Home Novel Cinta Mas Kahwinku RM22.50
Bab 7

PINTU bilik diketuk perlahan, kemudian Danisha menanti di muka pintu sebelum diizinkan untuk masuk. Andai Datuk Khalil, boleh sahaja dia terus masuk setelah mengetuk pintu. Tetapi, tidak dengan si naga seorang ini. Macamlah dia berpangkat besar sangat di syarikat ini.

“Hmm… masuk!”

Setelah mendengar suara itu, baru Danisha menunjuk muka.

Encik Hisham memandang sinis Danisha yang terkulat-kulat di hadapannya. “Awak ni QS cabuk ke? Kerja yang senang macam ini pun boleh silap!” marahnya sambil melempar dokumen di tangannya ke atas meja.

Danisha yang masih berdiri hanya memandang dokumen yang hampir sahaja jatuh ke lantai. Entah apa juga yang tidak kena dengan BQ yang dia buat.

Hari ini, naik buntang matanya membetulkan angka-angka yang asyik berubah. Apabila kerjanya sudah hampir siap, ada pulak perubahan pada pelan lukisan asal. Terpaksa dia ubah lagi keterangan dan kuantiti di dalam BQ.

‘Mahunya cepat siap saja, tetapi sesuka hati tukar pelan lukisan. Ingat aku ni kuli batak dia ke?’ Sempat juga dia membebel di dalam hati.

“Awak ni sebenarnya tahu buat kerja ke tidak?” sergah bosnya apabila dia diam sahaja.

“Bahagian mana yang salah? Kalau bos marah-marah tapi tak cakap apa salah saya, macam mana saya nak tahu?” tanya Danisha perlahan. Padahal, dalam hati nak suruh bosnya buat sendiri sahaja. Mahu tak mahu terpaksa juga dia mengambil dokumen tadi dan pura-pura menelitinya.

“Awak semak balik pelan lukisan tender tu, selepas itu betulkan apa yang salah di BQ.”

“Saya buat ikut pelan lukisan itulah. Apa lagi yang tak betul?” Suara Danisha sudah berubah nada.

“Awak lagi nak tanya saya? Bila saya suruh semak tu, semaklah. Janganlah nak banyak cakap pulak. Saya nak hari ini awak kerja lebih masa siapkan semua tu.” Encik Hisham mengarah dengan tegasnya.

“Mana boleh paksa-paksa pulak?” bangkang Danisha. Berani pula dia kali ini. Lagipun siapa yang boleh tahan kalau setiap hari asyik dia saja yang kena sembur. Lama-lama nanti, mahu terbakar mukanya dek terkena percikan api amarah pak naga.

“Awak tu bukannya ada suami dan anak-anak yang menunggu di rumah,” marah bosnya lagi.

“Oh anak aku! Hari Isnin sajalah saya betulkan,” ujar Danisha kemudian terkocoh-kocoh meninggalkan bilik bosnya.

Encik Hisham terlopong, tidak sempat berkata apa-apa. Apatah lagi menghalang Danisha dari pergi.

Danisha yang sudah terlepas dari kandang, kelam-kabut mencapai beg tangannya. ‘Aduhai… macam mana boleh terlupa nak ambil Aiman ni?’ Dia berbicara sendiri. Sepantas kilat dia keluar dari pejabat dan menuju ke tempat letak kereta.

Sekilas dia memandang jam di dashboard. Tak sangka sudah pukul 5.20 petang. Semalam dia terlambat mengambil Aiman sampai budak itu sorang-sorang saja yang tinggal di sekolah. Mujur si Aiman ini mendengar kata dan tidak keluar dari kawasan sekolah.

Sebaik sampai di sekolah tahfiz, kelihatan Aiman sedang duduk menyandar pada tiang di koridor. Dia hanya memerhati budak-budak lain yang bermain di halaman sekolah yang tidaklah begitu luas. Wajahnya yang monyok terus bertukar ceria apabila menyedari kedatangan Danisha.

“Maaf abang, ibu terlambat lagi hari ni.” Danisha terus memohon maaf sambil menggalas beg sekolah Aiman.

“Tak apa, tapi janganlah selalu.”

“Tadi abang beli apa di kantin?” Saja Danisha bertanya sambil mengurut dadanya. Semput dibuatnya akibat berlari memanjat bukit, jalan pintas menuju ke sekolah.

“Abang beli 2 biji karipap. Satu abang dah makan,” beritahu Aiman sambil tersenyum.

“Kenapa tak habiskan?” tanya Danisha sambil membalas senyumannya. Dia cukup suka dengan senyuman Aiman yang manis. Besar nanti pasti ramai yang tergoda. Memang jadi ustaz handsome apabila besar nanti!

“Satu lagi abang tinggalkan untuk adik. Adik kan, suka makan karipap jugak?”

“Cukup ke makan satu aje?” tanya Danisha.

“Ustazah abang cakap, makanan untuk satu orang memang cukup untuk dua orang,” beritahu Aiman.

“Hmm… baiknya anak ibu. Selalu ingat dekat adik dia,” puji Danisha. Aiman sememangnya begitu, suka berkongsi dengan Aishah. Cuma Aishah yang kadang-kadang tidak mahu berkongsi langsung!


HARI AHAD, setelah memasak dan mengemas rumah, Danisha terpaksa membuat kerja ofisnya yang tak siap-siap. Sebenarnya dia memang malas hendak membuatnya, tetapi terpaksa juga mengingatkan pak naga yang pasti akan bertanya tentangnya.

Semalam dia memang penat sungguh dan berehat sahaja. Rumah sengaja dia biarkan berselerak tidak berkemas. Dia memang rasa tidak sihat, tapi malas pula hendak ke klinik. Setelah menelan panadol, dia tidur dengan lena.

“Ibu ni… asyik buat kerja aje. Bila balik rumah, tak payahlah buat kerja ofis.” Si kecil kesayangan Danisha sudah mula mengomel.

“Di ofis ibu tak sempat nak semak. Balik rumah kenalah sambung kerja ibu sebab hari Isnin dah kena hantar. Adik nak ibu kena marah dengan bos ibu ke?”

“Hari ini hari Ahad, patutnya ibu berehat. Asyik-asyik buat BQ, adik pun nak BQ jugaklah!”

“Apa?” tanya Danisha terkejut sambil menoleh memandang si kecil yang duduk di sofa.

“Tapi BBQ la…” tutur si kecil dengan manjanya.

Tergelak Danisha mendengarnya. “Yalah, lain kali ibu buat BBQ yang paling sedap sekali untuk anak ibu yang comel ni,” janjinya.

“Adik suka, adik suka! Sayang ibu…” ucap Aishah dan terus bangun memeluk Danisha.

“Hmm… ini mesti nak apa-apa kalau dah begini gayanya.” Danisha sudah masak dengan perangai Aishah.

“Ibu, boleh tak adik nak su…” Aishah sengaja tidak menyebut lengkap perkataan susu itu.

Memang tepat dugaan Danisha. “La, tadi baru aje minum. Hari ni aje adik dah minum 6 botol susu tau. Kalau macam ni, bankraplah ibu!” potong Danisha.

“Alah ibu… satu aje. Nanti nak tidur tak payah minum susu lagi.” Pandai sahaja Aishah membodek. Tidak padan dengan usianya.

“Tipulah! Adik cakap aje tak payah, lepas tu nak ibu buat jugak, kan?” Danisha menjegilkan matanya.

“Memanglah sebab adik nak cepat besar. Nanti boleh tolong ibu kemas rumas, masak dan cuci baju.” Lancar sahaja Aishah menuturkannya.

“Tolong selerakkan rumah ibu adalah,” ujar Danisha sambil menjeling si kecil pula.

“Okeylah. Kalau ibu tak percaya, tak apalah. Biarlah adik tak besar-besar. Biarlah semua orang tak sayang adik.” Kini Aishah sudah mula tunjuk muka kasihan.

“Amboi! Merajuk pulak anak ibu ni. Yalah, yalah… tapi adik minum sampai habis tau,” pujuk Danisha sambil menggeleng kepala. Kalau Aishah sudah merajuk, memang dia tak sampai hati hendak biarkan. Memang kasihan apabila memandang wajah sedihnya.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.