Home Novel Cinta Mas Kahwinku RM22.50
Bab 27

DANISHA menanti kedatangan Sofi dengan harapan menggunung. Dia sudah tidak sanggup menahan rindu yang tidak tertanggung. Berada di rumah buat dia terkenangkan memori bersama Aiman dan Aishah.

Di pejabat, dia memang tidak dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjanya. Akhirnya, dia terpaksa juga mengambil cuti. Buat apa dia datang ke pejabat, andai hanya melangut di tempatnya.

Begitupun, dia tidak boleh terlalu kerap mengambil cuti. Sekarang ini dia bekerja dengan orang, bukan bekerja sendiri. Andai dia kerap mengambil cuti dan prestasi kerja menurun, dia juga yang kena tanggung risikonya.

Memang dia boleh mencari kerja di tempat lain, namun pasti sahaja tidak sama.Nanti dia juga yang terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana baru. Itu pun, belum tentu tempat baru itu kena dengan jiwanya.

“Macam mana?” tanya Danisha sebaik Sofi muncul di muka pintu apartmennya.

“Aku dah berjumpa dengan peguam tu. Lelaki tu pun ada sama,” beritahu Sofi sambil menanggalkan kasutnya.

Dia terpaksa juga pergi ke pejabat peguam itu demi sahabat yang seorang ini. Tidak diturutkan, merana pulak si Danisha ini. Dia pun tidak tahan apabila Danisha asyik merayu-rayu kepadanya.

“Lelaki tu cakap apa?” Tidak sabar-sabar pula Danisha hendak tahu.

“Kut ya pun, bagilah aku duduk dulu. Buatkan air untuk hilangkan dahaga aku ni,” tegur Sofi yang sedikit rimas dengan Danisha yang asyik bertanya. Kalah orang yang mati laki!

“Maaflah tapi air untuk kau, aku memang dah siap-siap buat.” Danisha termalu sendiri. Kemudian segera menghidangkan air minuman kepada Sofi.

Sofi hanya tersenyum melihat gelagat sahabatnya yang seorang ini. Gaya penampilan dan tindakan selalunya brutal. Begitupun, apabila bab-bab begini, mengalahkan kucing hilang anak. Mengiau-ngiau, tidak henti-henti!

“Apa ceritanya?” Danisha bertanya setelah memberi ruang untuk Sofi berehat dan menghirup air oren yang telah dia sediakan.

“Kalau kau nak bersama dengan budak-budak tu, boleh aje diuruskan,” beritahu Sofi dengan gaya selambanya. Bagaikan masalah Danisha dapat diselesaikan dengan begitu mudah sahaja.

“Betul ke apa yang kau cakap tu?” Wajah Danisha sudah berubah ceria.

“Ya, tapi ada syaratnya.”

“Apa pun syaratnya, aku setuju aje.” Pantas sahaja Danisha memberi persetujuan.

“Kau ni… aku tak sebut lagi apa syaratnya, kau main setuju pulak,” marah Sofi. ‘Memang Danisha ini sudah terdesak sungguh!’ desisnya.

“Apa syaratnya?” Danisha pantas bertanya. Dia memang duduk dekat-dekat dengan Sofi.

“Kahwin dengan ayah budak-budak tu,” terang Sofi, kemudian ketawa di hujung kata-katanya.

“Itu kerja gila namanya! Kenal pun tak, alih-alih ajak berkahwin?Tak naklah aku kalau macam tu.” Terus merudum harapan Danisha.

“Tadi bukan main nak setuju aje,” tempelak Sofi sambil menggeleng. Kadang-kadang dia pun tidak faham dengan sahabatnya yang seorang ini.

“Yalah, takkan sampai kena ikut syarat mengarut tu?” tingkahnya.

“Kau nak ke tidak?” soal Sofi pula.

“Payahlah kalau kena berkahwin pulak,” keluh Danisha. Muka yang tadinya ceria semacam, kini memang telah mencuka pula.

“Hmm... yang bagusnya, tawaran lelaki tu tiada tarikh luput!” tambah Sofi lagi.

“Syarat yang mengarut, memanglah tak ada tarikh luput. Saja nak kenakan akulah tu.” Danisha sudah mengeluh panjang.

“Dia bukan nak kenakan kau. Itu aje caranya supaya kau dan dia sama-sama boleh menjaga budak-budak tu. Tak adalah yang bising dan menyibuk,” terang Sofi.

“Alah, mesti ada cara lain.”

“Itu anak dia dan dah jadi tanggungjawab dia untuk jaga budak-budak tu. Dulu, dia dah kehilangan mereka. Apabila dah berjumpa, mestilah dia tak nak berpisah lagi.” Sofi cuba membuat Danisha faham situasi lelaki itu.

“Amboi, hendak pulak lelaki tu bercerita dengan kau.” Danisha berasa pelik pula mendengarnya.

“Dah aku bertanya, mestilah dia bercerita. Lupa pulak aku, dia kirim salam dengan kau. Dia pun nak ucap banyak-banyak terima kasih sebab jaga anak dia selama ini.”

“Terima kasih aje ke? Yang aku berhabis jaga anak dia, tak nak hulur pulak,” balasnya geram.

“Tahi hidung masin betullah kau ni. Kata ikhlas jaga budak-budak tu, sekarang ungkit-ungkit pulak.” Naik pening Sofi dengan sahabatnya ini.

“Paling-paling pun, bagilah aku jaga budak-budak tu setiap hujung minggu atau semasa cuti sekolah ke.” Danisha meluahkan keinginannya. Dapat berjumpa pada hujung minggu pun sudah cukup baginya.

“Aku ada cakap, tapi dia tak setuju. Kau tu duduk sorang-sorang, bahaya katanya. Lagipun dia risaukan keselamatan anak-anaknya.”

“Sekarang baru lelaki tu nak risau?” tanya Danisha dengan perasaan bengang.

“Suka hati kaulah nak cakap apa pun. Tapi kan, aku rasa kau patut pertimbangkan tawaran lelaki tu,” cadang Sofi dengan senyuman meniti di bibirnya.

“Pertimbangkan? Baik tak payah kalau begitu gayanya,” balas Danisha.

Hening seketika antara mereka. Sofi sambung menghirup air orennya. Tekak dia haus kembali apabila asyik bercakap tanpa henti.

Danisha pula melemparkan pandangan ke banjaran Titiwangsa. Mujur semua banglo dan rumah semi D yang dibina di Vila Kristal Heights hanya tiga tingkat. Dapatlah dia menikmati pemandangan hijau melalui balkoni apartmennya. Andai apartmen juga yang tersergam di situ, memang tiada apa yang indah dipandang.

“Aku sebenarnya bukan mahu mengada-adakan cerita, tapi ayah budak-budak tu memang handsomegila…” beritahu Sofi. Dia memang ingin melihat reaksi Danisha yang telah bermuram durja.

Handsome, tapi gila buat apa?” Danisha berasa geram pula dengan telatah Sofi. Dalam keadaan dia tertekan begini, lagi mahu mengusiknya.

“Kau sendiri jugak yang cakap, wajah dan senyuman Aiman cukup manis. Kalau anak dia dah buat kau tertawan, ayahnya pasti buat kau tertambat!” gurau Sofi lagi. Namun, tidak dinafikan lelaki itu memang kategori sedap mata memandang.

“Buat apa muka lawa, kalau sebelum ini tak ambil berat pasal anak sendiri?” bidas Danisha pula.

“Mana tau, dulu bini dia yang bawa lari anak-anak dia? Kan aku dah cakap yang dia terpisah dengan anak-anak dia,” balas Sofi pula.

“Entah-entah, kau yang reka cerita nak sedapkan hati aku,” ujar Danisha pula.

“Kau terima ajelah tawaran ayah budak-budak tu.Lagipun, kau kan nak bersama mereka?” cadang Sofi. Melihat keadaan sahabatnya itu, dia tahu Danisha terlalu rindukan Aiman dan Aishah.

“Ini soal hati dan perasaan. Berkahwin nanti, aku kena taat dan sayang suami aku. Perasaan itu kena ada sebelum berkahwin lagi. Kalau tak, terseksa jiwa dan raga aku. Tambah parah kalau aku sayang pada yang lain,” luah Danisha.

“Kejap, kau sayang pada orang lain? Siapa?” Pantas Sofi bertanya. Dia memang pantang kalau terdengar Danisha sukakan sesorang. Mesti dia mahu tahu juga.

“Aku cakap aje. Mana ada aku sayangkan sesiapa.” Segera Danisha menafikan.

“Kau jangan nak berahsia dengan aku pulak,” ujar Sofi yang sudah mula mengesyaki sesuatu.

“Mana ada?” nafinya.

“Baik kau cakap cepat. Siapa orangnya? Pak naga ke?” Sofi cuba serkap jarang.

“Tak adanya aku nak suka kat dia.” Cepat sahaja Danisha menafikan.

“Sudahnya dia jugak yang kau suka.Kalau Iman dan Rani tahu, mahu dia orang gelakkan kau!” Sofi sudah tertawa.

“Eh! Masa bila pulak aku kata sukakan pak naga tu? Kau jangan nak memandai pulak.” Danisha sudah gelabah.

“Hmm… mulut memang boleh menafikan, tapi aku dapat rasakan yang kau memang suka dekat pak naga tu,” balas Sofi kemudian sambung ketawa.

Dia bukan budak kecil yang tidak tahu apa-apa. Wajah Danisha memang tidak bereaksi seiring dengan apa yang dia ucap. Nampak sangat dia cuba berselindung.

“Kau ni pandai aje,” sangkal Danisha lagi.

“Aku kenal kau bukan baru Nisha. Sejak zaman kolej lagi.Apa rahsia kau yang aku tak tahu?”

Danisha senyap lagi. Memang Sofi tahu banyak perkara pasal dirinya. Pada Sofilah tempat dia berkongsi cerita dan masalah selain umi dan ayahnya. Begitupun, pasti sahaja ada yang disembunyikan dan dirahsiakan.

Andai sahabatnya itu pandai meneka apa dalam hatinya, memang hebat sungguhlah si Sofi ini. Tapi, rasanya dia memang tidak tahu rahsia hati yang tidak pernah diluahkan kepada sesiapa pun.

“Termenung pulak dia. Apa keputusan kau?” tanya Sofi sambil menepuk bahu Danisha.

“Kau ingat, pasal nikah kahwin ni boleh jawab sekarang jugak ke?” marahnya.

“Tapi jangan fikir lama-lama pulak walaupun tak ada tarikh luput. Dibuatnya ayah budak-budak tu jatuh cinta dengan gadis lain, melepas pulak kau. Tak pun terpaksa jadi isteri kedua pulak.”

“Kau ni… sengaja nak buat aku tension!”Danisha sudah berasa tidak senang. Sofi bagai sengaja mendesaknya agar segera membuat keputusan.

“Benda ni sebenarnya mudah aje.Kalau kau kahwin, selesai masalah. Yang nak fikir pasal hati dan perasaan tu buat apa? Cuba tengok orang dulu-dulu, elok aje walaupun tak pernah bercinta sebelum berkahwin.”

“Kau cakap senanglah, sebab kau tu dah berkahwin,” balas Danisha pula.

“Susah-susah, kau suruh aje ayah kau cari calon. Lepas tu proses anak sendiri, lagi puas hati. Tak ada sesiapa nak berebut anak selepas ini,” ujar Sofi.

“Kau ni… ke situ pulak?”

“Dah budak-budak tu memang bukan anak kau, buat apa kau nak susah-susah fikir?Lama-lama nanti, budak-budak tu pun dah tak ingatkan kau lagi.”

“Budak-budak tu lain, tau tak? Aku tak pernah sayang orang lain macam aku sayang dia orang.” Danisha meluahkan apa yang dirasa kepada Sofi.

“Berapa kali aku nak cakap? Kau sayang macam mana pun, tetap anak orang. Kau upahlah peguam paling hebat sekalipun, kau takkan berjaya rebut daripada lelaki tu.”

“Aku bukan nak berebut dengan ayah dia.Aku cuma nak tolong jaga.”

“Jadi, apa keputusan kau sebenarnya?”Bingung Sofi kalau begini gaya Danisha.

“Tengoklah macam mana,” ujar Danisha sambil mengeluh berat.

Hati dan perasaan bukan boleh dipaksa. Andai berkahwin tanpa apa-apa rasa di hati, apalah maknanya? Danisha berbicara sendiri.

“Cinta dan kasih itu, boleh dipupuk. Andai sudah berkahwin dan ada yang jadi pengikat hubungan, aku rasa tiada masalah.” Sofi memberi pendapat peribadinya setelah mereka berdua menyepi seketika.

Danisha cuba merenung kata-kata sahabatnya itu. Memang ada benarnya, tetapi dia tidak sanggup mempejudikan nasibnya dengan berkahwin dengan orang yang tidak dikenali.

“Dahlah Nisha! Daripada aku melayan kau, baik aku balik. Anak-anak aku pun dah menunggu di rumah tu.” Akhirnya Sofi bangun setelah menghabiskan air minumannya.

“Habis tu macam mana sekarang ni?” tanya Danisha lagi.

“Lagi nak tanya? Cepat-cepat kahwin dan proses anak sendiri!” usik Sofi lagi.

Danisha segera menutup pintu sebaik Sofi keluar dari apartmennya. Geram sungguh dia dengan telatah Sofi.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.