Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 19

“Sayang…” Rina terus memeluk sang suami.

Lukman pulang ke rumah lewat malam. Rina tahu, Lukman pasti teramat sedih. Sedari tadi, Rina menantikan kepulangan sang suami di beranda rumah dengan debaran di dada. Masakan dia bisa tidur dalam keadaan genting begini.

Lukman membelai rambut Rina. Dia berbisik, “Saya dah boleh teman awak selalu.”

Rina sebak. Suara sayu Lukman meruntun jiwanya. Pasti dia tahu Lukman terpaksa melepaskan kerjaya yang paling disayanginya itu.

“Saya dah mengakui kesalahan saya di depan umum. Saya dah tak fikir air muka saya. Saya dah tolak maruah saya ke tepi.”

“Awak tahu siapa yang buat semua ni?”

“Adiknya, kawan sekerja saya. Izatul Sabrina.”

Rina meleraikan pelukan. Sepotong nama membuatkan dia berkerut semasa memerah ingatan. 


Rina termenung sementara menunggu air dalam pemanas, masak. Tingkap dapur sudah dibuka sebaik sahaja selesai solat subuh. Matahari baru manja-manja menghangatkan permukaan bumi. Embun jantan menitik jatuh ke tanah. Kicauan burung keluar sarang mencari makanan, memeriahkan lagi suasana pagi. Jalanraya mulai sibuk dengan ibu bapa menghantar anak masing-masing ke sekolah berdekatan rumah Rina.

Rina menjenguk keluar tingkap. Dapat dilihat rumah jiran berhadapan dengannya. Wanita itu sibuk menguruskan anak sekolah. Terdengar jeritan menggegar pagi di kejiranan itu.

“Eh, budak ni! Cepatlah dah lambat. Sempat lagi main batu seremban dengan adik. Balik sekolah boleh main. Dah simpan!”

“Ya, mak!” Anaknya akur. Dia menyandang beg sekolah. Memakai kasut di depan pintu.

“Kamu tahu tak, pagi ni kamu sekolah kebangsaan. Kenapa kamu pakai kain hijau? Kelas KAFA kamu waktu petang. Akukan budak ni! Cepat tukar!” Mencicit anaknya berlari ke dalam rumah untuk menukar kain.

Bas sekolah meluncur laju di depan rumah jirannya. Wanita itu terjerit-jerit lagi sambil berlari ke pagar.

“Tunggu… tunggu! Anak saya belum naik bas lagi.”

Mujur sahaja pemandu bas itu bertolak-ansur. “Cepat sikit. Banyak laluan lagi nak ke pergi.”

Wanita itu mengangguk, kembali berlari ke dalam rumah.

“Bekal kamu ni. Air botol pun kamu tinggal. Penat mak sediakan bekal. Sekarang musim panas. Banyakkan minum air. Kamu dahlah lasak. Waktu rehat jangan bermain panas. Hati-hati sekolah.”

Hon sudah dibunyikan pemandu bas.

Mereka saling bersalaman. Si ibu mencium pipi sang anak.

“Pergi dulu.”

“Belajar rajin-rajin.”

Sang anak melambai dari tingkap bas diikuti rakan-rakannya yang lain. Pemandu bas membunyikan hon lagi sekali.

Tidak kering gusi Rina ketawa menyaksikan drama anak beranak jirannya. 

“Mungkin, aku pun akan sibuk macam tu kan kalau aku ada anak.”

Di telapak tangan, beberapa kuntuman bunga kekwa kering. Dia mahu merendamnya nanti untuk dibuat minuman pagi. Sudah lama rasanya tidak menikmatinya.

Terlalu asyik merenungnya membuatkan Rina terhuyung-hayang secara tiba-tiba. Pening. Kuntuman bunga itu terjatuh.

Semasa Rina mengutipnya, mindanya tersentak dengan suatu bayang-bayang secara samar-samar. Terlihat dirinya sedang memegang kotak berisi bunga kekwa menuju ke sebuah kafe.

“Saya datang membawa pesanan kedai awak.”

Dia disambut dingin oleh seorang perempuan yang kabur wajahnya. “Letak sahaja di situ.”

Dia di masa itu, memandang papan tanda kedai. Malangnya, tetap sahaja tidak dapat dicam.

“Bau tempat tu ada bau kopi dibrew dan roti dibakar!  Mungkinkah tempat itu merupakan sebuah kafe? Tempat tu penting ke untuk aku?”

Ting! Pemanas air berbunyi menandakan air sudah siap dijerang. Lintasan memori berkecai begitu sahaja.

Dahinya berkerut-kerut.

“Kafe?” 

Dia mencapai telefon pintar di atas meja dapur. Membelek-belek dokuman dalam Google Drive, tersimpan dokumen-dokumen penting mengenai perniagaan mereka. Salah satunya ialah senarai resit. Memang banyak. Beribu-ribu! 

“Aku perlu kecilkan carian.”

Rina mulai menaip perkataan ‘kafe’ sekadar mengikut naluri yang mendesaknya. Muncul senarai kafe yang pernah berurusan dengan mereka. Kira-kira dalam 5 buah kedai. Rina meneliti tarikh. Dia mahu melihat kafe yang paling terbaharu berurusan dengan mereka. Ada satu kafe menarik perhatian Rina dan kafe itu paling kerap mempunyai urusniaga dengan mereka.

“Mungkin ini yang aku cari?”


Rina berdiri di luar bangunan Happy Café. Dia memandang papan tanda kedai. Panas terik mentari tidak diendahkan. Rina sempat mengeluh sebelum menolak pintu untuk masuk ke dalam. Tidak ramai pelanggan di dalamnya. Rina memilih untuk duduk di meja berhampiran cermin kaca. Mahu melihat suasana tengahari sambil menghirup cappucino panas, fikirnya.

“Selamat datang puan.” Irwan selesai menguruskan pelanggan di kaunter. Dia berdiri di depan meja Rina membawa secawan air kosong. Buku menu turut sama diletak sekali. “Eh, puan! Puan dah sihat?” 

“Awak… awak kenal saya?” Rina gugup. Dia meneguk sampai habis air kosong.

“Apa pula tak kenal! Kami pelanggan setia puan!”

“Begitu, patutlah ingatan itu menjelma.” Rina bercakap kepada dirinya sendiri.

“Huh?” 

“Ha, tiada apa. Awak seorang sahaja uruskan kafe?” Rina tertinjau-tinjau kerana imbasan sebelum ini memaparkan bayangan seorang perempuan muda.

“Ya, sekarang saya sendirian. Dulu ada pembantu. Semenjak dapat kerja tetap, dia lama tak datang sini. Dah berhenti.” Irwan menjawab sambil ketawa kecil.

“Siapa?” Rina melontar sahaja pertanyaan itu. 

Irwan menoleh ke arah kaunter. Dia membayangkan pembantu yang disebut Rina sedang menyiapkan pesanan pelanggan. Tergeleng-geleng kepala. Matanya terpejam. Ukiran senyuman tidak pernah pudar. Rindu datang bertamu.

“Saya bertanya soalan salah?” 

“Eh, bukan! Jangan salah faham, puan! Saya ralat dia sudah lama tidak melawat saya.”

“Awak suka dia?” Rina menduga.

Irwan tersipu-sipu malu. Menggaru kepala. Tersengih-sengih.

“Boleh dikatakan begitu. Tapi, macam bertepuk sebelah tangan sahaja. Dia nampaknya ada pilihan lain yang lagi baik. Apalah yang ada pada saya seorang pemilik kafe kecil-kecilan ni.”

“Awak terlalu merendah diri. Hmmm, kalau tidak keberatan boleh saya tengok gambarnya? Mesti cantik, kan? Awak pun tahu banyak perkara yang saya dah lupa. Mungkin awak boleh bantu saya.” Rina memancing semula perbualan ke tujuan asal. Dia berdoa dalam diri, semoga Irwan menuruti permintaannya.

Irwan dilanda teruja. Rina dapat melihat lelaki itu hampir melompat keriangan. Tidak pernah berhenti Irwan tersenyum lebar hingga ke telinga. Tahulah Rina, lelaki itu memang benar-benar menyukai perempuan itu.

Irwan mengambil sesuatu dari bawah meja kaunter. Bingkai gambar rupanya! Diserahkan kepada Rina yang setia menunggu. 

“Bila rindu, bolehlah saya tatap.” Lekas-lekas Irwan menjawab apabila Rina tersengih-sengih sambil mengangkat kening.

Rina ketawa. Dia merenung gambar dalam bingkai. Foto Irwan dengan wanita teristiwa penghuni hati. Tiba-tiba jantung Rina berdengup laju. Dia memandang gambar itu dan Irwan silih berganti. 

“Siapa namanya?”

“Izatul. Cantikkan dia?” 

“Cantik.” Rina tidak berbohong.

Tidak semena-mena Irwan mengeluh. Senyumannya mati.

“Hampir setahun lalu, dia ada datang kembali. Saya tak sangka dia akan muncul. Hmmm, tapi…” 

“Tapi?” Rina mencelah.

Lama sekali Irwan terjeda.


Imbas kembali…

Izatul Sabrina menolak pintu kafe dengan kasar. Dia tidak peduli kafe itu sedang sesak dengan pelanggan. Dia mahu berhadapan dengan Irwan. Apa yang Irwan lakukan melampau!

“Izatul!” Irwan menyambutnya mesra meskipun wanita itu berwajah masam.

Irwan sedang membuang sisa kopi dalam tamper. Berbaris pelanggan menunggu pesanan masing-masing. 

“We need to talk!” Izatul bertegas, buat-buat tidak melihat keadaan semasa yang tersangatlah sibuk.

“Boleh. Tapi, nanti kejap. Boleh?” Irwan memujuk Izatul. Kalut memeriksa pesanan. Mulutnya terkumat-kamit membaca.

Izatul Sabrina menjeling sebelum merentap resit pesanan. 

“Apa ni, Izatul?” Irwan tidak sengaja meninggi suara. 

“I said now… now!” 

Sikap Izatul Sabrina terburu-buru. Dia tidak peduli pun para pelanggan memandang seroang ke arahnya.


“Bukan masa yang sesuai untuk kita minum santai-santai!” Izatul Sabrina memeluk tubuh sambil menyilang kaki.

Mereka berdua duduk di suatu sudut tersorok daripada pandangan pelanggan lain. 

Irwan sedang menyedut minuman limau ais. Hampir tersedak dibuatnya. Dia terbatuk-batuk.

“Apa yang Izatul nak bincang dengan abang?”

Izatul Sabrina menjeling Irwan. Dia berasa jengkel dengan menganggap Irwan berpura-pura tidak mengerti. Sesuatu dikeluarkan dari beg tangan. Kotak baldu merah bersaiz kecil diletak atas meja lalu ditolak menghampiri Irwan.

Irwan masih kekal tersenyum. Dalam hati, dia sudah tidak berasa enak. Barangkali, dia harus menangis selepas pertemuan ini berakhir.

“Saya tak setuju dengan apa yang abang buat. Masuk meminang senyap-senyap. Apa semua ni, abang?”

Tekak Irwan terasa kesat. Kelu hingga tidak bisa berkata-kata. Irwan menghabiskan sisa minuman. Berdehem-dehem.

“Abang nak halalkan Izatul.”

“What do you mean halalkan? Kita tak lebih sekadar kawan dan bekas majikan dengan pekerja. Sekarang kita sendiri dah berlainan arah. Awak dengan kehidupan awak dan saya dengan hidup saya!”

Irwan terasa bagai dipanah petir. Cuba mengekalkan senyuman. Dalam hati, sedang menangis!

“Izatul dah ada orang lain?” Irwan masih mampu mengawal gelora hatinya walaupun sebenarnya hatinya sedang dicarik-carik!

Izatul Sabrina berdengus. Menjongket kening dan mengerutkan dahi berulang kali. Dia mendekatkan wajah dengan Irwan.

“Kalau tak ada pun, Izatul takkan pilih abang!”

Irwan berasa terhina sekali dengan kata-kata itu. Namun, lekas sedar. Soal hati dan perasaan tidak boleh dipaksa. Bekas cincin berwarna merah, diambil lalu dibelek-belek dengan rasa sayu yang menggunung. Sebelah lagi tangan mencubit pahanya. Dia tidak mahu menangis. 

“Maafkan abang sebab paksa Izatul.”

“Baguslah abang tahu.”

Irwan tersenyum kelat. Melihat sahaja Izatul menghirup minumannya sehingga luak. Sungguh, patah hati memang menyeksakan jiwa dan raga!

‘Begini rasanya patah hati. Tak apalah. Sekurang-kurangnya dalam hidup, kita perlu sekali untuk berasa patah hati.’


“Semuanya dah berlalu. I feel better now.” Komen Irwan seseolah peristiwa itu sudah tidak memberi kesan langsung kepada hati dan perasaannya ketika ini.

Rina terpaku mendengar kisah itu. Simpati.

“Oh, puan… kenapa puan bertanyakan tentang Izatul?”

“Awak mesti dah tahu apa yang berlaku kepada Izatul.”

“Oh, itu… yeah! Mestilah.” Nada suara Irwan mengandungi kekesalan.

“Menurut awak, betul ke Izatul yang lakukan semua itu. I mean, balas dendam ke atas kematian abangnya.”

“Dia seorang yang tekad. Jadi, kesimpulan saya, ya memang benar dia mahu membalas dendam.”

“Tekad?” Rina merenung kata-kata itu.

Nampaknya, dia perlu berhati-hati mulai sekarang.


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.