Home Novel Cinta Mas Kahwinku RM22.50
Bab 18

‘KENAPA ada duit lagi?’ Danisha semakin pelik. Memang dia tidak jangka akan ada duit dimasukkan lagi dalam akaunnya. Tidak mungkin orang itu tersilap buat kali kedua. Kali pertama bolehlah diandaikan tersilap. Apakah tujuan orang itu?

‘Adakah ayah bebudak itu yang beri? Tapi, bagaimana dia boleh tahu nombor akaun aku? Aku tak kenal langsung siapa keluarga Aiman dan Aishah. Malah, mak cik yang menyerahkan mereka juga tidak meminta apa-apa maklumat pasal diri aku,’ detiknya.

Berbagai persoalan bermain di minda Danisha. Mood untuk bekerja juga sudah terencat. Dia memang perlukan duit untuk belanja hari-hari, tetapi duit gajinya masih cukup. Walaupun terpaksa ketepikan kehendak hati, demi anak-anak itu dia tidak kisah. Tidak membeli apa-apa untuk diri sendiri pun tidak mengapa.

Walaupun ada ketikanya terdetik juga hendak menggunakan duit itu, tetapi segera dilupakan. Dibuatnya pemilik sebenar menuntutnya, di mana dia hendak gagau untuk menggantikannya?

“Ada orang bank in duit lagi ke?” Rani yang perasan Danisha sedang memegang penyata ringkas terus bertanya. Seperti biasa dia suka ambil tahu, apatah lagi Danisha memang pernah bercerita kepadanya.

“Tulah… Takkan tersalah bank in lagi, kan?” balasnya sambil memandang Rani.

“Kau dah tanya pihak bank ke?” tanya Rani sambil mencapai penyata yang Danisha pegang.

“Aku dah tanya dan minta dia orang check. Duit yang dimasukkan guna borang biasa, bukan melalui pindahan ataupun cek. Itu yang susah pihak bank nak kesan,” terang Danisha.

“Kalau akulah, aku ambil aje. Dah orang nak beri, guna ajelah. Kurang sikit bebanan kau,” ujar Rani tanpa berfikir panjang.

“Ia tetap bukan duit aku. Aku tak nak belanja duit yang bukan milik aku untuk budak-budak tu. Biarlah walau terpaksa berjimat,” ujar Danisha menyatakan pendiriannya. Susah macam mana sekalipun, tidak sesekali dia guna duit yang bukan haknya.

“Hmm… peliknya macam mana dia boleh tahu nombor akaun kau?”

“Itu lagi satu hal. Siapalah yang baik hati tu, kan? Makin aku fikir, makin serabut otak aku.” Danisha sudah menongkat dagu di mejanya.

Memang dia jenuh juga memerah otak. Yang tahu nombor akaun dia hanya pekerja bahagian akaun syarikat ini. Sofi sudah mengesahkan tiada bonus. Maklumat peribadi memang sulit dan rahsia. Siapa lagi yang tahu melainkan bosnya. Tapi, takkan Datuk Khalil pula yang bank in duit? Apa pulak motif dia?

“Aku rasa orang tu ada rancang sesuatulah, Nisha.” Rani menyatakan apa yang terlintas di fikirannya. Tidak mungkin senang-senang sahaja orang hendak beri duit tanpa tujuan tertentu.

“Aku pun rasa macam tu. Sebab itu aku tak guna duit itu,” beritahunya.

“Kau kena berhati-hati. Manalah tahu, ini taktik terbaru hendak perangkap orang,” ujar Rani seperti memikirkan sesuatu pula.

“Tiba-tiba aku rasa takut pulak. Kau janganlah cakap yang bukan-bukan. Dahlah aku sorang-sorang jaga bebudak tu.” Kini Danisha juga turut risau.

“Kau okey lagi sebab apartmen kau berpagar dan ada pengawal keselamatan,” tutur Rani. Dia pula hanya tinggal di rumah teres biasa. Lebih terdedah kepada bahaya berbanding dengan apartmen Danisha.

“Tapi kalau ada yang nak buat jahat, macam-macam cara dia boleh buat,” balas Danisha pula.

“Kau pagi-pagi hantar Aiman ke sekolah, harus berjaga-jaga sekarang ni. Kalau ke mana-mana ada kereta yang ikut kereta kau, terus pergi ke tempat yang selamat. Nampak aje balai polis, terus ke sana,” nasihat Rani.

“Sekarang ni apa taktik terbaru orang jahat, ya?” tanya Danisha ingin tahu.

Semenjak menjadi ibu ekspres, macam-macam informasi dia tidak tahu. Surat khabar dia tidak baca, berita pula kadang-kadang sahaja dia ikuti. Sepanjang hari dia memang sibuk dari pagi sampai ke malam.

“Aku ada jugak dengar, kalau ada yang tiba-tiba bagi kad bisnes, jangan terus ambil.”

“Kenapa?” soal Danisha sedikit pelik.

“Dengarnya kad itu sudah disapu dengan sejenis dadah yang berbahaya.”

“Dadah? Lepas tu, apa terjadi kalau kita ambil jugak?” tanya Danisha ingin tahu.

“Dia orang ni sebenarnya berniat jahat hendak merompak atau merogol mangsa,” terang Rani.

“Tak faham aku dengan cerita kau ni. Cuba cerita bagi jelas sikit,” pintanya.

“Apabila dah masuk kereta, mangsa akan sesak nafas kesan dari terhidu dadah yang dicalit pada kad tu.”

“Lepas tu?”

“Apabila mangsa terpaksa memberhentikan kereta, mereka ini akan datang kononnya hendak menolong. Waktu inilah orang jahat tu nak merompak, merogol, curi kereta dan macam-macam lagilah,” jelas Rani panjang lebar.

“Takutnya… Tapi betul ke cerita kau ni?” tanya Danisha untuk kepastian.

“Nak sahkan betul-betul, kena tanya polislah. Tapi, tak salah kalau kita berhati-hati. Kalau nak beri kad bisnes mesti ketika berjumpa di pejabat. Takkan main beri saja dekat orang di tepi jalan, betul tak? Dekat sinilah kita kena berfikir secara logik.”

“Betul jugak cakap kau. Orang tak buat bisnes di tempat letak kereta atau pun di tepi jalan.” Danisha sudah nampak apa yang Rani maksudkan.

“Sebab itu kena beringat selalu. Malang memang tidak berbau. Sesiapa sahaja boleh jadi mangsa penjahat ni.” Rani mengingatkan lagi.

“Terima kasihlah kerana beri aku maklumat tu. Selama ini aku tak pernah terfikir pun. Lagipun kebanyakan orang yang aku jumpa baik-baik belaka.”

“Memang ramai orang yang baik, tapi kena berhati-hati jugak. Mana nak tau, baik ada makna?”

“Betul cakap kau,” akuinya.

“Okeylah, aku ada mesyuarat sekejap lagi,” ujar Rani dan terus meninggalkan Danisha sendirian.

Danisha sambung termenung. Cerita Rani memang menyedarkan dirinya yang selama ini leka. Air sungai yang tenang, jangan disangka tiada buaya. Mereka yang jahat ini boleh sahaja muncul tanpa mengira waktu. Mulai sekarang, dia memang kena berhati-hati.


“IBU… ibu,” panggil Aiman berkali-kali.

“Ada apa, abang?” tanya Danisha yang terus tersedar apabila Aiman memanggilnya.

“Badan abang panas, abang rasa macam demam,” beritahu Aiman.

“Apa? Abang demam?” soal Danisha balik. Dia bingkas bangun dan terus memasang lampu. Kemudian segera mendapatkan Aiman.

“Ya ALLAH… abang, kenapa tak beritahu ibu awal-awal?” tanya Danisha apabila mendapati badan Aiman sememangnya panas. Dia segera menuju ke dapur untuk mengambil besen kecil. Setelah mengisinya dengan air, dia kembali ke bilik.

Kemudian dia mengambil dua tuala kecil lalu mencelupnya ke dalam besen. Setelah memerahnya, satu dia terus letak di dahi Aiman. Yang lagi satu dia gunakan untuk menggelap badan Aiman pula agar panas badannya cepat berkurang.

“Ibu… abang tak tahan. Kaki abang gatal,” adu Aiman sambil menggaru kakinya kemudian lengannya pula.

“Abang janganlah garu, nanti tempat lain pun akan rasa gatal,” tegur Danisha.

“Tapi abang rasa gatal sangat,” keluh Aiman dan tetap menggaru kakinya walau Danisha melarangnya.

Danisha berasa kasihan sangat melihat Aiman yang sudah merengek. Tiba-tiba dia menyedari ada bengkak-bengkak di kaki Aiman.

“Abang, kenapa kaki abang naik bengkak-bengkak?” tanya Danisha. Dia bertambah risau apabila bahagian pergelangan tangan turut ada.

“Ibu… abang nak pergi klinik. Abang dah tak tahan.” Aiman sudah mula menangis.

“Tunggulah hari siang, baru kita pergi klinik,” pujuk Danisha. 

Kini dia juga sudah tidak keruan. Panas badan Aiman masih tidak juga berkurang meskipun dia kerap menggelap badannya.

“Tak boleh ke kita pergi sekarang?” pinta Aiman dengan sayunya.

“Macam mana nak pergi? Adik tidur, lagipun sekarang ni pukul 3.00 pagi.”

“Ibu… abang betul-betul tak tahan.” Aiman masih merengek.

“Abang, jom pergi bilik air. Ibu nak mandikan abang sebab badan abang masih panas jugak,” ajak Danisha.

“Tapi kaki dan tangan abang rasa sejuk,” beritahu Aiman pula.

Danisha sudah serba tidak kena. Baru perasan kaki Aiman memang sejuk. Dia memang berasa pelik sungguh. Aiman ini demam atau ada penyakit lain?

Seketika dia memandang Aiman yang masih menangis, kemudian Aishah yang masih lena pula. Dalam keadaan begini, kepada siapa hendak meminta pertolongan? Kalau dia hendak membawa Aiman ke klinik, siapa yang nak tolong tengokkan Aishah?

Danisha sudah buntu. Andai hendak membawa Aishah sekali, dia memang tidak larat hendak mendukungnya. Mahu meminta pertolongan Sofi, tidak wajar pula mengejutkannya pagi-pagi begini. Dia juga ada anak kecil, malah sekarang ini suaminya bekerja di luar daerah.

Danisha memang sudah tidak sanggup melihat Aiman dalam keadaan kesakitan. Sudahnya dia tawakal sahaja. Dia segera mencapai telefon bimbitnya. Dia terpaksa juga meminta bantuan, biarlah andai kena marah sekalipun. Mujur juga dia menyimpan nombornya.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.