DANISHA terduduk di tempatnya. Kepalanya juga sudah pening. Dia kena hadiri seminar selama tiga hari di Port Dickson, tidak boleh tidak. Itu arahan Datuk Khalil untuk semua staf di jabatannya. Sakit kepalanya memikirkan Aiman dan Aishah yang terpaksa ditinggalkan.
Siapa yang hendak tolong hantar Aiman ke sekolah? Dia sudahlah tidak boleh bercuti langsung. Aishah memang boleh ditinggalkan di taska. Tapi, pada waktu malam, siapa pulak yang kena menjaga mereka?
Sudahnya terpaksa juga Danisha beritahu keluarganya pasal dia telah mengambil anak angkat. Tak tahulah dia apa reaksi ayahnya apabila dia beritahu kelak.
Ayahnya bukanlah seorang yang garang, malah dia juga manja dengan ayahnya. Namun, kalau ada benda penting yang dirahsiakan, memang membuat ayahnya marah.
Dulu, sewaktu dia memberitahu yang dia telah membeli apartmen, ayahnya memang marah dan tidak berpuas hati. Sebenarnya ayahnya mahu Danisha membeli rumah di negeri Johor sahaja, agar tinggal berhampiran dengan keluarga.
Tapi, apabila Danisha pujuk dan ayahnya datang bertandang, hati orang tua itu sejuk juga. Tiba-tiba ayahnya turut jatuh cinta dengan pemandangan sekitar apartmen Danisha. Kawasan sekeliling tidak sesak dan sibuk, malah tahap keselamatan juga terjamin.
“Kau ni dah kenapa? Macam kucing nak beranak aje?” tanya Rani yang memang hendak bersembang dengannya.
“Apa lagi? Pasal anak-anak akulah!” jawabnya.
“Anak-anak kau tu, kan baik aje?”
“Dia orang okey, ni pasal seminar di Port Dickson. Petang Selasa dah kena mendaftar pulak tu,” keluhnya.
“La… suruhlah umi dan ayah kau datang tolong tengokkan mereka. Itu pun susah ke?”
“Masalahnya, dia orang tak tahu pasal anak-anak tu,” beritahunya.
“Ya ampun! Selama ini umi dan ayah kau memang tak tahulah kau bela anak angkat?” tanya Rani. Matanya sedikit membulat kerana terkejut dengan penjelasan sahabatnya.
“Eh! Janganlah janganlah cakap kuat-kuat. Nanti satu ofis pulak bergosip pasal aku.” Mata Danisha sudah pandang sekeliling. Selain Rani, hanya Iman dan Sofi sahaja yang tahu pasal Aiman dan Aishah.
“Dah berapa lama kau tak balik kampung?” tanya Rani lagi.
“Sebenaranya aku tak pernah balik kampung sejak jaga bebudak tu,” beritahunya.
“Maknanya dah nak masuk 3 bulan kau tak balik kampung? Bertuah punya anak!” Rani sudah menggeleng. Mati-mati dia ingat keluarga Danisha sudah tahu pasal hal ini. Dia juga kenal dan rapat dengan uminya. Sebelum berkahwin, dia juga selalu mengikut Danisha balik ke kampungnya di Batu Pahat.
“Tapi aku selalu telefon umi aku.”
“Habis tu, kenapa tak cakap langsung?” soal Rani. Tidak sangka sungguh dia yang Danisha sanggup rahsiakan perkara penting begini.
“Tak tercakap, takut ayah aku marah.”
“Kalau aku pun marah, tau tak? Dahlah tak tahu asal-usul mereka. Silap hari bulan, kau dituduh menculik anak orang pulak!” ujar Rani sedikit beremosi.
“Kau janganlah takutkan aku. Aku ada mykid bebudak tu, tau.”
“Setakat mykid aje, apalah maklumat lengkap yang ada padanya?” soal Rani pula.
“Nama lengkap anak dengan bin dan binti sekali. Tarikh lahir pun ada,” beritahu Danisha pantas.
“Itu semua orang lain pun tahu. Dekat mykid tu ada tak tulis maklumat lengkap ibu dan ayah dia? Tak ada, kan?” Tiba-tiba Rani banyak tanya pulak.
“Kau ni… apasal tiba-tiba ambil berat pulak?” soalnya.
“Aku bukan apa, kalau terjadi sesuatu kepada budak-budak tu, kau jugak yang kena bertanggungjawab.”
“Kau janganlah doakan yang bukan-bukan. Takkan aku nak hantar bebudak tu dekat rumah anak yatim?”
“Tak adalah sampai macam tu. Paling-paling pun kau siasatlah latar belakang keluarga bebudak tu. Jangan tau jaga aje.” Rani memberikan pendapatnya.
“Aku nak siasat macam mana? Mak cik tu tak beritahu aku apa-apa langsung. Dia nak lepas tangan macam tu aje.”
“Kau pun silap jugak. Kalau aku, awal-awal lagi aku dah berterus terang dengan mak cik tu. Tak adalah sampai salah faham begini. Sudahnya kau jugak yang kena tanggung.”
“Aku memang dah malas nak fikir semua itu. Sekarang ni aku dah jatuh sayang dengan Aiman dan Aishah. Kalau ada yang nak rampas bebudak ni daripada aku, memang aku lawan balik. Aku yang penat-penat jaga makan pakai dia orang.”
“Kalau ayah dia orang yang menuntutnya, bagaimana?” tanya Rani, serius.
“Langkah mayat aku dulu!” Danisha menjawab dengan yakin.
“Sudahlah Nisha. Kau siapa nak pertahankan mereka?” tanya Rani lagi.
“Aku ibu merekalah. Tak kiralah ibu angkat atau apa. Aku yang ambil berat tentang kebajikan mereka.” Danisha masih mahu mempertahankan dirinya.
“Kita tengok nanti apa akan berlaku andai apa yang aku cakap ni, benar-benar terjadi.”
“Kau ni tak baik tau. Saja nak bagi aku risau,” keluh Danisha. Apabila Rani menyebutnya, memang terang-terang bulan dia akan kalah. Dia bukan sesiapa, jauh sekali ada hubungan darah dengan Aiman dan Aishah.
“Aku cakap ni supaya kau lebih bersedia menghadapi segala kemungkinan yang bakal terjadi. Hari ini kau masih boleh bergelak ketawa. Esok-esok, kau menangis tak berlagu pulak.” Rani mengingatkan.
“Tapi kalau takdir aku tak dapat bersama mereka selamanya, nak buat macam mana kan?” Danisha mengeluh berat.
“Sekarang ni kau kena fikir bagaimana cara terbaik nak beritahu keluarga kau,” ujar Rani.
“Esok pagi ajelah aku telefon ayah aku. Lagi lama aku rahsiakan, lagi serabut kepala aku.”
“Sedar pun. Aku tengok, muka kau pun sudah mengalahkan orang yang sakit jiwa pulak.” Rani mengutuknya dalam ketawa.
“Hish kau ni… aku punyalah cun. Kau kata aku macam orang sakit jiwa pulak?” Terasa geram pula dia dengan Rani yang hendak bergurau.
“Tau… sebab itu ada yang berkenan!” usik Rani lagi.
“Siapa yang berkenan?” Bersungguh pula Danisha hendak tahu.
“Dah gaharu, cendana pula. Dah sedar, pura-pura mimpi pulak!”
“Sudahlah, tak ingin aku,” balasnya dengan muka mencuka. ‘Macam tak ada orang lain yang hendak dipadankan!’
“Tak ingin konon...” Rani sudah tersengih-sengih.
“Betullah apa aku cakap,” balas Danisha yang masih tidak mahu beralah.
“Jangan sombong sangat, nanti memakan diri.” Rani terus-terusan menyakat sahabatnya.
“Huh! Macamlah kau tahu sangat apa akan berlaku selepas ini,” ujarnya sedikit geram.
“Tak ada syarat dalam bercinta Nisha…”
“Pandailah kau!” sangkalnya.
“Kita boleh aje terjatuh cinta dengan musuh kita sekalipun. Tak ada yang mustahil dalam hidup ini. Pak naga bisa aje bertukar kandaku sayang! ” Rani masih lagi dengan sengihannya. Suka sangat dia mengusik sahabatnya itu.
Danisha sudah terdiam. Dia memang malas melayan gelagat Rani. Nanti dia juga yang terkena balik.
“Renung-renungkan…” usik Rani lagi dan terus meninggalkan Danisha sendirian.
‘Kandaku sayang? Hmm… baik aku teruskan kerja daripada memikirkan benda yang bukan-bukan,’ desisnya dalam hati.