Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 17

Kepala Rina bergerak ke kiri ke kanan. Dari kelopak mata tertutup, bola mata bergerak-gerak laju. Peluh membasahi dahi. Baju turut lencun dengan peluh. Dalam tidur, bisikan-bisikan jahat sedang menguasai mimpinya. 

“Rina kau mesti mati! Mati kau Rina. Mati! Kau tak mati… suami kau mati!”

“Aku tak nak… tak nak!” Rina meracau-racau mengejutkan Lukman yang sedang mahu membersihkan diri untuk solat subuh.

“Rina…” Lukman mengusap lembut tangan sang isteri. Dia berselawat kemudian dihembus perlahan pada ubun-ubun sang isteri.

“Pilih Rina. Pilih antara hidup suami kau mahupun hidup kau. Pilih!” 

“Tak nak!” Jerit Rina, lantas terbangun mendadak. 

“Sayang? Awak mengigau. Dah subuh ni. Bangun. Mandi.”

Rina terkebil-kebil. Terlihat sang suami di hadapan. 

“Saya mimpi ke?”

Lukman mengurut kaki Rina perlahan-lahan. Urutan itu membuatkan Rina yakin dia sudah terjaga daripada mimpi. Rina mulai bersandar. Dia masih terkesan dengan kata-kata dalam mimpinya. Takut sekali jika menjadi kenyataan.

“Awak…”

“Ya, sayang?” 

“Apa yang awak nak buat hari ni?” Air muka Lukman terus berubah. Rina cepat-cepat menyambung kata, “Maafkan saya. Saya ambil berat akan awak sayang.”

“Hari ini benarkan saya teman awak ke ladang.” 

“Boleh…” Rina tersenyum. Terus memeluk tubuh sang suami. Erat. 

“Anything okay?” Lukman berasa lain sekali pagi ini.

Rina mengganguk. Mungkin sebenarnya, dia sedang takut kehilangan Lukman suatu hari nanti.


Setelah matahari tegak ke langit, barulah Lukman dan Rina pulang ke rumah untuk membersihkan diri, makan tengahari dan solat.  Setelah itu, Rina akan menuju ke kedai bunga keluarga mereka untuk memantau-mantau pekerja. Berbuih-buih mulut Lukman melarangnya untuk bekerja keras. Rina membalas dengan hujah. Biarlah dia menyibukkan diri agar memori lalu kembali singgah dalam ingatan. 

Selesai menghantar Rina ke kedai bunga, Lukman memacu keretanya menuju ke tempat kerja atau erti kata lain, bekas tempat kerja! Dua hari lepas, dia menerima salinan dokumen menerusi e-mel daripada Azmir. Hari ini, amarahnya membara-bara panas dan mungkin tidak mampu ditahan lagi!

Lukman menghubungi Azmir sebaik sahaja dia memarkir kenderaan. Tidak menunggu lama, Azmir sudah sampai di situ. Lukman menurunkan cermin kereta.

“Kau dah fikir masak-masak ke?” Azmir kerisauan.

Lukman menjeling.

“Aku dah sampai sini maksudnya aku dah fikir masak-masak!”

“Yalah… yalah! Kau cepat emosilah!”

“Kalau kau kena macam aku kena, kau pun akan meradang!”

Lukman keluar dari perut kereta bersama dengan satu fail hitam. Dia telah mencetak keluar maklumat yang perlu. Tujuan dia memanggil Azmir ialah dia mahu memasuki bangunan akhbar itu akan tetapi tiada kad akses. Jadi, dia akan masuk bersama-sama dengan Azmir. Staff-staff berselisih masuk memandang pelik ke arahnya.

“Bukan dia dah dipecat? Kenapa dia datang lagi?”

“Tak malunya. Kalau aku, aku sorok baik-baik dalam rumah. Lari daripada pandangan masyarakat.”

“Zaman sekarang, aib is nothing! Tak malu!”

Antara bisikan yang Lukman dengari tatkala masuk ke dalam lif. Dia terus bersabar.

“Dah setting going live?” Lukman menyoal saat mereka sudah tiba betul-betul di depan pintu pejabatnya. 

“Fikir baik-baik Lukman. Fikirkan kesan pada masa akan datang. Kesan kepada hidup kau dan mungkin kepada hidup Rina. Sekarang kau tengah marah. Bahaya buat keputusan melulu. Masih sempat nak berpatah balik.”

Azmir dicuit kerisauan. Namun, tetap juga dia bersedia dengan telefon pintar. Kejadian yang bakal berlaku akan disiar secara langsung ke media sosial. Lukman yang memaksanya.

“Perlu! Sebagaimana dia malukan aku, macam tu juga dia perlu viral!” 

“Kau akan bertanggungjawab kalau berlaku apa-apa. Lagi sekali aku tanya kau, dah habis masak ke keputusan kau?”

“Ya. Aku dah habis fikir. Aku akan bertanggungjawab! Aku bukan pengecut!”

Lukman membuka pintu automatik menggunakan kad akses Azmir. Selalunya tiada staff peduli pintu itu dibuka sesiapa. Hari ini, tolakan kuat pintu kaca itu membuatkan masing-masing mendongak pandangan. Pintu besi itu berlaga kuat dengan dinding. 

Lukman terus menuju ke sebuah meja kerja sasarannya.

“Tak perlu pura-pura buat kerja!”

Lukman mencampak fail hitam ke atas meja sasarannya yang sedang khusyuk menyiapkan artikel sambil mendengar lagu.

“Lukman!” Sabrina terbangun akibat sergahan itu. “Apa awak buat di sini?”

Sabrina terpandangkan Azmir yang sedang asyik merakamkan mereka.

“Apa awak buat di sini?” Lukman mengulang kembali kata-kata itu untuk mengejek Sabrina. “Sepatutnya kau cakap apa khabarmu Lukman setelah video yang ku muat naik ke TikTok menjadi buah mulut orang?! Padan muka kau Lukman sebab mengkhianati abang aku, tak gitu?”

Sabrina terpaksa memaling wajah setelah ditengking sebegitu deras oleh Lukman. Pipinya memerah menahan pelbagai perasaan menujah ke jiwa.

“Kau adik kepada arwah Zahuri, kan?” 

Sabrina kembali menoleh. Kali ini, bola mata memerah bersama genangan air mata. Dia mulai emosi. 

“Kalau ya, kenapa? Awak ada masalah dengan itu?”

“Kau memadam profil arwah tapi kau tak boleh nak halang aku untuk terus menyiasat. Orang yang buat macam tu bermaksud dia mahu menghilangkan atau melenyapkan informasi berkaitan arwah termasuk tentang ahli keluarganya! Kau lupa yang boleh buat macam tu ialah pekerja syarikat kita. Dan, memang benar jangkaan aku. Bila aku teliti semua maklumat dalam fail jabatan sumber manusia, tekaanku benar belaka!”

“Andaian awak tak kukuh untuk tuduh saya! Boleh jadi sesiapa sahaja!”

“Ya. Aku tahu kau akan berdolak-dalih. Sebab itu aku sudah bersedia!”

Lukman menarik keluar beberapa keping kertas dalam fail hitam. Dicampak ke muka Sabrina. Perempuan itu tidak sempat mengelak. Berterbangan kertas-kertas itu ke udara.

“Sekarang, macam mana?” Tengking Lukman.

Sabrina mengutip kertas-kertas di atas lantai. Tampangnya marah dan bengang.


Imbas kembali…

“Ada apa nak berjumpa aku ni, Man?” Kata Zamri, pekerja bahagian IT.

Lukman dan Azmir menemuinya di tempat parking kereta setelah tamat waktu pejabat. Kira-kira 6:00 petang.

“Tak boleh ke orang yang dah kena pecat ni datang temui kau?” Sindir Lukman.

Hari ini tiada sebarang senda gurau antara mereka seperti kebiasaan. Lukman ralat. Dia benar rasa terpinggir.

Zamri mengeluh. Dia tahu mereka bukan sahaja-sahaja mahu menemuinya.

“Baik. Katakan perkara sebenar kau datang berjumpa aku,” putus Zamri. Jika diikutkan, dia boleh sahaja memberi alasan sedang sibuk.

“Boleh kau tunjukkan kepada aku data pekerja?” Lukman berterus-terang.

“Itu data sulit. Dan kau dah menjadi orang luar.” 

“Orang luar? Pedih kenyataan itu.” Lukman berdengus. “Tak apa. Aku terima. Kau tak nak tolong aku yang sedang dianiaya?”

“Aku no comment hal itu.” Zamri memberi jawapan selamat. Dia sendiri tidak pasti sejauh mana kebenaran isu itu.

“Kau tak percaya dekat aku.”

“Hmmm, bolehlah dikatakan begitu. Aku tak nak ada masalah di kemudian hari. Paling tidak aku buang kerja. Paling teruk, didakwa di mahkamah. Sorry. Kau cuba cara lain.”

“Okey. Kalau macam tu, kau mesti boleh tolong aku untuk hal ini. Tolong aku carikan info untuk IP address username Mr. Iz. Orang yang sebarkan aib aku di seluruh media sosial.”

“Itu…” Zamri terjeda, sedang memikirkan permintaan itu. “Aku fikir, aku boleh tolong. Aku yakin kau boleh teka siapa dalang sebenar aniaya kau. Ikut aku pulang ke rumah.”

Mereka memasuki kenderaan masing-masing.


Lukman memerhati sahaja skrin komputer Zamri memaparkan coding tidak berhenti-henti. Lukman tidak arif langsung dalam sistem komputer. Tidak dimergerti langsung dengan apa yang sedang Zamri lakukan.

“Kau buat apa tu?” Lukman tidak mampu mengawal rasa ingin tahu.

“Aku jejak maklumat akaun username tu. Aku pancing dia untuk klik pada pautan palsu yang aku hantar. Setelah dia klik pautan tu, aku akan dapat maklumat e-mel yang digunakan, nombor telefon, nama, alamat, lokasi terkini dan apa-apa berkaitan!”

“Kalau dia tak terpedaya untuk klik link tu?” Lukman sangsi. Dia memang pernah dengar kaedah yang Zamri gunakan iaitu phising.

“Dia akan terpedaya sebab dia dah pun klik link tu!” Kedengaran sedikit kegembiraan pada suara Zamri.

“Serius?”

“Ya.” Wajah Zamri serius. Dia sedang membaca maklumat yang berjaya didapatkan. Dahinya berkerut. “Aku rasa… kau akan terkejut bila kau tahu siapa di sebalik semua ni.”

Lukman sudah berdebar-debar. “Musuh dalam selimut?”

Zamri lekas mencetak keluar maklumat yang didapati. Dia tidak membalas walau sepatah. Biar Lukman tahu sendiri.

Berlari-lari bola mata Lukman membaca isi kandungan kertas. Hatinya bagai terhempas jatuh berkecai! Hampir keronyok kertas itu. Dia menggenggam kuat. 

“Aku tak mengerti. Kenapa dia?” Lukman tidak percaya. Terasa bagai dikhianati. “Tapi, logik pun kalau staff dalaman yang lakukan sebabnya gambar-gambar sensitif tersebar meluas!”

“Orang yang ada talian persaudaraan dengan arwah sahaja yang akan buat macam tu,” sampuk Azmir.

Lukman teringat sesuatu. “Boleh kau trace balik profil yang terpadam dalam online database syarikat kita? Aku tahu kau takkan menceroboh ke sistem bahagian sumber manusia untuk tengok maklumat staff.”

“Ada profil terpadam ke? Kita tak boleh sesuka hati memadam profil.”

“Ada. Arwah Zahuri punya profil. Ada orang tak bertanggungjawab padamkan. Aku nak tengok maklumat keluarga arwah.”

Zamri tidak banyak cakap. Dia terus mengelog masuk ke pangkalan data ‘People.’ Lukman tidak tahu apa yang Zamri lakukan. Keputusan akhir, profil Zahuri kembali terpapar ke dalam pangkalan data. Lukman kagum seketika.

“Nah, maklumat yang kau nak!” Zamri memberikan maklumat profil Zahuri yang telah dicetak keluar.

“Terima kasih!” Lukman terus membacanya lalu memadankan data tadi. “Jadi, memang benarlah dia adik arwah Zahuri!”

“Jadi, dia ada motif, kan?”

Lukman merenung jauh kata-kata Zamri.


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.