Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 35

Memori Berharga

"Wei Yus, kau tak rasa ke diorang ni lama sangat? Bunga api ni pun dah nak start dah ni," rungut Irwan yang sudah naik bosan. 

Sudah 20 minit berlalu sejak Rafie dan yang lain pergi membeli makanan. Dia tahu suasana riuh dengan kesesakan orang ramai tetapi takkanlah sampai ambil masa 20 minit.

"Itulah, harap air yang aku minta dekat Hairi masih lagi sejuk." Yusri menyokong pernyataan Irwan.

"Sorry korang!" Muncul suara nyaring milik Mei. Maka tertolehlah Yusri dan Irwan ke arahnya.

Telapak tangan gadis cina itu ditemukan, meminta maaf kerana lambat. Pun begitu, kehadirannya tidak keseorangan, dia datang bersama-sama dengan Hairi. 

"Hah, itu pun korang! lamanya," jerit Rina.

"Maaf sebab lambat. Kitaorang ada masalah sikit tadi," ujar Hairi kepada rakan-rakannya.

"Masalah?" Hairannya Rina hingga menyengetkan kepalanya.

"Oh, ya! Mana Rafie dan Inas?" soal Yusri. Dia perasan mereka berdua tiada bersama Mei dan Hairi.

"Sebenarnya itulah masalah kita," jawab Hairi.

"Tadi dan Inas terpisah waktu nak balik ke sini. Bila dah terpisah dan tak jumpa dia, saya pun tunggu lah dekat depan trak Pizza Hut macam yang kitaorang janjikan. Tapi saya cuma jumpa Hairi je," terang Mei pula.

Penerangan itu disambung pula oleh Hairi.

"Lepas tu, waktu kitaorang menunggu, aku dapat mesej daripada Rafie. Dia cakap kaki Inas terseliuh, sebab terpijak batu. So, sekarang Inas tengah dirawat dekat booth keselamatan."

Rina berkerut dahi. "Kau pasti ke? Mana tahu diorang berdua sengaja nak cari peluang untuk bersweet-sweet dalam waktu macam ni."

"Aku rasa diorang cerita benda betul, sebab Rafie siap hantar sekali gambar kaki Inas yang dah kena balut dekat Mei."

"Ya ke!" Hampir terangkat bahu Rina kerana terkejut.

"Ni, Rina." Mei menghulurkan telefon bimbitnya. Pantas Rina mendekati Mei. Saat dia melihat gambar itu, nyata membuatkan dirinya berasa terkejut. 

"Uish! Boleh kata teruk ni. Nampaknya terpaksalah kita tengok bunga api tanpa diorang," gumam Rina.

"Biarkan je lah diorang tu," celah Yusri setelah mendengar gumaman Rina itu. 

"Asalkan Inas dah dirawat. Sekarang ni, aku nak air aku. Kau beli tak, Hairi?" Begitu cepat Yusri meminta. Mungkin tekaknya sudah kehausan.

"Oh, lupa pula. Nah, air kau." Yusri pun mengambil air itu setelah dihulurkan oleh Hairi. Sebaik meneguk sedikit air itu, dia mendengus perlahan. Lega kerana dapat meminum air? Tidak sama sekali. Dia sedang berfikir.

'Patutkah aku buat sesuatu demi hubungan Rafie dan Inas?' getus hatinya. Itulah perkara yang membelenggu fikirannya.

Kalau cerita tentang personaliti, Rafie, dia seorang yang pendiam dan berhati keras. Tapi kadangkala kelakuannya mudah dibaca. Tambah lagi dia juga seorang yang suka berterus terang dan mudah bertindak."

Yusri meneguk lagi sedikit air. 

"Inas ya." Yusri menggumam perlahan.

Dari apa yang diceritakan oleh Rina, Inas ini kadang-kadang susah nak luahkan isi yang terbuku di dalam hatinya. Tambah pula dia ini sangat naif dan pemalu.

Keluhan panjang diberikan oleh Yusri.

Dia sedar, kalau mereka berdua masih mengekalkan personaliti ini pasti sukar untuk masing-masing meluahkan perasaan yang terbuku di hati mereka selama ini. Dia berharap segalanya berjalan dengan lancar untuk Rafie dan juga Inas.

*****************************

Benjolan pada buku lali kian terasa. Saya menundukkan tubuh lalu menyentuh kesan seliuh. Nampaknya ia semakin besar. Kalau ibu dan ayah tahu, mesti kena ceramah balik nanti.

Tiba-tiba, pipi kanan saya terasa sejuk. Terkejut saya menarik kepala dan menoleh. 

"Eh!"

Rupa-rupanya Rafie telah menekupkan air tin yang dibelinya pada pipi saya. Mendapati reaksi saya sebegitu, dia pun tertawa. 

"Nah, ambillah air ni. Mesti awak tengah dahaga, kan." 

Saya mengangguk. Air tin itu diambil. "Susah-susah je awak belikan untuk saya."

"Tak ada apalah. Kebetulan mesin air ada dekat situ. Jadi saya belilah." Saya membalas dengan senyuman. Prihatinnya dia. Manalah hati ini tidak jatuh hati. 

Bacaan bismillah sebagai pembuka. Sejurus itu, saya meminum air tin tersebut. Tekak yang tadinya kering, mula basah. Air itu mungkin manis tetapi cukup menghilangkan rasa dahaga buat sementara waktu.

Langit malam ditatap. Saat itulah bayu lembut menerjah kepala yang bertudung litup. Sayup rasanya, menzahirkan ketenangan.

Perbualan kami terjeda.

Dalam jedaan itu, saya cuba memikirkan topik yang mampu menarik minat jejaka ini. Secara tidak sengaja, saya teringat akan pernyataan Rafie sewaktu melihat bunga api sebentar tadi.

"Saya teringat memori yang saya hargai."

Disebabkan rasa ingin tahu menguasai diri, saya langsung bertanya.

"Oh ya, Rafie! Waktu kita tengok bunga api tadi, awak ada sebut tentang memori yang awak hargai, kan? Boleh tak saya nak tahu apa memori tu?" 

Rafie memandang saya. "Kenapa awak tanya tentang tu?"

"Sengaja. Sebab saya nak tahu tentang awak." 

Dia mendiamkan diri. Sepertinya dia berat untuk bercerita. 

"Maaf. Kalau awak tak mahu cerita, saya tak kisah. Mungkin awak ada sebab untuk tak ceritakannya. Cumanya... saya nak share tentang memori saya dengan bunga api ini."

Perlahan-lahan Rafie menatap wajah saya. Dia seperti berminat.

"Waktu saya kecil, saya pernah tinggal di rumah apartmen tau. Tiap kali malam tahun baru, tiap kali malam merdeka, akan ada pertunjukan bunga api di hadapan rumah saya. Nampak je bunga api, mesti saya akan meluru ke beranda. Sebabnya saya rasa bunga api tu terlalu cantik."

Memori itu begitu indah, tambah pula bila diingat kembali.

Rafie mendengus tawa. "Macam tu ke. Tak sangka, memori awak tu hampir sama dengan saya rupanya." 

Gumamannya itu menarik perhatian saya. Wajahnya dipandang dan Rafie seperti sudah sedia untuk bercerita.

"Saya rindukan hari tu. Seperti mana pungguk rindukan bulan, seperti itulah kerinduan saya akan hari itu."

"Hari tu?" Saya mengulang ayatnya. Ayat untuk menyatakan kepastian.

Pandangan Rafie dikalihkan ke langit.

"Sebenarnya Inas, dulu saya tak pernah berminat nak melihat bunga api. Bagi saya ia membosankan. Tak faham kenapa ramai orang begitu minat nak melihatnya. Padahal ia meletus di udara hanya beberapa saat. Selebihnya meninggalkan asap."

Saya mengangukkan kepala. "Faham, faham."

"Tapi kan, pandangan saya terhadap bunga api ni, mula berubah disebabkan hari itu."

Rafie berjeda.

"Ditakdirkan satu hari, sepupu rapat saya yang tinggal di kampung, datang melawat. Dia datang bersama nenek dan Mak Cik kami. Mereka bermalam di rumah saya untuk beberapa minggu. Tahu tak, hari pertama diorang sampai, kitaorang bertemu di tepi tasik. Itulah tempat pesta bunga api diadakan."

"Biar saya teka. Tasik ni ke?" teka saya. Jari telunjuk dituju ke bawah.

Rafie mengangguk. "Ya. Mereka datang kerana pesta bunga api. Rupa-rupanya, ayah saya yang ajak diorang. Dia mahu sepupu saya tu menikmati pertunjukan ni. Tahu tak, sepupu saya tu sangat cintakan bunga api."

Dari raut wajah Rafie, jelas menunjukkan dia begitu teringat akan kenangan itu. Senyumannya begitu lebar. Ia sangat indah.

"Ya ke. Muka awak nampak gembira je bila cerita tentang dia. Mesti korang rapat, kan?"

"Ya. Kitaorang memang rapat. Dah macam adik beradik," balasnya perlahan. Namun, pada wajahnya ada sedikit kesugulan.

Jejaka ini menarik nafasnya bersama mata tertutup. Nafas itu dihembus berat. 

"Saya masih ingat kata-kata dia pada hari tu. Kemunculan bunga api mungkin sekejap, tetapi ia mampu membahagiakan orang ramai. Itu yang dia kata hari itu.

Sebaik dia kata begitu, bunga api tiba-tiba sahaja meletus. Tanpa sengaja kami tatap bunga api itu. Makin saya tatap, barulah saya sedar sesuatu. Cantiknya bunga api ni. Ia memukau saya untuk terus tengoknya lagi dan lagi. Serta merta, saya jatuh cinta dengan bunga api," ceritanya lagi. 

Kemudian, pandangan jejaka ini berubah pada saya. "Pada hari itulah kami berjanji. Kami berjanji untuk menonton pertunjukan bunga api ni sekali lagi pada tahun hadapan. Dan itulah memori yang saya hargai selamanya." Rafie menutup ceritanya. Maka terjawablah sudah persoalan saya.

Dari penceritaannya sudah cukup membuatkan saya terbayang keakraban mereka. Oh ya, baru saya teringat. Bukankah Rafie ada menyimpan gambar sepupunya di rumah. Adakah dia yang Rafie ceritakan? Mungkin saya perlu tanya dengan lebih lanjut.

"Menarik cerita awak tu. Jadi sepupu awak tu lah yang ada dalam gambar hari tu?" 

"Ha'ah. Dialah orangnya. Nama dia Hafiz." 

Ternyata tekaan saya tepat. "Ya ke. Apa khabar dia sekarang? Sihat?"

Wajah sesal terpancar di muka jejaka itu. Rafie tertunduk sedih sebelum menggeleng perlahan.

"Malangnya... dia dah meninggal 5 tahun yang lalu, kemalangan."

Diri saya bagai direnjat elektrik. Terkejut kerana tidak menyangka bahawa orang yang dimaksudkan Rafie itu telah meninggal dunia.

"Eh! Ma... maaf. Saya tak tahu," rasa sesal menyelubungi diri. 

"Tak mengapa. Bukan salah awak pun. Saya pun dah reda dengan semua ni." Raut tenang mukanya memanah hati saya. Ternyata Rafie seorang yang tabah. 

"Jujurnya, saya masih terkilan dengan pemergian dia. Kali pertama saya dengar berita tentang kematian dia, saya tak percaya sampai saya fikir yang itu hanyalah gurauan. Tapi bila saya tengok tubuh dia di depan mata, lidah saya kelu, tergamam." Tangan kiri Rafie menekup dahi. 

"Saya pangil dia, tapi dia... dia tak menyahut. Mukanya pucat. Sungguh menakutkan. Kalau awak nak tahu, dia meninggal 2 bulan selepas pesta bunga api tu berlangsung. Janji kami terkubur begitu sahaja."

Semerta, air mata ini laju mengalir lalu mengesak. Tenyata hati ini terlalu lembut untuk menahan rasa sedih. Bagaimana orang seperti Rafie begitu tabah untuk merasai kehilangan begitu.

"Awak menangis?" Suara lembutnya menjengah telinga. Cepat-cepat saya mengusap air mata. Malu kerana menangis di hadapannya. 

Rafie mengulum senyum. "Hati awak ni lembutlah. Dengar cerita saya ni pun dah boleh buat awak sedih ya." Dia menggetus ketawa.

"Cerita awak sedih tahu tak. Tsk... mestilah saya rasa nak menangis," omel saya bersama esakan. 

"Ya ke. Tak sangka awak hayati cerita saya. Terima kasih sebab sudi mendengar luahan hati saya ni. Awak ni pendengar yang baik," puji Rafie.

Nak kembang hidung tu adalah juga. Tetapi ia tak berjaya diterjemahkan pada wajah. Saya masih sedih. Gara-gara cerita Rafie. Pelik, mengapa orang sebaik Rafie ini selalu menerima ujian yang begitu berat. Kalau saya yang berada ditempatnya, 

"Macam mana awak boleh tahan dengan semua dugaan ni? Banyak betul ujian yang awak hadap, Rafie. Saya tak boleh bayang macam mana perasaan awak tu. Ia... tragik."

"Inas." Panggilnya perlahan.

"Allah dah janji yang dia tidak akan membebankan hambanya, selagi mana bebanan itu tidak mampu diharungi oleh seseorang itu. Kesimpulannya, tak ada apa pun yang istimewa dengan saya ni. Sebab saya tahu, itulah qada dan qadar."

Kata-kata itu menusuk jiwa kalbu ini. Tersentap juga saya. Rasa malu pun ada juga. Namun begitu, saya gembira. Gembira kerana faham mengapa tuhan selalu memberikan ujian yang berat kepada Rafie. 

Dia seorang yang tabah. Dan tuhan suka menguji orang seperti ini.

"Kring!"

Telefon Rafie berdering nyaring. Lantas dia menatap skrin telefon. Dia memberi riak terkejut sebelum memandang saya.  

"Yush... dia call."

Bersambung...

Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk