Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 41

Kalsum terpegun. Menungnya entah sampai ke mana. Kedua tangan kekal di stereng. Dia tidak percaya dengan apa yang telah dilakukan sebentar tadi.

Jeritannya memecah keheningan. Dia menghentak-hentak stereng sepenuh hati. Kata-kata makian terhambur. Terlalu marah sehingga air matanya pecah dalam masa yang sama. Berselang-seli dengan tawa. Sekali imbas, nampak seperti tidak siuman.

“Mati… mungkin, dah mati! Aku jadi pembunuh?” Kalsum tidak dapat menerima kenyataan. Tangannya menggeletar.

“Seorang pejalan kaki dipercayai menjadi mangsa langgar lari kira-kira jam 1:00 tengahari tadi. Mangsa cedera dibawa ke hospital. Menurut saksi, pemandu kenderaan kelihatan sengaja melanggar mangsa. Suspek dipercayai seorang wanita berusia kira-kira dalam 30-an. Orang ramai mempunyai maklumat boleh pergi ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan pihak berkuasa.”

Tawa perlahan Kalsum, bertukar kuat sekelip mata. Berita radio seakan mengkhabarkan berita gembira buatnya. Selesai siaran berita, disambung pula dengan instrument sedih menggunakan violin. 

“Elok korang berdua mati jelah!” Tengkingnya, mematikan terus radio. “Menyusahkan aku betullah semua orang ni! Yang hidup… yang dah mati pun!”

Kalsum tidak mampu mengawal amarahnya semenjak pulang dari pejabat Zakwan & Co. beberapa jam lalu.


Kalsum memanjat tangga bangunan Zakwan & Co. Dia diminta untuk datang menemui peguam Zakwan. Bermacam-macam andaian bermain di fikiran. Salah satunya, tentu berkaitan dengan penularan novel N. Mikah yang dikatakan mempunyai kemiripan kisah hidup individu.

Zaman tular, tentu sekali peguam Zakwan mengetahui khabar angin yang sedang hangat dikatakan. Perkara yang baharu berlaku seminit lepas, tidak mustahil tersebar sekelip mata dalam zaman serba digital. 

Semasa pintu pejabat ditolak, cepat sekali ekor mata Kalsum mengesan peguam Zakwan sedang duduk di ruang tengah sambil membelek-belek novel N. Mikah. Dia perlu bertenang. Berpura-pura tidak tahu kisah yang sedang bertebaran walaupun tidak logik alasan itu.

“Ada apa nak berjumpa dengan I? Mustahak ke?” Kalsum duduk bersilang kaki. 

“Maaf ambil masa awak.” Peguam Zakwan berhenti membaca.

“That’s okay.” Tampang Kalsum angkuh.

Kalsum melihat sahaja novel yang sudah diletak atas meja. 

“Awak dah baca novel terbaharu ni?” Duga peguam Zakwan.

“Nope.” 

“I think you should.”

“Why should I?” Meter kemarahan Kalsum mencanak naik. Suaranya kedengaran ditekan. 

“Novel yang menarik.” Peguam Zakwan tetap tenang. 

Kalsum menjeling novel itu. 

“I busy. Tak ada masa.”

“Ya? You pun banyak manuskrip kena baca dan semak. I understand.”

Kalsum sengaja mengangkat tinggi tangan kanan. Konon melirik jarum jam.

Peguam Zahuri dapat menangkap sindiran itu. “Mengenai wasiat arwah Zahuri.” 

“Kenapa dengan wasiat tu?” 

“Awak masih ingat syarat wasiat?”

“Soalan apa you ni?” Kalsum ketawa.

“Saya mengingatkan sekali lagi. Harta arwah berupa sebidang tanah akan menjadi milik awal setelah mencapai ulang tahun kelima kematiannya dengan syarat awak masih setia dengan arwah dan tidak mempunyai pengganti.”

“Even I rasa perjanjian ni berat sebelah. I tak boleh ada pengganti arwah. I faham dan patuh.”

“Bukan ke you memang cinta mati arwah? You tersangat sayangkan arwah. Sanggup buat apa sahaja. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa. Sesiapa membuatkan arwah menderita, you akan membalas dendam. Sampai hancur kerjaya orang yang menganiaya arwah.”

“Ya. I wujudkan NGO atas nama arwah. I nak orang sebut-sebut nama arwah. Apa tu orang kata, harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama,” ucap Kalsum namun, tiba-tiba tersedar peguam itu seseolah sedang memerangkapnya. Kalsum terkebil-kebil. Dia mengigit bibir sendiri kerana terlanjur bicara.

“Mulia perbuatan you. You tak menyesal? Sungguh, pengorbanan you perlu mendapat balasan sepatutnya. Is it?”

“You meragui pengorbanan I? Kenapa nak menyesal? Demi cinta I pada dia… I tak menyesal!” 

“Walaupun melanggar undang-undang?” 

Kalsum tersentak. Dia perlu berhati-hati dalam berkata-kata. Tadi, dia terlalu mengikut amarah.

“Tidak.” Sekelip mata menukar air muka cuak kepada tenang. “You patut nasihatkan I dari awal. You maksudkan pasal I memalukan kawan arwah, kan?”

“Secara luaran, nampak awak memang begitu cintakan arwah.”

Kalsum berdecit. “Kita tak mampu menilai dalaman seseorang.”

“Saya setuju dengan cik puan Kalsum. Saya kagum dengan penulisan N. Mikah. Apa yang terhijab sudah tersingkap.”

Berderau Kalsum dibuatnya. Peguam Zakwan mengesan sesuatu dalam penulisan N. Mikah. “I tersingkir daripada wasiat tu… itu kesimpulan you?”

“Saya perlu melihat secara keseluruhan.” Peguam Zakwan mengambil sesuatu dari bawah meja. “Saya menerima kiriman dokumen daripada posmen beberapa hari sebelum novel N. Mikah berada di pasaran. Saya kira, sudah tiba masa untuk saya bagitahu kepada cik puan.”

Terbeliak besar mata Kalsum melihat nama pengirim. Dalam masa yang sama, suara hatinya memperlekeh diri sendiri, ‘Kau dah kalah, Kalsum! Checkmate! Kau kalah! Kau kalah!’

Sebaik sahaja dikeluarkan isi dalam sampul, Kalsum terbangun. Alangkah terkejutnya melihat beberapa kepingan foto mesra bersama dengan kekasih gelapnya. Buku diari arwah Zahuri turut dikirimkan di situ. 

“Ni semua tak benar! I dianiaya! You percaya bulat-bulat dengan bukti datang entah dari mana? Ramai yang dengki dengan I. Macam-macam orang boleh buat! Orang sekarang tak boleh tengok orang lain senang.” Bola mata Kalsum membesar. 

“Macam nilah cik puan. Saya hanya memenuhi amanah arwah.” Peguam Zakwan turut sama berdiri.

“You tahu tak dari awal lagi semuanya tak masuk akal! Wasiat? Wasiat yang menyusahkan I. I dah korbankan beberapa tahun ni demi permintaan arwah. Takkan hanya kerana benda-benda bodoh ni… sia-sia macam tu je kasih dan cinta I?” Kalsum bercakap sambil meluru ke hadapan. Gayanya seperti mengajak untuk berlawan.

“Bertenang cik puan. Saya…” Peguam Zakwan cuba menahan kemaraan Kalsum.

“Oh, baru I tahu. Lukman masih hidup? You dah baca novel tu, you mesti dah tahu apa jadi dekat dia!”

“Cik puan. Saya masih tahu bezakan fiksyen dengan realiti.”

“I can swear… the story almost perfect! Of course, here and there some fantasy.” Kalsum menyebak rambutnya. 

“Cik puan…” 

“Lukman ialah N. Mikah? Dia mesti nak balas dendam. Dia… dia mesti tahu siapa dalang kemalangan itu!”

Kalsum mengambil tas tangan. Dia berlari pantas meninggalkan pejabat guamannya. 

“Cik puan!” Berulang kali peguam Zakwan menyeru namanya.


Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.