SEJAK Encik Hisham membantu Danisha tempoh hari, entah kenapa ada perasaan lain yang datang berkunjung. Saat ini, dia telah nampak sisi lain pak naga yang orang lain tidak tahu. Dia memang tidak pernah bercerita kepada sesiapa pun pasal pak naga yang pernah datang ke apartmennya. Pulak tu bukan sekali, malah dua kali! Andai dia bercerita sekalipun, siapa yang akan percaya?
Apa yang paling dia segan dengan pak naga, pasti sahaja pasal dia kelam-kabut sampai terlupa pakai tudung. Mujur sudah pukul 3.00 pagi. Jadi, dia langsung tidak terserempak dengan penghuni apartmen Kristal Heights. Kalau tidak, memang seminggu dia tidak keluar rumah. Dengan rambut serabai dan langsung tidak basuh muka, entah apalah tanggapan pak naga terhadap dirinya.
Tiba-tiba, telefon di atas mejanya berbunyi. Tanpa membuang masa, Danisha terus menjawabnya. “Assalamualaikum…” ucapnya.
Seketika, dia terdiam mendengar butir bicara orang sebelah sana yang tidak berapa jelas.
“Oo… Nak cakap dengan Encik Hisham? Sebentar ya,” ujarnya sambil menjenguk ke bilik pak naga. Ternyata dia tiada di biliknya, mungkin sebab itu juga panggilan disambungkan ke tempatnya.
“Maaf cik, dia tiada di biliknya. Boleh cik hubungi dia selepas lunch?” sarannya.
Pemanggil tidak bersuara, sebaliknya terus meletakkan telefon. Danisha mencebik apabila bicaranya tiada respons.
“Siapa yang telefon?” tanya Iman ingin tahu.
“Entahlah! Panggilan sesat cari abang naga,” jawab Danisha sambil meneruskan kerjanya.
“Nisha, tolong ulang sekali lagi,” pinta Iman sambil menoleh ke arah sahabatnya itu. Rasanya dia tidak tersilap mendengar.
“Ada orang cari pak naga!” jawabnya malas. Tiba-tiba, dia berasa geram pula.
“Tapi, aku dengar macam kau sebut lain aje,” duga Iman yang kini telah tersengih.
“Habis tu, apa yang kau dengar?” soal Danisha sambil menoleh ke arah Iman.
“Kau sebut abang naga, bukan pak naga!” sebut Iman sambil menaikkan keningnya.
“Kau salah dengarlah tu. Masa bila pulak aku panggil dia macam tu?” sangkal Danisha dan cuba mengingat kembali. ‘Ke aku memang tersalah cakap?’ desisnya, tetapi tetap berlagak biasa.
“Kalau kau panggil dia abang naga sekalipun, apa salahnya kan? Cepat sikit korang berbaik. Tak adalah macam orang asing dalam pejabat ni.” Sengaja Iman mengusik sahabatnya itu.
“Pembetulan, aku tak bergaduh dengan dia. Dia yang cari pasal dengan aku,” ujar Danisha. Tangannya ligat sahaja menyusun dokumen yang sudah dicetak. Selepas ini, dia kena hantar ke bahagian akaun pula. Terasa lega apabila satu kerja telah selesai.
“Hmm… aku nak tengok sampai bila korang boleh bertahan membisu begini.”
“Tak payahlah kau susah-susah tunggu. Aku boleh aje bercakap dengan dia. Dia aje yang ego tak bertempat,” tutur Danisha.
“Percayalah cakap aku, nanti kau yang makan hati sendiri!” ujar Iman pula.
“Kau cakap pasal apa ni? Tak faham aku.” Danisha sudah pening dengan bicara Iman yang bagai berteka-teki. Bertambah sakit hati apabila dia tersengih pula.
“Kita tengok ajelah nanti.” Iman sengaja buat Danisha panas hati dan tertanya-tanya.
“Suka hati kaulah nak kata apa,” balas Danisha sambil bangun menuju ke mesin pencetak. Rupanya masih ada dokumen yang tertinggal di situ.
“Tidak salah sesekali berhati batu, tegap dan kukuh. Namun, tiba masanya tetap menyembah bumi. Takkan nak tunggu masa itu baru sibuk luahkan perasaan di hati? Nanti menyesal tak sudah. Fikir-fikirkan…” sebut Iman.
Danisha menjeling Iman. “Tak habis lagi ke?” marahnya.
“Janganlah marah, aku sekadar mengingatkan. Tak ada niat lain pun.”
Danisha meraup wajahnya. Tidak semena-mena, dia teringat pula lirik lagu lama yang turut menyentuh hatinya. Sering mendengarnya berulang-ulang kali tanpa rasa jemu. Namun, tidak mahu mengakui kebenaran yang tersirat.
‘Rasa cinta pasti ada pada makhluk yang bernyawa. Sejak lama hingga kini, tetap suci dan abadi. Takkan hilang selamanya, sampai datang akhir nanti. Renungkanlah…’
Danisha menarik nafas panjang dan cuba menyelami perasaan sendiri. Dia turut termenung di mejanya. Kain pelekat pak naga sudah dia basuh, cuma hendak pulangkan sahaja. Namun, sampai ke hari ini kain itu masih dengannya.
Setiap hari dia membawanya ke pejabat, tetapi masih tidak serahkan kepada tuan yang punya. Kononnya menunggu waktu yang sesuai, namun sampai ke sudah pejabat ini sentiasa ada orang. Apabila ada peluang, bilik pak naga pula berkunci.
Sewaktu berselisih, dia pula tidak tercakap. Apatah lagi apabila pak naga buat tak nampak dia pula. Memang dia berasa geram juga, tetapi hendak buat macam mana? Diri dia yang mulakan perang dingin di pejabat. Sudahnya, kain pelikat itu dia simpan dalam laci mejanya sahaja.
“AYAH AI! Apa pasal tiba-tiba pak naga handsome pulak aku tengok,” puji Iman sambil duduk berteleku di mejanya.
Dalam kesibukan menjalankan tugas, tetap mahu bergosip dan berborak juga. Andai tidak melakukannya, bagai ada yang tidak kena dengan harinya.
“Ayah ai? Kau cakap pasal apa ni?” Danisha berasa pelik pula apabila Iman berkata begitu.
“Kau ni lembap betullah!”
“Yang kau cakap ayah ai tu, kenapa?” tanya Danisha.
“Dah semua orang asyik cakap mak ai aje, apa salahnya aku tukar pulak?” jawab Iman bersahaja.
“Macam-macamlah kau ni,” sungut Danisha. Ingatkan apalah tadi.
“Kau tak nak tengok ke, bos kita tu? Gaya dia bukan main segak, berkarisma gitu.” Entah apalah mimpi Iman malam tadi, sampai memuji sakan pak naga.
Danisha diam sahaja dan tidak memberi sebarang respons. Tapi dalam hati, terpaksa akui juga yang pak naga memang tampak berkarisma sejak dua menjak ini. Sekali sekala kena jadi hipokrit juga. Lain di mulut, lain di hati! Tidaklah ada yang tahu rahsia hati.
Sejak kebelakangan ini, entah kenapa dia memang berasa lain. Marahnya telah bertukar suka. Rasa bencinya kepada pak naga sudah hilang hari demi hari. ‘Apa sudah jadi ni? Takkanlah sebab dia dah tolong aku, hati ini dah mula cair?’ Danisha berbicara sendiri.
Saat ini, dia merasakan betapa sukarnya mentafsir perasaan diri sendiri. Tidak nampak wajah pak naga, membuat dia tertanya-tanya. Diam dirinya menyebabkan jiwa Danisha bertambah sesak.
“Ada sesiapa cari saya ke?” tanya Encik Hisham yang kini berdiri antara kubikel Danisha dan Iman.
Dada Danisha berdebar dalam sekelip mata. Saat itu juga dia jadi kurang selesa apabila terasa dirinya diperhatikan Encik Hisham. Pak naga memang sudah jarang mahu ke kubikel mereka. Apa hal pula hari ini dia mahu berkunjung ke sini?
‘Hmm… tak ada,” Iman tolong jawab walaupun pertanyaan itu bagai dituju kepada Danisha.
“Tak apalah,” ucap Encik Hisham.
Sekilas, dia memandang Danisha yang tunduk sahaja sebelum berlalu menuju ke biliknya.
Apabila Encik Hisham bertanya, baru Danisha teringat panggilan daripada perempuan tadi. ‘Andai tiada langsung rasa di hati, kenapa ada debaran saat dia di sisi? Siapa perempuan tadi sebenarnya? Isteri dia? Tunang dia? Apakah aku memang telah menyimpan perasaan terhadapnya?’ Tiba-tiba Danisha bermonolong sendiri.