Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 18

ILMU PENGETAHUAN

Langkah diatur Ilham dengan bersahaja untuk ke kelas. Semangatnya berkobar-kobar, kerana hari ini dia ada ujian yang perlu ditempuhi untuk subjek Quantum Mechanics. Dia sudah nekad untuk memperbaiki keputusannya. Dia sudah nekad untuk mengubah hidupnya mulai hari ini agar menjadi lebih produktif. Dia mahu menjadikan ujian kali ini sebagai titik tolak untuk mengubah hidupnya.

Sesampai sahaja di hadapan kelas, Ilham berhenti sejenak. Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum kakinya mula melangkah masuk. Dia mahu mengumpul sedikit kekuatan, demi meredakan debaran di hatinya. Sebelah tangan mencapai tombol pintu, lalu pintu dikuak perlahan. Tatkala kakinya mula melangkah masuk, Ilham dapat rasakan kedinginan daripada penghawa dingin di kelas itu.

'Satu lagi kelas macam peti sejuk,' desis Ilham di dalam hati.

Dalam kelas, beberapa orang pelajar lain sudah pun mengambil tempat masing-masing. Ilham memilih untuk mengambil tempat di bahagian hadapan sekali tetapi di tepi, tempat kegemarannya. Tempat untuk mengelakkan perhatian.

Setelah mengambil tempat duduk, Ilham cuba mengingat kembali apa yang baru diulangkajinya pada malam sebelumnya. Malam semalam dan malam-malam sebelumnya, Ilham seringkali bersengkang mata untuk mengulangkaji pelarannnya.

'Heisenberg Uncertainty Principle, delta-p delta-x is larger or equal than h-bar over two. Kita tak boleh tentukan dengan tepat kedudukan dan momentum sesuatu partikel secara serentak. Cuma dalam kebarangkalian.'

'De Broglie Wavelength, lambda equal to h over p. Satu equation yang menunjukkan relation antara wavelength dan momentum. De Broglie propose wave-particle duality concept, yang mana setiap partikel itu dalam masa yang sama juga ia boleh menjadi gelombang pada waktu yang sama.'

'Max-Born Interpretation, square modulus psi sama dengan probability of finding a particle...'

Pak!

Monolognya terhenti tatkala merasakan seseorang menepuk bahunya dari belakang. Tersentak Ilham dibuatnya. Spontan Ilham menoleh untuk memandang gerangan si penepuk bahunya.

"Kau dah habis study ke?" tanya pelajar yang menepuk bahu Ilham tadi.

Ilham terdiam sejenak sebelum menjawab dalam keadaan teragak-agak, "Aku... belum kot."

Ilham tarik wajah muram, menzahirkan kerisauannya. Ego yang menebal menyebabkan dia tidak sanggup untuk membiarkan keputusannya merosot dengan lebih teruk.

"Eh, ya ke? Budak genius macam kau ni mesti dah prepare awal-awal, kan?" ucap pelajar itu sengaja mengusik.

Akan tetapi Ilham hanya mampu menarik senyuman kelat di bibirnya. Niat lelaki itu hanya mahu mengusik, tetapi Ilham pula yang terguris hatinya tatkala mendengar perkataan genius itu disebut dalam ayat yang ditutur olehnya.

"Okeylah, kau sambunglah study. Good luck!" ucap pelajar lelaki itu sebelum berlalu pergi dengan wajah ceria.

Ilham hanya mampu menghantar pelajar lelaki itu pergi dengan pandangannya.

'Alangkah bagusnya kalau aku jadi orang lain. Happy je, takda apa nak dirisaukan. Kan bagus kalau aku takda kepandaian macam ni. Kurang-kurang kalau aku jatuh, takdalah rasa sakit sangat, sebab tempat jatuh tu rendah je,' keluh Ilham di dalam hatinya.

Setelah beberapa detik yang dirasakan agak perlahan buat Ilham, Prof. Zahran melangkah masuk. Kemudian dia terus membuat pengumuman untuk memulakan ujian pada hari itu.

***

Aira melangkah keluar dari bilik Dr. Arif setelah selesai sesi psikoterapinya dengan Dr. Arif. Disebabkan penyakit DID yang dihidapinya, Aira dikehendaki untuk menghadiri sesi psikoterapi dengan Dr. Arif.

Sebelum kakinya melangkah pergi, Aira kerling sekilas ke arah pintu bilik. Kemudian dia berkata, 'Sakit? Aku sakit ke? Hmm ... aku tak fikir begitu.'

Kemudian dia terus berlalu pergi dengan penuh persoalan di mindanya. Beginilah setiap kali sesi psikoterapi berjalan, pasti dia berperang dengan fikirannya sendiri, menafikan segala dakwaan Dr. Arif tentang penyakit yang dihidapinya. Dia sentiasa ada hujah untuk menolak dakwaan Dr. Arif.

Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak mengejutkan Dr. Arif. Bagi beliau, itu merupakan perkara biasa yang dialami oleh kebanyakan pesakit mental seperti Aira. Rata-ratanya akan menafikan penyakit yang dihidapi sehinggalah suatu hari nanti mereka akan terima juga hakikat sebegini.

'Well, kalau aku sakit kenapa punca penyakit datang kemudian selepas penyakit itu timbul?' soal Aira kepada dirinya sendiri. Dia tersenyum sendiri memikirkan hakikat itu.

Kebiasaanya Aira akan dihantar dan dijemput ibunya ketika menghadiri sesi psikoterapi disebabkan dia tidak mempunyai lesen memandu dan tidak pandai bawa kereta. Walau bagaimanapun, pada hari ini entah kenapa ibunya lambat pula menjemputnya seperti selalu.

Aira mula resah. Dia berjalan mundar-mandir menunggu kehadiran ibunya.

'Ish, manalah mak ni? Tak pernah pula mak lambat macam ni?' soal Aira di dalam hatinya, mula dihambat risau.

'Apa kata kalau aku balik sendiri jalan kaki je. Bukannya jauh sangat pun hospital ni dari rumah aku pun.' Satu idea menerjah mindanya.

'Bahaya kalau kau nak balik seorang diri, tetapi kalau kau nak tunggu mak kau sampai pun aku tak jamin sangat keselamatan kau.' Secara tiba-tiba suara itu menegur Aira memberitahu sesuatu.

'Bahaya? Bahaya macam mana tu? Kalau aku balik seorang diri juga macam mana?' soal Aira dihambat rasa ingin tahu.

'Bahaya. Tapi kalau kau berhasrat nak cari jawapannya, aku tak dapat nak halang kau.' Suara itu memberitahu.

'Jawapannya?' soal Aira tidak mengerti.

'Ya, jawapannya. Kau sendiri yang beria-ia nak cari apa puncanya kau boleh mendengar aku berkata-kata dengan kau, kan?'

'Maksud kau, apa yang aku selalu tanyakan, tentang penyakitku ini ke?' Aira mengajukan lagi soalan, memohon lebih penjelasan.

'Ya. Kau pun dah mula panggil aku ni sebagai penyakit ke? Kau dah mula percaya dengan kata-kata dia? Jadi, kau pun dah mula percaya yang aku ni cuma halusinasi yang dihasilkan minda kau?' Giliran suara itu pula mengajukan soalan bertubi-tubi menembak Aira.

'Hah, tak tak, bukan macam tu. Haha, cuma yalah, dah lama-lama aku pun dah mula percaya yang aku ni sakit.'

'Jadi, apa pandangan kau tentang diri aku?' Suara itu cuba menjentik kotak fikiran Aira.

'Aku adalah kau dan kau adalah aku.' Aira menjawab dengan nada sarkastik, lalu mula melangkah pergi meninggalkan perkarangan hospital.

Suara itu hanya ketawa sebagai balasan kepada jawapan sarkastik daripada Aira. Aira pula terus melangkah pergi, semakin menjauhi perkarangan hospital untuk pulang ke rumahnya. Malas mempedulikan si gerangan suara misteri. Selepas itu, tiada lagi kedengaran suara misteri itu berceloteh di ruangan mindanya. Begitulah selalu, suara itu selalu muncul dan pergi begitu sahaja. Tidak boleh dijangka waktu kehadirannya.

Saat Aira sedang melangkah, entah kenapa hatinya diserang rasa berdebar-debar secara tiba-tiba, seperti ada sesuatu yang bahaya akan menimpa dirinya kelak. Rasa tidak sedap hati menyerang kalbu.

'Dah kenapa aku ni? Rasa tak sedap hati tiba-tiba. Ah, mana taknya. Suara tu dah beri amaran tapi aku tetap berdegil juga.' Aira memarahi dirinya sendiri.

Sekejap-kejap Aira menghentikan langkahnya lalu menoleh ke belakang, kiri dan kanan untuk memastikan tiada sesiapa mengekorinya. Dia merasakan seperti ada seseorang atau sesuatu yang mengekorinya.

'Macam paranoia pula aku ni. Tapi firasat aku biasanya tepat. Sebab dibantu oleh dia tu.' Aira memaksudkan suara misteri yang selalu didengarinya di hujung katanya.

'Kejap! Apa yang dia maksudkan dengan 'nak cari jawapannya'?' Entah kenapa ungkapan 'jawapan yang dicari' itu menambahkan debaran di hati Aira.

Aira mempercepatkan langkahnya. Hatinya berasa tidak sedap.

'Jawapan yang dicari, jawapan yang dicari, jawapan yang dicari....' Aira mengulang-ulang ungkapan itu berulang-ulang kali sambil kakinya diatur untuk pulang ke rumah.

Langkahnya diteruskan dalam beberapa langkah sebelum suara itu menyergah Aira secara tiba-tiba, 'Aira, jaga-jaga!'

Aira belum sempat bertindak apa-apa tatkala mendengar peringatan dari suara itu sebelum tubuhnya rasa ditarik dan mulutnya rasa seperti ditekup dengan kain basah. Perlahan-lahan pandangan Aira menjadi kabur sebelum semuanya menjadi gelap.

***

Beberapa hari selepas ujian...

"Ilham Hakimi!" Mendengarkan namanya dipanggil, pantas Ilham bangun lalu berjalan untuk mengambil semula kertas ujian.

Sepanjang perjalanan, jantungnya berdegup tidak berirama memikirkan keputusan yang dia akan perolehi dalam ujian kali ini. Pada ujian sebelum ini, Ilham telah buat sehabis baik untuk menjawab kesemua soalan yang diberikan. Segala ilmu yang dipelajarinya sebelum ini dicurahkan di atas kertas putih.

Tidak seperti sebelum ini, kali ini Ilham kelihatan lebih bersemangat. Dia pasti, dia telah melakukan yang terbaik. Dia amat berharap usahanya kali ini berbaloi. Debaran semakin terasa dalam setiap derap kaki yang melangkah.

Berdebar rasa hatinya memikirkan apakah keputusan yang akan diterimanya. Baikkah? Atau sebaliknya?

Tangan Ilham terketar-ketar ketika ingin mengambil kertas ujian itu di tangan Prof. Zahran. Perlahan-lahan mata Ilham dilirikkan ke arah markah yang tertera di hadapan buku jawapan ujiannya.

Tatkala matanya melihat markah yang tertera, matanya dikedipkan berulang kali. Tidak percaya dan tidak mampu menerima akan apa yang dilihatnya. Dengan gerak perlahan yang disengajakan, Ilham menunduk ke bawah lalu memejamkan matanya. Kecewa dengan keputusan yang diterimanya.

'Mustahil! Penat-penat aku belajar sudahnya aku dapat ni je. Aku ni bodoh sangat ke sampai teruk macam ni sekali aku dapat?' bisik Ilham di dalam hati.

Kakinya terasa lemah secara tiba-tiba. Jika Ilham tidak kuatkan semangat, pasti dia sudah rebah dek kakinya tidak mampu lagi menampung tubuhnya.

"Ilham," panggil Prof. Zahran dengan suara mendatar.

Lambat-lambat Ilham mengangkat wajahnya. Menghadap wajah pensyarah di hadapannya. Dilihatnya Prof. Zahran sedang merenung tajam ke arah dirinya dengan riak wajah tiada perasaan. Dia seperti tidak kisah langsung akan gelora yang bersarang di hati Ilham kala ini.

"Kenapa saya perasan result kamu semakin teruk sejak kebelakangan ni? Kamu ada masalah ke, Ilham?" soal pensyarah itu dengan mendatar sekali.

Terguris rasa hati Ilham tatkala mendengar soalan itu diajukan kepadanya. Mukanya terasa panas. Malu tatkala merasakan semua orang di dalam dewan kuliah itu sedang memandangnya. Dia merasakan dirinya dalam keadaan yang sangat menyedihkan lagi memalukan di hadapan rakan-rakannya sendiri. Dia bencikan pandangan itu.

'Kenapa dia perlu tanya waktu ni juga? Takda waktu lain ke?' rintih Ilham di dalam hati.

"Hmm? Kenapa Ilham?" Soalan yang diajukan buat kali kedua oleh Prof. Zahran dirasakan ibarat tusukan daripada besi tajam nan panas tepat mengenai dadanya.

Mukanya bertambah merah menahan malu. Kepanasan yang dirasakan di mukanya kini mula menjalar ke segenap tubuh. Seluruh tubuhnya dirasakan panas membahang. Dia tidak tahu apa yang patut dirasakannya kini. Perasaannya bercampur baur antara malu, marah dan kecewa.

"Macam ginilah, Ilham. Saya bagi kamu peluang. Kalau kamu berjaya perbaiki keputusan kamu lepas ni, saya nak bagi tawaran istimewa buat kamu," beritahu Prof. Zahran senada kepada Ilham secara tiba-tiba.

Mata Ilham membulat mendengar pemberitahuan itu.

'Adakah Prof. Zahran ingin memberi peluang kedua buatku?' soal Ilham di dalam hatinya.

Nampaknya, sinar harapan masih ada buat dirinya. Masih ada peluang buat Ilham untuk keluar dari kegelapan.

"Tapi dengan satu syarat, kamu mesti betul-betul tunjukkan potensi kamu. Saya tahu kamu boleh lakukannya," ucap Prof. Zahran senada.

"Ba ... baik ... lah," balas Ilham sedikit gugup. Gerun melihat renungan tajam dari pensyarah itu.

"Alright. Sekarang kamu boleh balik tempat kamu," arah Prof. Zahran masih dengan nada mendatar.

Spontan Ilham berpusing ke belakang lalu mengatur langkah untuk kembali ke tempatnya semula. Kertas ujian itu digenggam kemas di tangannya. Hampir ronyok dikerjakan Ilham. Semasa dia berjalan untuk ke tempatnya, mata-mata di dalam kelas itu memfokuskan pandangan masing-masing ke arah Ilham. Mereka tertanya-tanya, apakah tawaran yang dimaksudkan professor itu?

Ilham pula berasa tidak selesa ditenung sebegitu.

'Apa masalah diorang ni? Adui!' rungut Ilham di dalam hatinya setelah melabuh duduk di tempatnya. Ilham buat-buat tidak nampak akan mata-mata yang sedang memerhatikannya di segenap penjuru kelas.

'Apa maksud dia tawaran tu ya? Hmmm ....' Ilham berfikir sejenak akan apa sebenarnya yang dimaksudkan Prof. Zahran.

'Takpalah, yang penting aku kena usaha lagi. Prof. nak bagi aku peluang tu. Aku tak boleh sia-siakannya.'

Seusai habis kelas, Ilham melangkah keluar dari dewan kuliah dalam keadaan penuh berkobar-kobar. Prof. Zahran memerhatikan sahaja tingkah Ilham dari jauh. Dia memandang Ilham dengan penuh minat sebelum mengalihkan pandangannya ke arah lain.

Telefon Prof. Zahran berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Spontan dia mencapai telefon pintar yang sentiasa ada di dalam kocek seluarnya. Bibirnya menggaris senyuman tatkala melihat nama yang tertera di atas skrin telefon pintar. Lantas jarinya menyentuh ikon gagang telefon pintar berwarna hijau untuk menjawab panggilan tersebut.

"Hello," ucap Prof. Zahran pemula bicara.

Kemudian dia diam sejenak untuk membiarkan si pemanggil memberitahu urusannya.

"Belum, dia masih belum bersedia. Nampaknya aku kena push lagi subjek ni. Walau macam mana sekalipun aku perlukan ilmu pengetahuan tu."

Sekali lagi dia diam sejenak untuk memberi ruangan kepada si pemanggil membalas kata-katanya.

"Biarlah orang lain menjadi korban. Mereka tak penting pun dalam eksperimen kita ni," balas Prof. Zahran kepada si pemanggil di hujung talian.

Setelah menyampaikan kata putus, Prof. Zahran memutuskan panggilannya lalu meneruskan perjalanannya semula.

'Dia masih belum bersedia lagi. Kalau dia betul dah bersedia, ilmu yang dimilikinya boleh mengubah landskap dunia saintifik buat selama-lamanya. Betul kan, wahai orang yang diberi ilham?'



Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.