Tugasan Sekolah
Bunyi loceng sekolah dibunyikan. Pada masa yang sama, Cikgu Shuna iaitu guru kelas bagi 4 Sains Tulen, yakni kelas saya, mula masuk ke dalam kelas. Kehadirannya bukanlah hendak mengajar tetapi mahu mengambil kedatangan pelajar.
Setelah segalanya selesai, Cikgu Shuna menyuruh kami untuk memberi perhatian seketika. Dia mempunyai pengumuman yang hendak disampaikan sebelum dia keluar.
"Okey pelajar semua, disebabkan sekolah kita akan membuat kerjasama bersama dengan sekolah luar, jadi saya meminta awak semua untuk mempersembahkan assignment yang akan saya berikan."
Suara rungutan para pelajar mula kedengaran apabila mendengar penjelasan daripada Cikgu Shuna itu. Rata-rata dari kami mula mengeluh. Di barisan hadapan, bising dengan suara Wani bersama rakan baiknya iaitu Mona.
"Alamak! Macam mana ni, Mona. Kita kena present depan orang luar lah. Tak bestnya."
"Kan! Kalau kita-kita je, kan senang."
Manakala di belakang mereka berdua pula, dapat didengari suara Yusri dan geng-gengnya.
"Haih... ada assignment lagi korang. Macam mana?" keluh Yusri kepada rakannya.
"Macam tu lah, Yus. Nak macam mana lagi," balas Hairi yang menongkat dagu.
"Nampaknya kita kena carilah orang yang pandai untuk tolong kita. Tapi tak apa, aku pasti kau mesti boleh, kan Hairi," kata Irwan pula. Nada suaranya kedengaran sinis.
"Eh, kau! Buang tebiat lak. Aku ni sibuk tau. Lebih baik kita cari orang yang rajin. Kita bagi je dia buat. Bila dah siap kita belanja dia."
Yusri tergelak kecil. "Hahaha. Senang kerja kau ya, Hairi. Taulah awek keliling pinggang, tapi walau apa pun aku tak kisah, asalkan kita cari ahli yang pandai buat kerja."
Cadangan Yusri dioersetujui kedua-dua rakannya. Cikgu Shuna mendengar sahaja perbualan mereka. Dia tersenyum sinis lalu tertawa.
"Ops! Maaf ya awak semua. Mesti ada dalam kalangan kamu yang nak pilih rakan-rakan sendiri untuk jadi ahli kumpulan. Malang sekali, hasrat itu patut awak semua lupakan," terangnya yang sama sekali mengejutkan pelajar di dalam kelas itu.
"Sebenarnya, saya dah pun tetapkan kumpulan untuk awak semua dan senarai berada di dalam tangan saya sekarang ini."
"Eeeehhhh!" Gegak-gempita suasana kelas sekarang. Tambah lagi, rungutan manja daripada para pelajar perempuan.
"Ala cikgu... nanti susahlah kami nak buat kerja. Lagi-lagi dengan orang yang kami tak biasa," pujuk Iliy.
"Haish! Disebabkan awak semua tak biasa lah saya perlu buat macam ni. Apalah. Dah berbulan-bulan duduk dalam kelas yang sama, takkan tak biasa? Sudah! Keputusan saya muktamad," tegas guru muda itu.
Mendengar penjelasan cikgu itu, sama sekali membuatkan saya terkedu, menggigil ketakutan. Saya takut jika digandingkan dengan pelajar lelaki.
'Tolonglah. Bagilah pelajar perempuan sebagai ahli kumpulan saya.' Itulah pengharapan yang bermain di hati.
Saya tak kisah jika berkumpulan dengan ahli perempuan yang lain, asalkan bukan lelaki.
*****************************
"Wei kalau dapat group sama dengan Inas atau Qasrina mesti best kan," ujar Irwan kepada Hairi. Tubuhnya dimalaskan lalu bersandar pada kerusi.
"Itulah, kalau aku satu group dengan Inas, aku rasa macam dekat dalam kayangan tau. Dahlah lawa, rajin pula tu. Betul tak, Yusri?" Pandangannya dikalihkan ke meja sebelah kanannya.
Itulah Yusri, pelajar popular di sekolah.
Mendengar rakannya menyeru namanya, dia menggelengkan kepala. "Tak dinafikan yang diorang berdua tu lawa, tapi sebenarnya aku tak kisah pun kalau tak dapat group sama dengan diorang. Asalkan kerja kita, settle."
Perbualan mereka itu didengari oleh Wani yang duduk di hadapan mereka, lantas dia menegur mereka bertiga.
"Ish, korang ni! Tak habis-habis nak menggatal, kan."
"Eh! Aku tak terlibat eh. Diorang yang nak menggatal. Bukan aku," nafi Yusri. Namun begitu, penafian tersebut sedikit pun tidak merubah pendapat Wani itu.
"Kau pun sama je, Yusri. Ingat aku tak tahu."
"Apahal aku pula?" Kasihan Yusri. Walaupun tidak berbuat apa-apa, dia masih dipersalahkan.
Ketegangan mereka berdua disampuk Irwan. "Come on la, Wani. Kitorang lelaki, kot. Benda ni perkara biasa," kata Irwan selamba.
"Biasa apanya." Mona pula mencelah perbualan.
"Cuba kau tengok Rafie tu. Senyap je tak ada pun nak kecoh macam korang," ujar Mona lalu menunjukkan Rafie yang duduk di belakang meja Yusri sekawan.
Irwan tergelak kecil. "Alah... Rafie tu kau nampak je pendiam tapi dalam hati mana kita tahu, kan."
Tersengih Irwan lalu memandang Hairi yang cuba menahan ketawa. Tidak lama kemudian, tubuhnya dipusingkan ke belakang. Wajah Rafie dipandang. Semata-mata mahu mengusiknya.
"Wei, Rafie. Diorang kata kau ni baik orangnya. Amacam, bangga tak?" usik Hairi.
Pandangan dingin diberikan oleh Rafie. "Malas aku nak layan."
"Come on la. Awek-awek tu puji kau kot. Takkanlah hidung kau tak kembang." Irwan pula mengusiknya
Rafie memalingkan wajahnya. "Korang boleh diam tak. Aku tak selesa."
Hairi tersengih busuk. Kemudian, dia memandang semula ke arah Wani dan Mona. "Tengok, Rafie pun tak selesa dengan korang."
"Eh? Korang lah yang buat dia tak selesa. Kitaorang pula yang salah," tempelak Mona.
"Entah. Lagipun geng korang lah yang selalu buat hal. Cikgu cakap kat depan pun korang bising." Tambah Wani yang menyambung amarah Mona.
Yusri mendengus perlahan. Tangannya diangkat separuh, kepalanya digeleng. "Yalah, yalah kitaorang yang salah. Korang budak perempuan yang betul. Kan Hairi, Irwan?"
Tidak lama selepas itu mereka bertiga menggetus ketawa.
Ketawa si Yusri dan rakan-rakannya. Ucapan jengkelnya itu berjaya menyebabkan darah Wani berderau, sungguh dia tidak berpuas hati dengan perangai mereka bertiga. Ikutkan hendak sahaja dia menumbuk muka mereka, nasib niatnya terhenti apabila Cikgu Shuna bersuara.
"Okey semua! Saya akan agihkan awak semua dalam group masing-masing. Kumpulan pertama Daniel, Nayli, Farid dan Kartina. Kumpulan kedua Anthony, Yusri, Wani dan Iliy."
Terlopong Yusri dan Wani sebaik mereka didapati berada dalam satu kumpulan.
"Eh, Aku sama dengan kau Wani!" Tinggi suara Yusri.
"Kau ingat aku nak sekali dengan kau ke!" balas Wani.
Cikgu Shuna pun kembali menyebut satu persatu nama pelajar kelasnya. Hinggalah...
"Kumpulan Ketiga pula... oh! Kumpulan ni ada tiga ahli sahaja, memandangkan kelas kita hanya ada 24 orang sahaja. Rafie, Inas, dan Mei, kamu semua satu kumpulan."
"Apa?" Hairi dan Irwan menyoal serentak. Pantas mereka kembali melihat Rafie. Peluang itu digunakan oleh mereka untuk mengusiknya.
"Wah, Rafie! Best la kau dapat group dengan Inas," usik Irwan.
"Tulah. Dahlah sejak akhir-akhir ni, kau dengan dia rapat semacam. Asyik bertegur je korang ni. Sebelum ni tak pernah pula korang macam tu." Giliran Hairi mengusik.
"Betul tu. Ke korang ni couple?" Itulah andaian Irwan, ternyata andaian itu membuatkan Rafie berasa jengkel.
"Kau boleh diam tak! Apa je aku dapat kalau jawab soalan korang tu?" Marah Rafie. Pantas Yusri datang untuk menenangkan keadaan.
"Wei, korang! Sudah-sudahlah usik Rafie ni. Kenapalah nak pelik kalau dia tegur Inas. Diorang kan sekelas. Betul tak, Rafie?"
Rafie mengiyakan, Yusri pula tersenyum kecil.
"Biarkan je kawan-kawan aku tu. Diorang memang macam tu. Tapi kalau kau nak tips mengurat, aku boleh tolong kau untuk rapat dengan Inas."
Mengeluh panjang Rafie tatkala mendengarnya. Dia sudah lali dengan usikan Yusri dan rakan-rakannya. "Haih... tak habis-habis lagi. Kau pun sama je."
"Janganlah macam tu. Aku gurau je. Kau kan kawan aku juga." Rafie terkesima. Ayat itu merupakan sesuatu yang agak tabu bagi dirinya.
Kawan.
Yusri menganggap dirinya sebagai kawan.
Anggukkan kepala diberi, seraya dia memandang ke tempat lain. Yusri masih lagi tersenyum. Dia mahu memanjangkan perbualannya dengan Rafie tetapi memberhentikan niatnya itu sebaik merasakan amarah Rafie telah reda.
*****************************
"Inas." Penuh berlagu panggil Rina itu. Belum sempat hendak memandang, tubuh saya dipeluk.
"Eh, Rina? Kenapa ni?" Keliru dibuatnya apabila kawan baik saya ini memeluk secara tiba-tiba.
"Tak ada apa sangat, cuma Rina lega sikit lepas dengar Inas dapat ahli kumpulan yang okey tadi." Pelukannya kemudian dileraikan.
"Itulah kan. Macam mana dengan kumpulan awak?"
"Aku okey je dengan ahli group aku. Asalkan diorang buat kerja dan tak sebabkan masalah. Lagipun, aku cuma risau dengan kau je. Kau kan tak berapa suka dengan lelaki. Bila aku dengar nama Mei, aku dah bersorak, tapi bila dengar nama Rafie terus aku ragu. Kau okey ke dengan dia?"
"Jangan risau, Rina. Saya kan cuma okey dengan Rafie je." Muka Rina penuh dengan keraguan. Akan tetapi, setelah melihat saya mampu melemparkan senyuman, muka berubah lega.
"Yalah, yalah. Apa-apa hal, aku gembira dengan kau. Mungkin takdir sekarang ini menyebelahi kau tak. Macam jodoh pula."
Berkerut dahi saya saat mendengarnya. "Kenapa pula?
"Yalah, kau satu group dengan Rafie. Lagipun, kau kan okey bila berhadapan dengan dia. Tak sama bila kau dengan lelaki lain."
"Itu cuma kebetulan je tu. Dulu kan ibu dia pernah ajar kita. Lepas tu, saya pernah tolong ibunya jagakan adik dia lagi. Mungkin sebab tu saya dah terbiasa dengan dia agaknya." Saya memberi ayat penafian.
Rina menepuk bahu saya. Anak mata bundarnya menatap wajah saya.
"Itu sebab aku cakap, yang ini memang takdir kau. Asyik-asyik dengan Rafie. Apa kata kau couple dengan dia? Tak ada lah single kawan aku ni." Wajah saya merona merah.
"Korang berdua nampak secocok tau. Seorang takut lelaki, seorang lagi tak suka bertegur dengan orang lain. So comel. Hahaha." Usikan yang tiada henti membuat saya berasa malu.
"Rina!Janganlah cakap kuat-kuat. Malu tahu tak." Walau berbisik, ayat itu merupakan ayat penegasan.
"Eh, merahlah muka dia," tawaan Rina makin kuat.
Bibir saya disebik, lantas memalingkan muka hingga memeluk tubuh. "Dahlah tak nak kawan dengan Rina."
"Ala... ala... jangan macam tu. Aku gurau je. Inasss!" pujuk Rina.
"Tetap tak nak. Tak nak kawan." Geram betul rasa hati ini. Nasib dia ini kawan baik saya sejak dari sekolah rendah. Jikalau tidak, malas saya hendak melayannya.
*****************************
Waktu rehat telah bermula. Pada waktu itulah ahli kumpulan saya berbincang seketika mengenai tugasan yang diberi oleh Cikgu Shuna pada pagi tadi.
"Mei, petang ni awak berdua sibuk tak? Sebab kalau boleh saya nak bincang tentang assignment tu," soalku kepadanya.
"Alamak Inas, petang ni I ada tusyenlah. Sorry ya. Kalau esok dengan lusa saya okey," terang Mei.
"Ya ke. Awak pula macam mana, Rafie?"
"Nak kata sibuk, macam tak sangat hari ni. Kalau sibuk pun cuma hal-hal rumah je, tapi aku okey je kalau nak bincang tentang assignment tu hari ni," jelas jejaka itu dengan suara sayup-sayup kedengaran.
"Oh, kalau macam tu apa kata lepas sekolah nanti kita berjumpa?" cadang saya.
Cadangan itu disokong Mei. "Kalau macam tu, korang berdua berbincanglah dahulu. Esok kita bincang bertiga pula."
Tanpa berfikir panjang saya dan Rafie bersetuju. Setelah itu, kami bertiga pun bersurai. Sewaktu saya dan Mei baru sahaja hendak melangkah pergi, Rafie memanggil saya.
"Inas."
"Eh? Ya? Ada apa?" Saya datang menghampirinya.
Hairan rasa takut saya sedikit pun tidak terasa. Adakah perasaan takut ini tidak muncul jika bersama dengan Rafie? Saya sendiri tidak tahu.
"Errmm... fasal petang ni, sebenarnya aku... errmm..." Rafie bagai teragak-agak untuk menyatakan sesuatu kepada saya.
"Kenapa Rafie?"
"Sebenarnya aku ada permintaan sikit sebelum kita discuss petang ni."
"Apa dia?"
"Aku...
Bersambung...