Home Novel Cinta Langit Cinta
Langit Cinta
Damya Hanna
3/4/2015 15:53:39
158,214
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 13
DATUK AFFENDI merengus kuat. Terpancar riak tidak puas hati di laman wajahnya. Tanpa sedar, dia mengetuk permukaan meja jenis kaca dengan lima jari kanannya.

“Tak guna! Seorang perempuan macam tu berani jatuhkan air muka kita kat depan orang-orang kampung?” gerutunya selepas itu.

Tindakan protesnya itu membuatkan tumpuan Yus dan Kamil tertala ke arahnya. Aliff juga memandang ke situ. Masing-masing tidak berani bersuara.

Sejak tadi, tak sudah-sudah Datuk Affendi merungut bila terkenangkan semula kejadian di bangsal balairaya Kampung Pulau Perindu.Kata-kata seorang gadis bernama Khadeja masih belum berhenti dari melintasi ruang fikirannya.

“Sebelum datuk nak suruh kami buat keputusan untuk jual tanah hak milik kami ni, seeloknya biarlah kami fikir dulu betul-betul. Ayah saya pernah beritahu, tanah pusaka adalah semangat hidup. Warisan dari nenek moyang kami. Jadi tak mudah untuk kami nak jual macam tu aje!” Bayangan ucapan itu menerjah ke sudut minda, membuatkan jiwa raga Datuk Affendi semakin berbuku.

She looks like she’s going to be a problem!” Dengan tak semena-mena Datuk Affendi mengeluarkan kenyataan itu.

Biarpun suasana jam 5.00 petang di tepi kolam renang Perindu Beach Hotel & Chalet itu agak ceria dengan pengunjung yang gembira bermandi-manda, entah kenapa Datuk Affendi tidak dapat menikmati suasana penuh kegembiraan tersebut. Hati kecilnya masih disulami rasa bengang.

We have to do something!” Akhirnya Datuk Affendi membuat keputusan.

Mendengarkan ayat itu, Aliff pantas mengerutkan dahi.

“Apa maksud abah?” soalnya.

Yus dan Kamil yang turut berada di meja itu, terus saling berpandangan. Sejak tadi, masing-masing hanya membisu sambil mendengar setiap omelan Datuk Affendi. Namun kini, mereka cuba memahami maksud sebenar ucapan majikan mereka.

“We have to do something, Aliff!Kita patut fikirkan satu cara untuk pastikan perempuan kampung tu tak banyak cakap macam tadi.Kelihatan Datuk Affendi terangguk-angguk tanda bertekad mahu melakukan sesuatu.

“Abah, apa kata biar Aliff berdepan dengan dia dulu?” Aliff segera bersuara.

Datuk Affendi meletakkan pandangan ke wajah anaknya.

I know how to handle this type of person. Just leave it to me. I’ll try to think the solution.”Aliff menambah.

Entah kenapa, dia tiba-tiba gusar memikirkan kemungkinan yang abahnya sedang mencari jalan mudah untuk memastikan projek Villa Samudera berjalan lancar.

“Betul jugak tu, datuk. Kita biar Encik Aliff yang uruskan perempuan tu dulu. Saya yakin Encik Aliff boleh selesaikan masalah ni dengan mudah.” Yus menyampuk. Kamil mengangguk setuju.

Datuk Affendi diam. Sekadar membiarkan kata-kata Aliff, Yus dan Kamil berlari-larian di dalam benaknya. Tidak lama kemudian dia melepaskan nafas berat.

“Okay, kalau itu yang Aliff fikir... abah setuju! Just do whatever it takes but make sure she sign the contract.”

Aliff lantas mengangguk.

“Abah jangan risau. Aliff takkan hampakan Abah. Aliff pun takkan biarkan kita terlepas projek ni. Abah sendiri tahu kan, yang Aliff tak pernah gagal?” Tak tahu kenapa hati kecil Aliff berasa lega atas penerimaan Datuk Affendi terhadap cadangannya mahu menguruskan permasalahan tentang gadis bernama Khadeja.

Untuk beberapa detik Datuk Affendi mendiamkan diri sebelum bersetuju dengan kenyataan Aliff.

“Okey, abah percayakan Aliff.”

Aliff tersenyum.

“For you info, I am meeting with our Japanese investor next week. If the meeting goes well and all the problem here is settle, this will be your first project as CEO.” Tanpa diduga, Datuk Affendi memuntahkan kata-kata itu.

Aliff terkejut dengan ucapan yang baru terzahir dari mulut abahnya. “What?”

Yus dan Kamil kembali berpandangan tatkala telinga masing-masing dapat menangkap ucapan majikan mereka.

“Abah dah makin tua, Aliff. Abah bercadang nak bersara tak lama lagi dan abah nak serahkan semua saham pengurusan Samudera Holdings abah pada Aliff.”

“Tapi Aliff belum bersedia!”

“Aliff tak perlukan apa-apa untuk bersedia! Abah dah lama perhatikan Aliff. Sejak dulu sampai sekarang Aliff tak pernah kecewakan abah. You are my pride and joy, Aliff. So far you have proved that you are the only one who can step into my shoes to take over our family business.” Datuk Affendi berkata panjang. Dia tersenyum bangga sambil menepuk bahu anak lelakinya.

Aliff merapatkan bibir. Dia tidak mampu untuk bersuara kerana masih tidak percaya dengan keputusan mendadak yang dibuat oleh abahnya.

Benarkah dia akan diberikan tugas untuk mengelola jawatan penting dalam sistem pengurusan Samudera Holdings tak lama lagi?

“Okeylah, abah nak naik ke bilik. Malam ni, kita dinnersama-sama. See you all tonight.” Datuk Affendi bingkas. Sejurus itu dia beredar pergi.


WOW, bro! What a surprise!Tahniah. Nampak gaya, lepas ni aku kenalah mula biasakan diri panggil kau bos. CEO tu!” Yus tidak menunggu lama untuk memberikan komennya selepas kelibat Datuk Affendi menghilang dari situ.

“Hah, kau jangan nak mengada-ngadalah Yus!” Aliff membalas.

Usia mereka tidak begitu jauh menyebabkan mereka sudah membiasakan diri dengan gaya percakapan yang tidak formal. Kebetulan, mereka telah sama-sama berkhidmat di Samudera Holdings pada tahun yang sama menyebabkan hubungan mereka agak rapat sebagai kawan.

Mengada-ngada apa pulak? Betul apa aku cakap! Kalau kau naik pangkat tak lama lagi, takkan aku nak panggil kau guna nama aje? Bukannya senang nak dapat title CEO tu. Betul tak, Kamil?” Yus memandang rakan sekerjanya yang muda beberapa tahun itu.

“Betul! TitleCEO bukannya calang-calang orang yang boleh dapat. Saya rasa Encik Aliff memang dah layak pun jadi CEO.” Kamil bersuara.

Yus pantas mengiakan ucapan tersebut.

Suasana di tepi kolam renang yang menjadi tempat penginapan mereka kelihatan semakin redup dan menenangkan. Mereka belum bersedia untuk naik ke bilik kerana ingin terus berbual-bual.

“Bila dah naik pangkat, tak lama lagi Encik Aliff kenalah cari calon isteri pulak, kan? Barulah betul-betul cukup pakej!” Kamil menambah tiba-tiba.

Eh, kalau sebut pasal calon isteri... sebenarnya ada seseorang yang dah lama menunggu Encik Aliff kita ni, Kamil. Tapi tak tahulah kenapa Encik Aliff kita ni jual mahal sangat!” Yus terus meluakkan kata-kata. Kerlingannya dilemparkan ke arah Aliff yang terpinga-pinga.

“Siapa dia, Abang Yus?” Kamil bertanya.

Aliff mengerutkan dahi kerana dia sendiri turut tertanya-tanya makna bait-bait kata yang dituturkan oleh Yus seketika tadi.

“Siapa lagi kalau bukan Cik Suzana yang bekerja sebagai doktor kat London tu! Dahlah orangnya cantik, bijak pulak tu. Aku rasa kan Aliff, Cik Suzana tu dah lama sangat menunggu kau!” Yus tak semena-mena berbicara.

“Hisy, kau cakap apa ni? Aku tak pernah anggap Suzana tu lebih dari seorang kawan.” Aliff segera menafikan.

“Kawan? Dah bertahun-tahun, takkan sikitpun kau tak pernah ada rasa apa-apa pada Cik Suzana?” Yus yang terkejut dengan kenyataan itu cuba mengorek perkara itu sedalam-dalamnya.

Kamil sekadar memasang telinga. Minda masing-masing semerta terbayangkan wajah menawan Suzana yang mempunyai penampilan sofistikated.

“Dah... dah! Sekarang ni, jangan nak buat gosip pulak. Kau ni Yus, suka sangat bercakap perkara yang takde kena-mengena dengan urusan kerja. Ada-ada aje.” Aliff mengomel.

“Kalau bercakap pasal kerja 24 jam, bosanlah! Lagi pun, aku bercakap perkara yang betul. Suzana tu bukan main lawa. Takkanlah hati kau tak pernah langsung tercuit bila tengok dia?”

Kali ini Aliff hanya diam membatu.

“Kalau kau tak nak, apa kata rekomen aje kat aku?” Yus kembali berkata sambil menaikkan keningnya.

“Amboi, takkan kau pun ada hati jugak kat Suzana tu?” duga Aliff.

“Orang lawa macam Cik Suzana tu, sesiapa pun boleh terpaut, bro!” Yus kemudian ketawa.

Kamil yang mendengar lantas tersenyum sama.

“Jangan nak perasanlah. Kau ingat Suzana tu senang-senang aje nak terima kalau aku rekomen kat kau?”

“Eh, belum cuba belum tahu!”

Aliff membuat muka.

“Kau ingat muka aku ni tak handsomeke? Rupa paras hitam manis macam aku ni pun ada nilai tersendiri, okey?” Yus kemudian berkata beria-ia.

Akhirnya Aliff tertawa kerana geli hati dengan ucapan spontan rakan yang merangkap sebagai pekerjanya itu. Suasana terus jadi ceria bila masing-masing turut melepaskan tawa kerana lucu.

“Hah, kau ni Kamil! Tiba-tiba aje diam? Kenapa? Dah rindu KL ke?” Yus pelik bila melihat Kamil yang menyepi seakan-akan memikirkan sesuatu.

“Takdelah Abang Yus. Tiba-tiba saya teringat budak perempuan yang kat balairaya tadi tu,” jawab Kamil tanpa menunggu.

“Budak perempuan yang bising-bising tu ke? Kenapa dengan dia?” soal Yus kehairanan.

Aliff turut tertarik untuk mendengar ulasan Kamil. Dengan tak semena-mena dia terkenangkan raut Khadeja. Betapa ayunya gadis itu yang tidak langsung tercalit sebarang alat solek kecuali bedak nipis di wajahnya. Lain benar jika hendak dibandingkan dengan gadis-gadis yang sering dilihatnya di Kuala Lumpur.

“Budak perempuan tu lawa jugak, kan? Bila tengok lama-lama, rasa berkenan pulak hati saya ni.” Kamil mula tersengih-sengih.

“Ewah-ewah, belum apa-apa kau dah berkenan dengan awek kampung tu? Ingat sikit! Kita datang sini nak buat kerja bukannya nak skodeng orang.” Yus membebel.

“Alah, saya cakap aje! Tapi, takde salahnya kalau tiba-tiba saya dapat seorang awek kampung sambil kita buat kerja kat sini, kan? Orang kata sambil menyelam minum air.” Kamil ketawa selepas mengucapkan kata-kata itu.

“Hisy, budak ni!” Yus menggerutu. Namun dia turut ketawa. Masing-masing kemudian berceloteh sesama-sendiri.

Tetapi Aliff tidak berminat untuk turut serta dalam perbualan itu. Entah kenapa, dia terpanggil untuk memikirkan sesuatu bila teringatkan semula janjinya kepada Datuk Affendi beberapa detik tadi.

Apa agaknya yang patut aku lakukan agar Khadeja bersetuju dengan projek Villa Samudera?
Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna