Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 21

Kawan Baru

"Kau fikir kau siapa bangang! Kalau tak tahu cerita, lebih kau diam," bentak Rina yang sedang bertekak dengan seorang pelajar lelaki .

"Eleh, tak payah cerita pun aku dah tahu. Kawan kau ni jenis murah juga. Dulu beria kata takut dengan lelaki," balas lelaki itu dengan jari dituju ke arah saya. Cepat-cepat saya alihkan pandangan. Tak mampu nak betekak, cuma mampu memberi riak sedih.

Rina? Apa lagi, makin membuaklah hati dia.

"Wei babun! Mulut tu jaga sikit. Muka dahlah macam tapir tambah lak mulut macam babun." Tambahnya bersama makian yang tak bertapis. Makin menjadi-jadi pergaduhan mereka ini. Seram pula saya lihat.

Tiba-tiba tubuh pelajar lelaki itu telah ditarik seseorang. Baru sahaja dia hendak marah, mukanya berubah pucat. Terkejut apabila mendapati jejaka itu lebih tinggi, malah sasa dari dirinya. Dialah kapten pasukan bola keranjang sekolah, Hairi.

"Apa kecoh-kecoh ni bro? Dengan perempuan pun kau nak bergaduh ke?" soalnya dengan penuh kesinisan.

"Eh? Errr... tak ada aku cuma... cuma berbual je. Ni ha Rina ni yang kacau aku dulu," tipu lelaki itu.

"Kepala hotak dia salah aku! Wei, kau tuduh Inas macam-macam. Lepas tu play victim pula."

Muka Hairi berubah geram. Langsung dia menarik kolar lelaki itu lalu merapatinya. "Betul ke apa aku dengar ni?"

Wajah ketakutan lelaki itu kian terserlah. Air liurnya kemudian ditelan payah. "So... sorry bro. A... aku ta... takkkan ganggu dia lagi." Tergagap-gagap dia hendak menjawab. Mana tidaknya, sekali Hairi menampar mukanya, pasti berpinar mata.

Habis sahaja ayat itu diucapkan, Hairi pun melepaskan pegangannya dengan kasar. "Sekali lagi aku dengar kau kacau diorang, nahas kau. Aku ni pantang bila tengok perempuan kena tindas," tegasnya. Terangguk-angguk lelaki itu hingga hampir terpejam matanya.

Hairi pun melepaskan pegangannya. Apa lagi, lintang-pukanglah lelaki tadi melarikan diri.

Nafas kelegaan dilepaskan perlahan. Lega betul rasanya. Haruslah saya berterima kasih kepada Hairi kerana menolong saya.

"Terima kasih, Hairi," ucap saya sambil berselindung di belakang Rina. Kalau boleh hendak sahaja saya mengucap di hadapannya, tapi apakan daya, anda sendiri tahu mengapa sebabnya.

"Itulah, buat sakit otak je melayan mamat Si tapir tu," gumam Rina pula.

Hairi mendengus berat. "Tulah kau, Inas. Berkawan lagi dengan Rafie tu. Kau tahu tak khabar angin tentang korang dah tersebar meluas?"

Mata Rina terjeling pada Hairi. "Wei, apa ni? Kau dah tolong dia tiba-tiba kau pula nak sambung cari gaduh?" omel Rina yang sudah mula hendak bertekak dengan jejaka sasa ini.

"Aku tanya jelah. Kau relax boleh tak? Aku cuma nak-"

"Dia perlukan kawan, Hairi!" celah saya tanpa menunggu Hairi menghabiskan ayatnya. Kedua-dua mereka tertoleh ke arah saya.

"Saya masih tak faham kenapa orang begitu skeptikal dengan Rafie. Sebab dia tak ada kawan? Kalau dia tak ada kawan kenapa saya tak boleh jadi kawan dia?" Hairi tersentak. Mungkin dia tidak menyangka bahawa gadis seperti saya ini mampu untuk bersuara demi mempertahankan Rafie.

"Dia ada kisah silam yang buruk, Hairi. Tolonglah faham." Suara ini mula berubah sebak. "Saya cuma nak dia gembira je. Takkan itu pun tak boleh?" lirih saya lagi.

Raut wajah jejaka sasa ini berubah. Dia diam dan tak bersuara. Agaknya kelu kerana cuba memahami apa yang dimaksudkan olehku.

"Inas," panggil Rina lalu memegang tangan saya.

"Jom Rina, kita pergi." Saya mengajak dia berlalu pergi. Kalau boleh saya tak mahu nak tunjuk wajah sedih depan orang. Lebih saya pergi sebelum mata ini mula bocor.

*****************************

Pada suatu petang, Rafie yang baru sahaja selesai mengulang kaji di perpustakaan terpandang pelari-pelari olahraga sekolah yang sedang berlatih di padang. Dia merenung lama, terimbau kisah lama.

Suatu ketika dahulu, dirinya merupakan salah satu atlet olahraga sekolah. Namun begitu, atas sebab tertentu dia berhenti, membiarkan bakatnya dipendam selamanya.

Sedar sahaja dari lamunan, langsung Rafie meneruskan perjalanannya yang tergendala. Akan tetapi, langkahnya terhenti apabila dia terserempak dengan Hairi yang secara kebetulan berdiri di hadapan pintu dewan.

Dia memakai jersi bola keranjang sekolah. Mukanya juga berpeluh dengan tangan memegang sebotol air mineral. Mungkin baru selesai berlatih. 

Rafie memandang Hairi dan Hairi juga memandang Rafie. Masing-masing mendiamkan diri. Ia membangkitkan kejanggalan. 

Rafie mendengus perlahan. 

"Yo," sapa Rafie. Sengajalah dia menegur memandangkan Hairi juga merupakan rakan sekelasnya.

"Yo!" balas Hairi pula.

Sebaik sahaja mereka bertegur, Rafie pun memasuki dewan bersama-sama dengan Hairi lalu duduk di sebuah bangku.

"Kau buat apa? Kenapa tak balik lagi?" tanya Hairi.

"Tak ada apa sangat. Cuma belajar sikit sementara tunggu adik aku balik."

"Ooohh... ya ke." Hairi mengangguk.

Keadaan mula sepi kerana masing-masing mendiamkan diri. Merasakan kejanggalan mendatang, Hairi membuka bicara, dia mahu memecahkan kesunyian. Disebabkan itu, dengan tidak semena-menanya dia mula meminta maaf kepada Rafie.

"Fasal hari tu, aku nak minta maaf. Aku marah sangat dekat kau waktu rehat hari tu," pohon Hairi.

"Tak mengapa. Aku pun dah lama maafkan kau. Lagipun, itu salah aku juga. So... aku pun... nak minta maaf," pintanya dengan berat hati.

"Aku maafkan."

Perbualan mereka kembali terhenti. Sejujurnya Rafie sendiri tidak tahu bagaimana hendak berbicara dengan Hairi, memandangkan lelaki bertubuh sasa ini belum dikenalinya dengan lebih rapat. Namun, sedang dia berkira-kira untuk mencari kata bagi memulakan perbualan, Hairi membuka mulut terlebih dahulu.

"So, kau dengan Inas ada apa-apa ke? Gosip korang ni semakin hangat tahu tak."

Kepala Rafie digeleng. "Tak ada apa sangat. Kitaorang cuma kawan je. Aku kan kenal dia sejak dari sekolah rendah lagi."

"Macam tu ke. Walaupun korang kadang-kadang balik rumah sama-sama?"

Rafie mendengus ketawa.

"Nak buat macam mana, rumah kitaorang pun dekat."

"Lah, patutlah." Tawaan kecil mula terluah dari mulut Hairi.

Pandangan Rafie beralih ke arah gelanggang bola keranjang. Dalam dia memerhati, dia bertanya, "Kau player basketball sekolah, kan Hairi? Aku nak tanya, ni memang passion kau ke?"

"Ha'ah, kenapa kau tanya?"

Rafie menggeleng. "Tak ada apa. Cuma nak cakap kau cukup bertuah untuk teruskan minat kau."

Jawapan itu ternyata membuat jejaka sasa ini keliru. Dia tidak faham mengapa Rafie berkata begitu. Walau bagaimanapun, Rafie tergelak kecil.

"Aku cuma nak kau tahu, yang aku sebenarnya teringin nak masuk olahraga sekolah tapi tulah... aku dah give up dengan semua tu. Kau patut bersyukur tau tak. Kau masih ada peluang untuk bermain permainan yang kau suka."

Dahi lelaki berjersi ini dikerutkan. "Kenapa tiba-tiba ni? Ingat aku tak bersyukur ke? Aku dah lama bersyukur fasal benda ni, Rafie. Lagipun ni benda yang aku minat, kalau aku suka, aku buat je."

"Maaflah kalau aku ni nampak tiber je. Sengaja aku nak luahkan rasa tak puas hati aku ni dekat kau. Yalah, aku ni kalau ikutkan minat je nak main sukan tapi keluarga aku tak bagi pula. Maklumlah mak aku kan cikgu dulu. Jadi... faham-fahamlah."

Hairi mengangguk faham. "Kalau kau nak masuk, tahun depan kan ada lagi. Jomlah join," ajaknya. Namun, Rafie menolak.

"Tak mengapalah. Cerita lama biarkan ia berlalu. Aku sendiri dah buat keputusan."

Hairi mengangguk faham. Dia hormat keputusan Rafie tanpa sebarang bantahan.

"Rafie, kenapa selama aku tegur, kau layan macam nak tak nak eh? Kau tak suka aku ke?" Soalan itu sebenarnya sudah lama dia ingin utarakan. Dia musykil mengapa Rafie selalu berlaku dingin kepadanya, walhal niatnya mahu berkawan.

"Tak adalah. Bukan tak suka. Cuma aku tak biasa dengan kau lagi. Aku ni susah nak percayakan sesiapa. Kecuali kawan aku waktu sekolah rendah dulu."

Dengusan nafas Hairi kedengaran berat. Sukar dia percayai penerangan Rafie itu.

"Kau tahu tak, sepanjang aku main basketball, aku selalu percayakan teammate aku. Sebab aku yakin diorang cuba berikan yang terbaik untuk pasukan. Tapi... bila kau layan aku macam nak tak nak, walaupun aku cuba berbaik dengan kau, aku rasa tercabar. Aku percayakan orang tapi orang tu tak percayakan aku. Sebab tu aku bengang dengan kau hari tu," terang Hairi. Sekali gus menjawab persoalan mengapa dia begitu marah akan Rafie.

"Jadi sebab itu kau marah aku." Soalan Rafie itu diiyakan.

"Barulah aku faham. Kau jangan risaulah. Kalau Yusri percayakan kau, maksudnya aku pun percayakan kau. Walaupun sedikit." Rafie sambil menunjukkan isyarat jari tanda sedikit.

Senyuman nipis terlakar pada bibir Hairi. "So, sekarang macam mana? Kau nak kawan dengan aku?" Hairi meminta kepastian. Manalah tahu kalau-kalau jejaka yang berambut sedikit ikal ini masih mahu tarik tali.

"Ya, tapi satu je permintaan aku untuk kau," ujarnya. Hairi sudah sediakan telinganya untuk mendengar syarat itu

"Apa dia?"

"Boleh aku panggil kau Heri dan bukan Hairi? Tak adalah berbelit lidah aku nak sebut nama kau."

Mulut Hairi terlopong sendiri, bahkan dahi juga turut berkerut. "Pelik-pelik je kau ni."

"Well, syaratnya mudah, kan?"

"Ikut suka kaulah," akur Hairi yang seperti malas melayan kerenahnya.

Tanpa berlengah, tangan kanannya dihulurkan kepada Rafie. Dahulu tangan itu tidak bersahut, tetapi hari ini lain. Dengan senang hati Rafie menyambut baik salam itu.

"Okeylah aku nak gerak dulu. Aku nak ambil adik aku. Kita jumpa lagi esok," ujar Rafie lalu melambaikan tangannya.

Berlalunya Rafie membuatkan Hairi diam sejenak. Banyak kemusykilan yang timbul dalam dirinya.

"Kau memang pelik Rafie. Aku masih tak faham dengan kau," keluhnya. Kemudian, dia pun kembali masuk ke dalam gelanggang untuk meneruskan latihannya.

Bersambung...

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk