Home Novel Cinta Mas Kahwinku RM22.50
Bab 3

HUJUNG minggu begini, Danisha hanya berehat di rumah sahaja.  Tidak ada keinginan untuk berjalan-jalan mahu pun pergi membeli-belah. Panggung wayang pun sudah lama dia tidak jejak.

Sedang dia asyik menonton televisyen, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi minta diangkat. Di skrin tertera nama sahabatnya, Nina. “Assalamualaikum…” ucapnya sambil bangun menuju ke balkoni.

“Helo Nisha, kau boleh tolong aku tak?” Terus sahaja Nina bertanya. Dia merupakan sahabat Danisha sejak belajar di kolej lagi. Walaupun jarang bertemu, mereka selalu juga saling bertanya khabar dan bercerita.

“Hmm… Tolong apa?” tanya Danisha perlahan. Dia amat berharap janganlah si Nina ini hendak pinjam duit tengah-tengah bulan begini.

“Kau tahu kan, aku pernah cakap nak ambil anak angkat?” Nina cuba mengingatkannya.

“Tahu, tapi kenapa kau tanya?”

“Sebenarnya aku dah janji dengan mak cik tu nak ambil hari ni,” beritahu Nina.

“Okey… Kau nak aku temankan ke?”

“Taklah,” jawab Nina sepatah.

“Habis tu?” Danisha sudah mengerut kening. Kawan yang seorang ni selalu sahaja ada masalah. 

“Aku tak jadi nak ambil budak tu. Tiba-tiba suami aku tak bagi pulak,” terang Nina dengan nada kecewa.

“La… Habis tu apa masalahnya?”

“Aku nak minta tolong kau pergi ke rumah mak cik tu,” suruh Nina.

“Buat apa?” Pantas sahaja Danisha bertanya.

“Aku sebenarnya nak kau beritahu dia, yang aku tak jadi ambil budak tu.” Terkulat-kulat Nina menyatakan permintaannya.

“Tak naklah aku!” Cepat sahaja Danisha menolak.

“Kau tolonglah aku…” Bersungguh Nina merayu kepada sahabatnya.

“Kau telefon ajelah kalau dah macam tu,” Danisha memberi cadangannya.

“Aku tak sampai hati nak beritahu mak cik tu,” balas Nina pula.

“Habis tu, aku sampai hatilah?” Tiba-tiba Danisha rasa geram pula dengan si Nina ini.

“Kau kan brutal sikit, mesti kau tak rasa apa-apa,” pujuk Nina dan mengharapkan Danisha akan setuju.

“Brutal-brutal aku, aku pun ada hati dan perasaan jugak!” tingkah Danisha, geram. Sekeras-keras hatinya, ada juga lembutnya. Walaupun kadang kala dia bercakap ikut sedap mulut, namun tidak bermakna dia mudah berbicara apabila tiba bab begini.

“Tolonglah… Nisha, hanya kau saja harapan aku,” rayu Nina lagi.

“Kau ni kan, asyik nak susahkan aku saja,” sungutnya.

“Kali ini aje. Tolonglah…”

“Yalah, yalah!” Sudahnya Danisha setuju juga.

“Terima kasih banyak-banyak. Nanti sepupu aku, si Azida akan temankan kau. Dia tahu rumah mak cik tu,” ucap Nina dengan perasaan lega.

“Pukul berapa dia nak ambil aku?” Terpaksa jugalah Danisha bertanya.

“Lagi setengah jam dia datang ambil kau,” beritahu Nina. Tiba-tiba suaranya berubah ceria dalam sekelip mata.

“Kalau macam tu, aku tunggu dia dekat pondok pengawal sajalah.”

“Terima kasih sekali lagi Nisha,” ucap Nina.

“Hmm…” balas Danisha. Tanpa membuang masa dia terus bersiap. Dia pun kena cepat juga kerana terpaksa menapak untuk pergi ke pondok pengawal apartmen yang dia duduki.


TIDAK lama menunggu di pondok pengawal, sepupu Nina tiba sebagaimana yang dijanjikan. Danisha melangkah longlai menuju ke keretanya.

“Apa jugalah kakak sepupu awak tu?” tanya Danisha sebaik masuk ke dalam kereta.

“Nak cakap pun buat sakit hati saja,” jawab Azida tetapi tetap melemparkan senyuman kepada Danisha. Dia juga sudah jadi kawan Danisha walaupun tidaklah serapat Nina.

“Rumah mak cik tu dekat mana? tanya Danisha walau sebenarnya bukanlah dia hendak tahu sangat.

“Dekat Olak Lempit,” jawab Azida.

“Olak Lempit? Dekat ceruk mana tu?” tanyanya sedikit pelik.

“Akak tak pernah dengar ke? Atas sikit daripada Dengkil,” beritahu Azida. Terasa lucu pula ketika Danisha menyebut nama tempat itu.

“Akak nama saja dah bertahun duduk sini, tapi asyik terperuk di rumah saja.”

“Hmm... sempat jugalah sejam lebih buat tahi mata kalau akak nak tidur,” tutur Azida sambil tersenyum.

“Akak memang mudah terlena kalau jadi penumpang ni. Nasiblah kalau akak tertidur dan kau tak ada teman berbual,” beritahu Danisha jujur.

“Saya tak kisah, lagipun saya dah biasa memandu tanpa berteman,” balas Azida pula.

Dalam perjalanan, tiada banyak perkara yang dibualkan antara mereka. Begitu pun kepala Danisha ligat berfikir bagaimana hendak menghadapi mak cik itu. Dalam dia memikirkan ayat yang paling sesuai untuk disampaikan, tak sangka tidak berapa lama kemudian dia terus terlelap.


“KAK, tak lama lagi dah nak sampai,” Azida mengejutkan Danisha apabila telah memasuki kawasan kampung.

“Hmm…” Perlahan-lahan Danisha menggosok matanya kemudian memandang sekeliling.

“Sekarang ni kita dah nak dekat dengan rumah mak cik tu. Akak dah sedia nak jumpa dia ke?” tanya Azida, sedikit ragu-ragu.

“Sebelum sampai ke rumah mak cik tu, kita berhenti dekat mana-mana,” suruh Danisha.

“Kenapa kak?” tanya Azida dan terus memberhentikan kereta di bahu jalan.

“Entahlah, akak rasa lainlah. Takut pun ada jugak,” beritahunya.

“Tulah, saya pun sama,” balas Azida.

“Macam mana kalau mak cik tu marah bila dapat tahu Nina tak jadi ambil budak tu?” tanya Danisha. Dia betul-betul rasa tak sedap hati.

“Tawakal sajalah, kak. Kita bukan boleh buat apa pun kalau dia marah.”

“Azida pernah berjumpa ke dengan mak cik tu?” tanya Danisha ingin tahu.

“Tak, tapi dua minggu lepas memang ada datang sini dengan Kak Nina. Saja cari alamat rumah mak cik tu, tapi tak singgahlah,” terang Azida. Kini dia memerhati rumah mak cik itu yang tidak berapa jauh dari tempat mereka berhenti.

“Kita nak cakap apa nanti, ya? Takkan nak terus cakap Nina tak jadi ambil budak tu?” tanya Danisha pula.

“Saya serahkan kepada akak, saya memang temankan akak aje.” Azida memang angkat tangan kalau bab-bab begini.

“Jomlah kita pergi sekarang. Lambat nanti, lewat pulak kita balik,” cadang Danisha. Mahu tidak mahu dia kena juga berhadapan dengan mak cik itu.

Sampai di hadapan rumah bercat kuning, Azida memberhentikan keretanya. Dengan perasaan yang berdebar-debar, mereka berdua menyusun langkah.

“Assalamualaikum…” Danisha memberi salam.

Dua tiga kali juga dia memberi salam, barulah pintu dibuka.

“Waalaikumussalam,” jawab tuan rumah kemudian membuka pintu.

Danisha dan Azida segera bersalaman dengan mak cik itu. Pada pandangan mata Danisha, mak cik itu nampak serius sahaja air mukanya.

“Ya, ada apa?” tanya mak cik yang agak berumur juga.

“Kami datang pasal nak ambil angkat tu…” Danisha memulakan bicara.

“Ha, tunggu sekejap,” potong mak cik itu dan terus berlalu tanpa mempelawa mereka masuk ke dalam rumah.

Danisha dan Azida terpaksa menunggu di luar rumah. Dalam kepala dia masih berkira-kira bagaimana hendak menyusun ayat.

“Awak ke yang nak ambil anak tu? Nah, ni budaknya,” ujar mak cik itu dan terus serahkan budak perempuan berusia dalam lingkungan 3 tahun lebih ke tangan Danisha.

Danisha terpempan seketika. Ayat yang sudah disusun untuk dituturkan sudah hilang. Melihat wajah comel budak itu buat dia terkedu.

Mata budak perempuan itu tidak berkelip-kelip memandang Danisha. Tiba-tiba sahaja dia tidak sampai hati hendak memberitahu perkara sebenar kepada mak cik itu. Apatah lagi budak itu memandangnya dengan satu pandangan yang sukar untuk dimengertikan. Seperti dia berkata, tolong bawa saya dari sini. Walau sebenarnya tiada sepatah kata yang keluar dari mulutnya!

Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kehadiran seorang budak lelaki pula.

“Jangan ambil adik saya, jangan ambil…” rayunya sambil menangis teresak-esak.

Danisha dan Azida saling berpandangan. Masing-masing masih tidak mampu hendak bersuara dengan situasi yang dialami.

“Eh, kau ni dah kenapa pulak?” tanya mak cik itu kepada si kecil.

“Acik, saya nak ikut, saya nak ikut,” jerit budak lelaki itu sambil tarik baju Danisha.

‘Ah sudah!’ Danisha sudah serba salah. Dia datang untuk beritahu yang Nina tidak jadi ambil budak itu. ‘Mampus aku kalau macam ni,’ desisnya.

“Susah-susah awak ambil sekalilah si abang ni,” ujar mak cik itu pula.

Danisha sudah tidak terkata. Melihat wajah kedua-duanya memang mengundang rasa kasihan. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa tersentuh sangat melihat kedua beradik ini.

Mak cik tadi sudah masuk semula ke dalam rumah. Tidak berapa lama kemudian dia keluar.

“Nah! Ambil mykid bebudak ni. Dalam beg ni ada baju bebudak tu. Apa yang tak ada, pandailah awak beli nanti.”

Azida sudah pening. Dia berasa pelik apabila Danisha menerima sahaja pemberian mak cik itu. Apa sudah jadi? Dia hendak menegur Danisha tetapi tidak tercakap.

“Selepas ni jangan cari mak cik lagi. Acik tolong serahkan budak ni aje. Apa-apa hal, pandailah kamu uruskan sendiri,” pesan mak cik itu dan terus menutup pintu. Tidak sempat Danisha hendak berkata apa-apa.

“Akak, apa cerita ni?” Terus sahaja Azida bertanya.

“Entahlah! Akak pun tengah blur ni,” beritahu Danisha. Dia pun tidak tahu bagaimana dia boleh diam saja dan tak bercakap apa-apa langsung.

“Habis tu, nak buat apa sekarang ni? Siapa yang nak jaga bebudak ni?” soal Azida lagi.

“Nak buat macam mana lagi? Terpaksalah akak jaga,” jawabnya sambil merenung wajah bebudak itu.

“Biar betul kak?” Azida bagai tidak percaya.

“Entahlah, tiba-tiba rasa kasihan pulak. Jomlah kita cepat balik. Nanti akak fikir macam mana,” ujarnya sambil memegang tangan si abang dan si adik.

Mahu tidak mahu, Azida terpaksa membawa beg yang diberikan menuju ke kereta.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.