MATA Danisha tidak lepas dari terus memerhati Aiman
dan Aishah. Mereka berdua begitu gembira dapat bermain di gelongsor. Kedua beradik itu memang jarang
dapat bermain bersama rakan yang lain. Danisha memang tiada masa hendak
membawa mereka ke taman permainan.
Ketika ini, Danisha tidak pasti apakah dia mampu
meneruskan hidup ini tanpa mereka di sisi. Sedih di hatinya memang tidak
terkira, tetapi terpaksa disembunyikan.
Lebih kurang lima
bulan dia membesarkan mereka, selama itu juga dia merasa hidupnya lebih
bererti. Memang pada awalnya tunggang-langgang juga dia dibuat budak-budak itu.
Tetapi, mereka jugalah yang sentiasa mewarnai dan merceriakan hidupnya.
Rasa seperti cepat benar masa berlalu. Masih
teringat saat pertama kali memandang Aishah dan menyuapkan nasi ke mulut si
kecil. Juga mengajar Aiman mengaji walaupun bukan setiap malam. Kenapa semua
itu terpaksa dia lepaskan begitu sahaja?
“Kau tak beritahu budak-budak tu lagi ke?” Sofi bertanya
perlahan.
Melihat keceriaan Aiman dan Aishah, dia dapat rasakan
sesuatu. Budak-budak itu bagai tidak tahu mereka akan berpisah dengan Danisha.
“Aku tak sampai hati dan tak sanggup beritahu mereka!” tutur
Danisha dengan sedih.
Dia membuang pandang ke arah lain, kemudian meraup wajahnya.
Air mata hanya tunggu empang pecah sahaja. Sedaya upaya cuba ditahan agar tidak
menitis.
“Kau okey ke?” tanya Sofi sambil memegang tangan Danisha
dengan eratnya.
Bukan dia tidak tahu sahabatnya itu amat menyayangi
bebudak itu. Kalau dia di tempat Danisha, tidak dapat dia bayangkan. Walaupun
sahabatnya itu bukanlah kategori yang lemah lembut, dia tetap mempunyai naluri
keibuan yang sama seperti wanita lain.
“Entahlah, malam tadi pun aku tak tidur langsung. Aku
takut tak puas tengok wajah Aiman dan Aishah,” jawabnya dengan sebak. Tiba-tiba,
dia rasa hendak bawa lari sahaja budak-budak itu.
Sofi tidak terkata mendengarnya dan hanya mampu mengeluh.
Kasihan dengan Daniha, tetapi tidak mampu hendak berbuat apa-apa. Ayah bebudak
itu ternyata lebih berhak dan tidak boleh disangkal lagi.
“Nanti, kau jangan lupa suruh peguam tu pesan dekat ayah
bebudak tu tau,” sebut Danisha perlahan.
“Kau ni… nak pesan apa lagi?” tanya Sofi sambil
menggeleng.
“Kalau Aiman demam, pakaikan dia sarung kaki. Walaupun
badan dan kepala dia panas, tapi kaki dia akan sejuk dan akan naik
bengkak-bengkak,” Danisha mengingatkan lagi.
“Ya, aku ingat,” balas Sofi. Sebelum ini dia memang sudah
diingatkan pasal hal itu.
“Jangan lupa pulak,” ulang Danisha lagi sambil memerhati
Aiman dan Aishah yang asyik bermain dengan riangnya.
“Aku rasa kau ni dah parahlah! Hari-hari membebel pasal
bebudak tu buat kau tak cukup tidur, tak cukup rehat. Bila ayah dia orang dah
nak ambil, berat hati pulak nak lepaskan,” komen Sofi.
“Memanglah, tapi aku tetap sayangkan mereka,” balas
Danisha pula.
Sofi diam sahaja tanpa membalas bicara
Danisha. Dia sedar semua ibu memang begitu, asyik hendak membebel itu ini. Tidak
kira sama ada ibu kandung mahupun ibu angkat, semuanya sama. Semuanya dilakukan
kerana sayang dan terlalu prihatin.
“Ibu, lepas kita makan-makan ni, ibu nak
bawa abang dan adik pergi mana?” tanya Aishah. Dia kembali duduk di kerusi,
begitu juga dengan Aiman.
“Anak ibu ikut Auntie Sofi, ya. Ibu nak
pergi outstation. Hari ini ibu lambat
balik,” terang Danisha sambil mengelap peluh di dahi Aishah dengan sapu tangan.
“Lambat sangat ke, ibu?” tanya Aishah lagi.
“Lambatlah jugak. Anak ibu jaga diri baik-baik dan jangan
susahkan Auntie Sofi tau,” pesan Danisha dan cuba berlagak biasa.
“Okey… ibu pun hati-hati jugak,” balas Aishah sambil
mengukir senyuman.
Danisha cuba menahan sebak di dada dengan melemparkan
pandangan ke arah lain. Dia tidak mahu anak-anak itu perasan kesedihannya.
Selebihnya, dia memang tidak sanggup hendak memandang wajah polos Aiman dan
Aishah. Nanti dia juga yang akan rindu.
“Ibu… Kenapa adik tengok ibu macam nak nangis aje?” tanya
Aishah sambil memegang lengan Danisha.
“Memanglah ibu sedih dan nak nangis, sebab terpaksa
tinggalkan anak-anak ibu,” balasnya dengan tenang.
Padahal, saat ini dia sedang berlawan dengan perasaan
sendiri. Dia memang tidak sanggup berjauhan dengan anak-anak ini. Kasih yang
wujud bukan mudah dilupakan begitu sahaja.
“Oo… nanti ibu rindu, ya?” sebut Aishah dengan gaya
manjanya.
“Alah, malam nanti kan jumpa jugak?” Aiman pula bersuara.
“Hmm… ingat pesan ibu. Dengar cakap Auntie Sofi,” ulang
Danisha lagi.
“Ya, ibu…” Aiman dan Aishah serentak menjawab.
Danisha yang sudah tidak tahan terus memeluk dan mencium
mereka berkali-kali.
“Jom, kita dah lambat ni,” ajak Sofi. Nanti tidak
pasal-pasal terlewat pula dia serahkan bebudak ini. Anak sendiri juga sedang
menantinya di rumah.
Danisha terus memegang erat tangan Aiman dan Aishah. Mereka
melangkah perlahan menuju ke tempat letak kereta.
“Kenapa satu baju bebudak ni pun kau tak bawa?” tanya
Sofi, ketika ini Aiman dan Aishah telah masuk ke dalam keretanya.
“Nanti bebudak tu banyak tanya pulak. Lagipun, pandailah
ayah dia orang beli yang baru,” jawab Danisha acuh tak acuh.
“Macam-macamlah kau ni.”
“Sekurang-kurangnya ada jugak benda untuk aku pegang dan
kenang. Kalau aku beri, apa yang tinggal?” jawab Danisha sedikit sedih.
“Kut ya pun, bawalah satu atau dua persalinan. Aku
bukannya nak suruh kau bagi semua baju bebudak tu,” komen Sofi.
“Ah, tak
nak aku! Lagipun, semua tu aku beli pakai duit aku.” Dalam keadaan begini,
Danisha masih mahu menang.
“Buruk siku betullah kau ni!” sungut Sofi. Tidak sangka
sungguh dia, rupanya sampai begitu teruk perangai Danisha.
“Suka hati akulah.”
“Tak faham betul aku dengan kau ni. Apa-apa nanti aku telefon
kau,” ujar Sofi kemudian masuk ke dalam keretanya.
“Bye ibu…”
Aiman dan Aishah sama-sama mengucapkannya kepada Danisha sambil melambaikan
tangan.
“Bye sayang…”
balas Danisha sambil cuba menahan air mata agar tidak menitis di hadapan
mereka.
Saat ini, dia cuba menguntum senyuman paling manis.
Biarlah anak-anak itu tidak tahu yang dia sebenarnya sedang menangis hiba.Mulut
memang merelakan pemergian mereka, tapi hati, hanya TUHAN yang tahu.
Selepas kereta bergerak, Danisha segera menuju ke
keretanya. Sebaik masuk, dia menghamburkan tangisnya yang sudah tidak tertahan.
Dia menangis sepuasnya.
SETELAH menunaikan solot zuhur, Danisha menelefon uminya. Umi dan ayahnya
perlu diberitahu pasal budak-budak itu. Sebelum ini, dia memang tidak sampai
hati hendak membuka mulut.
“Assalamualaikum…” Uminya mengucap salam sebaik
mengangkat telefon.
“Waalaikumussalam… Umi sihat?”
“Alhamdulillah… bebudak tu, bila nak bawa jumpa umi?”
tanya umi. Dia juga sudah rindu dengan keletah dua beradik itu.
Tiba-tiba Danisha rasa sebak sangat dengan pertanyaan
uminya.
“Nisha, kenapa ni?” tanya uminya yang terkejut apabila
dia diam sahaja.
“Aiman dan Aishah tak ada kat rumah,” beritahunya.
“Tak ada? Dia orang ke mana?” tanya uminya sedikit
terkejut.
“Sebenarnya bebudak tu dah balik ke rumah ayah dia
orang,” beritahu Danisha dengan sedih.
“Hah! Bila?”
“Pagi tadi,” jawab Danisha sambil mengesat air mata yang
sudah membasahi pipi.
“Ni, apa cerita sebenarnya?” tanya uminya ingin tahu.
“Hari tu, tiba-tiba Nisha terima surat peguam. Ayah
bebudak tu menuntut anak-anaknya,” beritahu Danisha.
“Macam mana pulak ayah bebudak tu tahu Nisha yang jaga
mereka? Siap tahu alamat bagai,” soal uminya.
“Tulah, entah dari mana dia dapat alamat rumah semua.”
Danisha juga turut tertanya-tanya. Dia sememangnya tidak meninggalkan alamat
mahupun nombor telefon kepada mak cik yang menyerahkan bebudak itu.
“Hmm… nak buat macam mana? Betul ke lelaki tu ayah
bebudak tu?” tanya umi untuk kepastian.
“Dalam surat tu turut ada salinan sijil kelahiran bebudak
tu. Nisha hanya pegang mykid Aiman dan Aishah aje.”
“Habis tu, selama ni ayah bebudak tu di mana?” Banyak
tanya pula umi Danisha ini.
“Entahlah umi, Nisha tak tahu,” keluhnya. Itu yang
buat dia berasa pelik.
“Hmm… dah anak orang, nak buat macam mana? Sabar ajelah,”
pujuk uminya.
“Tapi Nisha yang jaga dia orang selama ni!”
“Memanglah Nisha yang jaga, tapi yang lebih berhak tetap
ayah bebudak tu.”
“Kalau dah macam tu, buat apa suruh mak cik tu serahkan
sebagai anak angkat?” Danisha masih tidak berpuas hati.
“Mungkin pada masa tu, ayah bebudak tu pun tak tahu.” Umi
memberikan pendapatnya.
“Nisha yang susah-susah jaga dia orang. Senang-senang aje
nak ambil balik,” sungutnya walau dalam keadaan sedih.
“Mungkin sebelum ini dia terpisah dengan anak-anaknya. Bila
dapat tahu anak-anak dia dijadikan anak angkat, mesti dia siasat dan cari,”
duga uminya lagi.
“Okeylah umi, Nisha nak beritahu itu aje.”
“Nisha nak cakap dengan ayah ke?” tanya umi pula.
“Tak apalah. Nanti umi kirim salam ajelah pada ayah,”
pesannya.
“Yalah, jaga diri baik-baik.” pesan uminya pula.
Sebaik memutuskan talian, Danisha menyambung tangisnya. Tidak
sampai sehari, rindu kepada Aiman dan Aishah bagai tidak tertanggung. Bagaimana
pula hari-hari seterusnya? Mahu sasau dia dibuatnya.