Home Novel Cinta Langit Cinta
Langit Cinta
Damya Hanna
3/4/2015 15:53:39
158,209
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4
“MAN, hang ni nak cakap apa sebenarnya? Tapi apa?” Khadeja bertanya. Riaknya masih hairan. Sudah beberapa detik dia menanti penjelasan Budiman, tetapi tiada tanda-tanda lelaki berambut pendek yang lurus itu akan berkata sesuatu ke arahnya. Ayat yang diucapkan Budiman, masih tergantung tidak bernoktah.

“Tapi... errr...” Budiman mengorek mindanya untuk mencari apa sebenarnya yang mahu disampaikan. Sekonyong-konyong, hatinya bergendang bagai dipalu sesuatu. Alamak, apa kena dengan aku ni?

“Eeeii... bencilah dengan Abu tu!” Tiba-tiba Fatimah muncul di Warung Perindu dengan wajah mencuka.

Kehadiran Fatimah menyebabkan perbualan di antara Budiman dan Khadeja terhenti mendadak.

Budiman ternampak fokus Khadeja beralih. Dia terus menarik nafas panjang. Tak tahu kenapa, dia lega bila matanya tidak lagi bertentangan dengan Khadeja.

“Kenapa Timah?” tanya Khadeja. Ucapan Budiman yang tergantung, tidak lagi menjadi fokusnya.

Fatimah meletakkan bakul yang berisi empat ekor ketam dan lima ekor ikan sembilang di atas meja. Kemudian, dia melabuhkan punggung di sisi Budiman.

“Abu tulah, Kak Jah! Asyik kacau Timah aje. Tengoklah baju Timah ni dah basah kuyup!” Fatimah mengadu sambil membelek pakaiannya yang sudah dibasahi air laut gara-gara abang sepupunya, Abu Hanifah mengacaunya beberapa minit tadi di persisiran pantai.

“Eh, hang jangan nak tuduh-tuduh aku pulak, Timah! Tadi bukan hang sendiri ke yang terjatuh? Kenapa nak salahkah aku pulak?” Abu Hanifah pantas bersuara untuk membela dirinya.

Anak muda itu baru terpacul di gerai makan Khadeja sambil membawa baldi berisi ikan yang pelbagai jenis.

Kelubi yang mengekorinya di belakang, dilihat sedang tertawa lucu. Tangannya turut membawa bekas berisi udang sebelum diletakkan di sebuah meja tidak jauh dari lokasi perbualan itu. Meja tersebut memang dikhaskan untuk mereka memunggah hasil tangkapan selepas pulang dari laut.

“Kalau hang tak kacau aku, takdelah aku terjatuh. Ni semua hang punya pasal!” Fatimah bengang.

“Betul! Intan pun nampak Abang Abu kacau Kak Timah.” Intan mengadu. Rupa-rupanya, kanak-kanak itu membuntuti Kelubi dalam diam.

“Hisy, hang ni Intan... jangan nak jadi batu api pulak. Dah, pergi balik! Hang tak sekolah ke hari ni?” Abu Hanifah menegur.

“Kan sekarang cuti sekolah! Abang Abu ni dah nyanyuk agaknya.” Intan menjawab. Kanak-kanak perempuan itu memang bijak berceloteh walaupun baru berumur 7 tahun.

Abu Hanifah membulatkan biji mata ke arah Intan yang kemudian mendekati Khadeja.

“Alah, Timah... hang ni baru kena kacau sikit dah sensitif. Abu tu cuma nak bermanja. Itupun hang tak faham-faham!” Kelubi mengusik. Selepas meletakkan bekas udang di atas meja, dia datang semula ke ruangan itu.

Fatimah menjuihkan bibir. Tambah-tambah bila dia ternampak Abu Hanifah tersenyum-senyum bagai mengiakan ucapan Kelubi.

“Abu... kalau hang dah terdesak sangat nak bermanja, pergilah kacau si Manja hang tu. Kenapa nak kacau Timah pulak?” bengkeng Fatimah dengan tiba-tiba ke arah Abu Hanifah.

“Amboi... hang gurau kasar nampak!” Abu Hanifah terus membalas.

Manja yang dimaksudkan ialah seekor beruk peliharaannya. Beruk bernama Manja itu sering dikerah untuk memetik buah kelapa muda dan kemudiannya buah kelapa itu dijual sebagai air minuman di gerai makan Khadeja.

Demi mendengar kata-kata itu, Kelubi ketawa besar. Dia berasa lucu melihat situasi tersebut.

“Hang pa ni... kalau berjumpa, ada aje yang tak kena. Hisy, perangai macam budak-budaklah. Padahal masing-masing dah besar panjang.” Khadeja segera menyampuk. Intan diam sambil memasang telinga dalam perbualan itu.

Sedari kecil, Fatimah dan Abu Hanifah memang pantang bila bersua muka. Pasti ada saja yang akan menjadi bahan perbalahan dua orang pasangan muda itu. Apatah lagi sikap Fatimah yang agak sensitif sering menjadi usikan Abu Hanifah. Namun, itu sebenarnya tidak menjejaskan langsung hubungan saudara sepupu tersebut. Mungkin kerana Abu Hanifah, seorang anak yatim yang dibela oleh Makcik Hasnah, ibu kepada Fatimah. Senang cerita, perbalahan mereka saban hari sebenarnya turut menunjukkan kemesraan mereka.

“Masalahnya Kak Jah, Timah tengah leka kutip ikan kat jaring kita tu. Abu yang tiba-tiba kacau. Lepas tu banyak ikan yang terlepas sampai habis baju Timah jadi basah sebab nak tangkap ikan tu balik. Kalau tak, lagi banyak rezeki yang kita dapat hari ni!” Fatimah mengomel.

“Betul tak, Intan?” Dia terus meminta pendapat Intan.

“Betul!”

Rengusan Fatimah terkeluar. Dia terbayang semula situasi ketika dia sedang leka meneliti jaring di persisiran Pantai Pulau Perindu tadi. Abu Hanifah mengganggunya sehingga hampir separuh ikan yang terjerat, berjaya melepaskan diri. Geram sungguh dibuatnya!

“Alah, anggap ajelah takde rezeki!” Khadeja membalas dengan suara penuh kompromi.

“Haaa... betul tu Kak Jah! Dah takde rezeki nak buat macam mana, kan?” Abu Hanifah menyahut. Dia dan Kelubi berpakat untuk bersetuju dengan ucapan Khadeja.

“Hang pun satu! Kalau sehari tak kacau Timah tak boleh ke, Abu?” Khadeja menegur seraya menoleh ke arah dua orang anak muda yang tersenyum bersama-sama itu.

“Itulah! Asyik nak kacau orang aje. Macam dah takde kerja lain.” Fatimah sempat menjeling Abu Hanifah. Bibirnya memuncung.

“Tak elok jeling-jeling kat Abu macam tu Timah. Nanti lama-lama hang jatuh cinta.” Kelubi mengusik.

“Eeee... tolonglah! Takde siapa yang nak jatuh cinta dengan Abu tu. Tak ingin!” Fatimah memprotes.

“Eleh, tak ingin konon! Esok-esok kalau betul-betul hang jatuh cinta kat aku, baru hang tahu. Aku ni makin lama makin handsometau!” Abu Hanifah berkata dengan penuh lagak.

Fatimah pura-pura tidak mendengar. Khadeja tersenyum-senyum bila ucapan itu menggigit cuping telinganya.

“Wah, kalau Kak Timah betul-betul jatuh cinta dengan Abang Abu... bolehlah depa kahwin tak lama lagi kan, Kak Jah?!” Intan tiba-tiba membuat kesimpulan.

Kelubi kembali tertawa bila mendengar kata-kata spontan tersebut. Khadeja juga begitu.

“Boleh! Nak suruh Abang Abu kahwin dengan Kak Timah sekarang pun boleh.” Abu Hanifah menjawab sendiri pertanyaan itu.

“Eeee, tolong sikit! Siapa yang nak kahwin dengan hang?” Fatimah menunjukkan wajah tidak sudi ke arah Abu Hanifah.

“Hisy, belum apa-apa dah kena reject!” ujar Abu Hanifah.

“Nasib hanglah, Abu!” Kelubi menyahut.

Dua anak muda itu kemudiannya berlalu dari situ bersama ketawa mengusik. Mereka menuju ke arah beruk bernama Manja yang diikat pada sebatang pokok berhampiran dengan gerai makan Khadeja. Hari itu Manja tidak bekerja dan hanya dibiarkan bermain di sekitar pohon yang merendang itu.

Bila mempunyai masa terluang, Abu Hanifah dan Kelubi memang gemar melayani keletah Manja di situ. Tambah-tambah selepas pulang dari menangkap ikan.

Selepas Abu Hanifah dan Kelubi berlalu, Fatimah terus meletakkan fokusnya ke arah Intan.

“Hang ni kecik-kecik dah suka cakap yang bukan-bukan!” Dia menegur kanak-kanak perempuan itu.

“Timah...” Khadeja pula menegur tindakan Fatimah.

“Alaa Kak Timah... Intan cuma nak makan nasi kenduri. Dah lama kat kampung kita ni takde kenduri. Nak tunggu Kak Jah kahwin dengan Abang Man lambat sangat!” Intan tak semena-mena memberikan alasannya.

Akibatnya, Khadeja terkejut mendengar ucapan itu. Dia dan Fatimah sempat berpandangan sebelum masing-masing mengerling ke arah Budiman. Lelaki itu dilihat masih membisu seribu bahasa di tempat duduknya. Entah sedang bermenung tentang perkara apa agaknya?

“Hah, Kak Jah tengoklah! Mulut intan ni celopar sungguh.” Fatimah bersuara.

“Hang nak kena cili dengan Kak Jah ya, Intan?” Khadeja bertanya. Tetapi dalam diam dia lega kerana nampaknya, Budiman tidak memberi fokus terhadap ucapan Intan sejenak tadi.

“Betul, Kak Jah! Kita cilikan aje mulut budak kecil ni.” Fatimah membalas. Dia sengaja membetulkan suasana kerana mengerti riak Khadeja yang kurang senang dengan ucapan selamba yang dituturkan oleh Intan.

Intan segera menerkup mulut sambil menggeleng tanda tidak mahu dicili.

“Tahu pulak dia tak nak!” Fatimah berkata.

“Dahlah. Hang pi baliklah, Intan. Kejap lagi pak hang cari pulak.” Khadeja pula berkata.

Intan memuncung. Namun lambat-lambat dia menurut.

Selepas Intan berlalu, Fatimah kembali menoleh ke arah Budiman yang membatu.

“Abang Man ni diam aje. Bukannya nak back upTimah. Buat tak tahu aje padahal adik dia kena sakat dengan Abu dan Ubi.” Fatimah mengomel.

Di dalam keluarga, Fatimah dan Budiman hanya dua beradik. Jadi dia begitu manja dengan Budiman. Tambah-tambah sejak ayah mereka meninggal dunia ketika dia baru berusia 6 tahun.

Khadeja berlalu untuk menyediakan minuman buat Abu Hanifah dan Kelubi. Dia tidak mahu berlama-lama. Dia risau sekiranya Fatimah sengaja menyebut tentang ucapan Intan tadi. Tapi jauh di sudut hati, dia tahu Fatimah takkan berbuat begitu.

Budiman terasa pinggangnya disiku. Dunianya kembali ke alam nyata.

“Abang Man!” Fatimah memanggil dengan suara keras.

Budiman menoleh dalam keadaan terpinga-pinga.

“Hah, kenapa?” Dia terus bertanya kepada Fatimah. Dia baru tersedar yang rupa-rupanya dia sedang melamun. Sebenarnya, dia sendiri tidak tahu apa yang sedang difikirkan sedari tadi.

“Eeee... Abang Man ni berangan ke? Bencilah!” Fatimah bingkas.

“Kak Jah, Timah nak balik kejap. Nak tukar baju. Nanti Timah datang balik.” Fatimah berkata semasa dia berjalan melalui ruang membancuh minuman.

“Yelah,” balas Khadeja.

Beberapa ekor kucing yang menjadi peneman di gerai makan itu dilihat sedang bersantai-santai. Ada yang membersihkan bulu dan ada yang sedang tidur di lokasi masing-masing.

“Nak aku temankan hang ke, Timah?” Abu Hanifah yang terdengar ayat Fatimah itu pantas menyampuk tanpa diduga.

“Hang jangan nak mengada!” Fatimah menjawab laju.

“Sombong betul!” Abu Hanifah menggerutu. Suara tawa Kelubi kedengaran memecah alam.

Waktu itu, Fatimah sudah menghayun langkah untuk pulang ke rumahnya yang terletak tak sampai 100 meter dari situ.
Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna