Senarai
Ikut di hati Rafie berasa meluat. Dia rasa jengkel terhadap lelaki yang menegurnya.
"Jangan kacau aku!" tegasnya kepada lelaki itu. Langsung dia kembali baring.
"Ala... janganlah marah I." Lelaki itu melempar lembut tangan kanannya seperti perempuan gedik. Mukanya pula berpura-pura membuat wajah kasihan dan mengerlip matanya beberapa kali.
Melihatkan wajah itu, Rafie melainkan mengeluh berat.
"Aku tak marah. Cuma kau asyik kacau aku. Syuh! Syuh! Main jauh-jauh. Aku tak nak tengok muka kau lagi, Yush," gumam Rafie pasrah. Benar, lelaki yang menegurnya sebentar tadi ialah Yusri, rakan sekelasnya.
Melihatkan Rafie begitu santai dengan terbaring di gazebo itu, membuatkan Yusri terasa hendak duduk disebelahnya. Dia mahu menyembang seketika. Dapatlah menghilangkan bosan.
"Kau biasanya buat apa je dekat kampung ni? Aku rasa bosanlah," tanya Si tinggi lampai ini. Maklumlah, dia orang bandar, tidak biasa kehidupan kampung. Tambahan pula, ini kali pertama dia menjejakkan kaki di sebuah kampung.
"Daripada kau tanya aku, lebih baik aku yang tanya kau dulu. Apahal kau ikut aku balik kampung, hah? Bukannya ada apa-apa pun dekat sini?" rungut Rafie.
"Kenapa? Tak boleh ke? Ayah kau sendiri yang benarkan aku ikut. Kan." Ayat 'kan' sengaja dileretkan.
"Lagipun aku mana pernah ada kampung. Kampung aku bandar je. Paling-paling pun dapatlah aku merasa duduk dekat kampung ni," ujar Yusri.
Rafie bangkit dari baringnya.
"Tapi kampung aku bukannya sama macam dalam drama TV tu. Asal scene dekat kampung, mesti dekat sawah padi. Cakap pasal kampung, mesti rumah kayu. Padahal rumah-rumah kat kampung banyak dah pakai konkrit dan siap berpagar lagi macam rumah nenek aku ni," omel Rafie sambil tangannya dituju pada rumah neneknya.
"Alah, macam ni pun aku dah okeylah. Asalkan suasana tu ada. Tapi kan, aku rasa bosanlah. Biasanya, apa je yang kau selalu buat dekat kampung?"
"Tak ada apa sangat pun. Baring, main phone, makan, tidur. Lepas tu aku ulang sampai lebam."
"Asal hidup kau membosankan, hah? Kau memang tak bertegur ke dengan orang kampung yang lain." Sungguh Yusri hairan. Kehidupan di kampung Rafie ini tidak seindah di fikirannya. Biasanya kalau dia menonton drama, suasana kampung itu selalu digambarkan dengan penuh keriuhan. Ditambah pula pemandangannya lebih indah dari bandar.
"Kalau dulu best la juga. Sebab saudara-mara ada yang balik, tapi sekarang semua dah besar, Yush. Dah ada kehidupan masing-masing. Lagi-lagi sejak atuk aku dah meninggal, dah ramai yang dah tak pulang. Itu yang tak terjaga nenek aku tu. Nasiblah Mak Ngah aku tu ada, hilang risau aku dekat nenek." Wajah Yusri dipandang Rafie.
"Masa akan selalu membawa perubahan. Disebabkan itu, tiada apa yang berkekalan," ujar Rafie lagi. Yusri mengiyakan pernyataan itu. Dia juga bersetuju dengan Rafie.
"Rafie! Rafie!" Suara seorang wanita memanggil dari dalam rumah.
Segera Rafie bangun dari duduk lalu menyahut, "Ya, Mak Ngah! Ada apa?"
"Rafie, boleh belikan tak ayam dan daging dekat pasar?" pinta Mak Ngah lalu mendekatinya.
"Eh, pasar? Dah tengahari baru nak pergi pasar? Kenapa tak beli pagi tadi, Mak Ngah?"
"Maaflah Rafie, Mak Ngah ingat tadi bahan makanan ada banyak lagi. Tapi sebab kawan kamu ada dekat sini kenalah masak lebih," pujuk Mak Ngah yang prihatin akan kawan anak saudaranya itu.
Kasihan akan wanita yang usianya hampir separuh abad itu, Rafie pun akur. "Okeylah Mak Ngah nanti Rafie belikan."
"Macam ni lah anak buah mak ngah. Nah, ini senarai bahan dengan duit." Mak Ngah memberikan duit dan sekeping kertas.
Tidak lama selepas itu, Mak Ngah pun masuk kembali ke dalam rumah.
"Yush, jom ikut aku pergi pasar," ajak Rafie.
"Aik! Naik apa?"
Kunci motorsikal dikeluarkan dari poket Rafie. Lantas kunci itu dituju pada Yusri.
"Kita naik motor. Jom."
"Kau ada lesen ke?" Yusri berasa ragu. Kalau tak ada lesen nanti kena tahan polis. Silap-silap masalah akan jadi lebih besar memandangkan ayahnya merupakan orang ternama.
Akan tetapi, Rafie menyengih sinis.
"Eleh. Kau bawa kereta tak kisah pula fasal lesen. Aku naik motor kau kisah pula." Rafie mengejek.
Mana tidaknya, dahulu Yusri pernah membawa kereta milik ayahnya untuk membawa Rafie melepak bersama geng-gengnya di bandar. Nasib hari itu tak terserempak dengan polis trafik, jikalau tidak mesti kena saman.
"Kau jangan risau, Yush. Aku kan lahir awal dari kau, so aku dah ada lesen dah."
Yusri menarik nafas lega.
"Kalau kau ada lesen tu baguslah."
"Aik! Kata budak bandar tapi takut naik motor?" sindir Rafie.
"Tak ada lah, aku risau je. Mana tahu kau bawa nanti tiba-tiba langgar kereta orang. Ni kau reti ke tak bawa motor ni? Kadang lesen je ada, bawa bukan reti pun."
"Aku dah biasa bawa motor ni. Kau jangan risaulah." Rafie mencapai topi keledar yang berada di gazebo.
Sewaktu dia hendak berjalan menuju ke motorsikal, dia sempat menoleh ke belakang.
"Kau nak ikut tak, Yush?"
Yusri berkira-kira. Dalam beberapa detik, dia pun bersetuju.
Sebaik memakai topi keledar, Rafie pun menghidupkan enjin. Pantas Yusri memboceng di belakang. Selesa dengan cara duduknya, dia pun memberikan isyarat kepada Rafie untuk bergerak.
"Cun, masa untuk gerak. Peluk kuat-kuat nanti jatuh." pesan Rafie.
"Tak nak lah aku. Nanti nampak macam gay." Bola mata Rafie dipusingkan atas ke bawah. Jengkel dengan balasan rakannya itu.
"Ikut suka kau lah."
Birai topi keledar ditutup. Maka bergeraklah mereka menuju ke pasar.
*****************************
Termasuk hari ini, sudah dua hari saya berada di kampung. Hari ini giliran pak cik saya pula yang tiba di kampung. Kata ibu, dia akan sampai pada waktu petang. Oleh kerana itu, saya dan Kak Iman ditugaskan ke Pasar Gunung Rapat, untuk membeli bahan makanan.
Sebaik keluar dari kereta, saya terdengar bunyi ngiauan seekor kucing. Saya memandang ke bawah. Alangkah terkejutnya saya apabila seekor anak kucing mengiau manja. Geram rasanya. Saya membongkokkan tubuh lalu bermain-main dengannya.
"Wah, comelnya awak ni! Geram tahu tak," Lehernya diusap perlahan. Ia turut dibalas dengan tindakan manjanya, hingga ngiauannya semakin kuat. Ternyata kucing selesa dengan saya.
"Ya Allah, Inas! Main dengan kucing pula dia ni." Suara kakak mengejutkan saya. Saya pandang dia lalu tesengih senget.
"Jomlah gerak. Karang lambat nak beli barang. Kalau ibu bising nanti akak salahkan kamu tau," bebel Kak Iman lagi.
Saya bangun dari bongkok. "Yalah akak."
Saya melambaikan tangan kepada anak kucing itu. Moga kita bertemu lagi ya kucing.
Sebelum bergerak, tudung ini dibetulkan sekejap. nasib ada cermin kereta, dapatlah betulkan sedikit tudung ini.
"Okey, sudah. Jom." Saya mengajak.
"Jap! Sebelum tu, senarai yang mak bagi tadi ada kat kamu, kan? Apa yang mak suruh beli?"
"Sekejap ya." Saya mengeluarkan helaian kertas yang dilipat dari poket seluar. Apabila lipatan dibuka, terloponglah kami sebaik melihat. Senarainya... banyak!
"Nak Inas sebut satu-satu ke akak?"
Kak Iman mengusap dahinya lalu menggeleng. "Tak payahlah, kalau kamu sebut, sampai esok pun tak akan habis," selorohnya.
Saya tertawa kecil. "Nampaknya macam tu lah, akak."
Kak Iman berfikir sejenak untuk mencari buah fikiran yang sesuai supaya kami dapat membeli barang dengan cepat. Tidak lama kemudian, dia pun mencadangkan satu idea.
"Aha! Inas, akak tahu kamu takut dengan lelaki tapi boleh tak kalau kita berpecah?" Mata saya dikerlipkan berkali-kali, sedaya upaya hendak memahami maksud kakak.
"Akak bukan apa Inas, cumanya kalau kita berpecah dapatlah jimatkan sedikit masa kita ni," terangnya sambil merayu kepada saya.
Bibir saya menyungging senyum. Isyarat jari telunjuk diangkat.
"Itu akak tak perlu risau. Inas sebenarnya dah hampir pulih dari rasa takut dekat lelaki ni." Begitu yakin saya menjawab. Sebabnya saya memang sudah boleh membeli barangan secara sendiri.
Muka Kak Iman masih menunjuk rasa ragu. "Ya ke ni? Inas jangan main-main tau nanti pengsan macam dekat sekolah hari tu karang, siapa yang susah. Akak juga tau."
"Alah, akak. Kalau setakat peniaga lelaki, boleh je Inas hadap. Lagipun, sejak Inas dah berlatih dengan kawan-kawan dekat sekolah, rasa takut tu pun dah berkurang sikit. Akak jangan risaulah." Saya cuba meyakinkannya.
"Okeylah, akak percayakan kamu. Mari kita bahagikan senarai. Nanti lepas dah beli Inas tunggu dekat depan pintu pasar tu tau," cadang Kak Iman dengan jarinya dituju pada pintu pagar berwarna hijau. Faham dengan arahan itu, saya menganggukkan kepala.
*****************************
Sepanjang beberapa minit di dalam pasar, kerja saya hanya mencari sayur. Satu persatu reruai saya singgah. Mencari-cari sayur yang segar. Halia, kangkung, serai, sayur sawi, dan pelbagai lagi jenis sayur yang perlu dibeli.
Jam berdetak, masa berjalan. Kini, tinggal satu sahaja lagi bahan makanan yang tinggal, empat bungkus mee kuning. Dari agakan saya, mesti ibu mahu memasak mee goreng pada pagi esok. Kalau hendak tahu, mee goreng masakan ibu memang sedap. Sampaikan adik-beradiknya selalu meminta tiap kali pulang ke kampung.
Berbalik kepada pencarian saya, hampir serata tempat saya mencari mee tersebut, namun satu pun tidak jumpa. Sehinggalah saya perasan ada satu reruai yang menjualnya. Akan tetapi, kedai itu telah dijaga oleh penjaja lelaki.
Walau sedikit takut, saya cuba memberanikan diri. Bersama nafas yang ditarik dengan sedalam mungkin, saya pun berjalan menuju ke reruai tersebut.
Bagi menghilangkan rasa resah, saya cuba memikirkan masakan yang bakal dimasak ibu. Inilah antara taktik untuk mengatasi ketakutan saya. Rafie yang ajar. Dia panggil taktik ini sebagai distracting mind.
"Empat bungkus ya, pak cik," pesan saya sambil menghulurkan empat bungkus mee kuning kepada penjaja tersebut. Sedikit pun mata tidak memandang penjaja itu.
"Empat ya. Semuanya dalam RM 7 ringgit je dik." Penjaja itu meletakkan bungkusan mee itu ke dalam plastik.
Senyuman mula terpancar di wajah saya. Hanya selangkah sahaja lagi saya akan berjaya membeli barangan tanpa bantuan sesiapa. Ternyata latihan bersama Rafie selama ini berbaloi. Hasilnya saya sudah tidak lagi berasa gementar apabila berhadapan dengan pekerja lelaki.
"Urm... pak cik, bunga kobis dah habis ke?" Secara tiba-tiba datang satu suara garau seorang lelaki yang berdiri di sebelah saya.
Sejujurnya kemunculannya itu membuatkan jantung saya hampir gugur. Cepat-cepat saya menjarakkan tubuh.
Saya cuba menjeling melalui ekor mata. Wajahnya langsung tidak dipandang, sebaliknya saya melihat warna baju lelaki itu. Warna biru. Seraya melihatnya, saya menundukkan pandangan, tidak mahu panik menguasai diri.
Saya perlu tenang. Sekiranya saya pengsan di sini pasti akan menyusahkan keluarga saya sendiri.
Begitulah nasib insan yang bernama Inas. Walaupun sebentar tadi saya berjaya atasi ketakutan, tetapi jiwa ini masih ada sedikit parut yang berbekas, andai ada lelaki cuba menghampiri saya, rasa resah itu tetap ada. Waima, lelaki itu hanya berdiri di sebelah.
Apabila pejaja lelaki tadi menghulurkan baki dan bungkusan plastik. Cepat-cepat saya cuba beredar. Namun, belum sempat saya hendak membuka langkahnya, kelibat kakak mula kelihatan.
"Inas!" panggil Kak Iman lalu menghampiri saya.
"Kamu dah selesai ke beli semua sayuran tu?" soal kakak.
"Sudah akak, tapi Inas baru na-"
"Wei, Rafie! Sedaplah kuih ni." Suara bingit seorang lelaki menerjah telinga saya.
Kata-kata saya terhenti. Suara itu... macam biasa dengar. Malah dia juga menyebut nama seseorang yang cukup dikenali saya.
'Rafie?' hati saya menyoal.
Lantas saya memusingkan tubuh demi mendapatkan kepastian. Saya pandang wajah lelaki yang memakai baju biru tadi, yakni lelaki yang berdiri di sebelah saya sebentar tadi. Saat memandang wajahnya, anak matanya sudah tersedia memandang saya. Langsung mata kami bertemu.
Mata saya terbeliak luas.
"Eeehhh!" Jerit saya meleret. Kalau saya ceritakan pada anda, pasti ada yang tidak percaya. Ia seperti cerita novel. Saya tidak mempercayai apa yang dilihat sekarang.
"Haaaah?" Lelaki itu juga menunjuk reaksi terkejut.
Rafie Razali.
Mengapa kamu sentiasa ada di sisi saya? Tanpa saya duga, tanpa saya sangka. Benar itulah lelaki yang berada di sebelah saya tadi. Rafie, kawan sekelas saya.
Tidak.
Jejaka yang berjaya mencuri hati saya.
Bersambung...