Nafas Kalsum deras. Dia menutup novel nukilan N. Mikah. Dia tahu apa yang berlaku seterusnya. Sebab itulah, dia tidak mahu meneruskan pembacaan. Dia mundar-mandir. Benci apabila perasaan tidak keruan membelenggu jiwa. Berulang kali menggosok belakang leher.
“Tak mungkin kebetulan. Inspirasi sekalipun, takkan begitu mirip dengan realiti. I yakin, N. Mikah ialah Lukman!”
Kalsum kembali duduk bersandar.
“Semenjak kemalangan tu, memang tak ada khabar berita langsung tentang Lukman.” Kalsum memegang kepala. “Argh, masalah makin bertambah-tambah!”
Ekor mata mengerling novel itu. Sepantas kilat, dicampak masuk ke dalam tong sampah. Terasa ngeri jika benar penulis itu ialah Lukman.
Pembaca zaman sekarang bukannya tidak cerdik. Mereka pandai menilai. Silap-silap, mereka mencari tahu sampai ke lubang cacing siapa watak-watak dalam novel itu!
Kalsum mahu menjerit sekuat hati. Sudah terbayangkan reputasinya terjejas angkara novel itu. Bukan mudah mahu menutup mulut orang.
Rina menadah telapak tangan. Rintik gerimis mulai turun. Mujur sahaja dia sudah tiba di halaman rumah. Malam memang sudah larut benar. Berjalan kaki sendirian pulang. Air mata menjadi peneman sepanjang perjalanan.
Rina mengeluh. Rumahnya bergelap bagaikan mati seperti jiwanya. Rina melepaskan lelah dengan duduk di bangku luar. Taman bunga yang tidak berseri mengundang lara di hati.
Terbayang-bayang, dahulu mereka berdua akan meluangkan masa setiap hujung minggu dengan mencabut rumput, membaja dan sesekali menanam pelbagai jenis tumbuhan. Paling kerap ditanam, tentu sekali bunga matahari.
“Sayang, bunga apa jenis sekalipun, sesuai dengan awak.” Lukman memetik sekuntum bunga raya.
“Yakah?” Rina membalas tanpa melihat. Sibuk menggembur tanah.
“Ni bunga raya. Cantiklah terselit dekat telinga awak. Perempuan Melayu terakhir!”
Rina tertoleh. Lukman terus menyelitkan bunga raya.
“Awak bunga paling cantik di taman. Saya kumbang yang akan terus mengejar awak.”
Rina mulai berlari, “Kalau macam tu, awak kejarlah saya!”
Mereka berkejaran di sekeliling taman bunga.
“Ouch!” Rina tersadung lalu terjatuh ke tanah. Telapak tangan dan lutut bergeser dengan tanah.
Lukman membantunya duduk. Diperiksa keadaan isterinya.
“Awak luka!” Dibersihkan-bersihkan beberapa bahagian tubuh Rina yang kotor dengan tanah. “Saya ambil first-aid.”
Lukman meluru masuk ke dalam rumah. Tidak lama itu muncul kembali bersama kotak kecemasan.
“Saya basuh tangan awak dulu, ya?” Telapak tangan Rina dibawa ke bawa paip air.
Rina tidak pernah berhenti merenung setiap inci wajah sang suami.
“Kenapa awak tenung je saya? Ada serangga hinggap ke?”
“Nak tengok wajah hensem suami saya. Salah ke?”
“Tak salah. Tapi, saya segan,” usik Lukman.
Lukman mengeringkan telapak tangan Rina dengan kain bersih. Kemudian, menampal pembalut luka. Tempat luka, dicium.
“Siap!”
“Kalau beginilah layanan awak, saya nak cedera setiap masa!”
Lukman ketawa. “Janganlah terluka. Susah hati saya.”
Rina terhibur mengingati peristiwa itu. Bayangan lalu lenyap.
“Sekarang, saya terpaksa melawat luka saya sendiri. Sayangnya…”
“Sayang, jangan tinggalkan saya sayang! Bangun sayang. Masih banyak lagi yang belum kita lakukan. Awak dengar tak ni?”
Rina terlihat Lukman secara samar-samar. Suaminya itu menangis sambil memegang tangannya. Rina mamai. Tubuhnya berbaring dan disorong ke suatu tempat.
Silau. Cahaya lampu putih mengiringi perjalanannya. Alat bantuan pernafasan terpasang tatkala nafasnya seperti mahu putus. Dia berasa perit dengan bahagian belakang tubuhnya. Tersangatlah sakit sampaikan mahu putus nyawa rasanya.
“Doktor, isteri saya akan selamat?”
“Kecederaan isteri encik parah. Hampir tepat mengenai bahagian organ penting. Terlalu banyak darah tumpah.”
“Apapun, tolong selamatkan isteri saya.”
“Doktor, tekanan darah pesakit menurun! Paras oksigen menurun. Keadaan pesakit dalam keadaan bahaya.”
“Kita perlu segerakan pembedahan.”
“Rina? Rina!”
Kali terakhir suara Lukman kedengaran sebelum Rina menutup rapat matanya.
Rina bangun terkejut dari tidurnya. Berpeluh-peluh. Tertidur di kerusi malas semasa membaca novel terbaharu N. Mikah.
“Mimpi. Aku baca novel sampai termasuk dalam mimpi. Astagfirullah.”
Pada verso page, dia baru perasan penulis novel itu menitipkan pesanan:
“Di mataku, bintang-bintang bersinar secantik senyumanmu. Hatiku berdebar seperti melodi cinta tak pernah pudar.”
Novel itu dibelek-belek laju. “Dia… kenapa dia tuliskan ini?”
Bacaannya terhenti seperti mana dalam mimpinya. Yang membezakan hanyalah nama watak. Bab seterusnya, mengenai punca watak utama lelaki itu meninggalkan isterinya.
“Adakah, sebab ini suami aku tinggalkan aku?” Rina cuba mengaitkan dengan kisahnya.
Rina meneruskan bacaan. Dia sudah tidak mengantuk. Malahan teruja untuk mengetahui babak-babak seterusnya. Dia menukarkan nama watak-watak lalu disesuaikan dengan mereka yang dikenali di dunia nyata.