Home Novel Cinta Langit Cinta
Langit Cinta
Damya Hanna
3/4/2015 15:53:39
158,209
Kategori: Novel
Genre: Cinta
PROLOG
SUASANA di jeti penambang Kampung Pulau Perindu agak sibuk pada hari itu. Kelihatan orang ramai yang berkeliaran. Kebanyakannya adalah penumpang dari bot tambang yang baru sampai. Tetapi ada juga sebahagiannya adalah penumpang yang sedang menunggu giliran untuk menaiki bot yang akan menuju ke tanah seberang.

Khadeja memanjangkan leher. Setiap kali penumpang turun dari perut bot, dia menatap lama. Betapa ralit dia mencari seraut wajah yang begitu dirindui di celah-celah orang ramai itu. Dia mencari dan terus mencari, namun pencariannya hampa.

Sebenarnya sejak jam 5.00 petang, Khadeja sudah berada di situ. Dia setia menanti kepulangan seseorang yang begitu istimewa dalam hidupnya. Saban hari, pasti dua kali dia akan singgah di jeti itu. Ia menjadi laluan utama bagi penduduk Kampung Pulau Perindu untuk keluar ke pekan besar.

“Jah tunggu abang ya? Abang pergi tak lama. Nanti abang balik.”

Khadeja masih ingat kata-kata lelaki itu. Lelaki yang bergelar suaminya. Tak mungkin dia lupa kerana sejak permintaan itu dilafazkan, dia sendiri telah berjanji untuk menanti kepulangan lelaki itu walau apapun terjadi.

“Laa, Jah menangis ke? Jah buat abang serba-salah nak tinggalkan Jah.” Suara lelaki itu kedengaran semula. Ketika berkata, lelaki itu menatap wajahnya.

Seingat Khadeja, waktu itu cuaca begitu hening. Langit tampak mendung menunjukkan tanda yang hujan akan turun.

Khadeja segera mengesat air yang tiba-tiba bertakung di hujung matanya.

“Taklah. Mana ada Jah menangis.” Dia segera menafikan.

“Habis tu, kenapa mata Jah tiba-tiba berair?”

“Air mata ni yang datang sendiri. Bukan Jah yang minta,” jawabnya.

Lelaki itu dilihat tersenyum. Kemudian tangan itu terus mengesat air hangat yang menitis ke pipinya.

“Abang janji lepas dua, tiga hari abang akan balik ke sini semula,” ujar lelaki itu mengharapkan pengertiannya.

Khadeja lambat-lambat mengangguk. Takkanlah dia mahu menghalang lelaki itu pergi sedangkan, dia sendiri turut menerima berita kecemasan yang mengejutkan beberapa detik tadi.

Kalau diikutkan, Khadeja tidak berniat langsung mahu membuatkan suaminya berat hati untuk meninggalkannya. Mungkin kerana sejak berkahwin, mereka belum pernah berjauhan maka hatinya sendiri yang keresahan untuk melepaskan lelaki itu pergi.

Perlahan-lahan Khadeja mencapai tangan lelaki itu lalu mengucupnya.

“Abang pergilah. Jangan risaukan Jah. Jah akan tunggu abang balik!”

Lelaki itu mengusap kepalanya yang dilitupi selendang.

“Abang akan telefon bila dah sampai sana. Ni telefon abang.” Kemudian lelaki itu menghulurkan telefon bimbit ke arahnya.

Khadeja perlahan-lahan menyambut. Tak tahu mengapa, hatinya mulai sebak. Sebentar lagi, dia dan lelaki itu bakal berpisah. Aduhai, mampukah dia berdepan dengan perpisahan itu walau seketika?

“Jaga diri Jah elok-elok,” pesan lelaki itu.

Khadeja mengangguk lagi.

“Abang pergi dulu.”

“Abang...” Khadeja pantas memanggil bila tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

Hatinya yang sebak bertukar gembira sekerlip mata. Ya, ada khabar bahagia yang patut disampaikan sebelum suaminya bertolak.

“Sebelum abang pergi... sebenarnya Jah ada perkara nak beritahu abang,” ucap Khadeja.

“Apa dia?”

Pon! Pon! Tiba-tiba kedengaran bunyi hon dari bot tambang yang sedang menunggu. Itu adalah isyarat yang menunjukkan bot itu bakal meneruskan perjalanan. Fokus masing-masing terhala ke arah bot yang sudah menghidupkan enjin.

“Jah nak beritahu apa?” Lelaki yang sudah bersiap-siap untuk pergi itu menyoal kembali.

“Err, takpelah. Bot dah nak bertolak tu. Abang pergilah. Jah akan beritahu kemudian.”

“Betul ke ni?”

Khadeja mengiakan. Lelaki itu tersenyum sebelum menariknya ke dalam pelukan.

“Abang sayangkan Jah. Jangan lupa! Dalam setiap nafas abang... cuma ada cinta untuk Jah seorang sebagai isteri abang,” bisik lelaki itu syahdu.

Air mata Khadeja yang sudah berhenti, mengalir semula tanpa disedari. Pipinya basah ibarat disimbahi air hujan yang kian membanjiri.

“JAH... oh... Jah!” Kedengaran suara seorang wanita berserta sentuhan lembut.

Khadeja membuka kelopak mata. Dia tidak pasti sejak bila dia terlelap di pondok jeti itu. Rupa-rupanya, keadaan di sekelilingnya sudah sunyi sepi. Bot tambang yang membawa penumpang tadi sudah berlalu dan hari kian menuju ke waktu senja.

“Eh, mak! Awat mak mai sini?” soal Khadeja yang terpisat-pisat. Dia terkejut melihat raut Mak Piah, emaknya yang buta berada di situ.

Di sisi Mak Piah ada Fatimah yang merupakan adik saudaranya. Mereka berhubungan sebagai dua pupu kerana ibu Fatimah dan Mak Piah adalah sepupu. Pasti Fatimah yang membawa emaknya ke situ.

“Mak risau. Hari dah senja tapi Jah belum balik. Sebab tu mak ajak Timah cari Jah kat sini.”

Khadeja mengerling Fatimah. Gadis itu mengangguk, mengiakan kata-kata emaknya.

“Laa, kan tadi Jah dah kata yang Jah cuma keluar sekejap. Jah cuma nak ambil angin.”

“Betul ke ambil angin? Atau Jah tengah tunggu suami Jah?”

Khadeja terus menatap Mak Piah. Tekaan emaknya yang tepat menyebabkan dadanya tiba-tiba diselubungi sebak.

Sejak perpisahan terjadi di antara dia dan suaminya lima bulan lalu, dia telah diibaratkan sebagai penunggu setia di jeti penambang itu. Justeru, setiap kali tiba waktu di mana bot mengambil dan menurunkan penumpang, pasti dia adalah orang pertama yang terpacak di pondok jeti yang terletak di hujung Kampung Pulau Perindu itu.

Khadeja tidak peduli biar apapun yang diperkatakan oleh orang sekeliling. Walau tindakan menunggunya siang dan malam sering dianggap sia-sia, dia tidak pernah berputus asa. Dia cuma berdoa agar penantiannya selama berbulan-bulan itu akan bernoktah akhirnya.

“Dahlah, Jah! Jom kita balik. Mak faham apa yang Jah rasa. Tapi, tak elok Jah duduk lama-lama kat sini. Jah tu mengandung. Jah kena jaga kesihatan. Ingat anak dalam perut Jah tu.” Suara Mak Piah menerjah lubang telinga.

Khadeja terasa juring matanya yang basah. Tambah-tambah bila pandangannya terhala ke arah perutnya yang kian membesar. Kini kandungannya itu sudah berusia enam bulan.

Sehingga ke saat ini, Khadeja tidak pernah lupa apa yang berlaku pada pertemuan terakhir dengan suaminya itu. Bisikan mahupun pelukan dan renungan, segala-galanya tentang lelaki itu sentiasa terbayang-bayang di dalam mindanya.

Ah, rindunya dia kepada lelaki itu! Sungguh. Rindu tak terkata. Yang paling mengharukan, lelaki itu tak tahu-menahu tentang kandungannya. Dia tidak sempat memberitahu apa-apa!

“Jah...” suara syahdu Mak Piah menusuk ke ulu hati.

Khadeja tertunduk.

“Sebenarnya Jah rindukan abang, mak. Rindu sangat!” Tangisan Khadeja akhirnya pecah. Dia gagal menyembunyikan perasaan lagi. Air matanya gugur ibarat empangan air yang diserang bah. Lalu dia memeluk tubuh Mak Piah sambil disaksikan oleh Fatimah. Pelukannya erat.

Ya ALLAH, kurniakan aku kudrat dan kekuatan untuk menghadapi dugaan-MU ini. Berikan aku kesabaran yang tinggi supaya aku mampu menjadi seorang isteri yang setia menunggu kepulangan suamiku.

Khadeja berbisik di dalam hati. Jiwanya begitu sayu menyebabkan pipinya larut bersama air mata yang tak mahu berhenti.

Di mana agaknya suamiku berada kini, Ya ALLAH? Mengapa sekali pun dia tidak mengirim berita mahupun menelefon untuk bertanya khabar sejak dia pergi meninggalkanku?

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna