorang gadis yang digelar Mathematical Beauty bukan kerana kecantikan paras rupanya. Sebaliknya kerana dia menghargai dan mampu melihat kecantikan yang tersembunyi di sebalik setiap persamaan Matematik. Seorang gadis yang mampu merungkaikan persamaan Matematik bagi setiap keindahan alam yang disaksikannya.

Ilham yang kecewa hanya mampu duduk di sebuah bangku kosong tanpa teman. Pemandangan indah permukaan tasik yang memantulkan cahaya jingga sang mentari diperhatikannya dengan perasaan sayu. Dia seakan-akan rindu untuk bertemu gadis itu lagi.

"Kau cari Alisya ke?" soal seorang perempuan lalu mengejutkan lamunan Ilham. Pantas dia berkalih pandang ke sisi. Dilihatnya seorang gadis sedang berdiri berpeluk tubuh sambil menyandar ke sebatang pokok.

Wajah gadis itu ditatap Ilham. Dia seperti pernah melihat gadis itu sebelum ini.

"Kau kenal Alisya ke?" soal Ilham berkerut dahi.

"Mestilah, aku kakak dia!" Gadis yang sebenarnya Auni itu menegakkan tubuhnya. Pelukan di tubuhnya dileraikan.

"Mana Alisya? Kau mesti tahu kan, ke mana dia pergi? Selalu dia ada kat sini?" Mata Ilham mula memerah. Mungkin dia sedang menahan tangisnya daripada keluar. Mungkin juga dia sedang menahan kemarahan.

"Situ, mungkin dia pergi situ." Auni menunjukkan ke arah permukaan tasik. Kepala Ilham pantas berpaling ke arah yang ditunjukkan Auni. Berharap sangat Alisya ada di situ.

"Mana?" soal Ilham naif. Dia memandang ke arah Auni dan permukaan tasik silih berganti.

Auni ketawa besar sebelum menjawab, "Kau ni naif betullah. Padanlah kau kawan dengan budak pelik tu. Yang aku kata tadi, mungkin dia dah lemas dalam tasik. Yalah, budak macam dia tu, dia manalah fikir pasal sekeliling dia, dalam otak dia fikir Math je. Entah-entah dia dah termasuk dalam tasik tak, tu yang hilang macam tu je."

Ilham senyap tiba-tiba, sambil matanya masih menatap ke arah permukaan tasik. Geram kerana dipermain-mainkan oleh Auni. Boleh dia mempermainkan nyawa adik perempuannya sendiri begitu sahaja. Sungguh gadis itu memang tidak mempunyai hati dan perasaan.

"Kakak jenis apa kau ni hah?" Lambat-lambat Ilham menoleh semula ke arah Auni. Perlahan sahaja nadanya, tetapi cukup dalam untuk menggambarkan kemarahan yang sedang meluap-luap di kalbunya.

Giginya diketap menahan geram. Biji matanya dijegil memandang ke arah Auni.

"O ... okey ... aku gurau je. Fine, aku bagitahu. Alisya hilang suatu petang masa dia tengah melukis kat tepi tasik. Aku tak tahu dia pergi mana." Auni faham akan renungan tajam Ilham lalu menceritakan segala-galanya.

"Kau tak perasan dia pergi mana?" Ilham tiba-tiba bangun lalu menghampiri Alisya dengan riak bengis.

"Betul. Aku bukannya ada masa nak tengok adik aku 24 jam. Aku pun ada hal lain juga nak buat. Masa tu aku tengah discuss pasal assigment dengan group aku. Aku memang dah janji nak jemput dia, tapi bila datang sini, takda pula." Alisya menerangkan segala-galanya sambil berundur setapak demi setapak ke belakang.

Ilham termenung mendengar jawapan Auni. Jawapan Auni itu memuaskan hatinya. Mungkin Alisya memang menghilangkan diri. Mimpinya siang tadi mungkin memberi petanda sesuatu.

Auni yang melihat mata Ilham sudah beralih daripada melihatnya terus melarikan diri secepat mungkin. Tidak sanggup dia berlama-lama dengan lelaki ini. Terlalu bahaya baginya. Ilham pula sudah termenung jauh memikirkan Alisya. Pandangannya seperti ingin tembus sahaja permukaan tanah berumput yang diperhatikannya.

"Fuh! Selamat aku daripada mamat psiko ni," ujar Alisya setelah berada agak jauh daripada Ilham.

Ilham kembali duduk di atas bangku. Permukaan tasik yang tenang dipandangnya. Dia kemudiannya meraup kasar wajahnya lalu menekur memandang permukaan tanah berumput. Dagunya ditongkat dengan kedua-dua tangan.

Mungkin dia patut menerima sahaja tawaran Fizri untuk berbincang masalah ini dengannya. Menyesal memikirkan perbuatannya pagi tadi terhadap lelaki itu. Dia tidak sepatutnya terlalu mengikut perasaan.


Previous: BAB 45
Next: BAB 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.