“KAMPUNG Pulau Perindu? Nak bertolak hari Sabtu ni ke?”
Datin Soraya melemparkan pertanyaan. Dia memandang raut Datuk Affendi dan Aliff
bersilih-ganti.
Ruang rehat keluarga yang terletak di tingkat satu rumah
banglo milik Datuk Affendi itu terasa hening. Jarum jam baru melepasi angka
8.30 malam. Mereka sekeluarga baru lepas menjamu hidangan yang disediakan oleh
Makcik Bibah, pembantu rumah yang telah berkhidmat hampir 30 tahun di situ.
Kini, mereka sedang bersantai di ruangan yang berkonsepkan moden tropika itu.
“Kami akan bertolak ke Pulau Langkawi awal pagi Sabtu.
Dari sana, kami akan naik bot ke Kampung Pulau Perindu. Lepas selesai taklimat
jual beli tanah dengan penduduk kampung, kami akan bertolak balik ke sini hari Ahad
petang.” Datuk Affendi membalas pandangan isterinya.
Sedetik kemudian, dia mengerling Aliff. Dia tidak
menyangka anak sulungnya akan membuat keputusan mengejut untuk menyertainya ke
Kampung Pulau Perindu bersama Yus dan seorang lagi pekerja Samudera Holdings
bernama Kamil.
Padahal ketika di restoran makan tengah hari tadi, dia
cuma bercerita tentang rancangan pembangunan yang akan dilakukan oleh
syarikatnya ke atas sebahagian kecil tanah kampung yang terletak di daerah
Pulau Langkawi itu.
Mungkin kerana semangatnya yang berkobar-kobar untuk
membina villa mewah dan resort berkonsepkan tradisional dapat dirasai oleh
Aliff sehingga mendorong anaknya untuk ikut serta. Menurut Aliff, dia mahu
melihat sendiri keindahan Kampung Pulau Perindu seperti yang diceritakan.
“Abang ni mesti dah lupa, kan?” Tak semena-mena Datin
Soraya menduga. Suara wanita yang rambutnya separas bahu itu kedengaran
merajuk.
“Lupa apa, Soraya?” Datuk Affendi mengerutkan dahi. Aliff
yang sejak tadi leka menatap ipad, terus meletakkan pandangan ke arah Datin
Soraya. Dia turut tidak mengerti maksud ucapan mamanya.
“Tengok tu! Nampak sangat abang tu dah tua. Semalam kan,
saya beritahu abang yang hujung minggu ni Selinna jemput kita ke rumahnya. Ada
kenduri doa selamat untuk Zana.”
“Astaghfirullahalazim. Abang betul-betul terlupa pasal
kenduri tu!” Datuk Affendi kelihatan terkejut lalu bersuara dalam nada kesal.
“Habis tu, macam mana? Takkan saya nak pergi
seorang-seorang? Selinna beria-ia jemput kita sekeluarga dan dia berharap
sangat Aliff dapat datang untuk sama-sama mendoakan keselamatan Zana sebelum Zana
bertolak balik ke London. Kita pun dah lama tak jumpa Selinna!” Datin Soraya
berkata panjang.
“Eh, Zana dah nak bertolak balik ke London, mama?” Aliff
seperti terkejut. Dia cuba mendapatkan kepastian terhadap kata-kata mamanya
tadi.
Benaknya spontan terbayangkan wajah Suzana, gadis
bergelar doktor yang kini bekerja di sebuah hospital swasta di United Kingdom.
Suzana telah dikenalinya semenjak kecil. Gadis itu adalah anak tunggal kepada
arwah Tan Sri Mustafa dan Puan Sri Selinna.
Arwah Tan Sri Mustafa merupakan sahabat baik Datuk
Affendi. Mereka telah berkenalan ketika masing-masing masih bujang dan menuntut
di luar negara lebih 30 tahun yang lalu.
Persahabatan yang erat antara Tan Sri Mustafa dan Datuk
Affendi menyebabkan Aliff dan Suzana turut berkawan baik memandangkan ibu
masing-masing juga mempunyai hubungan yang erat kerana sering bertemu pada masa
dahulu. Cuma kini masing-masing jarang berjumpa kerana sibuk dengan urusan
perniagaan.
“Ini lagi seorang! Asyik fikir pasal kerja aje. Sebab tu
lupa banyak perkara.” Datin Soraya mengomel pada Aliff.
“Zana tu dah cuti lebih sebulan kat sini, Aliff. Lagi dua
minggu dia akan balik semula ke London. Macam mana Aliff boleh lupa ni?” Datin
Soraya menambah dengan suara kurang senang. Anak bujangnya yang sulung itu
bersikap terlalu sambil lewa.
“Akhir-akhir ni Aliff sibuk sikitlah mama. Banyak kerja
kat ofis. Tak sedar langsung yang rupa-rupanya Zana dah nak balik ke London.”
Aliff beralasan.
“That’s why I always told you to take a break!Mama
tengok Aliff sendiri pun dah lama tak bercuti. Selalu sangat menghadap kerja
yang takkan habis kat ofis tu. Sepatutnya bila Zana balik ke sini, Aliff ambil
cuti panjang dan spend masa dengan dia. Bawa dia pergi berjalan-jalan!”
Aliff kehilangan kata-kata. Dia terus menggaru-garukan
kepalanya sambil mengerling ke arah Datuk Affendi yang tersenyum kecil
mendengar leteran mamanya.
“I don’t thinkabah tak benarkan Aliff ambil cuti.
Ni mesti Aliff yang selalu dulukan urusan kerja daripada perkara lain.” Datin
Soraya masih belum berhenti meleteri sikap anak sulungnya.
“Dahlah, Soraya! Jangan marahkan Aliff tu. Awak patut
bersyukur dapat anak yang pentingkan kerja dari pentingkan perkara yang
bukan-bukan.” Datuk Affendi menyampuk.
“Kot ya pun... janganlah sampai tak ingat nak bersosial!”
“Eh, bila masa pulak Aliff tak ingat nak bersosial?”
Aliff segera menangkis ucapan mamanya.
“Yelah, kalau asyik menghadap ipad dan terperuk aje kat
rumah tiap-tiap malam, bersosial apanya? Mama sebenarnya risau tengok Aliff ni.
Umur dah makin banyak, sampai bila Aliff nak pentingkan kerja dan tak fikir
langsung pasal kahwin?”
Suasana di ruang rehat keluarga jadi gamat untuk
seketika. Makcik Bibah muncul sambil membawa minuman panas. Sudah menjadi
kebiasaan keluarga itu untuk menikmati hidangan ringkas selepas makan malam
sebelum masuk tidur.
“Okey, sekarang Aliff dah faham! Sebenarnya mama risau
tengok Aliff konon-konon tak bersosial sebab mama dah tak sabar nak terima
menantu?”
Kelihatan Makcik Bibah mengerling ke arahnya. Aliff
mempamerkan wajah bosan kerana sudah lali dengan topik tersebut. Makcik Bibah
tersenyum-senyum sebelum melangkah pergi. Mungkin kerana sudah lama bekerja di
situ, Aliff sudah menganggap pembantu rumahnya itu ibarat ahli keluarganya
sendiri.
“Of course!Umur macam Aliff ni sepatutnya dah ada
isteri tau. Mama dan abah patut dah ada cucu sekarang ni. Bukan seorang atau
dua, tapi ramai!”
“Alah, mama rilekslah! Sampai waktu nanti, Aliff akan
bawak menantu untuk mama dan abah.”
Mendengar ucapan Aliff, Datin Soraya dan Datuk Affendi
lantas berpandangan.
“Aliff dah ada calon ke?” Datin Soraya cuba mengorek.
Datuk Affendi turut nampak berminat mahu tahu jawapan
dari anak sulungnya. Dalam diam, dia memasang telinga.
“Calon untuk Aliff memang ramai kat luar tu, mama!”
“Ramai? Maksudnya?” Datin Soraya dan Datuk Affendi sekali
lagi berpandangan sesama sendiri.
“Hmm, ramai! Tapi dalam ramai-ramai tu, cuma seorang aje
yang bertuah akan jadi isteri Aliff. So,mama jangan risau. Aliff takkan
tunggu sampai dah tua berkedut baru nak kahwin dan Aliff takkan cari gadis
sembarangan yang mama dan abah tak suka. I tell you, gadis bertuah yang
akan jadi isteri Aliff adalah gadis yang kenal dan faham cara hidup keluarga
kita!” Bertali-arus ucapan itu termuntah dari mulut Aliff.
“Betul tu! Abah suka kalau Aliff berfikir macam tu. Aliff
akan berkahwin dengan gadis yang kenal dan faham cara hidup keluarga kita. That’s
good!” Datuk Affendi serta-merta bersetuju dengan ucapan anak lelakinya.
Suaranya kedengaran lantang. Datin Soraya tersenyum bila ternampak lirikan
suaminya terlempar ke arahnya.
Sebenarnya, mereka sudah mempunyai calon isteri untuk
Aliff. Nampaknya, gambaran Aliff tentang calon menantu mereka tadi bagaikan
bersesuaian dengan gadis yang terlintas di benak mereka sejak sekian lama.
“KENAPA muka semua nampak serius aje ni? Berbincang pasal
apa? Did I miss something?” Leroy tiba-tiba muncul di situ lalu duduk
menyertai ahli keluarganya. Dia baru pulang dari bertemu teman-teman.
“Yes, Leroy! You did missed something. Sebenarnya kami
sedang serius berbincang pasal kau ni.” Aliff pantas mengambil kesempatan untuk
menukar tajuk perbualan.
Bibir Datin Soraya yang sedang menguntum senyum, terus
melepaskan tawa bila Datuk Affendi terangguk-angguk tanda bersetuju dengan
ucapan Aliff.
Leroy yang baru menikmati minuman panas yang terhidang di
atas meja lantas mengerutkan dahi.
“Semua sedang berbincang tentang Leroy? Berbincang pasal
apa?” Leroy memandang Aliff, abah dan mamanya bersilih-ganti.
“Abah nak tahu, bila Leroy nak mula bekerja di Samudera
Holdings? Sampai bila nak duduk melepak dan goyang kaki kat rumah ni? Lepas tu
keluar dan balik ikut suka hati?” Datuk Affendi mengeluarkan pertanyaan.
“Alaaa abah... kan, Leroy dah beritahu mama yang Leroy tak
bersedia lagi nak bekerja. Mama tak beritahu abah ke?” Anak muda yang berusia
pertengahan 20-an itu menoleh ke arah Datin Soraya.
“Jangan salahkan mama. Mama dah beritahu abah sejak Leroy
habis belajar lagi. Tapi Leroy kenal perangai abah, kan? Dia takkan bagi Leroy
berehat lama-lama,” ujar wanita itu.
“Bagilah Leroy sikit masa lagi, abah!”
“Berapa banyak masa lagi yang kau nak ni, Leroy? Dah
lebih sebulan kau habis belajar. Takkan nak tunggu sampai setahun baru nak masuk
kerja?” Aliff mencelah, tidak bersetuju dengan permintaan adiknya.
“Takdelah sampai setahun, Abang Aliff!”
“Habis tu?”
Leroy menatap Datuk Affendi.
“Abah bagilah Leroy sebulan, dua aje lagi. Leroy nak
rehat-rehatkan otak dulu. Penat studymasih tak habis lagi ni!” Leroy
berkata.
“Mama... tolonglah pujuk abah tu!” Dia meminta belas
ihsan dari Datin Soraya pula.
“Mama tak nak masuk campur!” Datin Soraya mengangkat dua
tangan tanda menyerah.
“Masa Abang Aliff dulu, nak berehat tak ambil masa sampai
dua, tiga bulan pun!” Aliff membebel ke arah Leroy.
“Yes I know!Sebab tulah sampai sekarang Leroy respect gila kat
Abang Aliff sebab mampu terus bekerja walaupun baru seminggu habis master.
Sebenarnya, sampai hari ni pun Leroy masih tertanya-tanya macam mana Abang
Aliff boleh buat macam tu?!” Leroy memandang raut abangnya yang waktu itu sudah
meletakkan ipad ke sisi kanan.
“Kau ni nak sindir Abang Aliff ke?”
“Bukan sindirlah, tapi memang betul pun Abang Aliff terus
bekerja lepas seminggu dapat master,kan? Tak payahlah nak argue!”
“Leroy ni kalau bercakap dengan dia, ada-ada aje yang
dijawab!” Datin Soraya menegur kelakuan anak bongsunya yang memang bijak
bermain kata-kata.
“Memang pun!” Aliff mengeyakan.
Leroy tersengih-sengih. Tambahan pula bila ternampak anak
mata Datuk Affendi terlempar ke arahnya.
“Sebulan dua aje lagi abah. Boleh kan? Leroy janji, lepas
ni Leroy akan buat apa aje yang abah atau Abang Aliff suruh kat Samudera
Holdings tu.” Leroy mengangkat tangan tanda memegang janji.
“Macam mana Aliff? Nak bagi ke adik kamu berehat sebulan
dua lagi?” tanya Datuk Affendi, meminta pendapat anak sulungnya.
“Aliff rasa... seminggu dua pun dah cukup abah!” jawab
Aliff.
“Okey, seminggu dua!” Datuk Affendi bersetuju.
“Alaa...”
“Nak seminggu dua ke nak sehari dua?” tanya Datuk Affendi
semula.
“Okey... okey... apa kata bagi Leroy lagi sebulan? Sebulan
aje. I promise!” Leroy berusaha memujuk Datuk Affendi.
Kelihatan abahnya dan Aliff yang melawan pandang.
Kemudian, masing-masing tersenyum memberi isyarat setuju dengan permintaannya.
“Okey, sebulan! Not more than that.Abah akan
suruh Norizan sediakan tempat untuk Leroy di bahagian admin.”
“Tempat? Leroy tak dapat bilik sendiri ke, abah?”
“Eh, budak ni! Abang Aliff yang ada sijil mastertu
pun bermula dari bahagian bawah. Inikan pulak Leroy yang cuma ada degree.”
Datin Soraya mengomel.
Leroy memuncung. Gelagatnya membuatkan Aliff tertawa
lucu.
“Buktikan dulu yang Leroy boleh buat kerja. Masa tu, baru
abah akan sediakan satu bilik khas untuk Leroy macam Abang Aliff. I’ll give
you six month to prove that you have something to show to me and board of
directors,” kata Datuk Affendi.
Leroy mendengus perlahan. Tahu-tahu saja, dia terasa
bahnya ditepuk.
“Good luck, bro!”Aliff mengusik.
Terus Leroy mencebik.
“Okey, urusan tentang Leroy dah selesai. Sekarang ni,
urusan kenduri kat rumah Selinna ni macam mana, bang?”
Datin Soraya pantas menukar tajuk. Benaknya teringatkan
semula perkara yang belum mencapai kata putus itu.
“Ya tak ya! Hampir terlupa dibuatnya. Macam ni lah, esok
abang akan callSelinna. Abang akan minta maaf sebab tak dapat hadir
majlis kenduri doa selamat untuk Zana. Jadi, masa kenduri nanti, biar Leroy
temankan awak ke sana untuk wakilkan keluarga kita.” Panjang Datuk Affendi berbicara.
Dia kemudian meletakkan fokus ke arah Aliff.
“Aliff pun kena callZana. Minta maaf dari dia.
Seeloknya, ajak Zana berjumpa sebelum dia balik ke London.”
“Okey, abah. No problem.Aliff akan callZana
malam ni jugak.” Aliff menurut tanpa banyak soal.
“Eh, sekejap... sekejap! Ada kenduri doa selamat untuk
Kak Zana ke, mama? Bila? Kak Zana dah nak balik London?” tanya Leroy. Dia amat
mengenali gadis bernama Suzana yang sudah dianggap bagaikan kakak semenjak dia
masih kecil.
“Kak Zana dah nak habis cuti. Hujung minggu ni Auntie
Selinna buat kenduri doa selamat di rumahnya. Leroy kena temankan mama tau
sebab abah dan Abang Aliff ada urusan kerja kat Langkawi.”
“Hujung minggu ni? Alamak! Kan, Leroy dah beritahu mama
yang Leroy ada functiondengan kawan-kawan kat JB?”
Datin Soraya terpaku seketika. Tiba-tiba dia menepuk dahi
kerana baru teringat akan perkara itu.
“Ya ALLAH, mama terlupalah!” Dia membawa fokus pada raut
Datuk Affendi.
“Hmm, nampaknya kat rumah ni bukan saya aje yang dah
makin tua, Soraya. Sebenarnya awak pun dah tunjukkan tanda-tanda yang sama,”
usik suaminya ibarat memulangkan paku buah keras.
Aliff yang mendengar ayat itu terus ketawa.
Datin Soraya mengetap bibir.
“Apa-apapun, sekarang ni saya seorang ajelah yang kena
pergi kenduri di rumah Selinna tu, kan!”
“Takpelah. Mama seorang pun dah cukup untuk jadi wakil
keluarga kita. Lebih baik ada daripada takde.” Aliff berbicara.
“Betul tu!” sahut Leroy.
Waktu itu, Datin Soraya tidak berkata apa-apa. Dia
sekadar memandang raut Datuk Affendi. Suaminya itu dilihat terangguk-angguk
tanda bersetuju dengan pendapat Aliff.