Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 38

Di rumah, Lukman banyak termenung di tepi tingkap. Naik resah Ruminah dibuatnya. Ruminah melihat anaknya itu mengalir air mata tanpa suara. Kemurungan itu memakan jiwanya kerana dihalang berjumpa dengan Rina.

Tiap hari, tanpa jemu dia akan memerhati Rina dari jauh. Dia tiada upaya untuk mendekat kerana wad menempatkan Rina sentiasa dikawal rapi oleh orang upahan Noraziah. Dia selalu dihumban keluar seperti anjing kurap jika kedapatan.

Pedih hati Lukman kerana Rina memerhati dengan riak kosong. Dia tahu, Rina tidak mahu mencerna apa yang sedang berlaku. 

Suatu hari, Lukman berjaya mendekati Rina yang sedang berkerusi roda di parking hospital.

Rina tampak bingung dipeluk erat oleh Lukman. Dikucup dahinya oleh Lukman.

“Maaf, saya tak kenal awak.” 

“Saya suami awak, Lukman!” Lukman menggoncang bahu Rina. Dia hilang kawalan. “Tolonglah ingat saya. Mak awak nak pisahkan kita.”

Sepantas kilat, Lukman dipaut oleh orang upahan Noraziah untuk menjauhi Rina. Noraziah berlari ke arah mereka. Dia meninggalkan Rina bersama dengan pemandu kereta di situ kerana mahu menguruskan urusan keluar hospital. 

Noraziah tidak teragak-agak menampar Lukman.

“Melampaulah kau ni! Pantang ada peluang. Kau dengar apa Rina cakap tadi? Dia tak kenal kau. Sekarang, apa kau tunggu? Berhambus! Semak mata aku.”

“Mak, tolonglah jangan pisahkan kami.” Lukman sedaya-upaya mahu melepaskan diri.

“Hei, masakan orang dah mati boleh bersama orang hidup? Lagi satu, kau tak tahu malu ke buat kecoh?”

“Saya masih bernafas, mak. Saya belum mati! Korang dengar tak, saya masih hidup!”

“Argh, peduli apa aku! Dalam fikiran aku, kau dah mati! Korang tunggu apalagi, campak lelaki tak guna ni ke dalam longkang!”

Lukman dibelasah dengan teruk. Rina tidak ubah seperti patung. Dia bermata layu. Tidak mengerti situasi sebenar. Fikirannya kosong dan tidak mampu menghadam situasi semasa. Tiada sebarang perasaan singgah.

“Mari masuk ke dalam kereta, nak.” Noraziah tergesa-gesa mengajak Rina masuk ke dalam kereta. Bimbang Lukman berjaya menarik Rina lalu melarikan diri.

Rina menuruti serupa orang bodoh. 

“Jalan!” Tegas Noraziah kepada pemandunya.

Kereta mulai bergerak meninggalkan parking hospital.

“Rina, jangan pergi!” Lukman berusaha untuk mengejar dalam keadaan cedera. 

Rina tetap beriak kosong namun, tidak semena-mena air matanya gugur. Lukman terus mengejar sehingga tidak berdaya. Beberapa kali dia terjatuh namun lekas bangkit. 


Lukman menyendiri di rumah pusaka arwah atuk dan neneknya. Ibunya, Ruminah meninggal dunia tidak lama setelah Rina sedar dari komanya. Ruminah terjatuh bilik air semasa mahu membersihkan diri untuk solat subuh, mengalami pendarahan beku pada kepala. Tidak lama itu, dipanggil pulang setelah koma beberapa hari. Satu persatu kehilangan terpaksa dihadapi.

Kini, dia terkurung dalam gelap. Penampilannya tidak terurus. Jambang dan misai tidak bercukur. Baju jarang berganti. Mandi sudah tidak menjadi keperluan. Dia menangis siang dan malam sehingga bengkak matanya. Azmir mengunjunginya setelah mendapat tahu khabar Ruminah meninggal dunia.

“Kau masih hidup? Kenapa kau dilaporkan meninggal dunia dalam berita? Kalau itu bukan kau… siapa?”

“Aku disumpah mati sebelum mati.”

“Kau tak boleh macam ni. Jangan menghukum diri kau dengan apa yang terjadi. Kalau Rina tahu, dia pasti akan sedih. Dia mesti nak tengok kau gembira.”

“Aku boleh gila tanpa Rina. Dia telah diambil dari hidup aku.”

“Siapa kata dia telah pergi? Dia tetap ada dalam memori. Walaupun dia telah diambil dari kau tapi mereka tak boleh menafikan kau masih wujud di dunia. Beritahu satu Malaysia bahkan satu dunia, kau masih hidup!”

“Macam mana?”

“Lukman, menulislah. Jadikan ia satu terapi. Itu cara untuk kau menyalurkan emosi terpendam yang kau rasakan. Tulislah kisah kau dan Rina. Walaupun dia lupa akan kau atau sesiapa sahaja halang untuk kau muncul, sekurangnya kau ada cara untuk memberitahu Rina. Kau kata dulu, Rina seorang pembaca tegar. Pasti di mana-mana dia membaca. Kau pun berbakat. Cuma, kau cenderung sebagai jurufoto.”

“Tapi, mak mentua aku pasti akan cari pelbagai cara untuk halang buku ini diterbitkan.”

“Kau gunalah nama pena. Kau tukar nama watak. Tiada siapa tahu itu kisah hidup kau.”

“Berkesankah cara ini?”

“Aku yakin. Kita akan pastikan Rina baca juga!”

“Azmir, aku rindu Rina. Aku nak gila!”

“Lukman, kalau kau rindu dia… kau doalah dari jauh. Doa kepada Allah supaya dilembutkan hati ibu mentua kau. Doa supaya Rina yakin kau masih hidup. Moga-moga dia pun turut sama tercari-cari akan kau. Percayalah, jika jodoh… ke mana sahaja kau pergi, pasti akan bertemu jua!”

“Aku harap… aku sangat berharap!”

“Insya-Allah, aku doakan yang terbaik buat korang. Jika memang jodoh korang masih ada, walaupun terpisah ke hujung dunia sekalipun… korang tetap akan bertemu. Yakinlah. Pasti ada hikmah untuk perpisahan sementara.”

Lukman menangis lagi. Azmir menepuk bahunya. 

“Kebersihan itu sebahagian dari iman. Bersihkan diri kau. Barulah jiwa tenang.”

Lukman akur. Dia menuju ke bilik mandi. Saat pencucur air dihidupkan, dia menangis bersungguh-sungguh. Dia terlalu merindui Rina.


Lukman memulakan kerja penulisannya siang dan malam. Menulis ditemani linangan air mata. Dia sengaja membiarkan ruangan itu bergelap. Dibiar sahaja tingkap terbuka luas. Udara segar sekurang-kurangnya membantu dia berfikir. Dipasang juga lagu kegemaran mereka. Beberapa kali juga Lukman berhenti menulis. Kenangan itu terlalu pedih kerana mereka sudah tidak bersama.

Lukman terbayang Rina datang membawa kopi O panas untuknya. Menangis lagi Lukman kerana dia tahu itu bukan nyata. Lantas, menyembam muka ke meja. Pedihnya dada untuk menerima hakikat itu. 

“Sayang, awak pergi dari hidup saya. Awak dibawa pergi tanpa saya rela. Awak pun mesti tak rela, kan?”

Saat dia mengangkat pandangan, terimbas kembali suasana mereka berdua menari secara rawak. Gelak tawa Rina kerana tarian sumbang Lukman. Tersalah melangkah sehingga tersadung.

“Rina, saya teringatkan betapa manisnya senyumanmu sayang. Saat kita menari sambil mendengarkan lagu kegemaran kita. Dikau ulang dan ulang tanpa jemu.”

Bahu Lukman terhinjut-hinjut.

“Tapikan, suatu hari tu… masa kita terlalu leka menari sambil menghayati lagu, kita terbau hangus datangnya dari dapur! Rupanya, awak tersalah setting timer masa bakar kek pisang. Ya Allah, satu dapur penuh dengan asap hitam. Bila kita keluarkan kek itu, kek tu dah tak rupa kek! Hitam! Tapi, demi tak mengecewakan awak yang sudah bermuram, saya makan juga.”

Lukman ketawa dalam tangis.

“Saya tak nak hidup.” Tiba-tiba dia mengucapkannya.

Lukman dibelenggu kemurungan yang mendalam. Dia rasakan dunianya kelam. Boleh diibaratkan terperangkap sendirian dalam ruangan gelap. Hanya cahaya malap di hujung terowong. Namun, tidak berdaya untuk berjalan ke arahnya.

“Astagfirullah. Aku tak patut cakap macam tu. Ingat Lukman, Allah uji kerana ‘Dia’ sayang kau.”

Tiap kali jari-jemari menyentuh papan kekunci, dia menangis lagi. Keadaan itu berlanjutan berhari-hari lamanya. Lukman menyeksa diri apatah lagi lagu-lagu sedih dipasang berulang kali menemani penulisannya. 

Makan minum sudah lama tidak diendahkan. Sesekali Azmir datang menjenguk membawakan makanan. Azmir sayu dan tidak sampai hati melihat sahabatnya hampir kurus kering. Bawah matanya lebam akibat banyak menangis. 

“Kesian, Lukman. Aku melihatnya pun berasa derita. Apatah lagi, jika mengalaminya.”

Lukman teringat akan lafaz janji semasa mereka baharu sahaja diijab kabul. Ketika Rina menyalaminya, dia membisik ini kepadanya:

“Isteriku, terima kasih menerimaku seikhlas hatimu. Aku berjanji akan membahagiakanmu selagi nafas ini terhela. Isteriku, tiada dalam sehari pun aku tidak memikirkanmu. Bahkan, setiap saat engkaulah dalam hati dan fikiranku. Aku bersyukur memilikimu di setiap hariku.”

Kemudian, Rina membalas, “Dalam setiap detik, cinta kita tumbuh seperti bunga mekar di taman hati. Bersamamu, hidupku berwarna. Bicaramu ibarat lagu terindah yang pernah kudengar.”

Lukman menghentak kepala ke meja. Sungguh, kenyataan mereka sedang terpisah kini memang memeritkan. Seharusnya, dia tahu Noraziah sedang menunggu masa untuk memisahkan mereka.

“Lukman, kau tulislah. Sekurang-kurangnya, bebanan dalam hati kau akan lega. Aku tahu tak mudah. Tapi, kalau kau simpan sahaja… pendam dan pendam lalu menjadi dendam. Ingatlah, apa yang kau sedang buat ni semuanya untuk Rina. Kau kena kuat.”

“Aku tak kuat. Aku tak kuat. Pada mataku, terlihat isteriku di mana-mana. Tawanya, tangisnya… Ya Allah! Aku boleh gila!”

“Lukman, Rina pasti sedih tengok keadaan kau sekarang. Bangkitlah. Jangan biarkan diri kau terkurung dalam kemurungan. Kau mesti nak jumpa dia lagi, kan? Jadi, kau jagalah kesihatan mental dan fizikal kau. Aku bawakan kau makanan. Makan dulu.”

“Macam mana aku masih boleh berselera nak makan? Dia dipisahkan daripada aku.”

“Lukman, jangan kau turut sangat perasaan. Kau jaga diri. Aku perlu kembali semula ke pejabat.”

Maka, tinggallah Lukman yang berendam air mata menyelesaikan sisa kerja manuskrip. Semakin rancak jari-jemari menari di atas papan kekunci. 

Tiba-tiba, dia terdengar suara Rina. “Sayang…”

Lukman terbangun. Dia mencari-cari akan kelibat Rina. 

“Tak ada. Dia tak ada!” Lukman terduduk. Dalam kecewanya, dia terasa hangat pada bahagian belakang badan. Dia tersentak. 


Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.