Permulaan Kami
Ledakan bunga api masih menghiasi langit. Setiap manusia di sekeliling kami mendongak langit. Kagum dengan akan bunga api itu. Namun, sebaliknya bagi kami. Saya dan Rafie menatap wajah sesama kami.
Rafie... meluahkan perasaannya.
"Tak... tak mungkin! Awak suka saya? Awak bergurau kan?" Kedua-dua belah tangan menutup mulut. Sukar untuk saya percayai pengakuan itu.
"Saya tak bergurau Inas," tegasnya.
"Tadi awak sendiri cakap yang saya ialah harapan awak. Sekarang yang saya nak awak tahu, awak juga harapan saya, Inas. Awak dah banyak bantu saya untuk berubah. Dari seorang yang tidak mempercayai sesiapa hinggalah saya mengerti apa itu berkawan. Sejujurnya saya hargai bantuan awak tu, Inas." Saya mendiamkan diri, terpana dengan kenyataannya.
"Bermula dengan rasa dihargai,
Hinggalah rasa kasih datang bertamu,
Mengimpikan seorang bidadari,
ternyata bidadari itu ialah kamu.
"Inas, saya sayang awak. Jadi tolonglah, akui perasaan saya ni," pinta jejaka berambut ikal ini.
Air mata ini mula mengalir. Terharu. Ternyata cinta saya bukanlah sekadar bertepuk sebelah tangan.
"Selama ini saya ingatkan perasaan saya tak berbalas. Tak sangka... awak pun sama, Rafie. Saya tak tahu nak kata apa. Saya... saya..." Suara saya menahan sebak. Ditambah pula tangan masih menutup mulut.
"Inas, saya tunggu jawapan awak. Apa balasan awak untuk perasaan saya ni?" Desakan jejaka berambut sedikit ikal ini membuatkan hati saya berdebar.
Saya mengambil nafas sebelum dihembus perlahan. "Haaaa... alamak, jantung saya berdegup dengan kencanglah. Macam mana ni?"
Saya gugup. Hampir putus nafas dibuatnya. Saya menepuk perlahan dada ini yang semakin kencang degupannya. Rafie tergelak kecil.
"Jangan risau. Saya tak paksa. Asalkan bidadari saya ni tenang dalam membuat keputusan." Ketenangan suaranya melembutkan hati saya.
Wajahnya saya pandang. Dia menanti jawapan yang bakal terluah pada mulut saya ini.
"Rafie, saya pun sukakan awak."
Maka bunga api pun terus meletus tanpa henti. Ia seperti meraikan hubungan kami berdua. Pada malam itu, di pesta bunga api, secara rasminya saya dan Rafie bergelar sebagai pasangan kekasih.
*****************************
Pertunjukan bunga api bagi sesi kedua baru sahaja berhenti. Memandangkan saya sudah mendapat rehat secukupnya, kaki ini sudah dapat berjalan kembali. Saya dan Rafie mengambil keputusan untuk beredar, menuju ke tempat di mana rakan-rakan kami berkumpul.
Tiada sebarang kata di antara kami. Hanya semilir yang menemani. Sengihan bibir tidak henti-henti terukir. Baik pada bibir saya, mahupun Rafie. Masing-masing menyepi, tersipu malu kerana tidak menyangka bahawa hubungan kami sudah memasuki ke tahap yang seterusnya.
Saya memandangnya dengan menggunakan ekor mata. Tanpa disangka pandangan saya itu ditangkapnya. Walau bagaimanapun, Rafie tidak menegur. Sebaliknya memberikan senyuman.
Perlahan-lahan langkah Rafie diberhentikan.
"Inas." Dia memanggil.
"Ya?"
"Boleh tak kalau kita rahsiakan hubungan kita daripada orang lain?" cadang Rafie.
Dahi saya dikerutkan."Kenapa pula?"
"Ada banyak sebab. Ikutkan saya tak nak ada khabar angin yang buruk fasal kita. Yalah. Kita berdua kan pelajar harapan sekolah, nanti mesti jadi bahan gosip dekat sekolah. Lagi-lagi bila ia mendapat perhatian dari cikgu. Saya tak nak perhatian tu. Cukuplah khabar angin yang tersebar hari tu." Itulah alasan Rafie. Alasan yang masuk akal.
Saya faham akan kerisauannya itu, kerana saya juga tidak mahu perkara itu terjadi.
Cadangannya dipersetujui. "Saya okey je... tapi... macam mana kalau saya nak jumpa dengan awak?" Itulah persoalan yang membelenggu fikiran.
"Itu awak jangan risau. Bila-bila masa je kita boleh berjumpa, asalkan tak ada siapa tahu." Rafie meyakinkan saya.
Saya tersenyum. "Macam tu ke. Kalau macam tu saya setuju. Ikutkan saya pun tak selesa dengan tohmahan yang bakal saya hadapi."
"Jadi awak betul-betul setuju?" Rafie meminta kepastian.
Saya menganggukkan. "Ya, awak. Saya setuju."
Rafie hanya mentertawakan pernyataan itu. Lucu baginya, begitu juga dengan saya.
*****************************
Beberapa minggu kemudian...
Ia berbeza. Sangat berbeza. Tidak saya jangka hari ini bakal tiba akhirnya. Hari di mana saya bergelar sebagai pelajar tingkatan lima untuk pertama kalinya.
Dalam keheningan pagi ini, saya, Rina dan Mei berjalan bersama-sama menuju ke sekolah. Kami berpakat. Maklumlah, hari pertama persekolahan, mestilah masing-masing bersemangat.
"Wei, tak sabarnya nak habis sekolah! Lagi setahun je, korang. Lepas tu bebas," nyata Rina teruja. Apalah Rina, baru hari pertama sekolah sudah fikir hendak habis belajar.
"Kalau you nak habis belajar, SPM kena ambil dulu ma," kata Mei dengan nada sinis. Sengaja dia mahu mengacau mood Rina.
Saya pun apa lagi, mula mencelah perbualan mereka. "Betul tu Mei. Kalau awak nak bebas, mesti ada harga yang perlu dibayar. Nak tak nak, SPM kena tempuhi juga."
Rina mencebik. "Korang ni kan. Selalu tak support aku. Nak majuk lah macam ni." Langkah kaki gadis tinggi lampai ini dilajukan. Sengaja meninggalkan kami di belakang.
Saya dan Mei memandang sesama kami. Tanpa sengaja kami tergetus ketawa, tak sangka kami berjaya mengacau Rina yang kuat kepoh.
"Ala Rina, macam tu pun nak merajuk ke," jerit Mei dengan mengharapkan dia mendengarnya. Rina buat tak endah. Terus Mei dan saya berlari untuk memujuknya.
"Alalala... merajuk pula dia ya." Saya memandangnya sinis. Hendak bergurau katakan.
"Hmph!"Rina memalingkan mukanya.
"Oh, korang!" Datang suara garau seorang lelaki.
Saat kami memandang, terlihat Yusri dan rakan-rakannya. Mereka tidak datang bertiga, sebaliknya berempat. Ya, Rafie ada bersama mereka.
"Oh, awak ke Yus," gumam Mei lalu mengajaknya mereka untuk menurut serta.
Mereka berempat mula mendekati kami. Kami berbasa-basi sebentar, sebelum meneruskan perjalanan bersama-sama.
Dalam perjalanan itu, saya dan Rafie berjalan bersebelahan. Pun begitu, tiada sebarang bicara antara kami. Hanya melihat persekitaran dan mendengar celoteh Rina bersama yang lain
"Inas." Tiba-tiba Rafie mengeluarkan suaranya.
"Ya?"
"Kita jumpa petang nanti," bisiknya lalu mengukir senyuman nipis.
Saya mengangguk tanda setuju. Inilah permulaan kami berdua. Permulaan untuk menghadapi cabaran yang baru. Sebagai pelajar tahun akhir, sebagai pasangan kekasih, dan lebih penting merahsiakan hubungan kami berdua.
*****************************
Sebuah bilik dibuka oleh seorang lelaki yang memakai kot berwarna biru. Rambutnya kemas serta disikat rapi. Dia memandang ke kiri dan ke kanan, memerhatikan gerak-geri pelajar yang hadir ke sekolah.
Lelaki berkot itu melihat jam tangannya. Sudah pukul 7.25 pagi rupanya. Dia lantas menutup pintu. Tertera tulisan 'Bilik Pengawas' pada plat yang terlekat pada pintu bilik.
Lelaki itu pun berjalan menuju ke foyer sekolah. Sesampai sahaja dia, semua mata tertumpu ke arahnya. Bahkan, dapat dirasai bisikan pelajar yang bercerita tentang mengenainya.
"Wei, tu kan ketua pengawas kita tahun ni? Handsomelah dia," bisik seorang perempuan kepada rakannya.
"Ya weh. Zarul tu bukan takat handsome je tau, bijak dan pandai bersukan lagi," balas rakannya itu.
Benar, itulah nama gerangan bagi lelaki itu. Zarul.
"Ehem!" Zarul berdehem. Tujuannya itu kerana mahu mendapatkan perhatian pelajar.
"Okey pelajar-pelajar semua, sila percepatkan langkah korang, ya. Lagi lima minit perhimpunan dah nak bermula. Sila pergi ke dewan sekarang," pintanya dengan nada yang sedikit tegas.
Maka berpusu-pusulah para pelajar untuk mengikut arahannya itu. Mereka menurut bukanlah kerana takut, tetapi mereka kagum. Dia juga pelajar paling popular di sekolah selain daripada Yusri. Jadi, tidak hairanlah ramai yang menghormatinya.
Sedang Zarul memerhatikan sekeliling, dia terpandang akan sekumpulan pelajar yang terdiri daripada tujuh orang pelajar. Empat lelaki dan tiga perempuan. Dalam kalangan mereka hanya seorang yang berjaya membuatkan dia tertarik.
'Cantik seperti biasa.' Itulah yang tergumam di dalam hati Zarul.
"Zarul! Zarul!" Suara seorang lelaki memanggil namanya. Dia menoleh.
"Oh, Afiq. Kenapa Fiq?" soal Zarul.
"Cikgu Dayat nak jumpa dengan kau." Zarul mengangguk faham.
"Alright, sekejap lagi aku jumpa dia."
"Sekejap lagi?" Afiq sudah bingung. Sudahlah Cikgu Dayat nak jumpa sekarang, boleh pula Zarul mahu mengambil masa.
"Ha'ah, sebab aku tengah cuci mata sekarang."
"Cuci mata?"
Pandangan Zarul beralih ke arah perempuan yang dipandangnya tadi. Lirikan matanya itu di membuatkan Afiq terikut sama. Apabila Afiq melihat perempuan tersebut, dia pun mengeluarkan nafas panjang.
"Laaahh... kau tengok crush kau ke?" Zarul hanya menyengih. Riak mukanya itu sudah cukup untuk menjawab persoalan kawannya itu.
"Siapa lagi, Afiq. Mestilah dia."
Kedua-dua tangan Afiq diangkat separuh. Kepalanya digeleng.
"Ikut kaulah. Tapi kau kena ingat Zarul, dia kan takut lelaki."
"Aku tak kisah. Apa yang penting aku suka dia." Itulah pengakuan Zarul. Maka terjawablah persoalan akan siapa yang bertamu di dalam hati ketua pengawas ini.
Siapa?
Sudah tentunya heroin cerita ini. Inas.
*****************************
Sebiji bungkusan gula-gula dibuka lalu dimakan oleh seorang perempuan. Matanya sejak dari tadi melihat akan seorang pelajar lelaki. Dia kenal akan pelajar itu. Lelaki yang paling pendiam di sekolah ini.
"Julia!" Seorang perempuan datang menyapa. Dialah Shasha, rakan sekelasnya.
Julia tidak terkejut, sebaliknya dia terus menerus memerhatikan Rafie yang kini sedang bersembang dengan rakan-rakannya.
"Ish, jahatlah kau. Asal kau ignore aku?" Marah Shasha. Walaupun digertak gadis ini, Julia masih tidak mengendahkan kerenahnya.
"Wei, Shasha. Apa pandangan kau terhadap Rafie?" Soalan Julia itu disertai dengan jari telunjuknya. Jari itu dituju ke arah lelaki yang dimaksudkannya.
Shasha memandang Rafie. Tidak lama kemudian dia tertawa kecil.
"Dah kenapa kau ni, Ju? Kau angau dengan dia ke? Ish, ish! Muka pan-asian macam kau ni pun ada hati dekat Rafie ya."
"Kalau ya, kenapa? Tak boleh?" Shasha terdiam seketika.
"Errr... bukan tak boleh, Ju. Cuma... kau kan penolong ketua pengawas. Lepas tu cantik, dan diminati orang lagi. Takkanlah orang macam kau ni suka dengan orang yang biasa-biasa macam dia tu?" terang Shasha yang sedikit hairan.
Mendengar penjelasan itu membuatkan Julia tertawa. Orang biasa-biasa katanya.
"Jadi itu rupanya pandangan kau. Tak apalah, kau dah jawab persoalan aku tu." Shasha menyengetkan kepala. Dia keliru akan apa yang dimaksudkan oleh rakannya itu.
Julia pun membuka langkahnya untuk beredar. Dia sempat menyungging sinis.
'Kau sama macam dulu, Rafie. Sedikit pun kau tak berubah,' desisnya di dalam hati.
Bersambung...
***NOTA PENULIS***
Cinta itu satu permulaan. Bukannya satu pengakhiran. Teruskan membaca :)