Home Novel Cinta Rindu tak berkesudahan
Bab 37

“Dah susah, kau baru cari aku?” Sindir Noraziah, berjalan melenggang seseolah tiada kerisauan terbuku di hati dengan keadaan semasa Rina.

Lukman muncul di depan Noraziah. Ibu mentuanya datang melawat Rina di hospital. Rina baru melepasi tempoh kritikal setelah pembedahan.

“Apa yang kau boleh beri kepada dia dalam keadaan kau sekarang? Cinta? Cinta tak boleh bayar bil hospital.” Kenyataan yang menikam tepat jantungnya. “Aku dengar kau dah kena buang kerja. Apa ikhtiar kau nak senangkan anak aku?”

Lukman berlutut. Tidak pedulikan maruah. “Tolonglah mak. Bantu kami.” 

“Aku boleh bantu tapi dengan satu syarat.”

“Katakan, mak. Saya akan penuhi.” 

Noraziah senang mendengarnya. “Kau tinggalkan dia. Aku tak nak tengok muka kau.”

Lukman tersentak.

“Maafkan saya. Saya tak mampu buat apa yang mak nak.”

“Baik. Aku nak tengok selama mana kau boleh bertahan. Maruah kau lagi penting atau kesihatan Rina. Aku memang tak faham suami jenis macam kau. Aku balik dulu.”

“Sampai hati mak tengok Rina menderita.”

“Hei, dia di bawah tanggunjawab kau. Kau perlu cari jalan. Kau tak boleh salahkan aku. Aku dah bagi cara. Kau yang menolak. Siapa yang bodoh?”

Tawa Noraziah membingit. 

“Okey. Aku bagi kau masa untuk berfikir. Aku duduk dulu. Kau fikirlah. Itupun kalau kau nak fikirlah.”

“Mak, saya terima cadangan mak.”

“Bagus. Dah lama aku nak dengar dari mulut kau sendiri. Baik. Kau boleh pergi sekarang. Aku tahu macam mana nak uruskan Rina. Aku akan jaga dia baik-baik. Kau tak perlu risau. Aku hanya nak kau pergi.”

“Mak, benarkan saya jaga Rina sehingga dia sedar.” Lukman memegang kaki Noraziah.

“Kau jangan nak berlebih-lebih.” Noraziah menarik kakinya kasar.

“Mak saya janji. Tolonglah saya. Saya nak luangkan masa dengan dia. Kemudian, saya pergi.”

“Okey, kita akan buat surat perjanjian. Kau mungkir, kau akan terima akibatnya.”

Tidak sewenang-wenang Noraziah mempercayai lelaki itu.


Lukman mengelap tubuh Rina. Selesai sahaja, disalin baju baru buat Rina. Kaki Rina diurut-urut dengan penuh lembut dan kasih sayang menzahirkan rasa cintanya sebagai seorang suami.

“Sayang, lekaslah bangun. Awak tak teringin ke nak berlari? Saya dah lama tak kejar awak.”

Sepi. Seperti biasa, Rina tidak mampu membalas dalam keadaan jasad terbaring kaku. Lukman menahan kuat daripada menangis. Dia tidak mahu Rina mendengarnya.

Bunga matahari yang sudah layu, dipandangnya.

“Sayang, saya tukar bunga ya. Awak suka bunga segar.”

Itulah kegiatan wajib yang Lukman lakukan. Tiap hari, dia akan menggantikan bunga matahari di dalam pasu. Dia tidak sanggup melihat bunga itu layu. Jika ia layu, bertambah sedihlah hatinya. 

“1… 2… 3! Senyum!” Lukman bersuara ceria. 

Berswafoto setiap hari dengan Rina meskipun isterinya tidak mampu membuat sebarang gaya seperti keadaan normal. 

Kemudian, dia akan bercerita tentang kenangan indah mereka bersama.

“Saya teringat pada hari saya terjatuh ke dalam lopak air semasa berjalan di atas batas kebun timun. Saya nak kejar awak masa tu. Awak rampas kamera saya.”


“Jeles dengan kamera awak.” Rina menjeling Lukman yang sedang asyik membelek kameranya.

“Kenapa?” 

“Awak keluar dating dengan saya atau kamera? Awak belek-belek dia. Saya?”

“Awak cemburu?”

“Tak!” Spontan, Rina merampas kamera itu sambil menjuih lidah.

“Hei!” Lukman terus mengejar kerana Rina berlari laju. “Bagi balik.”

Tidak semena-mena Lukman tergelincir ke dalam lopak air. Habis basah. Berlumpur dan berselut. Rina gelak sahaja. Dia mengambil gambar Lukman pula.

“Malulah saya awak ambil gambar hodoh saya!”

“Sesekali.”

Tidak berapa lama bergurau senda, mereka berjalan pulang ke rumah. Kebetulan mereka melalui kawasan kanak-kanak yang sedang asyik dengan permainan ting-ting. Mereka melukis gelanggang pada tanah kering menggunakan ranting kayu.

Rina terus mengikut permainan itu secara spontan. Lukman tergeleng. Dia membiarkan sahaja Rina menghayati nostalgia zaman kanak-kanak.

“Kakak nak ikut!”

“Boleh!”

“1, 2, 3, 4!” Rina selesai melompat. Kemudian, membaling batu yang agak besar saiznya tanpa melihat.

“Yeah, kakak boleh selesaikan giliran kakak!” Rina bersorak melihat batu itu.

Akhirnya, permainan itu selesai.


Lukman mengurut pula tangan Rina. “Sayang, awak ingat tak awak pernah cedera semasa jahitkan baju raya untuk saya?” Lukman tergelak dalam tangis.

“Masa tu nak raya. Awak tersalah potong pada bahagian lengan. Tak sama panjang. Awak dah siap jahit kedua-dua lengan, baru awak perasan. Saya kata, tak apa sayang. Saya tak kisah pun kalau tak ada baju raya. Tapi, awak tetap nak juga saya pakai baju melayu baru masa pagi raya.”

Lukman terhenti bicara untuk mengesat air matanya.

“Awak tak tidur malam tu. Awak buka balik jahitan. Ukur semula saiz lengan. Semasa awak cuba untuk menjahit semula, jari awak terkena jarum mesin. Percikan darah awak mengenai kain baju.”

Lukman membelai rambut Rina. Dia mengerling jam dinding. Menghampiri 3:00 pagi. Dia mengambil keputusan untuk solat tahajud. Dalam doanya, dia mengharapkan kesejahteraan untuk Rina.

Semasa dia sedang melipat sejadah, Lukman terperanjat. Terdapat pergerakan kecil pada jari-jemari Rina. Dia segera memanggil jururawat bertugas pada awal pagi.

Lukman penuh pengharapan untuk melihat sang isteri membuka mata. Dia menunggu sehingga malam tanpa peduli makan minum. Rina tetap kaku. 

“Man, makanlah sikit. Mak masak.” Ruminah cuba memujuk.

Lukman setia memandang Rina. Jikalau boleh, tidak mahu berkelip mata. Dia tidak mahu melepaskan peluang melihat tiap pergerakan yang terhasil.

“Kau mungkir janji!” Noraziah hilang sabar. Dia fikir, Lukman sudah tidak datang melawat Rina lagi.

“Mak, saya tak boleh hidup tanpa dia!” Lukman cuba untuk memegang kaki Noraziah.

“Argh, aku tak peduli! Aku dah banyak bagi muka kepada kau. Semakin dibiarkan, semakin naik lemak! Aku benci tengok muka kau. Bila nampak je kau, aku terbayang jasad Rina semasa kemalangan hari itu. Aku jaga Rina baik-baik. Ini yang kau pulang kepada aku?”

Lukman dibelasah sampai lunyai oleh orang suruhan Noraziah.

“Selagi aku hidup, aku takkan benarkan kau bersama Rina semula! Cukuplah! Sekarang kau dengar sini, kau akan menjadi seorang yang sudah mati! Ni sijil kematian kau. Aku akan tunjuk kepada Rina. Aku akan cakap, kau mati dalam kemalangan.”

“Saya belum mati!” Lukman terkejut. 

“Kau dah mati! Satu Malaysia tahu kau dah mati!”

Noraziah mencampak sijil itu ke mukanya. “Ambil sijil tu! Simpan sebagai mana kau menyimpan kad pengenalan.”

“Mustahil!”

“Tak ada yang mustahil. Dengan wang, semua boleh selesai! Kau ada apa? Sekarang bawa dia pergi. Aku tak nak tengok muka kau lagi. Bertambah bernanah hati aku melihat muka hodoh kau! Anggap jelah parut kekal pada wajah kau tu sebagai balasan kerana mengambil Rina daripada aku dulu!” 

“Saya akan kembali. Walaupun mak pisahkan kami, saya janji… saya akan buatkan Rina sentiasa ingat kepada saya.”

“Cubalah! Aku tak hairan. Kau hanya pandai cakap. Tapi, tin kosong! Tak ada hasil. Kau akan sentiasa macam tu!”

“Saya akan buktikan kata-kata mak tak sentiasa benar!”

“Kau cabar aku? Argh, bawa dia pergi!”


Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.