“ABU... Ubi... ni Kak Jah dah buatkan air.” Khadeja
memberitahu. Dia meletakkan dua cawan gelas minuman sejuk di atas meja sambil
bibirnya terselit ketawa. Dia berasa geli hati dengan gelagat Fatimah dan Abu
Hanifah sejenak tadi.
“Okey. Terima kasih Kak Jah.” Kelubi bersuara. Dia menghampiri
meja yang ditinggalkan tadi untuk menghirup air sejuk yang dibancuh oleh
Khadeja.
“Kak Jah ni memang bestlah. Orang kata macam pari-pari. Tak
payah cakap apa-apa pun, Kak Jah boleh baca hati kami. Memang dari tadi kami
kehausan sebenarnya.” Abu Hanifah melabuhkan punggung bertentangan dengan
Budiman. Selepas itu, dia turut menghirup minuman sejuk tersebut.
“Yelah tu!” Khadeja menyahut acuh tak acuh.
“Eh, betullah apa Abu cakap ni. Kan, Ubi?”
Kelubi terangguk-angguk tanda bersetuju.
“Jah, kenapa dengan Timah tu? Tiba-tiba aje muncung
panjang sedepa? Dah tu, dia balik nak tukar baju, kenapa? Awat dengan baju
dia?” Budiman menyoal hairan.
Kelubi dan Abu Hanifah pantas berpandangan sebelum
mengerling ke arah Khadeja. Mereka baru saja hendak menyuruh Khadeja menutup
mulut namun tidak sempat.
“Budak-budak dua orang ni lah yang dok menyakat Timah.
Habis baju dia basah sebab kena kacau masa tengah sibuk kutip ikan kat jaring
tepi laut tu. Hang tak perasan ke Timah membebel-bebel dari tadi?” Khadeja
terus menjawab.
“Tak perasan pulak!” Budiman spontan melemparkan
pandangannya ke arah Abu Hanifah dan Kelubi. Dua orang anak muda itu lantas tersengih-sengih.
“Bukan Ubi yang sakat dia, Abang Man. Tu... Abu yang
kacau Timah dulu.” Kelubi membela diri.
“Eh, pandainya hang nak lepaskan diri! Padahal hang pun
sama aje tadi!” Abu Hanifah mengerling ke arah rakan di sebelahnya.
Kelubi tersengih simpul. Selepas menghirup air sejuk
sehingga habis, dia terus membawa dirinya semula ke arah ruang di mana Manja
sedang diikat.
“Hang ni, Abu... kenapalah suka sangat mengacau Timah?
Hang tahu kan, hati Timah tu sensitif. Kalau dia dah merajuk, bukannya senang
nak pujuk!” Budiman manegur perilaku adik sepupunya.
“Lepas tu... bila balik rumah nanti, mak long hang tu
bukannya bising kat hang tapi kat abang. Telinga abang ni yang jadi mangsa.”
Budiman teringatkan emaknya yang dipanggil sebagai mak long oleh Abu Hanifah.
“Alah... Abu gurau-gurau aje, Abang Man. Saja nak
usik-usik. Bukannya buat apa pun. Timah yang cepat sentap. Perangai macam
budak-budak sebab manja sangat. Si Manja pun tak manja macam Timah!”
“Hah, hang jangan nak samakan Timah dengan Manja pulak.”
Budiman membantah.
Khadeja ketawa mendengar teguran Budiman.
“Itulah... lain kali hang kacaulah Timah lagi. Padan muka!”
Terus dia berbicara seakan-akan mengejek Abu Hanifah. Kemudian dia berlalu ke
meja terletaknya bekas dan baldi berisi udang dan ikan-ikan hasil dari
tangkapan bot nelayan Budiman pada hari itu.
Sebentar lagi Khadeja akan memulakan kerja-kerja menyiang
sebelum memasak.
Abu Hanifah mengetap bibir. Dia melepaskan nafas berat.
“Yalah, lepas ni Abu takkan kacau Timah lagi,” ujarnya
acuh tak acuh. Minuman sejuknya kembali diteguk.
“Hang tu... dah banyak kali berjanji tak nak kacau aku,
tapi hang buat jugak. Ketegak!” Entah bila masa Fatimah muncul kembali di gerai
makan Khadeja dan mencelah perbualan Budiman dan Abu Hanifah dengan loghat
utara yang pekat. Pakaiannya sudah berganti.
“Abang Man marah Abu tu cukup-cukup tau. Biar padan muka
dia! Timah memang dah lama geram dengan perangai dia tu.” Fatimah memberitahu
ke arah Budiman.
“Amboi, seronoknya hang mengadu kat abang hang!
Mentang-mentanglah aku ni dah takde sesiapa, sampai hati hang buli-bulikan aku.”
Abu Hanifah sengaja bersuara sayu.
Fatimah mencemikkan bibir. Sajalah tu guna ayat phsyco
untuk minta simpati. Meluat! Fatimah berbisik sendiri. Dia sudah lali.
“Aku tengok hang pa berdua ni kan, dah macam anjing dengan
kucing. Pantang berjumpa asyik nak bergaduh aje. Jangan sampai aku geram...
satu hari nanti aku nikahkah hang pa, baru tahu!” Tiba-tiba Budiman melepaskan apa yang baru terlintas
di benaknya.
Abu Hanifah serta-merta melontarkan pandangannya ke arah
Budiman.
“Abang Man nak kahwinkan kami? Betul ke?” Dia bertanya bersama
suara antara terkejut dan tidak percaya.
“Aikk, bila sebut pasal kahwin... laju aje hang?” Budiman
membalas pandangan adik sepupunya.
“Eh, mestilah laju! Dalam dunia ni, semua orang nak
kahwin. Takde siapa yang tak nak kahwin, betul tak Timah?”
“Abu... kalau hang adalah lelaki terakhir yang tinggal
kat dalam dunia ni, aku lebih rela tak kahwin sampai bila-bila, hang tahu tak?”
Fatimah membuat penegasan.
“Okey, kita tengok nanti! Jangan sampai hang pulak
merayu-rayu nak kahwin dengan aku sebab dah takde lelaki lain yang nakkan
hang,” ejek Abu Hanifah.
Fatimah membuat muka.
Kelubi yang sedang melayan karenah Manja berhampiran
dengan lokasi Khadeja, terus memuntahkan tawa geli hati.
“Macam-macamlah budak dua orang tu kan, Kak Jah!
Betul-betul kena kahwin nanti... tak tahulah apa yang akan jadi.” Kelubi
berbicara.
Khadeja mengangguk setuju. Bibirnya masih tersenyum.
Budiman mengerlingkan anak mata ke arah Khadeja yang baru
selesai memilih ikan-ikan untuk dimasak sebentar lagi. Tumpuan Khadeja yang
melekat pada gelagat Fatimah dan Abu Hanifah agak mencuri perhatiannya.
“Abang Man ni pun satu! Dah buang tabiat ke tiba-tiba nak
nikahkan Timah dengan Abu pulak? Kalau bercakap pasal hal nikah kahwin ni,
patutnya Abang Man tu yang kena bernikah dulu, okey?” Fatimah menatap geram ke
arah Budiman.
“Abang Man ni lelaki. Takpe kalau kahwin lambat!” jawab
Budiman.
“Siapa cakap? Dalam zaman sekarang ni lelaki ke
perempuan, sama aje. Tu Kak Jah tu... Timah tengok rileks aje. Tak sibuk pun
nak fikir pasal kahwin. Hidup dia pun happyaje.” Fatimah berkata.
“Kak Jah hang tu jual mahal. Bukannya takde orang nak kat
dia.” Budiman bersuara. Matanya kemudian dihalakan ke arah Khadeja.
“Hang jangan nak memperlekehkan aku pulak, Man!” Khadeja
yang kebetulan terdengar kata-kata itu pantas menegur.
“Eh, mana ada? Memang kenyataannya hang tu jual mahal.
Dah elok-elok ada orang masuk meminang, hang tak nak terima!” kata Budiman.
Dia tiba-tiba teringat cerita emaknya beberapa hari lalu
tentang tetamu dari kampung sebelah yang membawa rombongan meminang untuk
Khadeja. Tetapi Khadeja berkeras tidak menerima pinangan itu atas alasan ingin
memberi tumpuan kepada urusan menjaga dan menguruskan Mak Piah.
“Abang Man... Kak Jah tu belum bersedia nak kahwin.
Biarlah dia tak nak terima pinangan sesiapa pun. Yang Abang Man sibuk-sibuk tu,
kenapa?”
“Abang Man cuma risau. Nanti sampai dia tua kerepot dah
takde orang nak masuk meminang, macam mana?”
“Alah, yang tua kerepot tu aku bukannya hang!” Khadeja
menjawab dengan riak selamba.
Masing-masing yang ada di situ tertawa mendengarnya.
“Entahnya. Orang lain yang tua kerepot, dia pulak yang
risau. Sekarang ni elok Abang Man fikir tentang diri sendiri. Mak pun dah bising-bising
sebab Abang Man tak fikir pasal kahwin!” Fatimah mengiakan tutur kata Khadeja.
“Abu pun setuju 100% apa yang Timah cakapkan. Patutnya
sekarang ni, Abang Man yang kena kahwin dulu. Kan, Timah? Kalau kita kahwin
kemudian pun takpe sebab kita muda lagi.” Abu Hanifah yang sejak tadi
membatukan diri, mula mencelah sambil melirik ke arah Fatimah.
“Eeeii... aku tak nak kahwin dengan hang lah. Berapa kali
aku nak cakap?” Fatimah bertegas. Dahinya berkerut-kerut.
“Kan aku cakap ‘kalau’!” Abu Hanifah meloyar buruk.
Fatimah memuncung. Berbuku perasaannya. Apatah lagi bila
memandang ke arah raut abang sepupunya yang tersenyum-senyum itu.
“Haaa, dah... dah! Hang pa jangan nak panjang-panjangkan
lagi. Timah, jom ikut Kak Jah ke dapur. Kita siang ikan dengan udang ni. Kak
Jah nak masak.” Khadeja segera bertindak menoktahkan perbalahan tersebut.
Jika terus dibiarkan, entah bila agaknya anak-anak muda
itu akan berhenti asak-mengasak sesama sendiri. Lagi pun Khadeja sendiri rasa
tidak selesa kerana dirinya turut dijadikan subjek di dalam topik tersebut.