Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 22

Rina menunggu air dijerang di atas dapur mendidih. Serbuk kopi dan gula sudah tersedia dalam teko. Tinggal dituang air panas. Tabiat Rina di ruangan dapur, akan merenung beberapa tangkai bunga matahari dalam pasu jernih di atas meja berhampiran tingkap. Nyaman ditiup angin pagi.

Sesekali, dia menyulami pandangan dengan membaca sambungan dalam novel yang dibelinya. 

“Dia tak tahu, dia sedang mengulang perbuatan sama setiap hari. Aku tak mampu menegahnya. Aku hanya mampu memerhati dari jauh. Hati aku sangat menderita. Tapi, aku tahu ada orang tak suka kami bersama.”

Rina bagai tertampar dengan ayat-ayat dalam novel itu. Dia menutup mata. Suara dalam kepala mulai bising.

‘Rina, kau yakin kau tak bermimpi? Macam mana kalau kau sebenarnya tak sedar setiap perbuatan kau?’

Mendadak kelopak matanya terbuka. Corong cerek berbunyi nyaring. Melimpah-limpah airnya. Cepat-cepat dia mematikan api. 

Selesai membancuh, dia mengambil dua biji cawan. Membelek-belek cawan bersih. 

“Awak, dah siap dah minuman awak. Awak, marilah. Nanti sejuk dah tak sedap. Awak tak suka kopi yang dah sejuk.”

Rina menuangkan kopi O panas ke dalam cawan. Berkepul-kepul asapnya. Dinikmati kopi itu sambil termenung. Dia tidak sedar, sudah menunggu Lukman lebih dari satu jam.

Rina kembali lagi ke Happy Café. Menghampiri jam 10 pagi. Happy Café masih belum memulakan operasi. Keadaan di dalamnya tidak teratur. Habuk dan bersarang labah-labah menjadi penghias dalaman kedai.

“Hairan. Keadaan seperti sudah lama tidak dibersihkan sedangkan baru sahaja semalam aku datang.” 

“Maafkan saya.” Rina menahan seorang pejalan kaki.

“Ya?” Pejalan kaki menanggalkan earphone.

“Kafe ni tak buka lagi ke?”

“Kafe ni?” Pejalan kaki menuding jari ke arah banner kedai yang sudah lusuh dan buruk. “Dah nak lima bulan tak buka.”

“Lima bulan?” Rina terkejut bukan main. “Tapi, semalam buka!”

Pejalan kaki itu ketawa. “Mungkin puan salah nampak. Mana mungkin buka. Pemiliknya melarikan diri sebab terlibat dalam kes pembunuhan.”

“Pembunuhan?!” Sekali lagi Rina dihambat kejutan. 

“Ya. Puan bukan orang sini ke?”

Rina terkelu. Perlahan-lahan menjatuhkan diri. Cuba memanggil ingatan untuk peristiwa semalam.

“Macam tak waras.” Sempat lagi pejalan kaki itu merungut sebelum meneruskan perjalanan. 

Rina mendengarnya. Dia membiarkan sahaja. Dia mulai merasai rintik gerimis mengenai kepalanya. Ditadah dengan telapak tangan. Lama-lama ia bertukar deras. Dan Rina, masih di dalam hujan.

‘Orang kata, kalau kita menangis dalam hujan, tiada siapa yang perasan. Benarkah?’


Rina memotong lebihan batang bunga matahari. Dibelek-belek bunga yang diambil dari kebun Noraziah. Setelah berpuas hati, dimasukkan ke dalam pasu jernih. Kopi yang sudah sejuk, diteguk sehingga habis.

Dari jendela dapur, dia melihat kebun di halaman rumah bagai tidak terurus dalam suatu tempoh yang begitu lama. Rumput meninggi hampir sama paras dengan betis. Tanaman bunga matahari layu tidak bermaya. Timbunan baja dalam guni terbiar begitu sahaja di sebelah stor. Kolam ikan sudah berlumut hijau. 

Rina berkerut-kerut dahi.

“Bukankah suami aku baru sahaja melakukan kerja kebun dua minggu lepas. Takkanlah kelihatan begitu terbiar lama?”

Rina mencapai ganggang telefon. Dia mendail ke nombor telefon Lukman. 

“Harap maaf. Nombor yang anda dail tiada dalam perkhidmatan.”

Rina melihat ke ganggang. 

“Pelik. Bila pula dia tamatkan nombor ni?”

Didail nombor itu sekali. Sama sahaja jawapannya. Rina mulai resah gelisah. Dia menggaru-garu kepala.

“Mana semua orang?” Rina berputus asa. “Semua orang tak pedulikan aku ke?”

Dia terus mendail nombor Noraziah.

“Helo…” kali ini panggilan di sebelah sana bersahut. “Rina.”

“Mak.”

“Rina dah buat keputusan?”

“Keputusan?” Ketika ini, gelisahnya bukan main. Dia tidak tahu alasan disebaliknya.

“Untuk kembali ke rumah mak.”

“Kenapa saya perlu buat macam tu? Sayakan ada rumah sendiri.”

Rina tidak mengerti mengapa dia perlu ketawa kekok. Dalam masa yang sama, merata-rata mencubit bahagian lengan. 

Jelas kedengaran Noraziah mengeluh. Sebak. Dalam masa yang sama, tidak mahu melukakan hati sang anak. 

“Rina, semenjak kamu keluar hospital… kamu nak tinggal di rumah itu walaupun tiada sesiapa. Mak bawa kamu balik ke rumah mak, pasti kamu akan cuba melarikan diri.”

“Tipu! Mak saja cakap macam tu sebab mak benci suami saya.”

“Apa yang mahu dibencikan lagi, Rina? Orangnya pun sudah tiada.”

Air mata Rina tidak semena-mena mengalir deras. 

“Rina, untuk keberapa kali mak beritahu kamu… Lukman dah tak ada. Dah lama. Hari kemalangan itulah, dia meninggal dunia. Dah lima bulan, nak! Lima bulan kamu dalam dunia kamu sendiri. Pakar psikiatari kata, jiwa kamu tergoncang. Kamu tak nak terima apa yang telah berlaku kepada kamu. Sekejap kamu gembira. Sekejap kamu menangis.”

Rina terasa dunianya gelap. Ganggang telefon terlepas. Dia terduduk.

“Rina? Rina?” Noraziah memanggil-manggil dari talian sebelah. Dia diburu kebimbangan. 

Rina duduk termenung ditemani angin petang. Dalam cahaya senja, dia menangis tanpa suara. Sunyi. Sepi.

‘Rina, sayang. Saya sentiasa hidup dalam ingatan awak.’

Pelukan hangat itu, dia merasainya di dunia nyata! Rina memejamkan mata. Dia ingin berlama-lama di situ.


Noraziah mencari Rina di dapur. Dia tahu anaknya pasti ketiduran di lantai. Dia datang bersama dengan hidangan makan malam. Semasa tiba di halaman rumah, Noraziah mengeluh. Rumput meninggi. Pokok-pokok bunga melayu.

Awal-awal dulu, dia mahu memanggil tukang kebun untuk membersihkan halaman rumah. Apabila Rina tahu, mengamuk sakan anaknya.

“Biar suami saya sahaja bersihkan halaman rumah kami.”

“Rina, Lukman dah tak ada!” Berbuih-buih mulut Noraziah mengatakan hal sebenar.

“Mak jangan merepek!” Malangnya, Rina tetap percaya Lukman masih hidup!

Rina memang sukakan kegelapan semenjak sedar dari koma. Hanya satu mentol dihidupkan. Di bahagian ruang tamu sahaja. Ruangan lain, semuanya gelap. Erti kata lain, perempuan itu sengaja menghurung diri dalam kemurungan. Langsung tidak bersedia menerima kenyataan. 

“Rina…”

Noraziah menghidupkan suis lampu dapur. Terang-benderang. Bunga matahari layu di dalam pasu selalu menarik perhatiannya. Dia tahu, bunga itu mewakili jiwa sang anak. Tidak bermaya. Tiada seri. Layu dan terus layu menunggu masa untuk hancur lalu menjadi debu ditiup angin.

Kemudian, mematikan radio yang sedang memutarkan lagu ‘Jangan Tinggal Daku’ nyanyian oleh P. Ramlee. Asalnya, radio dan tape-tape itu milik arwah suami Noraziah. Kini, anaknya pula yang menggunakan peralatan itu demi melayani lara duka di hati. 

“Mengapa begitu menderita kau, nak?”

Noraziah menggoncang bahu Rina. Sang anak memisat-misat kelopak mata. 

“Mak dah datang. Kamu mesti belum makan. Mak masak lauk kegemaran kamu. Lemak pucuk paku dan ayam masak sambal hijau. Kamu suka tu. Pasti bertambah-tambah nasi. Mak bawa sekali kuih seri muka dan ketayap.”

“Alamak, saya lupa nak masak! Kesian suami saya.”

Mata Rina terus segar. Dia bangun dan mahu menjerang air. Kopi dingin dalam teko siang tadi, masih di tempat sama.

“Kenapalah awak tak minum kopi yang saya buat? Mesti terlalu banyak kerja dekat pejabat. Tak menyempat-nyempatlah ya pun bos awak ni!”

Mendengar itu, terus gugur air mata Noraziah. Situasi sama yang harus dihadapi selama lima bulan. Rina sekejap bersikap normal. Sekejap berada dalam dunianya.

“Tak apa. Biarkanlah teko tu. Biar mak basuh. Kita makan dulu.”

Noraziah menjenguk meja makan. Bekal nasi lemak dikirim menerusi pembantu rumahnya pagi tadi untuk sarapan tidak berusik. 

Rina bingung. Dia mengikuti sahaja perintah sang ibu. Kini, mereka sama-sama di meja makan. Noraziah menghidangkan makanan bersama linangan air mata. 

‘Hai anak. Ibumu sudah tua. Siapalah agaknya yang mahu menjagamu setelah mak pergi nanti?’

Rina makan dengan lahap. Lapar. Dalam fikiran, siapa tahu dia sedang memikirkan keadaan Lukman.

‘Dah makan ke awak? Awak suka kerja kuat-kuat. Gila kerja sampai tak ingat balik.’

Setiap suapannya, diiringi titisan air mata.


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.