ALIFF ZULKARNAIN menutup fail nipis di atas meja. Mesyuarat
pengurusan bersama pekerja Samudera Holdings baru selesai pada jam 11.00 tengah
hari. Dia ingin berlalu ke bilik pejabatnya. Teringat yang dia perlu membuat satu
panggilan kerana semasa mesyuarat sedang berlangsung tadi, klien dari Indonesia
ada menghubunginya namun tidak diangkat.
Sudah menjadi sifatnya untuk tidak mencampur-adukkan
setiap urusan. Dia tidak mahu terlepas dalam perbincangan di bilik mesyuarat,
malah dia juga tidak mahu mesyuarat terganggu bila dia terpaksa menjawab
panggilan yang diterima.
“Abah tengok Aliff macam tergesa-gesa aje? Nak ke mana?
Kalau takde apa-apa, jom keluar lunch dengan abah!” Datuk Affendi
tiba-tiba menegur Aliff.
Datuk Affendi adalah pemilik Syarikat Samudera Holdings
iaitu sebuah syarikat pemaju hartanah yang telah beroperasi di Pusat Bandaraya
Kuala Lumpur selama lebih 20 tahun.
Di dalam industri pembinaan, Samudera Holdings merupakan
antara sebuah syarikat yang popular di kalangan pelabur di dalam dan luar
negara kerana produk hartanah yang dihasilkan lazimnya laris di pasaran.
Aliff bingkas sambil mengerling jam di pergelangan tangan
kirinya.
“I’m sorry, abah. Aliff ada kerja sikit. Nak return
callklien dari Indonesia. Lepas tu, Aliff nak semak kertas kerja Syarikat
Global View tentang projek chalet terapung di Pulau Mabul di Sabah tu.” Aliff
berkata sambil mencapai fail di atas meja.
Tidak jauh dari situ, ada Norizan yang bertugas sebagai
pembantu peribadi Datuk Affendi. Gadis itu sedang menyusun kertas-kertas
perbincangan yang telah digunakan di dalam mesyuarat tadi.
Ruang di dewan yang luas itu mulai sunyi selepas hampir
semua pekerja Samudera Holdings berlalu untuk meneruskan tugas masing-masing.
Kini, hanya tinggal Aliff, Datuk Affendi dan Norizan yang
masih berada di situ. Ada kalanya mereka akan menjadi orang yang terawal keluar
dari dewan mesyuarat dan ada waktunya, mereka adalah orang terakhir yang
meninggalkan lokasi itu.
“Oh ya, apa perkembangan tentang projek tu?” Datuk
Affendi bertanya. Dia masih menatap anak sulungnya yang masih bujang. Tika itu
mereka sudah berjalan keluar dari dewan mesyuarat meninggalkan Norizan melakukan
tugas sendirian.
Selain Aliff Zulkarnain, Datuk Affendi mempunyai lagi
seorang anak lelaki yang bernama Azrul Zulkifli iaitu adik kepada Aliff namun
semenjak kecil, anak bongsunya lebih senang dipanggil sebagai Leroy.
Buat masa ini, hanya Aliff yang bekerja di syarikatnya
kerana Leroy baru sebulan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang
perniagaan. Menurut isterinya, Datin Soraya yang berbual-bual dengannya
beberapa hari lalu, Leroy masih belum bersedia mahu memulakan tugas di Samudera
Holdings.
Semasa mendengarnya, Datuk Affendi hanya diam. Dia langsung
tidak mempertikaikan perkara itu. Arif benar dia akan sikap Leroy yang kurang
serius berbanding Aliff. Malah sebagai bapa, dia boleh menilai tahap keupayaan
kedua-dua orang anaknya.
Mana tidaknya, awal-awal lagi Leroy tidak langsung
menunjukkan minat akan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana. Lain
benar dengan sikap Aliff yang begitu bersemangat untuk meneruskan pengajian ke
peringkat tertinggi sejurus menerima ijazah sarjana muda beberapa tahun dahulu.
Itupun, Aliff pernah berura-ura untuk menyambung
pengajian doktor falsafah. Tetapi dek kerana perniagaan Samudera Holdings yang
semakin berkembang, Datuk Affendi terpaksa meminta anak sulungnya itu
menghentikan niat untuk seketika. Dia mahu Aliff menumpukan perhatian kepada
urusan perniagaannya dan jika berkesempatan, anaknya itu boleh meneruskan
pengajian setelah Leroy pula mahir menguruskan Samudera Holdings.
“Hmm, buat masa ni Aliff tak berani lagi nak cakap
apa-apa. Aliff kena semak dulu kertas kerja tu, abah. Nak tengok sama ada
projek chalet tu berpotensi untuk dapat keuntungan atau tak. Kalau okey,
bolehlah kita teruskan usahasama dengan Syarikat Global View. Nanti Aliff
beritahu abah keputusan Aliff,” ujar lelaki yang berkulit cerah dan berusia
awal 30-an itu.
Datuk Affendi yang tersedar, lantas terangguk-angguk.
“Abah harap kertas kerja projek chalet terapung tu takde
masalah. Sejak projek Villa Zamrud di Kuantan berjaya, ramai pelabur yang
sanggup tawarkan diri untuk berkerjasama dengan syarikat kita. Jadi, kita kena
rebut peluang selagi ada pelabur yang menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap Samudera
Holdings!” kata Datuk Affendi.
“Aliff tahu, abah! Sebab tu Aliff tak nak sambil lewa
untuk buat keputusan. Aliff kena fikir masak-masak. Aliff nak pastikan
pelaburan hartanah kita bertahan untuk jangka masa panjang. Ini untuk jaga nama
baik Samudera Holdings jugak,” beritahu Aliff penuh karisma.
Mereka menghentikan langkah di hadapan pintu bilik
pejabat yang bertulis nama Datuk Affendi sebagai C.E.O Samudera Holdings. Di
sebelah kanan bilik itu, terletak bilik pejabat Aliff Zulkarnain yang
berjawatan sebagai Pengurus Besar di syarikat itu.
Datuk Affendi menatap wajah anak sulungnya yang hari itu
memakai kemeja berwarna putih. Bibirnya tersenyum kecil. Dia berasa senang
dengan perwatakan anaknya itu. Aliff selalu bersungguh-sungguh bila
melaksanakan sesuatu tugas yang diberikan.
Jauh di sudut hati, Datuk Affendi berbangga kerana
dikurniakan anak yang bersemangat waja seperti Aliff. Dia tahu ramai kenalannya
berasa cemburu. Masakan tidak? Bila dia berada di majlis-majlis keraian,
masing-masing sering membandingkan kejayaan Aliff dengan anak-anak mereka yang
sebaya.
“Maaf datuk, Encik Aliff! Saya cuma nak beritahu datuk
yang Encik Yus baru telefon.” Norizan sekonyong-konyong menyampuk.
Entah sejak bila pembantu peribadi Datuk Affendi itu
muncul dan kini sudah berada di tempat duduknya.
“Hah, dia nak apa?” Datuk Affendi meletakkan fokus ke
arah pembantu peribadinya yang telah bertugas selama tiga tahun itu.
Aliff diam. Memberi kesempatan kepada ayahnya dan Norizan
untuk berbicara sejenak.
“Encik Yus nak pengesahan datuk tentang rancangan untuk
ke Kampung Pulau Perindu,” beritahu Norizan.
“Kampung Pulau Perindu?”
Norizan mengangguk.
“Encik Yus nak tahu tarikh bila datuk nak ke sana? Dia
nak minta wakil penduduk kampung tu bersiap-sedia masa datuk turun ke kampung
tu untuk beri taklimat tentang urusan jual-beli tanah.” Norizan bersuara
panjang.
Yusman atau lebih mesra dengan panggilan Yus itu adalah
Pengurus Projek di Samudera Holdings. Yus telah bertugas sejak lima tahun lalu
dan selalu terlibat dalam pengurusan sesuatu projek syarikat dari peringkat
awal sehingga fasa akhir. Tugas Yus yang berkait rapat dengan pengurusan dan
perancangan projek menyebabkan lelaki itu sering berurusan dengan Datuk Affendi
dan Aliff sebelum membuat sebarang keputusan.
“Oh, ini untuk projek Villa Samudera dan resort di Pulau
Langkawi tu, kan?” Datuk Affendi yang pada awalnya terpinga-pinga terus dapat
menangkap maksud tutur kata yang dibicarakan oleh Norizan.
Gadis berambut separas bahu itu mengangguk lagi.
“Encik Yus dah reccedari wakil di Kampung Pulau
Perindu. Dia kata tadi, cuaca kat sana dah tak hujan lebat macam minggu lepas.
Jadi, macam mana datuk?”
“Hmm... hujung minggu ni I ada apa-apa urusan penting
ke?”
Norizan memeriksa jadual yang tercatat setiap temujanji
majikannya.
“Minggu ni datuk cuma ada appointment golf dengan C.E.O
Golden Properties Sdn. Bhd,” jawab Norizan.
“Oh, kalau macam tu you tukar tarikh appointmentgolf
tu dan suruh Yus proceedrancangan ke Kampung Pulau Perindu hujung
minggu ni.”
“Baik datuk.”
“Lagi satu Norizan, tolong buat tempahan tiket kapal
terbang ke Pulau Langkawi dan bookhotel untuk satu malam di sana. Kalau
ada apa-apa, you boleh telefon Yus... tanya dia siapa lagi yang akan ikut I
untuk taklimat jual-beli tanah di Kampung Pulau Perindu tu.” Datuk Affendi
memberikan arahan yang lebih jelas.
Norizan menurut seperti yang diarahkan.
“Ada apa dengan Kampung Pulau Perindu, abah?” tanya Aliff
bila Datuk Affendi dan pembantu peribadinya dilihat tidak lagi berinteraksi.
Aliff tidak tahu menahu tentang perkara itu. Entah
kenapa, dia bagaikan tertarik untuk mengetahui lebih lanjut bila melihat
kesungguhan abahnya dalam membuat perancangan yang berkaitan dengan Kampung
Pulau Perindu.
“Hmm, abah tak beritahu Aliff lagi pasal tu ke?” Datuk
Affendi menyoal.
Aliff mengerutkan dahi sambil menggeleng. Serasanya, itu
pertama kali dia mendengar nama Kampung Pulau Perindu meniti ke saluran
telinganya.
“Kalau macam tu, apa kata kita keluar lunch? Abah
akan beritahu Aliff apa yang ada di Kampung Pulau Perindu.” Datuk Affendi
memberikan cadangan.
“Tapi abah...” Aliff mengerling jam tangannya sekali
lagi. Dia mahu mengingatkan Datuk Affendi tentang rancangannya selepas ini.
“I know you have work to do. But this is important too,
Aliff. In fact, if this project really happen... it will be our project of the
year!” Datuk
Affendi tersenyum lebar.
“Project of the year?”Aliff terkebil-kebil memikirkan ucapan abahnya.
Datuk Affendi terangguk-angguk.
“Jom, kita pergi makan dulu! Abah tak nak Aliff bekerja
sampai tak ingat waktu makan. Walau penting mana pun sesuatu kerja tu, jangan
sesekali abaikan kesihatan.”
“Bukan macam tu, abah. Mana pernah Aliff tak ingat waktu
makan? Cuma hari ni, Aliff ingat nak siapkan kerja sebelum keluar. Lagipun
klien kita...”
“Klien kita boleh tunggu! Don’t worry.Nama
Samudera Holdings dah kuat. Klien takkan lari semudah tu. Lepas lunchnanti,
Aliff telefonlah klien tu.” Datuk Affendi memberi alasan.
Aliff menatap wajah abahnya yang tampak
bersungguh-sungguh. Sebenarnya, dia sendiri tidak sabar mahu mendengar apa yang
mahu disampaikan oleh Datuk Affendi berkenaan Kampung Pulau Perindu. Mungkinkah
ada sesuatu yang akan membuatkan hatinya sendiri jadi teruja?