Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 6

Iky

Peralatan tulis dikemaskan, mahu bersiap-siap untuk pulang setelah kelas tamat. Sambil mengemas, sempatlah saya menoleh ke belakang, mahu mencari kelibat Rafie. Dia sudah menyandang beg sekolahnya pada bahu. Akan tetapi, dia pergi lalu menuju keluar dari kelas.

'Eh, dia tak tunggu saya?' soal saya di dalam hati. Sungguh saya terkejut dengan tindakannya itu. Sampai hati, dia tinggalkan saya di belakang. 

Maka, terkial-kiallah diri ini dan mempercepatkan pergerakan. Apabila segalanya selesai, saya pun mengorak langkah untuk keluar dari kelas, namun terhenti apabila Rina memanggil saya.

"Inas!" Apabila ditoleh ke belakang, isyarat ibu jari diberikan olehnya.

"Hehe, selamat berjayam" ucapnya tersengih.

Gopohnya saya pada ketika itu, sampaikan tidak sedar bahawa Rina sedang mengusik saya. Mungkin kepala ini fokus hendak mengejar Rafie. Saya mengiyakan ucapannya lalu melambaikan tangan.

"Saya pergi dulu ya, Rina."

Sejurus keluar, saya tercari-cari akan kelibat sosok tubuh lelaki yang bertubuh kurus itu. Pandangan saya tertancap pada koridor kelas sebelah. Lega hati ini apabila mendapati jejaka pendiam ini tidak meninggalkan saya. 

"Kat sini rupanya, awak. Ingatkan awak tinggalkan saya tadi." Saya pun mendekatinya.

"Maaflah kalau kau terasa. Aku cuma tak nak terserempak dengan geng-geng Yusri. Kalau dia nampak kita berdua, mesti diorang akan kacau aku esok," kata sang jejaka ini.

"Owwhh... patutlah. Kalau macam tu, jomlah kita gerak sekarang." Dia mengangguk.  Maka kami pun memulakan perjalanan untuk menuju ke sekolah rendah terlebih dahulu.

Mengapa sekolah rendah? Sebabnya Rafie mahu mengambil adiknya terlebih dahulu.

*****************************

4 jam yang lalu...

Imbas kembali perbualan kami pada waktu rehat.

"Aku... aku kena ambil adik aku dulu. Bukan tu je tau. Sebenarnya aku ni nak kena pergi ke pasar juga. Jadi... kau okey ke kalau nak ikut?" Rafie meminta kepastian.

"Boleh je. Apa salahnya. Asalkan kita boleh buat kerja kita," balas saya tanpa berfikir panjang.

"So, kau okey je?"

"Yup. Oh ya! Dekat rumah awak tu ada tak tempat yang sesuai untuk kita berbincang?" Rafie menggaru pipinya. Sekilas dia memandang saya.

"Ikutkan tak ada. Kalau ada pun... rumah aku je lah. Itu sebab aku tanya kau ni."

"Iya ke. Hmmm..." Saya berfikir sejenak. Akhirnya saya pun mendapat satu idea.

"Aha! Apa kata kita bincang dekat rumah awak je. Lagipun, adik awak ada dekat rumah kan?" Cadangan naif saya ini membuatkan dia terkejut besar.

"Hah?"

"Kenapa? Tak boleh ke?"

"Errr... bukan tak boleh cuma... seriuslah?"

"Saya seriuslah ni. Kenapa?" Wajah naif saya dipancarkan.

"Bukan apa... cuma... urmmm... tak ke nanti... urmm..." Teragak-agak Rafie untuk menyatakan apa yang bermain dalam fikirannya.

Rafie menelan air liurnya manakala saya menyengetkan kepala ke sebelah kiri dengan dahi berkerut hairan. Dia seperti sedang berfikir.

"Rafie?" Panggil saya perlahan.

"Okeylah, kita bincang dekat rumah aku. Cumanya, aku kena minta jiran aku untuk pantau kita. Yalah, tak manis kalau lelaki dan perempuan berdua-duaan kat rumah." Saya bersetuju. Ada benar kata Rafie itu. Sebelum saya hendak masuk ke dalam rumahnya nanti, lebih elok saya pastikan jirannya ada untuk memantau kami.

Itulah imbasan perbualan kami.

*****************************

Kami berjalan beriringan. Sambil-sambil itu saya pandang wajahnya sekilas. Orangnya diam dan tak banyak bercakap. Tidak sama seperti Rafie yang saya kenal suatu ketika dahulu.

Bukan apa, semenjak kami memasuki sekolah menengah perangainya sudah banyak berubah. Ditambah pula, dia kehilangan ibunya setahun yang lalu. Dahulu dia seorang yang ceria, tetapi kini lebih banyak berdiam diri. 

Barangkali, ini semua salah saya.

Sekali lagi, wajahnya saya pandang. Kali ini lebih lama. Sejujurnya riak tenang Rafie begitu menawan. Sayang sekali, wajah itu sering kali disalah erti sebagai wajah sombong, hanya dia tidak suka bergaul, hanya kerana dia menyendiri.

Kata Rina, jikalau Rafie ini seorang yang peramah, pasti dia akan menjadi pelajar yang popular di sekolah. Ambil Yusri sebagai contoh. Disebabkan keramahannya, dia disenangi oleh ramai pelajar.

Bunyi deruan angin kian kedengaran. Itu sudah cukup menandakan tiada sebarang perbualan tercetus di antara kami berdua, walhal sudah beberapa minit kami berjalan sama. Melihatkan situasi semakin sepi, saya cuba membuka bicara.

"Sorry kalau saya kacau plan awak hari ni, Rafie."

"Kau tak perlu minta maaf. Aku ni memang nak siapkan assignment ni awal. Nanti, bolehlah aku kemas rumah dengan tenang," balasnya. Sedikit pun dia tidak memandang.

"Kemas rumah ya. Mesti awak ni rajin orangnya, kan?" Saya mengandai.

"Bolehlah juga. Lagipun aku kan ada adik. Kenalah tunjuk contoh dekat dia."

"Waahhh... adik awak mesti sayangkan awak, kan? Lagi-lagi dapat abang yang rajin macam ni." Terkejut dia saat mendengar pujian itu. 

Rafie berdehem sedikit. Seketika pula, dia membalas, "Agaknya... tapi tak kisahlah, yang penting aku nak dia gembira." 

"Iky ya. Teringin pula saya nak tengok wajah adik awak sekarang ni. Saya ingat lagi wajah comel dia ketika kecil. Kalau awak nak tahu, dulu saya ni selalu jaga Iky waktu mak awak tengah sibuk." Rafie tidak terkejut. Sebaliknya dia mengiyakan.

"Macam tu ke. Patutlah kau tahu nama adik aku hari tu." Dia merujuk mengenai pertembungan kami di kompleks beli belah. Saya ada menyebut nama adiknya.

Senyuman manis dilemparkan. "Yup, betul tu."

Langkah kami diberhentikan. Kini kami berdiri di hadapan pagar sekolah rendah, sekolah yang berada di hadapan sekolah kami, yakni sekolah adik Rafie.

"Kita dah sampai. Kau tunggu sekejap, ya," katanya sambil memandang saya.

Dia pun maju ke hadapan sedikit lalu memanggil adiknya. Dalam segerombolan kanak-kanak yang berada di hadapan pagar, saya tercari-cari kelibat Iky. Saya curiga untuk ketahui rupanya yang sekarang ini.

Tidak lama kemudian, terlihat seorang kanak-kanak memeluk pinggang Rafie. Saya menyungging senyuman. Itu pasti Iky.

Sejuk hati saya tatkala memandang mereka. Mereka nampak gembira, sangat rapat. Barangkali hubungan mereka berdua lebih rapat dari apa yang saya sangkakan.

Rafie dan adiknya datang menghampiri saya. Iky memandang hairan. Pandangannya kemudian dikalihkan pada Rafie.

"Abang, siapa tu?" soal Iky. Jarinya dituju ke arah saya.

"Kawan sekelas abang."

"Oouuhh... ingatkan girlfriend abang tadi." Terkesima Rafie mendengarnya.

"Woi, woi! Nak kena ni." Terus dia mengusap kasar kepala adiknya.

"Alah, abang! Sakitlah! Alaahhh... Iky gurau je." Raungan manja budak kecil ini membuatkan saya tertawa. Sungguh comel perangai dua beradik ini.

"Hahaha... comelnya korang berdua ni. Awak umur berapa Iky? Rasanya dah agak lama kita tak berjumpa tau."

"Umur saya 12 tahun tapi... akak ni kenal saya ke?" soalnya polos.

"Takkanlah awak tak ingat akak? Dulu akak pernah jaga kamu. Kalau mak awak sibuk dulu, akaklah yang jaga kamu dekat bilik guru. Ingat lagi tak cerita tentang singa dan tikus?"

Wajah anak kecil ini mula berubah teruja. "Wah, itu akak ke? Ingat! Ingat! Iky ingat lagi cerita tu."

"Iya ke. Terharunya akak."

"Pak! Pak! Pak!" Tiba-tiba Rafie menepuk tangan.

"Baguslah kalau korang berdua dah bersuai kenal. Sekarang ni, apa kata kita pergi ke pasar? Karang ramai orang pula. Dahlah panas hari ni." Terkumat-kamit mulut jejaka bertubuh kurus ini membebel. Tangannya mengibas muka yang berpeluh. 

Rafie lantas mengorak langkah meninggalkan kami di belakang. Saya dan Iky memandang wajah sesama kami. "Nampaknya abang awak dah membebel lah, Iky."

"Akak jangan risau. Abang memang macam tu," bisiknya. Amboi kuat mengadu ya dia ini.

"Ya ke. Patutlah. Jom Iky, kita gerak sama-sama. Nanti abang awak marah akak pula." Iky mengangguk tanda akur. Maka, berjalanlah kami menuju ke pasar.

*****************************

Setibanya di pasar, Rafie membeli bahan-bahan dapur yang dikehendakinya. Sementara pula, saya melayan kerenah Iky. Sejak dari tadi asyik bercakap sahaja. Teruja katanya kerana dapat bertemu dengan saya semula.

Bukan hendak bangga, tetapi Iky siap berkata yang saya ini dianggap sebagai kakak kepadanya. Terharunya hati ini. Maklumlah, sebenarnya saya sudah lama mengidam untuk mempunyai adik. Dengan adanya Iky terubatlah juga hasrat itu.

Apabila sudah puas kami mengelilingi pasar, kami pun berhenti seketika dan berehat di sebuah bangku yang terletak di hadapan kedai runcit.

Melihat sahaja kedai runcit tersebut, terlintas di dalam fikiran untuk membeli sesuatu untuk Iky. Muka Iky jelas kelihatan penat. Bukan apa, hati saya ini sebenarnya sangatlah lembut terhadap kanak-kanak seperti Iky. Tambah pula saya ini anak bongsu.

"Iky, awak nak aiskrim tak? Akak rasa macam nak belanja kamulah." Wajah penatnya berubah ceria. 

"Nak! Nak! Iky nak aiskrim milo." Aiskrim milo? Serta merta saya teringat akan pertemuan saya dengan Rafie beberapa bulan yang lalu. Hari di mana saya terpijak aiskrim milo yang dibelinya. Barulah saya mengerti bahawa Rafie membelikan aiskrim itu untuk adiknya.

"Boleh, Iky." Kemudian, saya mengalihkan pandangan pada Rafie. Dia baru sahaja duduk di sebelah saya. Wajahnya tampak penat.

"Rafie, awak nak aiskrim juga?" Pelawa saya, namun dia menolak.

"Tak mengapalah, Inas. Kau belanja Iky je." Dia melepaskan nafas berat. Tangannya pula mengesat peluh yang mengalir di pipi. Ternyata dia kepenatan. Mungkin dia perlukan rehat.

Saya mengangguk faham.

"Mari Iky, kita ke kedai." Iky berdiri dari duduknya. Beg sekolah yang digalasnya diserahkan kepada Rafie. Dan berjalanlah kami berdua menuju masuk ke dalam kedai runcit.

*****************************

Iky dan Inas sudah pun masuk ke dalam kedai. Akan tetapi, mata Rafie masih memandang jejak mereka berdua. Dia tertawan dengan peribadi Inas yang langsung tidak lekang dengan senyuman, kena pula wajahnya yang comel, lagi betambah manis.

Rafie mendengus perlahan.

'Apa kena dengan aku ni?' keluhnya di dalam hati.

Jelas fikirannya terganggu. Terganggu dek kelibat gadis yang bakal memasuki rumahnya sebentar nanti. Siapa sahaja yang tidak berasa resah sekiranya seorang perempuan yang cantik dan comel seperti Inas datang ke rumahnya, pasti ia akan menimbulkan fitnah. 

"Ringgg! Ringgg! Ringgg!"

Telefon Rafie berdering di dalam poket. 

Jangan khuatir, sebenarnya di sekolah mereka ada undang-undang yang membenarkan pelajar untuk membawa telefon. Syaratnya pelajar hanya boleh menggunakan telefon semasa waktu rehat dan juga waktu tamat persekolahan.

Kedengaran tidak logik bukan? Percayalah ada sesetengah sekolah yang membuat undang-undang sebegini.

Rafie melihat skrin telefon, tak lama itu dia mengeluh panjang. Ayahnya yang menelefon. Hendak atau tidak dia harus menjawab. 

"Helo, ayah. Kenapa call?"

"Aha, Rafie." Suara garau seorang lelaki didengari. Itulah Encik Razali, bapa kepada Rafie.

"Hari ni ayah balik lambat sedikit la. Ayah ada kerja nak kena buat dekat office ni. Ada budak baru dekat pejabat ni buat hal pula," kata Encik Razali kepada anaknya.

"Eh! Sampai pukul berapa?"

"Hmm... tak pasti la, Rafie. Mungkin pukul 8 malam baru ayah balik agaknya. Nanti Rafie masaklah apa-apa untuk adik ya."

"Aha,"  balasnya ringkas.

"Oh ya! Memandangkan ayah tak ada dekat rumah ni, kamu janganlah cuba-cuba nak bawa perempuan ke rumah," seloroh Encik Razali selamba lalu tertawa.

Rafie terkedu.

"Ap... apa ayah ni? Ra... Rafie takkan buat macam tu lah. Kitaorang cuma nak bincang tentang assignment je." Tergagap-gagap Rafie yang cuba mempertahankan tindakannya. Tanpa dirinya sedar, dia secara tidak sengaja mengiyakan gurauan bapanya itu.

"Hah? Kitaorang? Bincang assignment?"

"Errr... aha, nampaknya macam tu lah."

"Hei, seriuslah Rafie! Perempuan ke? Kamu berdua je ke?"

Rafie mengusap wajahnya. "Panjang ceritanya, ayah. Apa yang penting kitaorang cuma nak bincang tentang assignment je. Ayah jangan risau, nanti Rafie minta Mak Cik Lina untuk pantau kitaorang. Lagipun, Iky pun ada sekali untuk temankan kami."

"Iyalah, ayah faham. Okeylah Rafie, ayah nak sambung kerja dulu. Tapi ingat! Kamu jangan buat benda bukan-bukan dengan anak orang. Jaga nama baik ayah ni tau," tegas Encik Razali menasihati anaknya.

"Kesianlah ayah ni. Sudahlah ayah ni duda, kalau kamu buat perangai buruk, malu ayah tau." Suara sayu ayahnya mula kedengaran.

"Rafie tahu tu. Ayah jangan risau ya." Panggilan akhirnya dimatikan.

Rafie menggeleng kepala berkali-kali.

"Apalah yang ayah fikirkan tadi," rungutnya bersama nafas berat. 

*****************************

Saya menarik nafas lega. Nasib baik penjaga kaunter di kedai ini perempuan, dapatlah saya membayar barangan tanpa rasa takut. 

Keluar sahaja kami dari kedai, saya pun mengambil pek aiskrim yang ada di dalam beg plastik lalu diserahkan kepada Iky.

"Nah, Iky. Aiskrim awak."

"Terima kasih, akak."

"Sama-sama." Tanpa membuang masa Iky membuka pek aiskrim tersebut lalu memakannya. Wajahnya tampak gembira, lebih-lebih lagi sewaktu dia mengemam aiskrim itu.

"Sedapnyaaa! Terima kasih akak," ucapnya polos. Tersenyum lebar saya melihat gelagatnya itu. Begitu juga dengan Rafie. 

"Sama-sama," balas saya pula. 

Merasakan sudah tibanya waktu untuk pulang, Rafie bangkit dari duduk. Segala beg-beg plastik yang dibelinya tadi dijinjing. Banyak, lebih kurang dalam enam plastik kesemuanya. Kuat juga Rafie ini, walaupun bertubuh kurus, masih gagah untuk menjinjing beg yang sebanyak itu, ditambah pula dia menggalas beg sekolah di belakang.

"Dah, jom kita balik. Nanti lambat pula kerja kita. Lagipun barang ni berat tau," omel Rafie tanpa henti. Mendengar dia kata begitu, ia membuatkan saya berasa prihatin. Kasihan melihat dia menjinjing seorang diri.

"Kalau awak rasa berat, biarlah saya tolong angkat separuh daripada barang awak tu." Saya menawarkan bantuan, namun Rafie menolak tawaran itu.

"Eh, tak payahlah. Awak kan cuma nak-"

"Tadi awak sendiri kata berat, kan? Tak ke lagi senang kalau saya tolong ringankan beban awak tu, betul tak?" Pantas saya membidas.

Rafie terkedu. Melihat wajah saya yang begitu serius, akhirnya dia pun akur, lalu dia memberi dua beg plastik yang masing-masing mengandungi sayur-sayuran dan paket mee kepada saya. Dengan senang hati, saya mengambilnya.

Pada masa yang sama, saya teringat satu lagi pek aiskrim yang belum dikeluarkan dari beg plastik. Aiskrim untuk Rafie. 

"Oh ya, Rafie! Lupa pula." Saya mengeluarkan aiskrim tersebut. 

"Nah, awak ambillah aiskrim ni." Aiskrim itu dihulurkan kepadanya.

Rafie tercengang sebelum membalas, "Eh, kan aku cakap yang aku tak nak."

"Alah, awak ambil jelah. Lagipun cuaca panas sekarang ni. Best tau makan aiskrim dalam cuaca begini. Tak gitu?" Saya memujuk dengan harapan dia tidak menolaknya.

Rafie mengeluh panjang. Bila orang sudah beri, takkanlah dia mahu menolak. Apalah yang dia mampu melainkan menerimanya.

"Kau ni, buat aku rasa bersalah pula." Wajah Rafie bagai berserah. Lantas dia mengambil pek aiskrim dari tangan ini.

Saya tersenyum. "Tak mengapa saya belanja."

"Akak! Akak!" Iky memanggil. Lantas saya pun melayan kerenah. Lain pula dengan Rafie ketika ini. Dia terus membuka pek aiskrim untuk menjamahnya. 

"Wei, Inas," panggilnya.

Saya menoleh kembali setelah nama diseru. 

"Iya? Ada apa?"

"Terima kasih tau. Aku... hargainya," ucapnya dengan suara tenang. Seperti biasa saya membalas ucapan itu dengan senyuman manis.

"Sama-sama. Awak makanlah nanti cair pula aiskrim tu." Rafie tersenyum kecil. Kepalanya terangguk perlahan. 

Tanpa melengahkan masa, dia memulakan langkahnya. Seperti biasa, dia meninggalkan kami di belakang. Tanpa merungut, saya dan Iky mengekorinya, bersama senyuman, bersama tawa.

Bersambung...

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk