Home Novel Cinta Langit Cinta
Langit Cinta
Damya Hanna
3/4/2015 15:53:39
158,204
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 15
PANORAMA malam di rumah papan Mak Piah dan Khadeja terasa hening. Aliff sedang bersendirian di ruang tamu sejurus menunaikan solat maghrib. Entah kenapa, hatinya berasa tenang. Apakah disebabkan suasana di rumah kayu itu yang sunyi dan suram?

Entahlah. Mungkin sebenarnya, dia sudah lama tidak berdiri menghadap kiblat untuk tunduk dan bersujud di atas tikar sejadah, mendekatkan diri kepada ILLAHI. Maka, bila dia disuruh bersolat oleh Mak Piah tadi... dia bagai merasai sesuatu yang lapang dalam fikirannya usai memberi salam dan menadah tangan untuk berdoa. Kalbunya bagai berdetik sesuatu yang sukar dinyatakan dengan kata-kata.

Aliff melilaukan kepala saat lamunannya berlalu. Dia masih menunggu kemunculan Mak Piah dan Khadeja yang kini sedang sibuk menghidangkan makan malam di dapur.

Kesempatan yang ada, diambil oleh Aliff untuk memerhati sekeliling rumah kayu yang bersaiz sederhana itu. Walaupun tidak banyak perabot yang terhias, rumah beratap nipah itu tampak kemas dan bersih dengan cara tersendiri.

Perlahan-lahan Aliff bingkas, dia melangkah ke anjung rumah. Memerhati di sekitar kawasan yang hanya disinari cahaya neon yang malap. Terasa sunyi benar di sekitar rumah kecuali bunyi ombak laut yang sesekali memukul pantai.

Sejenak, Aliff mengerling jam tangan. Sudah menuju angka 8.30 malam. Jika di Kuala Lumpur, waktu sebegitu pasti masih sibuk dengan pelbagai acara dan aktiviti. Dia sendiri tak mungkin boleh bersantai-santai selagi masih ada kerja atau matanya belum benar-benar mengantuk.

“Aliff...”

“Ya, makcik.” Fikiran Aliff kembali ke titik asal bila terdengar suara panggilan Mak Piah. Dia segera menyahut lalu kembali melangkah memasuki ruang tamu.

“Mari duduk sini, kita makan.”

Kelihatan Mak Piah sudah duduk bersimpuh di satu sudut. Ada tiga jenis lauk sudah terhidang di atas hamparan kain di hadapan wanita itu.

Aliff terus mendekati.

“Wah, nampak sedap ni makcik!” Dia duduk di sisi Mak Piah.

Pandangannya meneliti tiga bekas yang berisi lauk. Terdapat kupang yang dimasak lemak cili api bersama belimbing buluh, ayam goreng kunyit dan sayur kobis goreng. Ada satu piring kecil yang terhidang sambal belacan. Hampir terkecur air liur Aliff saat memandang lauk-lauk tersebut. Tambah-tambah bila ke semuanya nampak masih berasap kerana panas.

“Kalau nak tahu sedap ke tak, Aliff kenalah rasa dulu. Jah, mana mangkuk nasinya?”

Khadeja muncul dari pintu dapur. Tangannya membawa bekas berisi nasi yang baru dimasak.

“Jah, oh Jah?” Mak Piah masih memanggil.

“Ni mangkuk nasinya, mak.” Khadeja memberitahu.

Aliff mengerling ke arah gadis yang baru muncul itu. Raut Khadeja nampak mencuka. Saat mata mereka bertembung, dia melemparkan senyuman namun tidak langsung dibalas.

“Sendukkan nasi untuk Aliff tu,” arah Mak Piah.

Khadeja hanya menurut. Selepas menyenduk nasi ke pinggan Aliff, dia menyenduk nasi untuk emaknya pula.

“Makanlah.” Pendek Khadeja berkata sambil menghulurkan sudu dan garpu ke arah lelaki itu. Suaranya antara ikhlas dengan tidak.

“Awak tak makan sekali ke?” tanya Aliff bila ternampak Khadeja meletakkan bekas nasi sebelum berkira-kira untuk berlalu dari situ.

Pandangan Khadeja spontan terhala ke raut Aliff. Kemudian dia melirik ke raut Mak Piah. Emaknya itu sedang mendongak. Lagak Mak Piah bagaikan tahu di mana Khadeja sedang berdiri. Pasti emaknya sedang tertanya-tanya.

“Jah tak nak makan sekali ke?” soal Mak Piah.

“Jah tak lapar lagi, mak. Mak makanlah dulu dengan Aliff.”

“Kenapa tak lapar pulak? Biasanya waktu-waktu macam ni kita memang tengah makan. Dah, duduk sebelah mak ni. Kita makan sama-sama sambil temankan Aliff. Tadi kata, dia kawan Jah. Takkan Jah tak nak temankan kawan Jah makan?” omel Mak Piah panjang.

Secara automatik Khadeja menatap raut Aliff. Hatinya masih berbuku. Aku tak pernah cakap pun dia kawan aku! Dia sendiri yang memandai-mandai, getusnya bersama perasaan tidak senang.

“Jemputlah makan, Aliff. Ceduk lauk tu. Jangan malu-malu.” Mak Piah segera mempelawa bila terasa suasana di situ tiba-tiba sunyi.

“Mana ada malu, makcik! Saya memang tengah ceduk lauk pun.” Aliff menjawab. Dia mula menceduk lauk-lauk di hadapannya. Namun sepasang matanya sempat memerhati Khadeja.

Perlahan-lahan gadis itu menghampiri sebelum duduk di sebelah Mak Piah.

“Maaflah, Aliff. Ini aje lauk yang ada hari ni. Kalau Jah beritahu awal yang Aliff nak datang, boleh makcik masak lauk yang istimewa.”

“Eh, takpelah makcik. Ini pun dah cukup istimewa.” Aliff membalas. Dia mula menjamu hidangan.

Seketul kupang cuba dikopek. Terkial-kial dia menggunakan sudu dan garpu untuk membuka kulit dan mengambil isinya. Selama ini, lauk kupang yang dimasak di rumahnya sudah pun dikopek kulit terlebih dahulu. Tiba-tiba dia perlu mengopek sendiri, pastilah dia berasa sukar.

Aliff masih mencuba. Entah di mana silapnya, kupang yang cuba dikopek itu tiba-tiba terpelanting. Kedengaran berdenting bunyinya.

Aliff terkejut.

“Kenapa tu Aliff?” Mak Piah terus menyoal.

Khadeja pantas meletakkan pandangan ke arah Aliff. Lelaki itu spontan dilihat tersengih. Wajah itu tampak malu dengan kejadian yang tidak diduga itu.

“Errr... takde apa-apa makcik. Kupang ni terlepas. Agaknya, hidup lagi kot sebab dari tadi dia asyik nak lari aje.” Aliff menjawab sambil tertawa sendiri.

Mak Piah turut ketawa.

Khadeja yang mendengar, menahan perasaan geli hati yang tiba-tiba meletus di sanubarinya. Riak Aliff yang terkejut semasa kupang terpelanting tadi agak melucukan. Ditambah pula dengan alasan yang lelaki itu berikan kepada emaknya.

“Kamu ni ada-ada aje.” Mak Piah masih ketawa.

Aliff tersenyum. Dia melirik Khadeja dan ternampak gadis itu menyembunyikan wajah. Nampaknya Khadeja cuba menahan rasa lucu akibat kejadian yang berlaku sejenak tadi. Suasana di rumah papan itu tiba-tiba jadi sedikit ceria.

“Kat sini, kami tak panggil kupang. Kami panggil siput sudu. Nak makan siput sudu ni senang aje, Aliff. Kopek kulit dengan tangan. Kalau guna camca, memanglah asyik nak lari aje. Buat macam ni!” Mak Piah mula mengajar. Dia mengambil seketul kupang lalu mengopek kulitnya.

“Oh, macam tu ke?” Aliff yang melihat terus bersuara. Dia turut menggunakan jarinya untuk mengopek kulit kupang.

“Hah, saya dah pandai, makcik!” soraknya lalu mengunyah isi kupang itu dengan puasnya.

“Hmm, sedapnya!” Aliff menikmati keenakan rasa kupang segar yang telah dimasak dengan lauk lemak cili api itu.

Mak Piah tersenyum senang.

“Rumah makcik ni jarang ada tetamu jauh yang datang. Lain kali kalau Aliff ke sini lagi, beritahu awal-awal. Makcik boleh buat kerabu sotong ataupun masak gulai ketam. Kalau nak, asam pedas ikan parang pun boleh,” ujarnya.

Aliff dan Khadeja berpandangan. Senyuman Aliff tertera di bibir manakala Khadeja tidak senang dengan pelawaan emaknya.

“Insya-ALLAH makcik. Kalau ada rezeki saya ke sini, saya mesti datang jumpa makcik lagi.” Aliff tidak menunggu lama untuk bersetuju.

Mak Piah terangguk-angguk. Khadeja jadi sebal.

“Aliff kerja apa kat KL? Datang sini ada urusan apa?” tanya Mak Piah kemudian. Berminat untuk tahu.

“Saya? Saya kerja dengan syarikat pemaju, makcik. Datang sini sebab...”

“Mak... kat pinggan mak ada nasi lagi.” Khadeja pantas memintas. Dia sengaja tidak memberi peluang kepada Aliff untuk menamatkan ayat.

Aliff yang memahami maksud tindakan Khadeja, terus menggantungkan kata-kata. Dia teringat semula amaran gadis itu supaya tidak menyebut apa-apa tentang projek pelancongan yang menjadi punca dia datang ke kampung itu.

Kelihatan Khadeja yang mengambil saki-baki makanan di dalam pinggan Mak Piah lalu disuap ke mulut emaknya.

Aliff menatap situasi itu. Tak tahu kenapa, perasaannya bagai tersentuh. Lama Aliff memerhati kelakuan Khadeja sehinggalah tiba-tiba dia terasa renungan gadis manis itu terjatuh semula ke arahnya.

Aliff cepat-cepat mengalih wajah.

“Cantik rumah makcik ni. Dah lama ke makcik tinggal kat sini?” Aliff terus menyoal. Dia menelan sisa makanan yang tinggal sedikit. Jauh di sudut hati, dia mahu keadaan tidak selesa yang menyerbu ke benaknya seketika tadi segera mereda.

“Makcik dan Khadeja dah lama tinggal kat sini. Sejak arwah ayah Khadeja masih hidup. Arwah ayah Khadeja yang bina rumah ni dulu.”

“Oh ya ke?”

Mak Piah mengangguk. Kelopak matanya terkebil-kebil dalam kegelapan dunianya.

“Rumah nilah harta yang kami ada selain tanah di tanjung batu kat hujung pantai tu, Aliff. Kalau nak tahu, kawasan tanah pantai tu, arwah ayah Khadeja yang teroka dengan makcik. Masa tu, makcik ada lagi seorang anak. Nama dia, Khalid. Khalid tu abang kepada Khadeja.”

“Abang Khadeja? Mana perginya dia sekarang?” Aliff berminat untuk tahu. Dia memandang Mak Piah dan Khadeja bersilih-ganti.

“Khalid dah lama hilang kat laut masa tangkap ikan. Sekarang ni, makcik tinggal berdua aje dengan Khadeja. Kami dah takde sesiapa.”

Kali ini Aliff seakan-akan terpukul mendengar cerita Mak Piah. Tak disangka pula kehidupan Khadeja dan Mak Piah begitu dramatik dan sarat dengan kisah sedih.

“Selain rumah ni dan tanah kat hujung pantai tu, Khadeja jugaklah antara harta makcik yang tinggal. Kata orang, harta yang tak ternilai!” ucap Mak Piah lirih.

Khadeja terus menoleh ke arah emaknya. Sanubarinya ditebak sayu. Biarpun tahu renungan Aliff sedang terarah ke arahnya, dia tidak mempedulikan. Perlahan-lahan dia mencapai tangan Mak Piah.

“Mak nak tambah nasi lagi tak?” Khadeja sengaja menukar topik supaya kesayuan yang dirasai emaknya tidak lagi berterusan.

Mak Piah menggeleng. “Tak naklah. Perut mak dah kenyang.”

“Jah basuhkan tangan mak ya?”

Mak Piah mengangguk. Khadeja mengambil bekas berisi air bersih lalu dicurahkan ke tangan emaknya.

Dalam suram cahaya, Aliff merenung tingkah dua beranak itu. Setiap gerak-geri mereka diperhatikan dalam diam.

Entah kenapa, dalam kemilau sinar yang tersebar di sekitar rumah papan itu Aliff dapat melihat betapa luhurnya raut wajah Khadeja. Kesabaran gadis kampung itu melayani Mak Piah telah benar-benar menyentuh hati lelakinya.
Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna