“KENAPA?
Dari tadi hang tak habis-habis jeling kat aku. Ada masalah ke?” Khadeja berkerut
dahi sambil menentang pandangan Budiman. Dia tahu ada sesuatu yang sedang
bermain-main di fikiran lelaki itu.
Budiman melepaskan nafas deras. Gelagatnya membuatkan
Khadeja semakin pelik.
“Aku cuma tak faham dengan pemikiran hang,” ujar lelaki
itu akhirnya.
“Apa maksud hang ni, Man?”
“Kenapa susah sangat hang nak terima perubahan kat
kampung kita ni? Dalam ramai orang, kenapa mesti hang seorang aje yang selalu
nak memprotes bila ada pihak pemaju datang sini nak beli tanah?” Panjang
Budiman mengeluarkan pertanyaan.
“Oh, hang nak bercakap pasal tu ke?” Khadeja sudah
mengerti mengapa reaksi Budiman agak berbeza pada petang itu.
“Yelah. Habis tu hang ingat aku bercakap pasal apa?”
Budiman mendengus lagi.
Keadaan di sekitar gerai makan sudah semakin lengang. Semua
pelanggan sudah pulang kerana sebentar lagi gerai itu akan ditutup.
Tika itu, hanya ada Khadeja dan Budiman di ruangan dapur.
Manakala Fatimah, Abu Hanifah dan Kelubi sibuk membersihkan ruang di hadapan
gerai tersebut.
Budiman sengaja mendekati Khadeja yang sejak tadi
membasuh pinggan dan mengemas peralatan dapur. Dia ingin mengambil peluang
untuk berbicara dengan gadis itu tentang situasi haru-biru yang berlaku di
balairaya beberapa jam yang lalu.
“Man, kenapa hang masih nak tanya aku soalan yang sama? Hang
tahu kan, apa pesanan arwah ayah aku dulu? Dia tak bagi aku jual tanah kat
siapa-siapa. Dia dah amanahkan tanah tu supaya aku jaga elok-elok.” Khadeja
memberitahu.
“Aku tahu! Tapi Jah... kalau hang tak nak jual tanah
keluarga hang pun, janganlah sekat keputusan orang lain. Hang buat kacau kat
balairaya sampai semua orang kampung dah terpengaruh dengan kata-kata hang. Tak
habis-habislah hang ni, Jah!” Budiman menegur dengan nada tidak puas hati.
“Kalau orang kampung terpengaruh dengan kata-kata aku,
baguslah! Apa yang aku cakap tu pun sebab aku tak nak orang kampung mudah
percaya. Hang pun jangan nak mudah terpedaya dengan komisyen depa tu. Pihak
pemaju cuma fikir pasal keuntungan. Otak depa tu tahu kira duit aje! Bukannya
depa peduli yang tanah tu ada semangat hidup dan maruah kita.” Khadeja membalas
dengan beria-ia.
Budiman merapatkan bibir. Dalam diam dia melemparkan
rengusan untuk kesekian kali. Setiap kali berbicara tentang isu tanah dengan
gadis itu, pasti dia akan kalah. Khadeja memang bijak berhujah.
“Dahlah, Man. Hang tak payah nak meleter kat aku. Aku
tahu apa yang aku buat. Sampai bila-bila aku takkan bagi sesiapa pun ambil
kesempatan kat kampung kita terutamanya orang luar macam pihak-pihak pemaju
tu!”
“Jah...”
“Sekarang, hang pergilah kemas kerusi meja kat depan. Aku
nak habiskan mengemas kat dapur ni. Kejap lagi aku nak balik!” Khadeja
memusingkan topik. Dia terus memberi tumpuan kepada pinggan dan mangkuk di
dalam sinki yang tinggal sedikit.
Sengaja dia tidak memberi peluang kepada Budiman untuk
terus bersuara kerana dia sendiri tidak bercadang untuk meneruskan perbincangan
itu. Justeru, Budiman hanya mampu mengeluh.
USAI
kerja-kerja membersih dan mengemas, Khadeja mula menarik pintu untuk mengunci
gerainya. Dia adalah orang terakhir yang berada di situ selepas Fatimah dan
Budiman berangkat pulang bersama-sama Abu Hanifah dan Kelubi beberapa detik
tadi.
Khadeja meletakkan beg tangan dan barang-barangnya di
dalam bakul. Kemudian dia menolak basikalnya ke tepi jalan. Dia berkira-kira
untuk mula mengayuh. Namun niatnya tergendala. Hatinya tiba-tiba bagai dirasuk
sesuatu yang tidak enak.
Kepalanya mula melingas. Matanya melilau ke sekeliling.
Tak tahu kenapa dia seperti terasa seolah-olah ada seseorang yang sedang
memerhatinya di situ.
Ah, mengarut aje! Siapa pulak yang takde kerja nak
perhatikan aku? Hati kecilnya berdetik tanpa menunggu.
Khadeja segera membuang perasaan tidak-tidak. Kali ini,
dia menaiki basikal dan mula mengayuh menelusuri denai di sepanjang pantai
Kampung Pulau Perindu. Bibirnya menyanyi kecil. Pelbagai lagu yang dinyanyikan.
Semua irama yang terlintas di benaknya bercampur-aduk menjadi satu.
Bila sesekali dia dicuit perasaan aneh, kepalanya menoleh
ke belakang. Dia memang terasa bagai ada seseorang yang sedang memerhatinya!
“Hisy, kau ni Jah! Hari dah petang. Kenapa mesti nak
fikir yang bukan-bukan?” Mulutnya mengomel sendirian. Dia terus mengayuh
basikal sehingga tiba di laman rumahnya.
Kelihatan beberapa ekor ayam yang sedang mengais tanah
untuk mencari makanan. Tidak jauh dari situ, ada sekumpulan itik yang berenang
di dalam kolam khas. Turut terdapat dua ekor kambing dan seekor kerbau yang
diikat pada pokok.
Khadeja menyandarkan basikalnya di tepi rumah. Kemudian
dia berjalan ke arah anak-anak tangga. Terdapat sebuah tempayan yang berisi air
di situ. Sudah menjadi kebiasaan, sebelum masuk ke dalam rumah Khadeja akan
menggunakan air di dalam tempayan itu untuk membasuh kakinya.
“Assalamualaikum.” Tiba-tiba kedengaran suara lelaki yang
menyapa.
Khadeja terperanjat. Hampir berderau darahnya sehingga
kakinya hampir terpelecok ketika mahu menaiki anak tangga.
“Eh, awak... hati-hati!” Lelaki tadi segera berkata.
Khadeja cepat-cepat memegang tiang. Kali ini dia
berpaling ke belakang, lalu dia ternampak kelibat Aliff yang sedang berdiri
tidak jauh dari situ.
“Hai.” Aliff menyapa setelah mendapati tubuh Khadeja
sudah berdiri dalam keadaan stabil. Dia kemudian tersenyum.
Khadeja makin terkejut. Kemunculan lelaki itu tidak
langsung diduga.
“Apa awak buat kat sini? Kenapa tiba-tiba muncul kat rumah
saya?” Dia pantas bertanya.
Tanpa menunggu, dia mencapai sebatang kayu di atas
pelantar rumahnya lalu diacukan ke arah Aliff.
Aliff terkedu. Dia spontan mengangkat tangan.
“Bawa bertenang Cik Khadeja! Saya tak buat apa-apa.” Itu
alasan yang terfikir dek otak Aliff ketika itu.
“Awak jangan tipu! Awak ikut saya ya? Apa niat awak
sebenarnya?” Suara Khadeja meninggi. Dia segera turun ke laman rumah. Tangannya
masih erat memegang kayu. Dia bersiap-siaga untuk bertindak sekiranya Aliff
cuba mendekatinya. Manalah tahu lelaki itu mahu melakukan sesuatu.
“Sabar Cik Khadeja. Saya memang takde niat apa-apa.”
Langkah Aliff berundur beberapa tapak. Risau jika gadis itu bertindak lebih
agresif.
“Habis tu, kenapa awak boleh ada kat sini? Macam mana
awak tahu ni rumah saya?”
“Awak turunkanlah kayu tu dulu. Nanti saya terangkan kat
awak macam mana saya boleh ada kat sini.” Aliff memohon.
Khadeja merenung lama raut Aliff yang tampak kalut.
Walaupun berasa agak lucu dengan reaksi gementar lelaki itu, dia hanya menahan
perasaan tersebut di dalam hatinya. Dia harus kekal serius kerana dia bukannya
betul-betul mengenali lelaki itu.
Setelah beberapa detik, Khadeja akhirnya menurunkan kayu
ke bawah.
“Hah, apa dia alasan awak?” soalnya ingin tahu. Suaranya
sedikit keras kerana tidak mahu lelaki itu berfikir yang dia seorang gadis yang
lemah.
Aliff menarik nafas dalam. Lega! Garang jugak perempuan
ni, bisiknya.
Khadeja masih menanti jawapan Aliff.
Suasana di sekitar rumah papan itu mulai suram kerana jam
semakin menginjak ke waktu senja. Sebentar lagi malam bakal melabuhkan tirai.
“Sebenarnya, saya ke Warung Perindu tadi. Tapi dah
berkunci. Tup... tup... saya ternampak awak tengah kayuh basikal. Saya tak
sempat nak panggil. Jadi saya ikutlah awak sampai ke sini.” Aliff kemudian memberitahu.
Tangannya mula menunjukkan sebuah basikal yang terparkir
beberapa meter dari kawasan itu. Basikal tersebut telah disewa dari tempat penginapannya
hampir sejam yang lalu sebagai alat pengangkutannya ke situ tadi.
“Boleh tahan jugak awak kayuh basikal. Laju macam bawak
motor pulak,” gurau Aliff.
“Kenapa awak ke warung saya? Apa yang awak nak?” Khadeja
tidak bercadang untuk melayan gurauan Aliff. Perihal tujuan kedatangan lelaki
itu adalah lebih penting.
“Errr...” Aliff hilang idea.
Khadeja mengerutkan dahi. Dia kembali curiga dengan
reaksi lelaki itu.
“Baik awak cakap, apa yang awak nak? Mesti ada sebab
sampaikan awak boleh berani ikut saya balik ke rumah!”
“Sabar... sabar!” Aliff mengangkat tangan semula. “Saya
takde niat buruk pun. Saya cuma errr...”
“Cuma apa?”
“Tadi saya ke warung awak cuma nak minum-minum.”
“Habis tu sekarang? Awak nak apa kat rumah saya ni?”
“Sekarang...” Aliff menelan air liur. Dia kembali
mengorek alasan di sudut fikirannya.
Khadeja bersedia untuk menaikkan semula kayu di tangannya.
“Sekarang... saya cuma nak tengok rumah awak aje!” Aliff
tiba-tiba memberikan jawapan.
“Nak tengok rumah saya?”
“Rumah awak cantik!” Aliff mengangguk. Ayat itu terpacul
secara automatik dari mulutnya bila terpandangkan rumah papan yang kemas berukiran
dan tersergam di hadapannya.
Khadeja merengus. Dia tahu Aliff sedang berpura-pura.
“Encik Aliff, apa kata sekarang ni awak berterus-terang
aje! Sebenarnya awak cari saya berkaitan dengan tanah kampung ni, kan? Awak
cuba pujuk saya supaya setuju dengan cadangan projek pelancongan syarikat awak
tu ke?” Khadeja meneka tanpa teragak-agak.
Aliff terkedu. Dia tidak menyangka Khadeja boleh berfikir
sejauh itu.
“Kalau betul pasal tu, saya nak beritahu awak sekali lagi
yang saya takkan setuju! Saya jugak akan terus pujuk orang-orang kampung supaya
jangan termakan dengan kata-kata manis Datuk Affendi tu!”
“Cik Khadeja, awak patut dengar dulu apa yang saya nak
cakap.”
“Awak nak suruh saya dengar apa lagi?”
“Jah? Jah dah balik ke?” Tak semena-mena Mak Piah muncul
dari pintu rumah.
Keadaan itu menyebabkan perbualan antara Aliff dan
Khadeja terhenti mendadak.
Khadeja pantas memberi isyarat kepada Aliff supaya
mendiamkan diri. Kemudian dia cepat-cepat menuju ke arah Mak Piah.
“Assalamualaikum mak. Err... Jah baru sampai.”
“Walaikumussalam. Jah bercakap dengan siapa tu? Mak
dengar ada suara orang,” tanya Mak Piah.
“Eh, takde sesiapa pun mak.” Khadeja menjawab sambil
menjegilkan biji matanya ke arah Aliff. Dia tidak mahu lelaki itu membuka mulut
untuk meneruskan kata-kata.
“Takde sesiapa? Betul ke?” Mak Piah inginkan kepastian.
“Betul mak. Dahlah, jom kita masuk!” Khadeja mengajak.
Dia kemudian menyuruh Aliff segera pulang. Apakan daya, tidak sempat dia
membawa ibunya masuk ke dalam rumah Aliff tiba-tiba mendekati anak-anak tangga.
“Assalamualaikum makcik. Saya Aliff Zulkarnain, kawan
Khadeja.” Aliff terus menyapa. Entah kenapa, dia tidak bercadang untuk
mempedulikan amaran Khadeja sejenak tadi.
Khadeja terkejut dengan tindakan berani lelaki itu.
“Siapa dia?” Mak Piah terus melilaukan kepala mencari
arah datangnya bunyi suara seorang lelaki tadi.
“Saya Aliff... kawan Khadeja dari Kuala Lumpur, makcik.”
“Aliff? Kawan Jah dari Kuala Lumpur?” Mak Piah
kehairanan. “Betul ke Jah? Kenapa tak jemput kawan Jah naik ke rumah?”
Khadeja menatap Aliff. Dia bengang. Bila masa pulak dia
jadi kawan aku?
“Jah?”
“Err... sebenarnya, kawan Jah ni dah nak balik KL dah
mak.” Tanpa sedar, Khadeja memberitahu.
“Nak balik KL apanya? Hari dah nak malam ni!” Mak Piah
menegur.
Khadeja tersedar akan kesilapannya. Mana ada bot yang
akan keluar dari jeti kampung itu menuju ke seberang bila hari menginjak malam?
Apabila ternampak senyuman lucu di bibir Aliff, Khadeja semakin geram. Dia
menggertap gigi.
Mak Piah terus meraba-raba tiang untuk menuruni anak tangga.
Khadeja membantu emaknya.
Tatkala ternampak Mak Piah terkial-kial memakai selipar,
barulah Aliff menyedari yang ibu kepada Khadeja rupa-rupanya seorang wanita
buta. Dia pantas membantu wanita itu menyarungkan selipar di kaki.
“Makcik tak tahu pun Jah ada kawan dari Kuala Lumpur.
Siapa nama tadi?”
“Aliff, makcik.” Aliff memberitahu sambil bersalaman
dengan Mak Piah.
“Haaa, Aliff. Jemputlah naik ke pondok buruk kami ni.”
Mak Piah meraba-raba laman wajah Aliff yang hanya diam membiarkan.
“Hari pun dah malam. Kejap lagi kita boleh makan
sama-sama,” tokok Mak Piah.
“Betul ke, makcik? Boleh jugak. Kebetulan, dah lama saya
tak makan masakan asli dari kampung. Tak sangka hari ni boleh merasa.” Aliff
teruja sambil memandang Khadeja lalu dia menaikkan keningnya ke arah gadis itu.
Khadeja mengerutkan dahi. Hatinya semakin sakit dengan
tingkah lelaki itu yang memandai-mandai menerima pelawaan emaknya.
“Hah, eloklah! Mari naik ke rumah makcik!”
“Tak payahlah mak. Sebenarnya tadi Aliff dah minta diri
nak balik ke bilik hotel dia.” Khadeja pantas menolak. Dia jadi tidak selesa
dengan tiba-tiba.
“Kot ya pun, jamulah Aliff dulu. Tak baik biarkan tetamu
balik dengan perut kosong. Kawan jenis apa Jah ni?” tegur Mak Piah.
Khadeja merapatkan bibir. Dia merengus dalam diam. Geram
dibuatnya. Apatah lagi bila ternampak Aliff yang mengenyitkan mata sambil
tersenyum gembira.
“Jom, Aliff! Lepas solat maghrib nanti kita boleh makan,”
pelawa Mak Piah yang sudah memanjat tangga untuk memasuki rumah.
“Baiklah, makcik.” Aliff segera mengekori. Dia pura-pura
tidak ambil peduli akan pandangan kurang senang Khadeja. Namun, gadis itu
pantas sekali menghalang perjalanannya.
“Encik Aliff, apa yang awak cuba buat sebenarnya ni?”
Khadeja bertanya dengan suara yang keras tetapi perlahan. Dia tidak mahu
soalannya itu didengari oleh emaknya yang sudah menghilangkan diri ke dalam
rumah.
“Saya nak awak balik sekarang!” arah Khadeja keras.
“Kenapa pulak saya nak kena balik? Mak awak dah pelawa
saya makan kat sini!”
“Awak sengaja nak dekati mak saya, kan? Baik awak jangan
berangan nak pujuk mak saya pasal urusan tanah untuk projek pelancongan awak
tu!” Khadeja memberi amaran.
Aliff kelihatan tenang.
“Ingat, jangan sekali-kali awak cuba nak sebut pasal hal
tu!” tekan Khadeja.
“Aliff, marilah masuk. Kenapa belum naik lagi?” Suara Mak
Piah sayup-sayup kedengaran mencelah.
“Ya, makcik saya datang sekarang.” Aliff menyahut. Dia
tidak menghiraukan ucapan Khadeja, laju dia memulakan langkah. Namun, baru
separuh dia meniti anak tangga, tiba-tiba dia kembali turun ke bawah.
“Sorry,terlupa nak basuh kaki!”Aliff berkata sambil menceduk air dari dalam tempayan lalu
dicurahkan pada kedua-dua belah kakinya.
“Dah lama saya teringin nak buat macam ni. Maksud saya,
basuh kaki guna air tempayan sebelum masuk rumah. Selalunya dapat tengok dalam
drama Melayu kat tv aje,” ujar Aliff tanpa disuruh. Dia sempat tersengih.
Khadeja yang masih tercegat di
laman rumahnya sekadar memerhati kelakuan Aliff. Dia tidak mempedulikan ucapan
lelaki itu. Sudut hati kecilnya masih dipalu perasaan berbuku.