“ANGKAT! Tarik! Tolak! Haaa... kuat lagi!” Pak Tam berkata.
Kecoh suaranya memenuhi suasana di persisiran pantai Pulau Perindu.
Sejak tadi, Abu Hanifah, Kelubi dan beberapa orang pemuda
kampung bersungguh-sungguh menarik dan menolak bot nelayan milik Budiman untuk
diletakkan di belakang rumah lelaki itu. Budiman juga sama-sama berusaha.
Hari itu mereka pulang dari laut lebih awal kerana
tong-tong yang dibawa oleh mereka awal-awal sudah dipenuhi hasil tangkapan.
Alhamdulillah, semua itu rezeki dari ALLAH kerana cuaca yang cerah.
“Satu... dua... tiga... tolak lagi!” Pak Tam masih
memberi arahan.
Beberapa orang kanak-kanak kecil berlari-larian dan
berkejaran sesama sendiri. Intan turut tergolong dalam kumpulan kanak-kanak
itu. Mereka begitu seronok mengelilingi bot yang ditarik. Bila tiba cuti
sekolah, kanak-kanak memang sering memenuhi ruangan di sekitar pantai tidak
kira pagi atau petang.
“Hisy, budak-budak ni memang nak kena! Pergilah main
jauh-jauh. Aku tangkap seekor-seekor nanti, baru tau!” Pak Tam tiba-tiba membebel.
Semua kanak-kanak itu ketawa. Gelagat Pak Tam ada kalanya
serius dan ada kalanya gemar bergurau senda. Namun, apa yang pasti... sifat Pak
Tam mudah mesra dengan sesiapa saja. Justeru ia amat disenangi oleh semua
golongan sama ada yang tua mahupun muda.
Pak Tam menoleh semula ke arah bot nelayan Budiman.
“Laaa, awat hang pa semua berhenti? Cepatlah tolak bot
tu! Takkan tak reti-reti? Hang pa ni lembik sungguhlah!” Pak Tam terus berkata.
Beria-ia wajahnya memberikan arahan.
Abu Hanifah yang mendengar, terus merengus.
“Pak Tam ni cakap macam senang aje! Cuba kalau dia tarik sampan
ni sama-sama dengan kita.” Dia bersuara tak puas hati.
“Betui jugak tu!” Kelubi mengangguk. Dahinya sudah
berpeluh-peluh kerana kepenatan.
Namun, Pak Tam tidak memberikan sebarang respons. Mungkin
kerana sejak dulu lelaki itu sudah mempunyai masalah pendengaran.
“Dah.. dah, sekarang biar Abang Man pulak yang tarik.
Hang pa pergi tolak sampan dari belakang dengan depa tu. Hisy, dengan Pak Tam pun
hang pa nak berkira!” Budiman meleter ke arah Abu Hanifah dan Kelubi.
Mereka mula
bertukar posisi.
“Satu, dua, tiga!” Budiman memberikan arahan dan akhirnya
bot nelayan itu terparkir di kawasan yang sepatutnya.
“Hah, macam tu lah. Bagus... bagus!” Pak Tam
terangguk-angguk.
Budiman mengikat bot nelayannya pada sebatang kayu
berhampiran jeti kecil yang menghubungkan laluan menuju ke rumahnya.
Waktu itu, Abu Hanifah, Kelubi dan beberapa orang pemuda
lain sibuk mengangkat keluar tong yang berisi ikan dari bot tersebut. Mereka
akan membawanya ke bangsal tempat pemunggahan.
Tadi, sebilangan tong yang penuh berisi ikan sudah pun
dihantar ke pusat penyimpanan dan pemprosesan ikan yang terdapat di Pulau
Perindu. Pusat itu merupakan lokasi tumpuan para nelayan untuk menjual
hasil-hasil ikan dan di situlah pemborong akan membeli ikan secara pukal untuk
dijual di pasar-pasar terpilih.
“Abu, Abang Man nak ke jeti penambang ni. Hang uruskan
tong-tong ikan tu tau. Basuh sampai bersih.” Budiman berkata. Dia teringat pesanan
ketua kampung semalam. Hari itu dia perlu menjemput beberapa orang tetamu dari
Kuala Lumpur yang akan datang ke Pulau Perindu atas tujuan perniagaan.
“Yalah.” Abu Hanifah mengangguk.
“Ubi, hang pun tolong Abu tu sekali! Jangan nak mengelat
pulak!” pesan Budiman.
“Baik bos!”
Budiman ingin melangkah pergi. Namun pandangannya tak
semena-mena tertembak pada kelibat Khadeja dan Fatimah bersama beberapa wanita
lain di persisiran pantai.
Masing-masing kelihatan ralit menghadap kawasan berlumpur
untuk mencari kerang dan siput. Ada yang sedang mengutip ketam dan ada
sebahagian yang sedang menarik jaring yang disangkut pada kayu untuk mencari
ikan. Sesekali mereka berbual-bual sambil tertawa.
“Jah!” Budiman melaung.
Khadeja berpaling ke arah bunyi suara itu. Lalu dia
ternampak kelibat Budiman.
“Hari ni hang masak apa?” soal lelaki itu dari jauh.
“Kenapa?” Khadeja berasa hairan dengan pertanyaan lelaki
itu. Beberapa pasang mata menoleh ke arah mereka.
“Masak sedap-sedap tau. Nanti abang balik nak makan.”
Wajah Budiman nampak selamba semasa mengucapkan kata-kata itu.
“Abang? Eeeiii, bila masa aku panggil hang macam tu?
Kalau nak makan, masak sendirilah! Hisy...” Khadeja menyelar.
“Amboi, kedekut bini abang ni!”
“Siapa pulak bini hang? Perasan! Nah, ambil ni masak sendiri!”
Khadeja membaling sebiji siput ke arah Budiman. Apakan daya tidak mengena
kerana lelaki itu berjaya mengelak.
“Dia ni memang nak kena!” Khadeja kemudian
membebel-bebel. Tetapi bibirnya sempat tergelak.
Abu Hanifah dan Kelubi ketawa. Fatimah dan wanita-wanita
lain yang berada di situ juga turut tertawa kerana lucu dengan tingkah Budiman
dan Khadeja yang sering bergurau.
“Padan muka Abang Man. Gatal sangat!” Fatimah berkata
selepas itu.
“Haa, Abang Man nak ngorat Kak Jah ya? Eeeiii... Abang
Man tak malu! Yea... yea... Abang Man nak ngorat Kak Jah. Abang Man nak kahwin
dengan Kak Jah!” Intan yang menangkap perbualan itu terus bersuara sambil
menari kegembiraan. Dia mengajak kanak-kanak lain bersorakan bersamanya.
Budiman tersenyum meleret saat dia mendengar kata-kata
ejekan dari bibir Intan yang ibarat bertih jagung itu. Tanpa menunggu, dia
memercikkan air laut ke arah sekumpulan kanak-kanak tersebut. Mereka
bertempiaran lari dan ketawa.
“Amboi, Man! Bukan main galak hang na? Ada hati ke nak
mengorat Jah?” Pak Tam yang turut melihat situasi itu segera memberikan
reaksinya.
“Awat? Pak Tam cemburu ke?”
“Berbulu buat apa? Muka macam hang tu Kak Doyah pun tak
mahu. Berlemuih!”
Bunyi ketawa kedengaran lagi di sekitar pantai.
Masing-masing geli hati dengan jawapan balas Pak Tam. Apatah lagi lelaki tua
itu sering benar tersalah mengeluarkan ayat kerana masalah pendengaran.
“Eh, Pak Tam jangan nak perlekehkan saya! Mana tahu satu
hari nanti saya kahwin jugak dengan Khadeja? Haaa... masa tu Pak Tam dan hang
pa yang lain jangan nak pakat cemburukan saya pulak.” Budiman memasang impian.
Khadeja menjuihkan bibir ke arah Budiman.
“Siapa entah yang nak kahwin dengan dia?” Terkumat-kamit
bibirnya mengomel.
“Abang Man ni slow
sangat. Dah basi kami dengar cerita pasal Abang Man nak kahwin dengan Kak Jah.
Entah-entah, Abu yang naik pelamin dulu dengan Timah. Silap hari bulan, masa tu
pun Abang Man tak kahwin lagi.” Tanpa diduga Abu Hanifah mencelah dengan suara
yang kuat. Dia sedang menguruskan tong-tong ikan bersama Kelubi dan beberapa
pemuda kampung.
“Eh, Abu! Hang pun jangan nak berangan! Kan aku dah kata
aku tak nak kahwin dengan hang?!” Fatimah yang terdengar kata-kata Abu Hanifah
itu segera memberikan tindak balas.
“Aik, Abu... hang pun ada hati kat Timah jugak? Sakan
betul hang pa na? Dah pakat pilih seorang satu. Kalau macam ni, Pak Tam pun nak
kena cari jugaklah.”
“Elok sangatlah tu, Pak Tam! Kak Doyah tu dah lama tunggu
Pak Tam. Bolehlah Pak Tam tryisi
borang.” Kelubi yang sejak tadi memasang telinga mula berkata.
“Kak Doyah?” Pak Tam bertanya semula.
“Pak Tam ni kalau bercakap parthati dan perasan... telinga dia tu elok pulak boleh dengar!”
Kelubi mengejek.
Masing-masing ketawa mengeyakan ucapan Kelubi.
Pak Tam mencari kelibat Kak Doyah. Masing-masing
melakukan perkara yang sama. Dari jauh, kelihatan seorang wanita yang
terkial-kial menarik jaring. Entah di mana silapnya, jaring itu terlepas dari
pegangan. Kak Doyah tergelincir jatuh ke tepian pantai. Terkial-kial wanita itu
bangun dengan pakaian yang basah lencun.
“Kalau macam tu, tak jadilah! Biarlah Pak Tam hidup
menduda aje,” ujar Pak Tam.
Spontan, ketawa mereka di situ pecah berderai.
“Eh, Abang Man kata tadi nak ke jeti penambang! Cepatlah
pergi. Nanti tetamu dah tunggu, Abang Man tak sampai-sampai.” Abu Hanifah
menegur selepas tawanya berhenti.
“Ya tak ya lah! Tiba-tiba pulak terlupa.”
“Manalah tak terlupa bila mata tu asyik merayap kat Kak
Jah aje dari tadi!” Abu Hanifah mengejek.
Budiman sempat mengibas tuala kecilnya ke arah Abu
Hanifah. Dia sekadar memprotes ucapan adik sepupunya.
Selepas itu, dia bergegas memulakan langkah. Tetapi
matanya sempat memandang ke arah Khadeja. Gadis itu yang ternampak
pandangannya, berpura-pura tidak ambil peduli. Khadeja meneruskan kerja sambil
sesekali berbual-bual dengan Fatimah.