Home Novel Cinta Mas Kahwinku RM22.50
Bab 4

“SIAPA nama abang dan adik?” Dalam kereta Danisha bertanya. Tadi dia tidak sempat hendak membelek mykid bebudak itu. Dia terus sahaja memasukkannya ke dalam beg yang diberikan.

“Nama abang, Aiman. Adik pulak Aishah,” jawab si abang perlahan.

“Emak abang di mana? Macam mana boleh tinggal dengan mak cik tu?” tanya Danisha lagi.

Aiman diam sahaja dan sudah mula hendak menangis.

“Abang janganlah nangis. Acik tanya aje, bukan marah abang pun,” pujuk Danisha. Tiba-tiba dia rasa serba salah pula.

“Emak sebenarnya dah meninggal, ayah pulak tak tahu dekat mana,” beritahu Aiman sambil pegang tangan adiknya.

Tidak semena-mena air mata Danisha sudah merembes. Tiba-tiba dia rasa sedih sangat mendengarnya. Mujur dia ambil kedua-duanya. Andai mereka terpisah, tidak dapat dia bayangkan bagaimana nasib mereka.

“Sebelum ni abang dan adik tinggal dengan siapa?” tanya Danisha lagi sambil menggelap air mata yang sudah membasahi pipi.

“Tinggal dengan nenek, tapi nenek tak suka abang dan adik,” terang Aiman, menambah sayu di hati Danisha.

“Kenapa nenek tak suka abang dan adik?” Mata Danisha tidak lepas memandang dua beradik yang malang ini.

“Tak tahu, tapi nenek selalu kata kita orang asyik menyusahkan dia,” beritahu Aiman dengan sedihnya. Dia juga mengesat air mata di pipinya berkali-kali.

“La… kesiannya,” keluh Danisha.

Azida hanya mendengar sambil memberi tumpuan kepada jalan yang sedikit sibuk. Dia juga turut tersentuh dengan cerita Aiman.

“Azida, nanti kita singgah di Giant. Akak nak beli susu dan Pampers la. Yang ada dalam beg ni mesti tak cukup. Baju bebudak ni pun kena beli jugak,” suruh Danisha.

“Saya ikut aje,” balas Azida tanpa banyak soal.

“Nanti siapa yang akan jaga abang dan adik?” Aiman bersuara setelah diam seketika. Dia juga sudah tidak menangis lagi.

“Auntie la, siapa lagi?” jawab Danisha sambil mengukir senyuman.

“Terima kasih auntie. Abang dan adik janji takkan susahkan auntie.” Aiman bercakap macam kena buat akujanji pula andai mahu duduk dengan Danisha.

“Yalah,” ucap Danisha dengan rasa sebak di dada. Ternyata anak-anak ini pandai membawa diri. Dia bertambah kasihan melihat si adik yang masih tidak bersuara sejak dari tadi.

“Adik lapar ke, sayang?” tanya Danisha pada si kecil. Sengaja dia berbahasa begitu agar si kecil mahu bersuara. Namun, dia tetap membisu.

“Sebenarnya adik lapar. Dia memang tak minum susu lagi,” beritahu Aiman pula.

“Ya ke? Tak apa, dekat Giant kita beli susu kotak dulu. Sampai rumah nanti, auntie buat susu untuk adik, okey?” pujuk Danisha.

“Akak, betul ke akak nak jaga bebudak ni?” tanya Azida sambil menoleh memandang Danisha.

“Betullah,” jawab Danisha.

“Akak kerja, bebudak ni macam mana?”

“Buat sementara ni memang kena tinggalkan bebudak ni di taska dekat apartmen akak. Nasib ada taska tu,” beritahu Danisha.

“Abang, umur abang berapa tahun?” tanya Azida kepada Aiman pula.

“5 tahun,” jawab Aiman.

“Akak kena fikir pasal sekolah Aiman. Sekarang dah hujung tahun, tahun depan dia dah kena masuk tadika.” Azida memberi pendapatnya.

“Akak rasa nak hantar Aiman belajar di sekolah tahfiz macam anak jiran akaklah. Dekat situ dia belajar dari pagi sampai petang.” Tiba-tiba Danisha teringat anak Sofi yang belajar di sekolah tahfiz. Sekolah itu tidak jauh dan terletak dekat Taman Gombak Permai sahaja.

“Bagus jugak tu. Kalau hantar tadika, mereka belajar sampai tengah hari aje. Satu kerja pulak nak ambil nanti.” Azida memberi pandangannya.

“Itulah, akak pun kena tanya dengan Sofi jugak. Nak masuk sekolah tu susah sikit. Anak-anak dan ibu bapa siap kena temu duga lagi,” terang Danisha. Itu yang pernah Sofi ceritakan kepadanya.

“Mak ai, kalah masuk universiti!” ujar Azida, terkejut.

“Akak memang kena pastikan si Aiman ni pandai baca iqra’ secepat mungkin.” Danisha sudah terbayang rutin harian yang pasti akan bertambah.

“Cuba akak tanya si Aiman tu,” suruh Azida.

“Abang, abang tau mengaji muqaddam tak?” tanya Danisha sambil menoleh memandang Aiman.

“Tahu, ayah pernah ajar abang,” beritahu Aiman.

“Surah yang pendek-pendek abang tau tak?” tanya Danisha lagi untuk kepastian.

“Surah pendek tu macam 4 Qul ke?” tanya Aiman pula.

“Betullah tu, abang pandai baca tak?”

“Abang dah pandai baca dan hafaz jugak. Dulu ayah selalu selalu ajar abang semasa nak tidur,” terang Aiman.

“Alhamdulillah… akak cuma kena buat ulangkaji aje dengan dia,” sampuk Azida pula.

“Lega akak rasa. Kalau tak susah jugak kalau kena hantar dia di tadika.” Danisha mengurut dadanya.

“Macam mana dengan yuran sekolah tu?” tanya Azida pula.

“Aduhai, ini yang buat akak kena fikir ni. Kalau tak silap, rasanya sebulan kena bayar RM 250. Kopak duit akak. Taska pun kena bayar jugak.” Tiba-tiba Danisha naik risau pula. Selepas ini, simpanan dia setiap bulan memang tak ada langsunglah jawabnya.

“Keluarga akak nanti macam mana? Dia orang tak marah ke?” Tiba-tiba Azida bertanya.

“Entahlah, buat masa ni akak rahsiakan dulu. Tiba masanya baru beritahu umi dan ayah akak.” Apabila Azida mengingatkan, baru Danisha terfikir. Itu pun satu hal juga hendak beritahu.

Danisha melemparkan pandangan ke luar kereta. Takut juga dia andai ayahnya tidak setuju dengan keputusan yang telah diambil. Lambat-laun ayahnya akan ketahuan juga. Dengan umi dia tak risau sangat, sebab uminya memang suka budak-budak tak kira anak siapa pun.

SETELAH membeli barang keperluan Aiman dan Aishah, mereka singgah makan di restoran di Sri Gombak pula. Di rumah memang tiada makanan kerana Danisha sememangnya belum masak lagi ketika Nina menelefonnya.

“Abang dan adik nak makan apa?” tanya Danisha sambil mengangkat Aishah untuk duduk di atas kerusi.

“Abang nak roti canai,” pinta Aiman.

“Adik?” tanya Danisha kepada si kecil.

“Sama macam abang,” akhirnya dapat juga Danisha mendengar suara Aishah. Comel sahaja mulutnya ketika menuturkannya.

“Nanti abang dan adik nak teh ais,” beritahu Aiman tanpa diminta.

“Yalah, nanti auntie pesan.” Danisha bangun menuju ke meja sebelah setelah membuat pesanan. Di meja mereka memang tiada tisu langsung.

Lama Danisha memandang sayu dua beradik ini.‘Kenapalah ayah bebudak ini tidak menjaga mereka? Si nenek pulak, sampai hati serahkan cucu sendiri untuk dipelihara orang lain. Apa yang tidak kena sebenarnya?’ Hatinya tertanya-tanya.

“Nanti akak nak saya tolong apa-apa lagi tak?” Pertanyaan Azida mencantas lamunan Danisha.

“Buat masa ni tak ada apa-apa. Kalau akak perlukan bantuan, nanti akak beritahu.”

“Okey…” balas Azida sepatah. Dia juga turut merenung Aiman yang laju sahaja makan roti canai. Pastinya dia lapar sangat.

“Abang nak tambah roti canai lagi?” tanya Danisha sebaik menyedari roti canai di pinggannya dah nak habis.

“Boleh ke?” tanya Aiman pula buat Danisha rasa kasihan sangat mendengarnya.

“Kalau abang nak tambah lagi dua keping pun tak apa,” jawab Danisha dengan perasaan yang sangat hiba. Alahai, Aiman…

“Hmm… tambah satu keping ajelah,” beritahu Aiman.

“Yalah,” balas Danisha dan terus pesan roti canai lagi.


MALAMNYA, Danisha terpaksa menolak katilnya ke tepi dinding. Andai dia tidak ubah kedudukan katilnya, nanti jatuh katil pulak bebudak ini. Dia akan suruh Aiman tidur di tepi dinding sementara Aishah pula di bahagian tengah.

Memang dia tidak tahu lagi sama ada mereka ini lasak tidur atau tidak. Tapi kalau dah namanya budak, memang begitulah gaya tidurnya. Sedangkan dia yang besar pun pernah jatuh katil juga! Danisha tersenyum apabila terkenangkan saat itu.

Agaknya ketika itu dia mimpi dikejar pak naga. Memang ngeri gila, sampai sakit-sakit badan dia apabila jatuh gedebak. Mujur ada permaidani yang terbentang di atas lantai. Kalau tidak, mahu patah riuk pinggangnya.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi pula. Dia mengeluh apabila menyedari Nina yang menelefonnya.

“Ya, Nina…” Dia menjawab malas.

“Maaflah Nisha, sudahnya kau pulak yang terpaksa jaga budak tu.” Nina terus sahaja memohon maaf. Dia turut kesal dengan apa yang telah berlaku. Dia tahu pun sebab Azida yang bercerita kepadanya. Siang tadi tadi dia memang tidak sempat menelefon Danisha.

“Nak buat macam mana, kan? Agaknya TUHAN hantar bebudak tu untuk temankan hidup aku yang sorang-sorang ni,” balas Danisha memujuk diri sendiri. Namun, dia kena akui juga yang dia rela sendiri menjaga Aiman dan Aishah. Entahlah, mungkin kerana tidak sampai hati dan kasihan kepada mereka.

“Aku memang tak tahu nak cakap apa, selain minta maaf banyak-banyak kerana terpaksa menyusahkan kau pulak.” Nina memang rasa bersalah sangat dengan sahabatnya itu.

“Tak apalah Nina, benda dah nak jadi. Kau jangan risaulah. Insya-ALLAH aku okey aje. Bebudak tu pun baik dan pandai bawa diri.”

“Lega hati aku bila kau dah cakap macam tu.”

“Okeylah Nina, aku dah nak masuk tidur sebenarnya. Esok aku nak uruskan taska dan sekolah bebudak tu pulak,” beritahu Danisha.

“Yalah, assalamualaikum…” ucap Nina.

“Waalaikumussalam…” balasnya dan terus berbaring di sebelah Aishah yang telah pun lena.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.