Apabila
Suraya membuka matanya dia masih terbaring di tempat di mana Adam telah
menperlakukan dirinya dengan kejam. Dia menangis tersedu-sedu. Sampai hati Adam
membiarkan dirinya terus menanggung kesakitan ini tanpa merawatnya. Adakah Adam
sudah tidak memperdulikannya lagi? Atau lelaki itu sememangnya mahu
membiarkannya terus mati?
Suraya
terus menangis semahu-mahunya. Hatinya bagaikan di siat-siat. Hancur lumat
hingga tidak merasai apa-apa lagi. Betapa kejamnya Adam saat ini. Derita yang
ditanggung bagaikan tiada penghujungnya. Mungkinkah ada sinar untuknya
mengecapi kebahagian kelak?
Dengan
terketar-ketar, Suraya cuba bangun. Dia perlu ke hospital. Dia tahu lukanya
terlalu parah dan dia perlu mendapat rawatan sebaiknya. Malangnya baru dua tiga
langkah dia sudah kembali terjelopok ke lantai. Badannya lemah. Kepalanya sakit
dan entah kenapa badannya menggigil bagaikan sedang kesejukan. Apa yang sedang
berlaku kepadanya saat ini?
Suraya
terus meratapi nasib diri. Kalau boleh mahu sahaja dia berdoa kepada Tuhan agar
mencabut nyawanya saat ini. Dugaan yang dilaluinya ini cukup berat dan tidak
mampu untuk dia menghadapinya seorang diri.
Hatinya kian sedih mengenangkan dirinya yang hanya sebatang kara. Dia
dibesarkan di rumah anak yatim dan selama ini hanya Adam tempatnya bergantung
harap. Setelah Adam memperlakukan dirinya sebegini dia tidak tahu ke manakah dia
harus lari untuk mendapatkan perlindungan dari segala derita yang dialaminya
ini.
“
Bersabarlah Suraya. Bersabarlah. Ingat Allah sang pencipta yang maha agung,
ingat Darius anak kau yang masih memerlukan engkau.”
Tiba-tiba
tiupan semangat itu datang di dalam hatinya.
Ya dia perlu kuat demi Darius. Darius masih memerlukan dirinya sebagai seorang
ibu. Darius masih perlukan perhatiannya. Dia perlu cepat sembuh dari kesakitan
ini. Nasib baik Darius berada di rumah neneknya. Kalau tidak pastinya Darius
akan menyaksikan pergaduhan yang begitu kejam ini. Ah dia tidak mahu Darius
menyaksikan semua ini. Kalau boleh dia tidak mahu memberi tekanan kepada Darius
dengan masalah keluarga yang begitu menghimpit ini.
Dengan
semangat yang cekal, Suraya menggagahkan dirinya untuk bangun semula. Semuanya
dilakukan demi Darius. Putera hatinya yang tersayang. Apabila dia berdiri
pandangannya kembali berpinar. Dia merasakan tubuhnya terhuyung-hayang. Dan
dalam beberapa saat Suraya kembali rebah ke lantai.
Suraya
tersedu lagi. Betapa sukarnya untuk dia bangun semula. Adakah hidup yang bakal
di tempuhinya sesukar ini? Suraya semakin kecewa.
“
Abang, tolong bawa Su ke hospital. Su sakit sangat,” rayu Suraya apabila
terpandangkan Adam yang sudah lengkap berpakaian kemeja untuk ke pejabat.
Rupa-rupanya Adam telah membiarkannya tidak sedarkan diri semalaman di sini.
Tidak bimbangkah lelaki ini kepadanya? Tergamaknya Adam memperlakukan dirinya
sebegini.
Pandangan
Adam tajam sekali bagaikan mahu membaham Suraya tatkala itu. Suraya benci
dengan pandangan itu. Malah dia semakin benci dengan lelaki yang berada di
hadapannya ini.
“
Apa muslihat kau kali ini? Kau nak buat laporan polis yang aku pukul kau? Kau
nak humban aku dalam penjara pula?” Kata Adam bengis sekali.
Suraya
menangis lagi. Sampai hati Adam menuturkan bicara sebegitu terhadapnya. Tidak
terlintas langsung difikirannya untuk berbuat demikian. Dia bukannya pura-pura
sakit atau sedang meraih simpati daripada suaminya itu. Butakah Adam saat ini
untuk melihat sendiri kesakitan yang maha hebat yang terpaksa di tanggungnya
akibat perbuatan jahat suaminya itu? Setelah apa yang berlaku adakah Adam layak bergelar suami kepadanya lagi?
“
Abang, tolonglah. Su benar-benar dalam kesakitan ini. Tolonglah Su rayu. Sakit
abang….sakit sangat-sangat,” rayu Suraya lagi.
Kalau
diikutkan hatinya yang lara, dia sudah penat untuk menagih simpati daripada
Adam yang tidak berperikemanusian itu. Apa yang dilakukannya ini hanyalah untuk
Darius. Dia mahu cepat sembuh demi untuk Darius.
Adam
mencebik. Segera dia mendapatkan Suraya.
“
Apa aku peduli? Lantaklah kau nak sakit ke atau nak mati di sini!” Kata Adam.
Pedihnya
hati apabila mendengarkan bicara Adam yang cukup tajam itu. Ternyata Adam sudah
tidak perlukan dirinya dalam hidupnya lagi. Lelaki angkuh ini semakin angkuh
dan merasakan dirinya lebih hebat dari segala-galanya.
“
Aku pergi kerja dulu! Kalau aku tahu kau ke hospital siap kau aku kerjakan! Kau
jangan lupa aku mempunyai pengaruh yang kuat dan boleh melakukan apa sahaja. Kalau
kau nak Darius selamat lebih baik kau buat apa yang aku suruh!”
Terlopong
mulut Suraya apabila mendengarkan ugutan dari Adam itu. Inilah kali pertama
Adam menggugutnya. Rupa-rupanya lelaki itu begitu takut dipenjarakan sehingga
sanggup membiarkan dirinya terlantar kesakitan sebegitu.
“
Apa kau nak buat dengan anak aku hah?” Tanya Suraya dengan suara yang begitu
lemah sekali. Selemah hatinya tatkala ini dengan sikap suaminya itu. Tergamak
suaminya menggunakan Darius untuk menggugutnya.
“
Kalau aku boleh cederakan kau, tidak mustahil juga aku boleh cederakan anak
kau! Fikirlah baik-baik. Jangan sampai hanya kerana perbuatan bodoh kau itu
mencederakan anak kau sendiri!”
Anak
kau? Adakah Adam mengganggap Darius itu bukan anaknya? Hati Suraya merintih
pilu.
“
Aku benci kau Adam!” Tangis Suraya.
Adam
hanya ketawa mendengarkan bicara Suraya itu.
“
Buat sementara waktu ini, Adam tinggal dengan mak aku. Aku akan beritahu kepada
mak aku bahawa menantu yang sangat dibencinya ini sedang sakit dan tidak dapat
menjaga Darius buat sementara waktu,” kata Adam sebelum berlalu dari situ.
Suraya
hanya mampu menangis dengan keputusan yang telah dibuat oleh Adam itu. Dia
mengharapkan ibu mertuanya datang ke rumahnya untuk melawatnya apabila
mengetahui dirinya sakit tetapi dia tahu semuanya itu hanya angan-angannya
sahaja kerana ibu mertuanya itu terlalu bencikan dirinya. Malah dirinya di
halang daripada menjejakkan kaki ke rumah mertuanya. Ah betapa malangnya
hidupnya ini.