“SETAKAT
ni, ada sesiapa yang kurang jelas? Kalau ada, sila kemukakan soalan. Kami akan
jawab satu persatu.” Datuk Affendi berkata.
Nadanya penuh bersemangat. Dia baru selesai menjelaskan
perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan jual beli tanah dan beberapa
perancangan yang akan dilakukan oleh Samudera Holdings di Kampung Pulau
Perindu.
Tika itu, ruang di bangsal balairaya bersaiz sederhana
itu dipenuhi dengan penduduk kampung. Ada yang mendengar sambil
terangguk-angguk, ada yang berkerut-kerut dan ada juga yang berbisik-bisik
sesama sendiri.
Sejenak, Datuk Affendi mengerling Aliff. Anaknya itu
sedari tadi membeku di satu sudut balairaya bersama Yus dan Kamil. Dia yakin
anaknya itu ralit mendengar penerangannya sambil memikirkan sesuatu.
Saat pandangan mereka bertentangan, tiba-tiba Aliff
bangun.
“Abah, boleh Aliff bercakap sikit?” Lelaki itu semerta
bertanya.
Datuk Affendi lantas mengangguk. Aliff terus berdiri di
hadapan bangsal.
“Assalamualaikum semua. Apa khabar?” Aliff menyapa. Dia tersenyum
ramah kepada semua penduduk kampung yang ada di balairaya.
“Walaikumussalam. Kami khabar baik.” Budiman sebagai
wakil, menjawab salam yang diberikan oleh Aliff.
Ke semua yang ada di situ turut melakukan perkara sama.
“Saya Aliff Zulkarnain dan saya adalah pengurus besar
kepada syarikat Samudera Holdings.” Aliff memberitahu sambil matanya meliar ke
seluruh wajah yang sedang memberikan perhatian kepadanya.
“Saya yakin pakcik dan makcik yang ada kat sini
sebenarnya masih tak jelas tentang Samudera Holdings. Jadi saya rasa... elok
kalau saya terangkan dulu serba-sedikit apa sebenarnya fungsi syarikat kami
yang menjadi tujuan utama kedatangan kami ke sini pada hari ni.” Aliff bersuara
dengan penuh tatatertib.
Datuk Affendi diam memerhati cara anaknya berinteraksi
dengan penduduk kampung.
Keadaan jadi sunyi dan sepi. Setiap wajah tampak berminat
mendengar apa yang ingin dijelaskan oleh Aliff.
“Samudera Holdings adalah sebuah syarikat pemaju hartanah
yang beroperasi di Kuala Lumpur. Syarikat kami telah menjalankan perniagaan
selama lebih 20 tahun. Pelbagai projek pembinaan di serata Malaysia telah
dilaksanakan dibawah nama Samudera Holdings dan kebanyakan dari projek tersebut
mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.” Aliff menerangkan perlahan-lahan.
Dia mahu memastikan setiap penduduk yang mendengar ucapannya memahami kata-kata
yang disampaikan.
“Sejujurnya, kehadiran kami di kampung ni bukanlah hendak
memudaratkan mana-mana pihak. Kami membawa niat untuk membangunkan sebahagian
tanah di pulau ni. Apa yang kami rancang adalah untuk kebaikan penduduk kampung
kerana ini adalah pelaburan untuk pembangunan di masa akan datang,” bicara
Aliff lebih panjang. Dia kemudian tersenyum pada setiap wajah yang memberi
perhatian ke arahnya.
Namun, senyumannya tiba-tiba terhenti bila dia terpandang
kelibat seorang gadis berselendang yang baru muncul di bangsal balairaya itu.
Eh, kenapa Khadeja datang ke sini? desis Aliff di dalam
hati. Dia tertanya-tanya maksud kehadiran gadis kampung yang ditemuinya di
sebuah gerai makan lebih setengah jam tadi.
“Betul tu! Tuan dan Puan jangan risau. Saya berjanji,
projek pelancongan yang kami bina di sini takkan merosakkan keaslian pulau ni sebaliknya
bakal membawakan pembangunankepada
taraf hidup masyarakat di kampung ini. Kami akan pastikan Kampung Pulau Perindu
turut dimajukan bersama dengan pembangunan yang bakal kami jalankan.” Datuk
Affendi kembali berkata.
Dia sengaja menyampuk kerana cuba memupuk keyakinan di
dalam diri penduduk Kampung Pulau Perindu yang kebanyakannya ralit memasang
telinga terhadap penerangan Aliff.
“Sekiranyaurusan jual beli tanah di kampung ni berjalan lancar,
saya akan pastikan semua pihak mendapat keuntungan secara adil dan saksama.
Jadi, silalah bersetuju dengan cadangan kami,” tambah Datuk Affendi lagi.
Yus dan Kamil pantas bertepuk dan bersorak bagi
memastikan keadaan yang penuh semangat itu berlanjutan.
“Assalamualaikum.” Khadeja tak semena-mena menyapa.
Suasana sepi terus terhenti disebabkan kehadiran Khadeja.
Semua mata terus menumpu ke arahnya.
Budiman berpaling. Lalu dia terkejut melihat kemunculan
Khadeja yang tidak diduga.
“Jah!” Dia memanggil.
“Minta maaf, datuk. Saya Khadeja. Boeh tak saya nak
mencelah sikit?” Khadeja meneruskan kata-katanya tanpa menunggu.
“Jah, hang nak buat apa ni?” Budiman seakan-akan tahu
tindakan gadis itu. Dia cuba menghalang namun Khadeja terus melangkah laju ke
ruang hadapan. Langsung tidak mempedulikan panggilan Budiman.
Tumpuan Aliff masih terlekat pada Khadeja. Dia diam
memerhati apa yang bakal dilakukan oleh gadis kampung yang tiba-tiba nampak
agresif dalam kelembutan sikapnya.
“Ya, Cik Khadeja nak bertanya apa-apa ke? Silakan! Kami
dah buka ruang untuk sebarang pertanyaan.” Suara Datuk Affendi kedengaran
menyoal.
“Saya rasa... sebelum datuk nak suruh kami buat keputusan
untuk jual tanah hak milik kami ni, seeloknya biarlah kami fikir dulu
betul-betul,” kata Khadeja.
Datuk Affendi terpaku.
“Ayah saya pernah beritahu, tanah pusaka adalah semangat
hidup. Warisan dari nenek moyang kami. Jadi tak mudah untuk kami nak jual macam
tu aje!”
“Cik...”
“Duit... kalau dapat beratus ribu, boleh habis dalam
sekelip mata aje, datuk. Tapi tanah pusaka sebagai semangat hidup akan hilang
buat selama-lamanya!” Khadeja terus bersuara dengan penuh sikap yang tegas.
Datuk Affendi bagai tertampar dengan kata-kata Khadeja.
“Lagi satu, kalau dah buat resort besar kat pulau ni,
habislah pokok-pokok dan bukit-bukit di kampung ni kena tarah. Jadi apa maksud
datuk projek pelancongan ni takkan merosakkan keaslian pulau kami?” tambah
Khadeja lagi.
“Betul jugak tu!” Kedengaran suara orang kampung
berbisik-bisik.
Beberapa orang yang lain kelihatan terangguk-angguk
bagaikan bersetuju dengan ucapan Khadeja.
Wajah Datuk Affendi merah padam.
Aliff yang membatu sejak tadi seakan-akan terpegun
memandang dan mendengar kata-kata Khadeja. Sejujurnya, ucapan gadis itu
dirasakan bernas dan mewakili suara hati penduduk kampung.
“Err… tu aje saya nak cakap. Sekian terima kasih.” Khadeja
ingin beredar.
Namun, pandangannya terlekap pada seraut wajah lelaki muda
yang sedang berdiri di satu sudut balairaya itu. Lelaki bert-shirt putih
itu kelihatan membatu.
Lantas Khadeja membiarkan mata mereka bertentangan untuk
beberapa saat.
Nampaknya, Aliff juga salah seorang wakil dari syarikat
pemaju! Pasti lelaki itu datang untuk memastikan penduduk kampung menjual tanah
Pulau Perindu untuk dijadikan sebagai resort! Khadeja berkata kepada diri
sendiri.
Dia terus membawa langkahnya keluar dari bangsal
balairaya sebelum mencapai basikalnya.
“Hang ni Jah, tak habis-habis buat
perangai. Asyik nak menentang aje.” Budiman tiba-tiba mendekatinya lalu
menegur.
Khadeja berpaling.
“Dah perkara kita tak setuju, kenalah lawan balik.
Macamlah hang tak kenal aku!” Khadeja menjawab dengan suara keras.
“Tak boleh ke sesekali hang biarkan perjumpaan orang
kampung dengan pihak pemaju tak jadi kalut macam ni?”
“Oh, sebab tu lah hang sengaja tak beritahu aku pasal
perjumpaan hari ni, kan?” Khadeja terus membebel.
Dia berasa bengang dengan tindakan Budiman menyembunyikan
perjumpaan itu daripadanya.
Budiman mengetap bibir.
“Hang nak biarkan orang kampung kita termakan dengan
kata-kata manis depa ke? Mana boleh senang-senang kita jual tanah pulau ni kat
depa?” marah Khadeja.
Tika itu dia mengerling ke arah balairaya dan ternampak
Aliff yang masih belum melarikan pandangan ke mana-mana.
“Kalau ada orang kampung yang berminat nak jual tanah...
apa salahnya? Pihak pemaju tu nak buat projek pelancongan demi pembangunan
kampung kita jugak!” Budiman menyatakan pendapat.
“Pada aku, banyak lagi projek lain yang boleh memajukan
kampung kita. Tak semestinya kena jual tanah dan bergantung pada projek
pelancongan yang depa cadangkan tu!”
“Jah...”
“Dahlah aku malas nak dengar lagi!” Khadeja memintas. Dia
meletakkan punggungnya di tempat duduk basikal.
Tanpa mempedulikan apa-apa,
dia mula mengayuh untuk segera beredar dari kawasan balairaya itu.