“ASSALAMUALAIKUM…” Encik Ibrahim yang
mengangkat telefon terus mengucap salam.
“Waalaikumussalam… ayah,” balas Danisha
perlahan.
“Hmm… anak ayah ke? Ingat siapa tadi,”
ujar Encik Ibrahim dengan gembiranya.
“Ayah sihat?” tanya Danisha pula.
“Alhamdulillah… cukup makan dan cukup
rehat. Cuma tak cukup ceria saja,” jawab Encik Ibrahim kemudian terus tertawa.
“Nisha tahu macam mana nak buat ayah
ceria.” Danisha berasa lega apabila ayahnya dalam mood yang baik.
“Kenapa dah lama tak telefon ayah?”
tanya Encik Ibrahim lagi.
“Nisha selalu telefon, tapi umi yang
selalu angkat,” sangkal Danisha pula.
“Ada benda penting ke sampai telefon
ayah pagi-pagi Sabtu begini?”
“Ayah dan umi datanglah rumah anak ni,”
pujuk Danisha pula.
“Nak perkenalkan calon ke?” duga Encik
Ibrahim.
“Lebih kuranglah, tapi lain sikit.”
Sengaja Danisha berkata bergitu.
“Kenapa macam ada benda yang Nisha
sembunyikan dari ayah?”
“Sebenarnya bukan nak rahsiakan daripada
ayah dan umi, benda ni tiba-tiba aje datang menjengah,” beritahunya.
“Nisha nak beritahu apa sebenarnya?”
soal Encik Ibrahim apabila anaknya bagai berteka-teki pula.
“Boleh tak esok ayah dan umi datang ke
Sri Gombak?” suruhnya pula.
“Kenapa pulak sampai suruh ayah datang
ke sana?” soal Encik Ibrahim, sedikit pelik.
“Nak cakap di telefon memang susah
sikit. Ayah datanglah, anak ayah ada masalah besar ni.” Danisha teraga-agak
hendak berterus terang dengan ayahnya.
“Pasal apa ni?” Encik Ibrahim sudah mula
kerisauan.
“Ayah dan umi datang ajelah. Nanti Nisha
akan cerita semuanya dari A sampai Z,” janjinya.
“Okey, hari ini jugak ayah dan umi
datang.” Encik Ibrahim terus memberi persetujuannya.
“Betul ni?” tanya Danisha untuk
kepastian.
“Yalah, takkan ayah main-main pulak?”
“Ayah bawa baju lebih sikit. Kalau boleh
Nisha nak ayah dan umi duduk lama sikit dengan anak ayah ni,” pintanya lagi.
“Macam lain aje bunyinya. Nisha sembunyikan
sesuatu dari ayah ke?” Encik Ibrahim sudah mula tidak sedap hati.
“Ayah datang aje. Nisha janji akan
beritahu semuanya kepada ayah,” janjinya lagi.
“Yalah, sekarang jugak ayah dan ibu
bersiap. Lepas tu terus pergi ke sana.”
“Terima kasih ayah. Tapi ayah jangan
kelam-kabut pulak. Pandu hati-hati ya,” pesannya.
“Insya-ALLAH…”
“Okey ayah, Nisha tunggu kedatangan ayah
dan umi,” ucap Danisha sebelum memutuskan talian.
Seketika dia menarik nafas lega. Apa
yang penting dia sudah berjaya mengajak ayahnya datang ke rumah. Selepas itu
barulah berterus terang dan beritahu hal yang sebenarnya.
“Tadi ibu cakap dengan ayah ibu ke?”
tanya Aishah yang sejak tadi memang duduk di sampingnya sambil menonton
televisyen.
“Ha’ah, ibu cakap dengan atuk. Petang
nanti atuk dengan nenek datang,” beritahu Danisha dengan gembiranya.
“Atuk dengan nenek baik macam ibu ke?”
tanya Aiman pula.
“Atuk dan nenek baik sangat. Abang dan
adik mesti dengar cakap atuk dan nenek tau,” pesannya.
“Sebenarnya ibu pergi kursus berapa
hari?” tanya Aiman.
“3 hari aje. Nanti atuk yang akan hantar
abang ke sekolah. Abang jangan lambat bangun pulak.” Danisha mengingatkan.
“Jadi atuk dan nenek jaga abang dan
adik, ya?” Aishah pula bertanya.
“Hmm… tapi atuk dan nenek tak tau lagi pasal
ibu jaga abang dan adik,” beritahu Danisha.
“Habis tu, macam mana sekarang ni?”
Aiman seperti risau sahaja.
“Ibu tengah fikirlah ni, macam mana nak
beritahu atuk dengan nenek.”
“Nanti abang dan adik nak buat apa?”
tanya Aiman lagi.
“Abang dan adik tak payah buat apa-apa.
Bila atuk dan nenek dah nak sampai, ibu akan beritahu,” jelas Danisha kemudian
berlalu menuju ke bilik tengah. Dia mahu
memastikan bilik itu bersih dan selesa untuk ayah dan uminya.
ENCIK IBRAHIM tiba di Kristal Heights
kira-kira pukul 3.00 petang. Dia dan isterinya memang tidak sabar hendak tahu
apa yang mustahak sangat sampai Danisha menyuruh mereka datang ke rumah.
Sebaik tiba, Danisha menyambut
kedatangan mereka dengan senyuman. Seperti selalu, Danisha menyalam dan memeluk
kedua ayah dan uminya.
“Apa perkara mustahak yang Nisha nak
beritahu ayah?” Belum sempat duduk, Encik Ibrahim telah bertanya.
“Anak umi dah jumpa calon suami ke?”
sampuk uminya pula sambil melemparkan senyuman.
“Bukan pasal tu,” sangkal Danisha
perlahan.
“Habis tu, pasal apa? Bukan main
beria-ia suruh ayah dan umi datang sini.” Encik Ibrahim memang sudah tidak
sabar-sabar.
“Ayah janji tak marahkan anak ayah ni
dulu,” ujar Danisha pula.
“Ni mesti Nisha dah buat salah dengan
ayah,” duga Encik Ibrahim sambil menjegilkan matanya.
“Mana ada Nisha buat salah? Cuma tak
beritahu ayah aje,” balas Danisha sambil menundukkan kepalanya.
“Hmm… apa sebenarnya yang Nisha nak
beritahu?” soal Encik Ibrahim.
“Hari Rabu sampai Jumaat minggu depan,
Nisha ada kursus di Port Dickson. Tapi, petang Selasa dah kena bertolak ke
sana,” beritahunya.
“Ni nak ajak ayah dan umi bercuti dekat
sana ke?” tanya uminya pula.
Danisha menggeleng.
“Habis tu, kenapa suruh bawa baju lebih
pulak?” soal Encik Ibrahim kehairanan.
“Sebenarnya Nisha nak minta tolong ayah
dan umi tengokkan rumah ni dan…” Dia tidak jadi meneruskan kata-katanya.
Encik Ibrahim yang merasakan sesuatu
memandang tepat ke wajah anaknya. “Dan apa?”
“Dan tolong jaga anak-anak sekali,”
terkulat-kulat Danisha memberitahu ayahnya.
“Anak-anak?” soal Encik Ibrahim, pelik.
“Aiman… Aishah,” panggil Danisha,
menyuruh kedua adik beradik itu keluar dari bilik.
Encik Ibrahim dan isterinya saling
berpandangan apabila Aiman dan Aishah sudah berada di hadapan mereka.
“Ayah… ini Aiman dan adik dia, Aishah.
Salam atuk dan nenek,” Danisha memperkenalkan mereka.
Aiman dan Aishah terus menyalam dan
mencium tangan ayah dan umi Danisha. Kemudian duduk di sisi Danisha.
“Ini apa cerita sebenarnya?” tanya Encik
Ibrahim perlahan. Wajah kedua beradik itu ditatap.
“Emak Aiman dan Aishah dah meninggal
dunia, Nisha tolong jaga mereka ni.” Danisha cuba kuatkan dirinya untuk
beritahu perkara sebenar.
“Dah berapa lama Danisha jaga?” tanya
Encik Ibrahim, perlahan sahaja suaranya. Sebaik Danisha beritahu emak bebudak
itu telah tiada, langsung hilang rasa marah di hati.
“Dah masuk 3 bulan,” beritahunya.
“Kenapa tak beritahu ayah awal-awal?”
soal Encik Ibrahim pula.
“Ayah tak marahkan Nisha, kan?” tanya
Nisha sambil pandang wajah ayahnya.
Encik Ibrahim hanya mengeluh kemudian
baru menjawab pertanyaan anaknya. “Nak marah pun, Nisha dah pun buat keputusan
sendiri.”
“Nisha bukan sengaja nak rahsiakan
daripada ayah dan umi. Semua ni berlaku terlalu mendadak,” terang Danisha agar
ayah dan uminya mengerti.
“Tapi kenapa sampai tunggu dah 3 bulan,
baru nak beritahu ayah dan umi?”
“Nisha takut ayah marah dan tak setuju,”
balasnya sambil pegang tangan Aishah.
“Nisha ambil mereka ni ikut prosedur ke
atau main jaga aje?” tanya Encik Ibrahim, inginkan kepastian.
“Tak tahulah nak cakap apa, tapi Nisha
ada mykid Aiman dan Aishah.”
“Nisha kenal ke saudara-mara bebudak ni?”
tanya Encik Ibrahim lagi.
“Nisha tak kenal dan tak ada maklumat
langsung pasal mereka,” terangnya lagi.
“Kalau ada apa-apa, susah jugak nanti,”
ujar Encik Ibrahim kemudian merenung sayu anak-anak itu. Memang dia tak duga
langsung rupanya ini perkara yang ingin anaknya sampaikan.
“Sampai bila Nisha nak jaga bebudak ni?”
tanya uminya pula setelah asyik diam dan mendengar sahaja. Hati tuanya turut
terusik apabila memandang Aiman dan Aishah. Apatah lagi apabila mengetahui
mereka sudah tidak beribu.
“Sampai mereka besarlah.”
“Habis tu macam dengan kehidupan Nisha?
Tak nak berkahwin dan punya keluarga sendiri?” tanya Encik Ibrahim.
“Tak adalah sampai macam tu, mestilah
nak jugak ada keluarga sendiri. Cuma buat masa ni memang tak sesiapa pun yang
nakkan anak ayah ni,” ujar Danisha kemudian tertawa dengan kata-kata sendiri.
“Tak baik cakap macam tu,” tegur uminya
pula.
“Aiman ni dah sekolah ke?” tanya Encik
Ibrahim pula.
“Dah, itu yang nak tolong ayah
hantarkan,” beritahu Danisha.
“Dia sekolah dekat mana?”
“Nisha hantar Aiman belajar di sekolah
tahfiz dekat Taman Gombak Permai. Tak jauh pun dari sini. Dia masuk pukul 7.30
pagi dan belajar sampai pukul 5.00 petang.”
“Lamanya waktu dia belajar?” Terkejut
Encik Ibrahim mendengarnya.
“Aiman belajar mengaji sampai tengah
hari. Selepas makan dan tidur, petangnya sambung belajar mata pelajaran lain
macam dekat sekolah biasa,” terang Danisha.
“Atuk…” Tiba-tiba Aiman bersuara.
“Ya, sayang…” sahut Encik Ibrahim.
“Ibu kata kalau atuk datang sini, mesti
solat dekat surau. Boleh tak abang ikut?” tanya Aiman sambil merenung wajah
Encik Ibrahim.
“Boleh sangat. Mari sini duduk dengan
atuk,” panggil Encik Ibrahim dengan gembiranya.
Aiman segera duduk bersama dengan atuk
barunya.
“Kalau abang nak atuk ajar mengaji pun
boleh,” beritahu Encik Ibrahim.
Riang sekali hati Aiman apabila mendengarnya
Danisa yang melihatnya berasa lega
sangat. Dia tidak perlu risau meninggalkan Aiman dan Aishah dibawah jagaan ayah
dan uminya.