Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 22

BUKTI SAINTIFIK

"Kalau kamu berterusan macam ni, nampaknya terpaksalah saya tarik balik tawaran yang saya berikan kepada kamu tempoh hari."

Kata-kata itu membuatkan mata Ilham membulat tatkala mendengarnya. Prof. Zahran pula terus memerhatikan reaksi yang dipamerkan pada riak wajahnya, dengan pandangan penuh muslihat. Keadaan menjadi senyap secara tiba-tiba. Prof. Zahran tidak meneruskan bicaranya. Ilham pula terus membisu seribu bahasa. Dia sudah tidak tahu apa lagi yang patut dituturkannya sekarang.

"Baiklah, Ilham. Saya nak bagi kamu lagi satu peluang terakhir. Kalau tak, terpaksalah saya bagi tawaran ni kepada orang lain," tutur Prof. Zahran sengaja ingin menduga Ilham.

Ilham mengangkat wajah. Berasa tertarik dengan apa yang baru dituturkan Prof. Zahran. Sekali lagi dia dapat merasakan sinar harapan terpancar buat dirinya. Dia berhasrat mahu menggenggam sinar harapan itu sepenuh hatinya. Dia tidak mahu melepaskan sinar harapan itu pergi lagi.

"Cuba kamu jawab soalan saya ni." Terkedu Ilham dibuatnya. Dia amat tidak menjangka tindakan Prof. Zahran itu. Adakah soalan itu diajukan dengan tujuan ingin mengujinya?

"Sesuatu dakwaan di dalam Sains, mestilah disertakan dengan apa agar ia mampu diterima komuniti saintifik, atau diangkat menjadi sebuah teori baru?"

Ilham membuka mulutnya spontan, ingin menjawab soalan itu. Akan tetapi, tiada satu patah perkataan pun yang terzahir dari mulutnya. Otaknya tidak mampu menjana apa-apa jawapan kepada soalan itu. Mindanya terasa kosong. Segala ilmu yang tersimpan dalam kotak memorinya seperti hilang begitu sahaja dibawa angin lalu.

"Ilham, apa jawapannya? Kalau kamu boleh jawab ni sekurang-kurangnya, mungkin saya akan berikan kamu tawaran tu. Jika tidak, saya tak boleh melakukan apa-apa ...," gesa Prof. Zahran.

'Ah, jadi betullah soalan ni diajukan sebab dia nak menguji aku,' getus hati Ilham.

Ilham cuba menyelongkar perpustakaan mindanya demi mencari jawapan. Dia harus buktikan bahawa dia memang betul-betul berpotensi di hadapan Prof. Zahran. Dia tidak mahu pensyarah itu memandang rendah ke arahnya. Dia masih ada maruah. Cukup-cukuplah hari ini dia sudah banyak kali dimalukan.

Prof. Zahran menyandar di kerusi sambil memeluk tubuhnya. Terus menantikan jawapan daripada Ilham. Ilham pula semakin tidak keruan. Dia sudah puas mengorek dan menyelongkar isi mindanya tetapi jawapannya langsung tidak diketemu.

Sedang dia mencari, rasa sakit di kepalanya tiba-tiba menyerang. Kesakitan itu menyebabkan proses berfikir Ilham terganggu seketika. Semakin banyak dia berfikir, semakin kuat kesakitan di kepalanya. Prof. Zahran pula terus-menerus memerhatikan Ilham, menantikan jawapan. Langsung tidak menyedari akan kesakitakan yang ditanggung Ilham.

'Kenapalah waktu macam ni juga sakit ni nak menyerang?' gerutu Ilham.

Setelah puas menunggu jawapan daripada Ilham, akhirnya Prof. Zahran bersuara, "Macam mana kamu nak jadi saintis? Kalau soalan mudah macam ni pun kamu tak boleh jawab."

Kata-kata Prof. Zahran itu dirasakan ibarat sedas peluru yang mengenai tepat ke dadanya. Dia benar-benar berasa terhina. Kata-kata itu dirasakan ibarat sindiran kepadanya.

"Unfortunately Ilham. Nampaknya terpaksalah saya serahkan tawaran tu kepada orang lain saja. Maaf, saya rasa kamu tak layak." Sejurus menyampaikan kata putus itu, Prof. Zahran bingkas bangun meninggalkan dewan kuliah itu.

Ilham masih berdiri tercegat di tempatnya. Sedikit pun dia tidak berganjak. Hanya tinggal dia seorang di situ. Pelajar-pelajar lain sudah pun meninggalkan dewan kuliah itu.

'Okey, fine! Aku memang tak layak jadi saintis! Aku ni memang bodoh! Selama ni aku cuma perasan je yang aku ni genius,' marah Ilham di dalam hatinya.

Meja yang berada berhampiran ditumbuk sekuat hati untuk melepaskan geram. Ilham bukan marah dengan Prof. Zahran, tetapi dia marah dengan dirinya sendiri. Masa untuk dia menghabiskan pengajian di universiti ini semakin suntuk, tetapi sedikit pun dia tidak menonjolkan apa-apa peningkatan.

Tiba-tiba pintu dewan kuliah ditolak dari luar. Kelihatan seorang pelajar perempuan terjongol di muka pintu dewan kuliah.

"Eh, ada kelas ke kat sini? Sorry," kata pelajar itu sebelum keluar semula dari dewan kuliah itu.

Sangka pelajar itu, Ilham menunggu di situ untuk kelas seterusnya.

"Doktor, ada kelaslah kat sini," adu pelajar perempuan itu kepada seorang pensyarah yang baru sampai ke situ.

"Eh, baru tadi saya booking kelas ni dekat office. Betul ke ada orang dalam tu?" balas pensyarah itu.

"Entah. Tadi masa saya masuk ada orang dalam ni," beritahu pelajar itu.

"Berapa orang? Ramai ke?" soal pensyarah itu lagi.

"Seorang je," balas pelajar perempuan itu pula.

"Oh, takpalah. Biar saya masuk dulu." Pensyarah itu terus masuk ke dalam dewan kuliah.

Ilham terus-menerus terpacak di tempat yang sama. Nampaknya, dia benar-benar terkesan dengan sindiran Prof. Zahran. Pensyarah lelaki itu pula perlahan-lahan menapak ke arah Ilham.

"Maafkan saya, kamu ada kelas ke kat sini? Saya dah booking dulu kelas ni nak buat kuiz kejap lagi," kata pensyarah itu kepada Ilham.

Ilham terus-menerus menunduk. Langsung dia tidak menoleh ke arah pensyarah yang sedang bercakap dengannya sekarang. Akan tetapi, dia seperti boleh mengecam suara itu. Mungkin pensyarah itu pernah mengajar kelasnya sebelum ini.

"Eh, kamu ni Ilham, kan? Ilham Hakimi," soal pensyarah itu kedengaran mesra. Senyuman manis terukir di bibirnya. Mendengarkan pertanyaan pensyarah itu, menyebabkan Ilham menoleh ke arah punca suara.

Wajah pensyarah itu ditatap. Ya, dia memang kenal pensyarah itu. Pensyarah itu pernah mengajar kelasnya subjek Classical Mechanics sebelum ini. Namanya Dr. Luqman Hakim. Tidak seperti Prof. Zahran yang kejam tadi, Dr. Luqman bersikap lebih prihatin akan kebajikan para pelajarnya. Malah, dia sungguh berdedikasi dalam menyampaikan ilmu kepada para pelajarnya. Ilham amat menyenangi pensyarah itu.

Sayang seribu kali sayang. Dr. Luqman tidak mengajar kelasnya lagi pada tahun ini. Dia berasa rugi dan kecewa kerana tidak dapat menimba ilmu daripada pensyarah yang baik seperti beliau. Sebaliknya, Prof. Zahran yang kejam lagi tidak bertimbang rasa itu yang menjadi salah seorang pensyarahnya.

"Kamu ada kelas ke kat sini?" Soalan Dr. Luqman itu mematikan lamunan Ilham.

Ilham terdiam sejenak sebelum menjawab, "Oh, maaflah kerana mengganggu di sini. Saya pulang dulu."

Ilham pantas mengambil begnya yang terletak di atas meja berhampiran lalu mengatur langkah meninggalkan dewan itu. Langkahnya perlahan sahaja. Langsung tiada semangat. Segala tenaganya pada pagi tadi seperti telah disedut keluar dari tubuhnya.

Dr. Luqman terus memerhatikan Ilham keluar dari dewan kuliah itu dengan penuh kemusykilan. Dia seperti memikirkan sesuatu mengenai Ilham.

"Doktor?" Panggilan daripada pelajar perempuan itu mematikan lamunan Dr. Luqman.

"Ah, sorry. Jom, kita mula kuiz sekarang," kata Dr. Luqman kepada para pelajarnya yang telah pun bersedia di tempat masing-masing.

***

Bam!

Pintu biliknya dihempas kasar. Ilham bersandar di belakang pintu. Perlahan-lahan tubuhnya melorot ke bawah sehingga melunjur ke lantai. Jendela biliknya masih terbuka. Ilham terlupa untuk menutup jendela itu sebelum dia pergi ke kelasnya. Akibatnya, angin yang datang entah dari mana menderu-deru menerobos masuk ke biliknya.

Angin yang bertiup kencang itu menerbangkan beberapa helai kertas yang berterabur di atas meja. Sehelai kertas terbang lalu mendarat berhampiran tempat Ilham melunjur. Hati Ilham rasa tergerak pula untuk melihat isi kandungan dalam kertas tersebut.

Beberapa buah gambar rajah dilakarkan di atas kertas itu. Turut disertakan beberapa persamaan Fizik yang pernah dipelajarinya. Lakaran-lakaran itu menggambarkan model yang diperolehinya sebelum ini melalui ilhamnya.

'Segala pernyataan dalam Sains mesti disokong dengan bukti. Bukti mesti datang dalam bentuk eksperimen untuk menguji betul ke tak pernyataan tu.'

'Jika pernyataan tu dalam bentuk yang tak boleh diuji dalam makmal, bagaimana kita ingin membuktikannya?'

Secara tiba-tiba persoalan yang pernah menyinggah di benaknya suatu ketika dahulu kembali bertandang dalam fikirannya. Persoalan dalam bentuk ilham atau ilham dalam bentuk persoalan? Itu dua perkara yang berbeza atau sama?

"Segala pernyataan dalam Sains mesti disokong dengan bukti. Bukti mesti datang dalam bentuk eksperimen. Jika pernyataan tu dalam bentuk yang tak boleh diuji dalam makmal, bagaimana kita ingin membuktikannya?" gumam Ilham mengulang kembali persoalan itu di dalam mindanya.

'Kejap! Pernyataan dalam Sains? Eh?' Ilham menyedari sesuatu. Matanya terbeliak.

"Sesuatu dakwaan di dalam Sains, mestilah disertakan dengan apa agar ia mampu diterima komuniti saintifik, atau diangkat menjadi sebuah teori baru?" Soalan Prof. Zahran tadi kembali terngiang-ngiang dalam mindanya.

Dia seperti pernah membahaskan mengenai persoalan itu, melalui ilham yang menerjah mindanya. Tidak, dia sebenarnya telah lama membahaskan mengenainya, sejak dia kecil lagi. Sejak dia masih belum mengenal huruf lagi. Dia terlalu muda pada waktu itu. Orang pasti tidak percaya sekiranya dia mengajukan soalan itu kepada orang lain.

Oleh sebab itulah, dia agak pendiam semasa kanak-kanak. Jika dia bermulut becok, sudah pasti semua orang akan menjauhinya. Sudah pasti semua orang akan mengatakan dia pelik, janggal dan aneh.

Ilham cuba mengaitkan soalan yang diajukan Prof. Zahran tadi dengan persoalan yang telah lama terkunci di benaknya. Dia cuba mencantumkannya ibarat cebisan teka-teki.

'Sesuatu dakwaan di dalam Sains, mestilah disokong dengan apa? Pernyataan dalam Sains mesti disokong dengan ....'

"Bukti! Bukti dalam bentuk eksperimen!" Ilham terjerit kecil dek terlalu teruja dengan jawapan yang berjaya diperolehinya.

'Tapi ....' Senyuman yang terukir di bibir Ilham sebentar tadi kembali mengendur. 'Macam mana pula dengan yang tak boleh diuji dalam makmal?'

Ilham melihat kembali ke arah kertas tadi yang masih berada dalam tangannya. Wajahnya menjadi muram serta-merta.

'Time dilation, length contraction, space-time continuum, wave-particle duality, Heisenberg Uncertainty Principle, Copenhagen Interpretation, Many-World Interpretation, Supersymmetry Model, Superstring Theory ... macam mana mereka buktikan semua tu? Itu belum cerita lagi tentang kewujudan elementary particles. Itu belum cerita lagi model-model atom tu. Macam mana mereka buktikannya?'

Habis segala teori telah disebutnya. Habis segala model dikeluarkannya. Akan tetapi, dia tetap tidak faham bagaimana teori-teori itu semua diterima komuniti saintifik.

'Kalau aku dapat cari macam mana caranya untuk buktikan model aku ni, mungkin aku boleh usulkannya. Tapi bagaimana ya?'

'Patut ke aku tanya kat orang lain? Tak boleh, tak boleh. Aku tak boleh harapkan orang lain. Aku mesti selesaikan semuanya sendiri. Aku mesti buktikan yang aku boleh melakukan semuanya seorang diri.'

Ego menghambat diri. Ilham tidak mahu bergantung kepada orang lain. Biarlah dia sendiri menyelesaikan kesemuanya. Walaupun ternyata dia sedang dilanda kebuntuan sekarang.

Ilham bingkas bangun lalu berjalan ke arah meja belajarnya. Sebuah buku diambilnya secara rambang. Seperti biasa, buku Introduction to Quantum Mechanics tetap menjadi pilihannya. Dia membuka buku itu secara rambang. Beberapa persamaan menjamu pandangan mata. Percaya atau tidak, inilah yang selalu menjadi tatapannya setiap hari. Formula yang sama. Persamaan yang sama. Ditatap tanpa rasa jemu.

Ilham ketawa sendiri secara tiba-tiba. 'Buku Fizik tapi macam buku Matematik. Penuh dengan simbol Matematik dan equations.'

'Mathematical equations?' Sekali lagi Ilham mula menyedari sesuatu. Matanya dibeliakkan buat entah ke berapa kali pada hari ini.

Dbuk!

Buku yang berada di tangannya terlepas begitu sahaja lalu jatuh ke lantai.

***

"Dari mana datangnya semua teorem Matematik tu? Dicipta atau ditemui? Being invented or being discovered? Hukum Gerakan Newton ditemui Isaac Newton. Mentol pula dicipta Thomas Edison. Nampak perbezaannya?" kata seorang gadis yang sedang duduk seorang diri di sebuah taman mini.


Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.