Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 36

Bunga Api Yang Indah

Mata Mei menerawang ke sekeliling. Mencari-cari kelibat Yusri yang hilang secara tiba-tiba. Musykil akan kehilangannya, dia pun bertanya kepada Rina.

"Rina. You ada nampak Yusri tak?" 

"Yusri?" Rina memberikan reaksi hairan. Langsung gadis bertudung ini melihat sekelilingnya. Setelah lama mencari, matanya tertumpu pada seorang lelaki yang sedang menggunakan telefon. Dia berdiri di sebalik pokok.

"Tu bukan Yusri ke?" soal Rina dengan jarinya ditujukan ke lelaki itu.

"Oh, ha'ahlah. Mungkin power spec saya ni dah naik kot." Mei membuka cermin matanya. Kanta cermin mata dibersihkan.

"Itu tandanya kau dah nak tua tu," gurau Rina lalu tertawa.

Gurauan itu ternyata menyentap hati gadis cina ini. Dia tidak memarahi Rina, sebaliknya memberikan jelingan garang.

Saat dia memakai semula cermin mata, dia melihat kembali ke arah Yusri. "Macam sibuk je dia tu."

"Nampak gayanya macam tu lah. Mungkin call Rafie agaknya." Andai Rina.

"Hmmm... tak apa lah. Nanti saya jumpa dengan dia," akur gadis berbangsa cina ini. Terus dia kembali bermalas di atas tikar sambil menanti letusan bunga api yang bakal bermula.

*****************************

Sementara itu, Yusri yang sedang membuat panggilan telefon, sedang tekun mendengar cerita Rafie. Apabila cerita itu tamat dia membuka mulut.

"Macam tu ke. So, kau tak nak gunakan peluang ni?" soal Yusri, tenang.

"Apa maksud kau?" suara Rafie dari gagang telefon bertanya hairan.

"Rafie, aku ada satu rahsia nak beritahu kau." Yusri mengambil nafas sebelum menyambung kembali.

"Inas suka kau."

*****************************

Saya masih duduk di atas bangku. Termenung mengingatkan kisah yang diceritakan oleh Rafie sebentar tadi. Sedih, itulah yang mampu saya ungkapkan.

Sebelum ibunya meninggal dunia, sepupu rapatnya pergi dahulu. Sudah dua kali dia merasa kehilangan, namun dari air mukanya seperti tidak mempunyai masalah. Tabah betul Rafie. Sejujurnya saya kagum akan ketabahannya itu.

Tubuh jejaka ini diamati dari atas hingga ke bawah. Langsung tidak berkelip. Makin lama saya perhatikan, makin saya tertarik dengannya.

Alangkah indahnya, jika saya dapat memiliki seorang lelaki seperti Rafie. Sudahlah orangnya baik, bertanggungjawab pula tu. Seandainya diberi pilihan untuk memilih pasangan, Rafielah orang itu.

Ketenangan hati semakin menggelegak, bagai masak dengan rasa cinta, membuat jiwa meronta, hati pula diterpa. Ingin sahaja saya meluahkan isi di hati. Namun, apalah guna jika rasa ini hanya sekadar bertepuk sebelah tangan. Ya... mana mungkin lelaki seperti Rafie menyukai saya, yang terlampau naif dan bendul.

Saya sedar, kami hanya sekadar kawan. Biarlah saya pendam perasaan ini asalkan hubungan kami terus kekal tanpa sebarang masalah.

"Tak mungkinlah, kau gurau kan? Apa yang kau nak cakap sebenarnya?" Jeritan suara Rafie menjengah telinga.

Apakah dia sedang marah? Saya memandangnya. Pada masa yang sama dia melihat wajah saya dari jauh. Mata kami bertemu. Sejurus itu, dia memalingkan wajah. 

Saya mengerutkan dahi. Apalah yang mereka bualkan? Pasti Yusri ada mengusik Rafie sampai dia meninggikan suaranya.

"Wei, Yush! Yush!" jerit Rafie berkali-kali. Sebaik dia melihat skrin telefon, dia mengeluh panjang. Panggilan telah dimatikan.

Telefon Rafie disimpan ke dalam poket, langsung dia kembali duduk di sebelah saya. Mukanya diraup perlahan. Kepalanya pula ditundukkan. 

Saya hanya melihat. Lama juga memandangnya. Tetapi saat panasaran hati mengundang curiga, saya pun bertanya.

"Apa yang korang bualkan tadi?" 

Reaksi terkejut diberikan oleh jejaka ini. 

"Eh? Err... dia tanya fasal keadaan awak je." Ketenangan Rafie mulai hilang. Dia gelebah. Macam ada sesuatu dah berlaku.

"Oh, ya ke. Yang bising-bising tadi tu sebab apa?"

"Biasalah, Yush. Dia usik saya dengan awak. Tahulah perangai dia. Padahal kita ni kawan je." Nada suara Rafie agak mendatar, seperti mahu mengelak sesuatu. 

Sejujurnya saya terasa hati. Bukan kerana nada suara, tetapi ayatnya.

'Kawan je.' Ternyata ayat itu menghimpit hati yang lara.

Saya menggetuskan tawaan. Tawaan yang dibuat-buat. "Makin rapat pula saya tengok korang ni. Siap bergurau lagi," seloroh saya.

"Nak buat macam mana, dia kan kawan saya juga." Sekali lagi, nada suaranya mendatar. 

Sah, mesti ada yang tak kena. Gaya Rafie macam menyembunyikan sesuatu

Perbualan kami terjeda. Janggalnya saat ini sampaikan bunyi cengkerik pun jelas didengari. Sengajalah saya curi-curi pandang wajah Rafie. Jelas gerak tubuhnya berbeza. Gayanya macam tidak senang duduk.

Dia menggaru pipi. Matanya sebolehnya mahu mengelak dari memandang saya. Saya faham mengapa dia begitu. Brangkali dia tidak selesa dengan saya. Maklumlah, Yusri sering kali mengusik dia dengan saya, walhal kami ini kawan sahaja. 

Ka... wan.

Benar, hubungan kami tidak lebih dari itu.

Tangan kanan saya dibuku geram. Pelik, mengapa saya kecewa dengan perkataan itu. Dahulu saya begitu suka dengan ayat itu. Sekarang... ayat itu kedengaran pahit. Rasanya seperti saya tidak boleh terima bahawa hubungan kami hanyalah sekadar kawan.

Kecewa.

Sangat, sangat kecewa.

Kali terakhir saya berasa begini sewaktu keluarga saya menjual piano kesayangan saya beberapa bulan yang lalu. Sekali gus, meranapkan impian saya untuk menjadi pemain piano.

Impian ya. 

Baru saya teringat. Rafie belum tahu lagi tentang perkara itu. Tak mampu saya bayangkan bagaimana reaksinya, memandangkan dia sangat menyokong impian saya itu. 

Tangan saya dibuku kuat. Saya mesti beritahu Rafie.

"Rafie." 

Perlahan-lahan dia memandang saya. "Ya?"

Saya berjeda seketika. Bibir ini dikemam, mengambil masa untuk memulakan bicara.

"Awak tahukan yang saya nak jadi pemain piano di sebuah konsert okestra?" 

Rafie mengangguk. Matanya tidak lekang daripada memandang saya, bagai menanti kebenaran yang bakal saya ucapkan. 

"Saya nak beritahu awak, yang saya... give up dengan impian tu." Pengakuan saya itu membuatkan jejaka ini tergamam. Langsung dia berdiri.

"Tak mungkin. Kenapa?" soalnya dengan riak ingin tahu. Nyata dia terkejut.

"Maafkan saya. Saya tak mampu, awak. Saya tak mampu nak yakinkan keluarga saya. Mereka tetap berkeras. Lagi-lagi... piano saya kan... dah dijual."

Rafie menelan payah air liurnya. Wajahnya kesal. Mungkin dia kesal dengan keputusan saya ini.

"Macam tu ke," gumamnya. Dia menghela nafas panjang sebelum kembali duduk.

"Jadi, itu keputusan awak?" 

Saya mengiyakan.  

"Baguslah kalau kalau awak dah buat keputusan. Cumanya... awak dah ada impian baru?"

"Belum lagi. Tapi buat masa ini saya nak fokus dengan pelajaran. Saya nak belajar sampai dapat degree. Lepas tu kerja dan bantu keluarga saya. Ibu ada impian. Dia nak tengok saya dan kakak berjaya dalam pelajaran. Alang-alang saya tak ada impian, apa salahnya saya realisasikan impian ibu tu." 

Penerangan itu membuatkan jejaka bertubuh kurus ini tertawa kecil. "I see. Gembira bila awak dah buat keputusan macam tu."

Tawaan itu mengelirukan saya. Dia tidak marah?

"Awak gembira? Awak tak paksa saya untuk terus kejar impian tu?"

"Siapalah saya hendak memaksa. Saya bukan tuhan, saya cuma manusia yang menyokong impian manusia. Tapi saya gembira. Sekurang-kurangnya awak ada sesuatu untuk dicapai. Tak ada lah tergantung hidup awak nanti." balasnya lalu tertawa kecil.

Saya mengikuti tawaanya. 

"Terima kasih sekali lagi, Rafie," ucap saya yang keberapa kalinya pada hari ini.

"Berapa kalilah awak nak ucap terima kasih ni."

"Seberapa banyak yang saya mampu," seloroh saya lalu menyambung tawaan. 

"Awak dah banyak tolong saya dan saya hargai semua pertolongan awak tu," sambung saya lagi. Kali ini dengan penuh syukur. Mengharapkan dia hargai ucapan itu.

Seperti dijangka, dia terkedu. Nasib dia sempat menahan diri walaupun rasa malu itu terpancar pada wajah.

"Saya suka personaliti awak, Rafie. Awak dah tolong saya untuk berikan harapan yang baru. Awak tahu tak, awaklah harapan saya sekarang. Tak ada awak, mungkin hidup saya tak akan lengkap. Bila saya dekat dengan awak, saya rasa selesa sangat. Seolah-olah awak ni... ditakdirkan untuk saya," luah saya tanpa kekok.

Rafie pula makin terkelu. Sedikit pun suaranya tidak terluah. Langsung tidak berkata sepatah. Saya tidak kisah dengan reaksinya. Saya pasti yang dia hanya menganggap ini hanyalah gurauan. Tambah pula saya ini hanyalah kawan kepadanya.

Disebabkan itulah, saya bertekad yang saya akan membuat satu pengakuan kepadanya.

"Rafie, saya ada sesuatu nak luahkan dekat awak."

Air liur Rafie ditelan payah. Wajah gusarnya jelas terpancar. Matanya sudah sedia memandang tepat ke muka ini. Sedikit pun mata itu tidak berkelip.

Saya mendengus perlahan.

"Awak satu-satunya lelaki yang saya selesa untuk berkawan. Disebabkan itulah saya... saya... Saya harap kita dapat teruskan persahabatan kita selamanya. Saya suka awak Rafie. Saya suka sebagai kawan," luah saya, ikhlas.

"Pwweeuuu!"

"Btooomm!"

Letusan bunga api meledak di udara. Ini bermakna pertunjukan kali kedua telah bermula. Seperti yang diketahui ramai, bunga api ini muncul dengan pelbagai warna. Ada warna biru, ada hijau dan ada juga merah.

Akan tetapi, warna merah tersebut tidaklah semerah wajah Rafie yang menahan malu. Walaupun perasan akan wajahnya, saya membiarkan sahaja. Sebabnya saya lebih terpukau dengan pancaran indah bunga api di atas langit. Langsung tergumam kerana teruja.

"Waaahhh! Cantiknya bunga api," gumam saya sendiri.

Namun, gumaman itu dibalas dengan jeritan.

"Dahlah Inas!" 

Saya terperanjat. Semerta pandangan ini dikalih kembali pada jejaka ini. Jujur saya kata, suara garaunya itu menakutkan.

"Saya dah tak tahan lagi dengan rasa macam ni." Nada suaranya semakin tinggi. Dia langsung berdiri. Kemudian, dia berjalan lalu berhenti di hadapan saya. Sekali gus, menutup pandangan saya dari melihat bunga api.

"Rafie, kenapa dengan awak?" 

"Maaf Inas. Saya tak boleh jadi kawan awak," ujarnya.

Saya terkesima. Hancur luluh hati saya mendengarnya. Ikutkan air mata ini hendak sahaja keluar, tetapi saya cuba untuk bertahan. "Kenapa? Kenapa awak cakap macam tu?" Saya mahukan penjelasan.

"Inas!" panggil Rafie lagi. Wajahnya semakin serius. 

"Saya tak nak jadi kawan awak sebab saya..." katanya terjeda. Dia memalingkan wajah seketika sebelum kembali merenung saya.

"Inas, saya suka awak!" luahnya.

Kelopak mata ini terbeliak. Bahkan pula, mulut saya terlopong, lantas ia ditekup dengan kedua-dua belah tangan. Lama saya merenung, hinggakan air mata hampir terkeluar.

Tak... tak mungkin! 

Rafie, suka saya?

Bersambung...

Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk