Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 12

Kawan Pertama Rafie

"Ehhh! Dari darjah satu! Lama betul kau kenal dia, Inas?" kata Yusri yang mahukan kepastian. Matanya memandang saya.

Saya mengangkat kening, bibir ini tersenyum senget. "Nampaknya macam tu lah," balas saya.

Rafie yang berada di hadapan mencelah. "Benda macam tu pun kau nak bangga ke Yusri? Lagi satu, aku dengar ayah kau pemilik studio rakaman. Betul ke?"

"Wah! Itu pun kau tahu juga? Ni memang betul-betu stalk aku ni." Wajah Yusri berubah teruja. Dalam masa ada rasa terkejut dengan pengetahuan Rafie itu.

"Kepala hotak kau! Aku dengar dari cerita orang lah," marah jejaka bertubuh kurus itu. Yusri menyeringai. Gembira kerana usikannya berjaya. 

Dia ketawa sambil memegang perut. "Ya, ya. Andaian kau betul. Ayah aku pemilik studio Fantasia Biru," ujar Yusri.

"Jap! Fantasia Biru yang terkenal tu ke?" soal Mei setelah mendengar perbualan mereka.

Begitu juga dengan Rina yang terkejut setelah mendengar nama studio tersebut. "Fantasia Biru? Tu bukan ke studio artis-artis yang baru nak up? Kiranya awak kenal Naufal lah, kan? Penyanyi yang tengah hot sekarang ni," soal Rina mengenai penyanyi kegemarannya.

Yusri mengangguk "Yup, aku kenal dia. Dia sepupu aku," selamba Si kaya ini menjawab. Apa lagi, terjerit-jeritlah Rina seperti tidak mempercayai kata-kata Yusri itu.

Sedang kami bersembang langkah Rafie diberhentikan. Sedar tak sedar rupa-rupanya kami telah tiba di hadapan sekolah rendah.

"Korang, tunggu sini sekejap. Aku nak panggil adik aku." Rafie berjalan menuju ke pagar sekolah.

Dengan penuh kemusykilan, Yusri bertanya kepada kami. "Rafie ada adik ke?"

"Ha'ah, setiap hari dia kena ambil adik dia. Tu yang dia selalu cepat-cepat keluar dari kelas," jawab saya.

"Macam tu ke. Kenapa ibu dengan ayah dia tak ambil? Diorang sibuk ke?" Persoalan Yusri itu membuat kami bertiga memandang sesama sendiri. Serba salah hendak memaklumkan perkara sebenar kepadanya. 

"Awak tak tahu ke Yusri?" tegur Mei. Riak kehairanan diberi oleh jejaka popular ini. Ternyata dia tidak tahu.

"Sebenarnya, ayah dia sibuk mencari rezeki untuk diorang sekeluarga. Maklumlah, ibu dia baru je meninggal tahun lepas," terang saya dengan nada sayu. 

Rasa bersalah menyelubungi hati Yusri. Ia terjemah pada wajahnya. "Ya ke. Aku tak tahu."

Tidak lama selepas itu, Rafie muncul bersama adiknya. Mereka berpegangan tangan. Melihat begitu ramai yang memandang, Iky menyorok di belakang abangnya. Dia malu bertemu dengan mereka.

Pun begitu Rafie membiarkan adiknya itu memeluk kaki kakinya.

"Maaf korang. Adik aku pemalu orangnya. Nama dia Iky," ujar Rafie.

Rina sudah mara ke hadapan. Dia mahu mendekati Iky.

"Hai, Iky! Kenal akak lagi tak?" sapa Rina teruja. Sengaja dia menegur kerana mengharapkan Iky mengingati dirinya yang pernah menjaganya dahulu. Maklumlah dulu kami berdua bersama-sama menjaga Iky sewaktu dia kecil.

Malangnya kanak-kanak berumur 12 tahun itu seperti tidak mengenalinya. Malah tubuh kecilnya makin tersorok ke belakang. 

Setelah diyakinkan oleh Rafie serta berbasa-basi, barulah Iky berhenti dari menyorok. Itupun selepas dia perasan kelibat saya. 

Untuk pengetahuan, semenjak saya datang ke rumah Rafie tempoh hari, saya selalu pulang bersama-sama dengannya. Jadi tidak hairanlah Iky begitu selesa dengan saya. Tambah lagi hubungan saya dan Iky boleh dianggap seperti adik beradik.

"Iky, kalau kamu nak tahu, saya ni kawan baik abang awak tau," kata Yusri dengan bangganya. Namun, Iky mengerutkan dahinya.

"Eh, bila masa abang ada kawan?" 

Terkedu Rafie sebelum mengeluh. "Kalau ikutkan sebenarnya tak ada. Tapi tulah, abang terpaksa berkawan dengan dia," jawab Rafie bagai terpaksa.

Pun begitu, reaksi lelaki tinggi lampai ini masih bersahaja. Sedikit pun tak terasa dengan ayat Rafie. Malah, dia masih melayan kerenah kanak-kanak ini.

"Nak tahu tak Iky, abang awak ni memang baik tau. Walaupun kitaorang baru je berkawan tapi tengoklah betapa rapatnya saya dengan abang awak ni. "Yusri merangkul bahu Rafie. Tanpa disangka dia memuncungkan bibir untuk mengacah cium pipi si pendiam itu.

Pantas Rafie menahan wajah Yusri. Dia mencebik geli, jijik dengan perangai jejaka tampan ini. 

"Woi! Apahal! Gelilah!"

"Alah, aku nak cium sikit je," acah Yusri lagi.

"Tak payah bodoh. Malulah sikit depan orang."

Kami budak perempuan memandang jijik. Apalah Yusri fikir dengan buat begitu. Lagi-lagi sekarang kami berada di hadapan sekolah rendah. Namun, lain pula bagi Iky apabila dia ketawa terbahak-bahak.

"Abang, nampaknya abang dah ada kawan yang kelakarlah."

Tawaannya berterusan, seraya Yusri memberhentikan tindakannya. "Tengok, adik kau ketawalah."

Rafie buat-buat ketawa. "Ha-Ha-Ha. Kelakar lah sangat," gumam Rafie sinis.

Pada masa yang sama, perut Iky mula berbunyi. Perutnya serta merta dipegang. "Abang, Iky lapar lah. Jomlah balik," pintanya bersama raut wajah comel.

Kasihan akan adiknya, Rafie pun membongkok. Kepala Iky diusap perlahan. "Ya ke. Kesiannya. Sabar ya. Nanti kita balik," pujuk Rafie.

Kemudian, dia menoleh ke arah kami. "Okeylah korang, aku balik dulu ya. Adik aku ni pun dah-"

"Sekejap!" Yusri memotong ayatnya

"Alang-alang kita semua belum makan, apa kata aku ajak korang semua makan dekat restoren sepupu aku. Restoren dia dekat je dari sini." Masing-masing teruja saat mendengar pelawaan itu. Namun begitu, Rafie menolak.

"Maaflah Yusri. Bajet aku tak cukup nak makan dekat restoren. Lagi-lagi aku nak save bajet untuk barangan rumah. Jadi... mungkin aku tak ikut."

"Kau jangan risau fasal mahal, Rafie. Aku boleh je belanja korang semua. Amacam?" Mata Yusri dikenyitkan sebelah. Sengaja mahu tunjuk cool

Terlopong luas mulut Rafie, bagai tidak mempercayai tawaran. Tawaran itu begitu besar buatnya. . "Eh, seriuslah! Tak menyusahkan ke nanti?"

"Tak menyusahkan pun. Aku ikhlas. Lagipun... kita kan kawan. Betul tak?" Kata-kata itu, bagai menyentak hati batu Rafie. Ia jelas terukir pada wajah jejaka itu. Wajah seriusnya perlahan-lahan menjadi pudar.

"Tapi..."

"Iky okey je," celah anak kecil itu yang serta merta mengejutkan abang kandungnya.

"Kamu tak kisah ke, Iky?"

"Yup, lagipun bukan selalu orang nak belanja kita ni. Jadi, tak payahlah abang susah-susah nak masak hari ni. Lagipun, abang kan penat jaga Iky, kan?" kata Iky bersama senyuman naifnya. Senyuman yang membuatkan hati Si pendiam ini terharu. Begitu juga dengan kami, yang menyaksikan perbualan dua beradik ini. Macam tengah tengok drama pula.

Rafie mendengus perlahan. "Yalah. Kalau Iky sendiri dah cakap macam tu."

Pandangan Rafie ditoleh pada Yusri. "Aku terima pelawaan kau tu, Yusri." 

"Cantik! Macam ni lah kawan aku." Terujanya dia sampaikan menarik leher Rafie dengan lengannya. 

"So, apa kata ajakan aku ni kau anggap ajakan ni sebagai meraikan persahabatan kita." Mendengar cadangan itu, langsung Rafie tertawa kecil bersama tangan kirinya menutupi sedikit mulutnya. 

Dia kemudian mengalihkan lengan Yusri dari lehernya. Ia tidak kasar seperti kebiasaannya. Kali ini dia alihkan dengan perlahan. 

"Ikut suka kaulah. Apa yang penting kita kena gerak sekarang. Perut aku dah kebulur ni," seloroh Si pendiam ini bersama senyuman. Saya yakin senyuman itu pasti mengejutkan Yusri. Buat pertama kali Rafie tersenyum di hadapannya. 

Rafie dan Iky berpimpin tangan. Mereka telah memulakan langkah untuk berjalan.

Yusri yang tadinya terpana dengan tawaan dan senyuman Rafie mula mengekorinya. "Sekejap! Kau ketawa kan tadi? Kau ketawa kan?"

"Mana adalah. Perasaan kau je kot," nafi Rafie

"Tak payah nak tipu. Aku dah agak, aku ni kelakar orangnya kan? Betul tak? Betul tak? Hahaha! Aku berjaya buat kau ketawa," laungnya gembira.

Saya dan rakan-rakan perhatikan sahaja gelagat mereka. Lagi-lagi diri ini yang terpana dengan senyuman yang dilemparkan oleh Rafie sebentar tadi.

"Lelaki ni memang macam tu kan. Sekejap je diorang dah rapat macam tu," gumam Mei.

"Tulah tu. Kalau kita mesti berminggu-minggu baru nak rapat." Begitulah pendapat Rina yang bersetuju dengan Mei.

Mata Mei melirik ke arah saya. Melihat saya tersenyum sendirian, membuatkan dia bertanya mengenai keadaan saya.

"Kenapa Inas? Tiba-tiba je awak senyum ni," tanya Mei.

Kepala ini digelengkan perlahan. "Tak ada apa. Cuma... saya dah lama tak nampak dia macam tu."

Kepala Rina disengetkan sedikit. "Macam tu? Maksud awak, Inas?" soal Rina pula.

"Senyuman Rafie... lebih manis dari biasa. Mungkin betul Yusri adalah pilihan yang tepat untuk menjadi kawan Rafie."

"Bila kau cakap macam tu, ada betul juga. Sekeras-keras hati Rafie tu, akhirnya dia tewas juga dengan Yusri," sokong Rina.

"Kan. Akhirnya, dapat kita juga tengok senyuman Rafie yang dulu," ujar saya dengan nada gembira. Akan tetapi, kegembiraan itu dirasai saya seorang, kerana kedua-dua rakan saya memberi pandangan sinis.

"Wuwuwu... Kenapa awak gembira sangat ni, Inas? Awak minat dia ya?" Mulalah usikan Rina bersama sengihannya yang menjengkelkan itu.

Paling tak disangka Mei juga menurut serta. "Kan. Asyik-asyik sebut senyuman Rafie je. You dah tertawan ke?"

Kulit muka saya yang putih melepak ini sekelip mata bertukar merah. Menahan rasa malu setelah diusik.

"Alaaaa... apa ni korang! Janganlah salah faham," sungut saya meleret.

Mei dan Rina mula tertawa setelah usikan mereka berjaya membuatkan saya menggelabah. Sejujurnya rasa malu ini tidak tertahan. Malas hendak melayan kerenah mereka, pantas saya membuka langkah lalu meninggalkan mereka berdua di belakang.

*****************************

Loceng rehat telah berbunyi. Dengan hanya berbekalkan roti berinti coklat, dapatlah Rafie mengalas perutnya seketika. Seperti biasa, dirinya lebih selesa untuk berehat seorang diri, cumanya hari ini dia tidak duduk di kantin, sebaliknya dia duduk di astaka sekolah yang jarang dikunjungi oleh ramai pelajar.

Sunyi. 

Sepi. 

Diam.

"Yo, makan apa tu," datang Yusri menyapa sunyi. 

Kepala Rafie ditoleh sekilas. Tahu Yusri yang menegur, dia pun membalas, "Aku makan roti je."

Yusri mengangguk. Setelah itu, dia mendekati Rafie. Tangannya kanannya menghulurkan air tin. "Nah, air untuk kau." 

Tidak mahu dirinya kelihatan biadab, terpaksalah Rafie menerima air tersebut. "Terima kasih. Nanti aku bayar balik."

"Tak apalah. Cuma air je. Aku tak rugi apa-apa pun." Yusri menolak baik.

"Wei, seriuslah! Ni dah kali kedua kau belanja aku. Aku rasa macam mempergunakan kau pula."

"Janganlah negatif sangat pemikiran kau, Rafie. Aku ikhlas. Kau kan kawan aku. Kan?" Kata-kata Yusri itu benar-benar buatkan Rafie terkesima.

Dia tidak tahu sudah berapa kali Yusri mengucap bahawa Rafie ini ialah kawannya. Padahal sepanjang dia mengenali Yusri, tidak pernah dia melayan dengan baik.

Apabila rasa bersalah mula bertamu, hatinya yang keras mula berubah lembut. Disebabkan itu, dia sedaya-upaya mencuba untuk tidak bertindak sinis dalam berkata-kata.

"Wei, fasal hari tu, terima kasih tau sebab belanja aku dengan adik aku. Iky seronok sangat hari tu," ucap Si pendiam dengan rasa rendah diri.

"Alah... perkara kecil je. Aku ni memang suka belanja orang. Anggap je yang aku ni bantu kawan yang dalam kesusahan. Lagipun, aku dengar kehidupan kau agak susah sejak akhir-akhir ni," Yusri menyatakan simpatinya. Itupun setelah mengetahui cerita sebenar mengenai Rafie semalam.

"Tak ada lah susah mana pun. Cukup je untuk kehidupan harian," ujar Rafie 

"I see." Kemudian jejaka popular ini duduk disebelahnya. 

"Kau ni tabah juga orangnya, kan? Walaupun ibu kau dah tak ada, muka kau tenang je. Macam tak ada masalah langsung. Kalau aku memang susah nak move on," kata Yusri sambil menikmati pemandangan padang dari astaka. Seketika pula, dia menghirup air tin yang ada pada tangannya

Rafie mendengus. "Kenapa kau kata macam tu?" soalnya.

"Rasanya sebab aku cemburu dengan sifat kau kot. Kalau kau nak tahu, aku ni anak manja. Yalah, aku kan datang dari keluarga berada. Semua benda aku boleh dapat dengan petik jari je. Kadang ada yang cakap bertuahnya jadi anak orang kaya macam aku ni. Aku pasti ramai cakap macam tu, betul tak?"

"Aku tak nafikan semua tu."

"Kan?" Yusri tersenyum kecil. Wajah Rafie dia pandang.

"Aku mungkin tak dapat bayang rasa kehilangan kau tu. Bila salah seorang yang kita sayang hilang di dunia ini, mesti susah untuk kita terima takdir tu. Sebab tu aku cakap yang aku mungkin cemburu dengan kau, Rafie. Kau lain, ketabahan kau buat aku sentap," ujar Yusri.

"Tak ada apa nak dibanggakan pun. Aku sendiri dah anggap benda ni takdir. Kita hidup ni pun ada pengakhirannya cuma pengakhiran kita lain-lain. Lagipun sekarang aku ada tanggungjawab penting yang perlu digalas. Sebagai abang aku nak gembirakan adik aku. Tu je."

Yusri tertawa kecil. Sayang betul Rafie terhadap adiknya. "Kau ni sayang betul dekat adik kau tu ya. Well, aku tak terkejut sangat sebab dia penting dalam hidup kau. Lainlah macam aku." Suara Si tinggi lampai ini berubah sayu.

Rafie berkerut dahi. Seraya dia menoleh ke wajahnya.

"Sebenarnya mak dengan ayah aku dah bercerai tahun lepas." Pengakuan Yusri itu nyata memberi kejutan terhadap Rafie. Kelu tak terkata.

"Diorang dah tak sehaluan. Mungkin ada sebab untuk diorang buat keputusan tu. Jadi aku tak ambil peduli sangat. Tapi... itulah. Aku terkilan. Keluarga yang aku rasakan bahagia selama ni hilang begitu je," luahnya sedih.

Rafie menunjukkan rasa simpati.

"Ya ke. Tak sangka kita berfikiran sama. Aku pun pernah fikir macam kau juga. Fikir yang keluarga aku ni keluarga yang paling bahagia dalam dunia. Tapi semua tu hilang sekelip mata sahaja."

Yusri menggetus ketawa kecil. "Tak sangka kita serupa, kan? Mungkin takdir dah tentukan yang kita memang patut berkawan. Betul tak, Rafie?" Ujaran ikhlas itu membuatkan Rafie tertunduk seketika. Tak lama selepas itu, kepalanya diangkat kembali.

"Mungkin." 

"Jadi kau dah anggap aku sebagai kawan kau?" Yusri mahukan kepastian.

"Aku perlukan masa. Insya-Allah, masa akan menentukan nasib kita."

Faham dengan ayatnya Yusri mengiyakan. Perbualan rancak mereka terhenti. Rafie kembali menjamah rotinya dan Yusri meminum airnya.

"Oh ya, Yusri! Maaflah aku nak cakap. Aku ni susah nak sebut nama kau. Lidah aku macam berbelit-belit nak menyebut. Apa kata, aku bagi nama panggilan untuk kau?"

Bibir Yusri disungging sebelah. "Kau nak panggil aku apa?"

"Apa kata aku panggil kau Yush? Senang sikit nak sebut."

Terus Yusri menggetus ketawa. "Kenapalah pelik sangat nama yang kau bagi ni?"

"Kau okey ke tak dengan nama ni?" soal Rafie dengan muka serius. Malas hendak melayan perangai Yusri yang asyik ketawa.

Mata Yusri yang berair diusap sedikit dengan tangan. "Yalah, yalah. Aku okey. Walaupun kelakar bunyinya."

"Kalau kelakar aku boleh je tukar." 

Pantas Yusri menyanggah. "Tak apa, aku suka nama tu. Itu buatkan kau dengan aku dah jadi kawan. Kan, kawanku?

Yusri menghulurkan tangannya. Rafie tersenyum lalu tertawa kecil.

"Yup kita kawan... kot?" Rafie pun menyambut salam itu. Sebaik salam disambut terjadinya simbol persahabatan antara Si pendiam bernama Rafie dan juga Si popular yang bernama Yusri.

Itulah hari di mana Rafie mula menerima seseorang sebagai kawannya selain dari Ammar. Kawan yang didefinasikan sebagai kawan baik.

*****************************

Masa kini...

"Macam mana dengan kerja awak, Inas?" soal seorang wanita sambil menghidangkan gelas berisi jus epal di atas meja. Air itu kemudiannya dihulurkan kepada saya.

Dengan senang hati saya menyambutnya.

"Saya okey je, Rina." Khabarnya dibalas baik.

Sekarang saya berada di rumah Rina. Kehadiran saya bukanlah sekadar mahu bersembang. Saya datang ke mari kerana mahu meminta nasihat.

Rina membetulkan tudungnya sedikit sebelum duduk di atas sofa.

"Jadi, apa nasihat apa yang awak nak saya bantu?" Kami kembali ke perbualan asal. Riak muka Rina yang tenang memandang wajah saya.

Dengan hati yang sebak, mulalah terluah ayat yang terbuku di dalam hati ini, "Saya rindukan dia." 

Rina memandang kaku raut wajah ini. Dengusan hidung Rina kedengaran kuat. Dia mendengus. Mungkin memahami apa yang berlaku sekarang. 

"Macam tu ke. Mesti sebab kau baca buku tu lagi, kan?" tekanya. Saya mengangguk. Dengan itu, fahamlah Rina akan sebab saya ke mari.

"Aku dah agak dah yang perkara ni akan berlaku lagi. Lagi-lagi, Fahim sendiri dah makin terkenal sekarang. Mesti awak tak boleh nak elak dari membaca buku tu," omel Rina, pasrah. 

Senyuman kelat terukir dibibir saya. "Tiap kali saya dengar nama Fahim, tiap itulah saya terasa nak baca semula buku tu," ujar saya kepadanya.

"Mak! Ihsan nak keluar sekejap tau." Suara seorang lelaki memecahkan perbualan kami. Itulah Ihsan, anak bujang kesayangan Rina.

"Okey, hati-hati bawa motor tu." Jerit Rina sambil memandang anaknya yang berjalan keluar dari rumah. Sebaik ayat itu terucap, kedengaran bunyi enjin sebuah motor dihidupkan. Lama kelamaan bunyi itu semakin sepi, tanda beredarnya remaja itu dari rumah ini.

"Haih... budak ni kan. Lepas habis SPM asyik nak keluar je," rungut Rina. Saya tergelak kecil. 

"Alah Rina, mana tak tumpahnya kuah kalau ke nasi. Awak tu apa kurangnya. Lepas kita habis SPM, asyik-asyik ajak saya berjalan," seloroh saya bersama peribahasa. Sengaja mahu mengimbau kenangan kami semasa remaja.

"Yalah, yalah. Aku tahu tu." Rina memegang kepalanya lalu menggeleng.

Kemudian dia memeluk tubuh.

"Berbalik tentang masalah awak. Apa plan awak lepas ni?" soal Rina dengan nada serius.

"Saya nak jumpa dia. Saya nak bertemu dengan Fahim." 

Bersambung...

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk