Peristiwa (BHG 2)
Tiada sebarang suara, tiada juga sebarang bunyi. Adapun bunyi hanyalah sekadar kipas yang berpusing di atas siling.
Jeda.
Suasana di dalam bilik kosong terlalu sepi. Masing-masing mendiamkan diri. Mereka masih terkejut dengan apa sudah terjadi.
Inas kini sedang berehat di bilik kesihatan dengan dirinya dijaga oleh Cikgu Shuna dan juga jururawat sekolah. Mujur ada kehadiran jururawat pada hari ini, jikalau tidak pasti masalah yang lebih besar berlaku.
Rina dan pelajar perempuan yang lain hanya duduk termangu. Mereka risau akan keadaan rakan mereka yang pengsan secara tiba-tiba.
Yusri, Irwan dan Hairi memandang sesama mereka. Tidak tahu bagaimanan hendak membuka bicara. Sunyi sepi. Akan tetapi, segalanya berakhir apabila Rina mula mengeluh kesal.
"Ini semua salah aku. Kenapa aku tak fikir awal-awal yang perkara ni akan berlaku? Patut aku tolong dia tadi. Bodohnya aku."
Wani yang duduk bersebelahan dengannya menepuk perlahan belakang Rina. Dia cuba memujuk.
"Sabar ya Rina. Aku pun risau juga. Semua ni terjadi tanpa kita jangka, Rina. Jadi janganlah salahkan diri kau."
"Tak kisahlah semua tu. Cuma aku nak tahu, siapa punya cadangan yang ajak pelajar lelaki lain masuk ke bilik ni? Siapa punya cadangan? Hah? Cakap!" Jeritan Rina bergema. Matanya mula mencerlung ke arah Yusri dan rakan-rakannya.
Kesemua mereka tertunduk kesal, tetapi hanya seorang sahaja yang berani mara ke hadapan lalu mengangkat tangannya.
"Aku. Aku yang bagi idea tu," jawab Rafie dengan tenang. Sebenarnya perkara ini sudah dapat dijangka olehnya. Dia tahu bahawa Rina mahu mencari seseorang untuk dijadikan sebagai kambing hitam.
Rafie tidak kecewa. Malah dirinya akur, tambah lagi dialah insan yang patut bertanggungjawab dalam hal ini.
"Kau? Kau Rafie? Tak sangka." Rina mula bangun dari duduknya lalu menghampiri jejaka itu.
"Wei, kau kan tahu yang Inas tak boleh hadap dengan lelaki! Kenapa kau yang cadangkan idea tu? Kau bodoh ke?" berang gadis itu lalu memukul-mukul tubuh Rafie.
Rafie tidak berganjak. Wajahnya kekal tenang.
"Rina! Janganlah nak bergaduh dekat sini," pujuk Mei yang lantas memegang tubuh Rina yang masih berang. Dia tidak mahu keadaan menjadi lebih tegang hingga timbulnya pergaduhan.
"Selama ini, bukan ke kau selalu tolong dia untuk elakkan benda ni dari berlaku? Kalau dah tahu dia tak boleh hadap, janganlah cadangkan perkara yang semberono!" Bentakan gadis itu membuatkan Rafie mendengus berat. Fikirannya mengatakan bahawa kata-kata Rina itu ada betulnya juga.
"Iya betul tu, ini semua salah aku. Tak! Mungkin dari awal lagi salah aku. Aku tak patut pun berjanji dengan dia untuk tolong pulihkan masalah dia. Aku minta maaf, Rina." Suara perlahan jejaka itu tidak mampu melembutkan hati Rina.
"Janji?" Rina tertawa sinis.
"Jadi sekarang kau nak mengakulah yang janji korang berdua tu yang sebabkan semua ni berlaku? Bila dia dah pengsan, dah tak sedar kan diri baru kau nak perasan? Wei Rafie, benda dah berlaku lah!"
Ketegangan itu dicampuri dengan celahan Yusri yang cuba untuk mengawal keadaan.
"Rina! Stoplah!"
"Kau diam! Aku tak habis lagi!" tempik gadis berperwatakan kasar ini. Matanya yang tajam itu benar-benar menggerunkan Yusri, hingga terdiam dibuatnya.
Rina kembali mengerling Rafie. "Kau tahu tak, Rafie. Tadi Inas teragak-agak nak pergi ke bilik ni tau. Tapi dia cuba berani kan diri sebab percaya yang latihan korang membuahkan hasil. Ya, semua ni berlaku gara-gara janji bodoh kau tu."
Air mata Rina deras mengalir. Sebagai kawan baik semestinya dia amat risaukan Inas yang merupakan rakan baiknya.
Namun, Rafie masih tenang. Ketenangannya itulah yang membuatkan amarah Rina semakin meluap-luap, dia berpendapat yang lelaki pendiam ini tidak menyesali perbuatannya.
"Sabar, Rina. Jangan menangis. Kalau you menangis I pun akan menangis sama," pujuk Si gadis cina ini, dengan harapan pujukannya itu berjaya meredakan amarah rakannya.
"Macam tu ke. Pada akhirnya ia tetap salah aku," gumam Rafie.
"Aku faham perasaan kau Rina. Maafkan aku, mungkin betul kata kau tu. Tapi apa boleh buat, nasi dah jadi bubur. Benda dah jadi, apa je kita boleh buat," suara mendatarnya itu membuatkan Rina tersalah faham akan niatnya.
"Apa kau cakap? Kau nak aku terima je? Wei pergi matilah kau!" Baran Rina semakin meninggi.
"Rafie! Cukup! Janganlah kau nak keruhkan keadaan." Tempik Wani.
"Entah kau. Kau macam nak bagi Rina lagi marah je." Sokong Irwan pula. Yusri dan Hairi tidak mampu bersuara. takut jika tersalah kata ada yang terguris.
"Habis tu korang nak aku cakap apa?" Rafie meninggikan suaranya. Wajah geramnya kian terserlah.
"Korang, nak aku mati? Hah? Itu yang boleh puaskan hati korang? Wei, aku dah minta maaf lah! Tak cukup lagi ke?" Rafie menggertak. Mata bundarnya ini memandang satu per satu wajah rakan-rakannya. Tiada siapa yang bersuara. Senyap. Lagi mengecewakan tiada siapa yang cuba menenangkan dirinya.
Rafie terasa hati. Dia fikir apabila mendapat kawan akan muncullah seseorang untuk pertahankan dirinya. Rupanya jangkaan dia meleset. Dengan hati terluka, segera dia mengambil beg sekolahnya lalu disandangkan pada bahu.
"Aku dah penat dengan korang. Lebih baik aku balik je." Rafie pun memulakan langkahnya tetapi Yusri pantas menghalangnya dengan memegang bahunya.
"Wei, Rafie! Tunggu sekejap! Sebelum kau pergi boleh tak aku nak tahu apa cerita dengan Inas tu?"
Langkah Rafie terhenti. Mendengar pertanyaan Yusri itu membuatkan dirinya teringat apa yang sudah terjadi 4 tahun yang lalu. Dirinya terpaku dan tidak mampu untuk memberi sebarang tindak balas.
"Kenapa dia macam tu? Aku tertanya-tanya, apa yang buatkan Inas trauma sangat dengan lelaki?" Pertanyaan Yusri itu mendapat perhatian mereka semua.
"Betul tu! Apa yang dah berlaku Rafie? Mesti ianya sesuatu yang buruk kan?" soal Mona kepadanya.
"You boleh ceritakan dekat kami tak, Rafie? I think, you je yang tahu kisah silam Inas," pinta Mei lalu menghampiri jejaka bertubuh kurus ini. Matanya tidak lekang dari memandang jejaka ini yang sudah membelakanginya.
Rafie mendiamkan diri. Ikutkan dia tidak mahu mengingati kembali peristiwa hitam itu. Tambah lagi, dia sudah berjanji dengan Inas untuk rahsiakan peristiwa itu. Namun, kegeraman Rina menggertak jiwa jejaka itu.
"Kenapa? Kau takut? Hah pengecut!"
Rafie memusingkan tubuhnya ke belakang. Wajahnya berubah geram.
"Okey fine! Aku cerita. Puas?" Akurnya dalam marah.
Rina mencebik lalu memalingkan muka. Tangannya disilangkan di atas dada.
Kini semua tertumpu ke arah Rafie. Menanti cerita yang menjadi punca menyebabkan Inas begitu trauma dengan lelaki.
Nafas panjang dihela oleh Rafie. Apabila dirinya bersedia dia pun mula bercerita.
"Aku rasa lebih baik aku cerita dari awal." Dia berdehem sekejap. Maka bermulalah kisah hitam yang berlaku kepada Inas.
Empat tahun dahulu, Inas merupakan seorang yang sangatlah disenangi oleh ramai pelajar, bukan dalam kalangan pelajar sahaja, malah para guru juga sentiasa bercerita mengenai peribadinya. Ternyata Inas begitu popular.
Maklumlah, sudahlah dia bijak, dia juga turut memiliki wajah ayu yang sangatlah manis untuk dipandang. Kehidupannya berjalan lancar. Sampailah muncul satu hari yang meninggalkan parut di dalam jiwanya.
Beberapa minggu selepas peperiksaan UPSR tamat, ada seorang lelaki cuba meluahkan perasaannya kepada Inas. Gadis naif ini menolak. Dia menganggap masih terlalu awal untuk dirinya memikirkan soal cinta.
Hendak dijadikan cerita, suatu petang dia menerima surat daripada sesorang. Surat itu berbau wangi. Apabila dia melihat pada sampulnya, tertera ayat; 'From secret admire'. Dari situ dia berpendapat, ini surat cinta.
Tanpa berfikir panjang Inas membaca surat itu. Lelaki itu meminta dirinya untuk berjumpa di tempat letak basikal sekolah pada waktu petang.
Fikiran Inas ketika itu sudah sedia untuk menolak. Tetapi dia terlalu naif. Hanya kerana rasa kasihan, dia mahu berhadapan sendiri dengan penulis surat itu. Tanpa dia sedar, dia termasuk ke sarang harimau. Dan itu mengubah hidupnya selamanya.
Rafie menjeda dengan agak lama. Dari raut wajahnya seperti teragak-agak.
"Kenapa Rafie? What happen?" Mei bagai tidak sabar untuk ketahui jawapan. Dia tidak mahu cerita itu tergantung.
Wajah Rafie tampak bersalah. "Dia... dikerumuni pelajar lelaki."
Masing-masing memberi reaksi terkejut.
"Budak lelaki yang confess dekat Inas hari tu, paksa dia untuk balas perasaannya. Tapi Inas berkeras dan menolak dengan baik. Malangnya lelaki tu tak nak terima. Akhirnya dia melepaskan amarahnya itu kepada Inas." Rafie mendengus seketika sebelum menyambung kembali.
"Tudungnya ditarik dan dipukul berkali-kali. Budak-budak, apa diorang tahu. Dia fikir lelaki dan perempuan itu sama. Sebab tu dia pukul Inas. Semata-mata nak nak puaskan hati dia yang tengah geram. Mereka berlima dan Inas..." Tangan Rafie dibuku geram. Bibirnya juga diketap rapat.
"... dia seorang diri." Sambung Rafie perlahan
"Uishh! Seramnya. Sampai macam tu ya," gumam Wani dengan rasa ketakutan.
"Tak sangka Inas ada kisah macam tu," ujar Mei pula.
"Jadi itu yang Inas rasa selama ni. Rupanya dalam senyuman dia, tersimpan ketakutan yang disimpan dalam diam," bisik Mona yang simpati dengan nasibnya.
Rafie pun meneruskan lagi ceritanya.
"Tapi nasib Inas hari tu memang baik. Kebetulan ada Pak Guard tengah meronda. Jadi dia ambil kesempatan dengan larikan diri. Budak-budak tadi tu ditangkap dan direport kepada cikgu," terang Rafie lagi. Dia mengharapkan rakan-rakannya mula mengerti akan sebab Inas menjadi begitu.
"So, sampai itu je yang aku dapat cerita. Jadi... aku balik dulu." Maklum Rafie dengan nada perlahan.
"Sekejap!" panggil Hairi.
"Mana kau tahu cerita ni? Takkan kau saje-saje tahu," soal Hairi.
"Mak aku dulu cikgu dan benda ni pun kecoh satu bilik guru. Tak hairan kalau aku tahu. Lagipun, Inas sendiri yang cerita dekat aku," jawab Rafie tanpa menoleh belakang.
Sebaik menjawab, dia cuba meneruskan langkahnya keluar dari bilik. Namun begitu, Rina yang masih tidak berpuas hati dengan Rafie.
"Oi, Rafie! Jangan balik! Kau jangan nak lari dari masalah yang kau buat. Kau kena lawat dia dulu." Melihatkan sang jejaka itu tidak mengendahkan arahannya, pasti menzahirkan kegeraman di hati Rina. Hendak sahaja dia mengejarnya. Namun, tubuhnya dihalang oleh rakan-rakannya.
"Rafie! Rafie! Woi!" Sedikit pun jejaka pendiam itu tidak menoleh. Bahkan dia meneruskan perjalanannya. Membiarkan Rina melalak seorang diri.
"Rina, cukuplah. Biarkan je Rafie tu. Aku pasti yang dia pun rasa bersalah juga," pujuk Irwan.
"Betul tu. I rasa dia juga perlukan masa untuk tenangkan fikiran. Kalau awak terus marah dia, apa je yang boleh dia buat?" Tak terjawab Rina setelah mendengar teguran daripada Mei.
Benar katanya, jika dia terus menekan Rafie adakah dirinya akan menjadi lebih puas? Malah ketenteraman hati juga pasti mustahil untuk dicapai.
"Ringg! Ringg!"
Tiba-tiba sahaja telefon Rina berdering nyaring. Melihat panggilan itu datang daripada Cikgu Shuna, pantas dia mengangkatnya.
Setelah mendengar penjelasan dari cikgu, wajah Rina berubah terkejut. Air matanya perlahan-lahan mengalir. Bukan kerana sedih, tetapi gembira. Rina memandang ke arah rakannya yang lain.
"Korang! Inas dah sedar."
Bersambung...