Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
153,603
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 11

“KENAPA serius sangat ni?” Suria menyapa ketika Miya lalu di tepi mejanya.

Rasanya lama juga gadis itu pergi ke pejabat Arash. Katanya ada perbincangan pasal projek dengan anak bosnya. Tapi melihat air mukanya,macam berbincang perkara lain sahaja. Kalau ada masalah kerja sekalipun,takkanlah seteruk itu kesuraman di wajahnya?

“Aku pening la dengan si Arash tu…” adu Miya lalu menghenyak punggung di kerusi. Perasaan marah dan geram masih berbuku di hati.

“Tak seronok ke, kerja dengan dia? Rasanya ramai staf yang berebut-rebut nak tawarkan diri bekerja di bawah dia,” Suria cuba menduga.

“Seronok apanya? Aku dahlah tengah sibuk, sekarang ni kena hadap kerenah anak bos yang sewel tu pulak,” kompelin Miya.

“Kau ada masalah dengan dia ke?” tanya Suria. Melihat wajah Miya yang hilang seri, tentu sahaja ada yang dia pendamkan.

“Memang aku ada masalah dengan dia. Besar sangat!” sebut Miya.

“Ceritalah, boleh jugak kongsi dengan aku. Siapa tahu, kurang sikit rasa tension kau tu.”

“Tak apalah, lama-lama nanti boleh selesai sendiri. Biarlah aku buat tak tahu aje.”

“Sebenarnya kerja kat mana-mana pun sama aje. Kita yang kena pandai bawa diri dan menangani masalah dan tekanan yang datang,” tutur Suria.

“Betullah tu. Kalau masalah kerja, tak apa lagi. Ni masalah lain.”

“Macam serius aje...”

“Serius sangat sampai buat aku sakit hati!” tekan Miya.

“Kau janganlah ambil hati sangat dengan anak bos tu.Kadang-kadang pasal hal kecik pun ramai yang naik hantu,” nasihat Suria walau masih tidak tahu apa masalah sebenar gadis itu.

Miya meneguk air minumannya yang masih berbaki. Biarlah Suria tidak tahu, begitu lebih baik.  

“Sekadar nak ingatkan, bila hati tengah membara, jangan sesekali tendang pintu. Siapa tahu, pintu itulah kau akan ketuk untuk ubat hati kau suatu hari nanti.”

Miya memandang Suria sekilas. Huh! Kalau ikutkan hatinya, memang dia pergi semula ke pejabat Arash. Bukan setakat tendang pintu, dia akan baling mug miliknya ke kepala lelaki itu. Biar benjol dan berdarah. Biar bergegar otak dia!

 

 

HAZIQ dan Arash berjalan beriringan menuju ke kereta. Mereka berdua baru sahaja bersolat Jumaat di masjid yang biasa mereka kunjungi. Tadi, mereka juga keluar awal untuk makan tengah hari terlebih dahulu.

 “So, how is Miya?” tanya Haziq sambil memakai tali pinggang keledar.

“Aku rasa susah sikit nak jinakkan dia.” Arash mengakui kelemahan diri.

“Relaks la. Miya tu bukan burung merpati yang boleh kau tabur makanan.Jangan lupa dia adalah anak Haji Ahmad Kamal. Mantan imam masjid kat Tanjung Rambutan tu...” ujar Haziq.

“Aku tahu,” balas Arash kemudian tersenyum nipis.

Tempat bernama Tanjung Rambutan itu, memang membuat dia berasa geli hati.Sama ada terdengar atau diri sendiri yang menyebutnya, tetap melucukan.

“Paling tidak hantarannya hafazan surah Al Mulk atau Ar Rahman. Jangan main-main!” seloroh Haziq, biar kasi panas si Arash ini.

“Ayah Miya dah lama tak ada. Pak cik dan keluarga dia takkan mintak hantaran yang bukan-bukan. Aku nak Miya jadi isteri, bukan teman serumah aje!”

“Wow! Kau memang mengagumkan aku. Tak sangka dah selidik pasal keluarga dia.”

“Tengok oranglah! Lagipun semua maklumat tu boleh cari kat hujung jari aje.”

“Kau dah baca tip dalam majalah tu?” tanya Haziq, merujuk kepada panduan memikat perempuan yang ada dalam majalah tersebut.

“Huh! Tak kuasa aku nak ikut tip yang kau cadangkan tu,” jawab Arash.

“Habis tu, macam mana kau nak luahkan perasaan kau pada dia? Kau tu dahlah kayu!”

“Aku bukan sembarang kayu la,” ujar Arash sambil angkat-angkat kening.

“Kau buat apa dengan si Miya tu? Nak mengurat perempuan ni, ada cara dan pantang larangnya. Bukan ikut suka hati aje!” Dalam geram, Haziq mahu tahu juga taktik yang Arash gunakan.

“Ada la...”

“Harap maklum ya, perempuan ni tak suka lelaki yang gemar memaksa dan berlebih-lebih. Kita kena cool dan perlahan-lahan sentuh hatinya.”

“Kalau perlahan-lahan dan ikut peraturan, sampai ke sudah aku tak dapat dia!” balas Arash.

“Kau ni memang tak romantik langsung!" Selamba sahaja Haziq mengutuk.

“Sekarang ni memang tak boleh nak romantik lagi. Tunggu bila aku dah kahwin nanti,” beritahu Arash kemudian terus tertawa.

Sahabatnya ini terlalu memandang rendah pada dirinya. Mentang-mentanglah dia sudah berkahwin dan memiliki cahayamata, berlagak pulak. Tiba-tiba dia terbayang anak Haziq yang comel dan keletah. Terasa ingin berkahwin secepat mungkin pula.

So, dia dah setujulah nak jadi bini kau?” Berkobar-kobar Haziq hendak tahu.

“Bukan bini, isteri...”

“Mana-manalah!”

“Walaupun dia belum beri keputusan, aku rasa aku akan dapat jawapan yang positif daripada dia,” balas Arash dengan yakin.

“Ni mesti kau buat apa-apa, kan?” duga Haziq. Ada ketikanya Arash ini pun bukan boleh percaya sangat. Dalam baik dia, kadang kala main taktik tak bersih juga.

“Mana ada? Aku terus ajak dia kahwin!”

“Astaghfirullahalazim... gila betul la kau ni!”

“Aku nak cepat. Tak ada masa nak tunggu lama-lama. Nanti aku jugak yang melepas.”

“Aku suruh kau ikut tip dalam majalah tu, tak nak! Ni, jangan harap dia akan setuju kalau begitu caranya kau memikat dia,” selar Haziq.

“Betullah apa aku buat tu. Aku terus ajak dia kahwin supaya dia nampak kesungguhan aku.” Arash mempertahankan tindakannya. Dah alang-alang tersilap memulakan langkah, baik redah saja.

“Kita tengok macam mana nanti. Aku rasa kau yang akan frust menonggeng!”

No! Aku yakin dia akan terima aku.”

Haziq merenung Arash yang girang sahaja. Andai dinilai dari pandangan masyarakat, dia kategori lelaki yang lambat berkahwin juga, tapi tidaklah sampai kategori bujang terlajak. Kalau benar dia berjaya memiliki Miya dengan caranya, dia turut tumpang gembira.

“Nanti, berapa nilai hantaran yang kau nak bagi kat si Miya tu? Dia bukan calang-calang gadis.” Tiba-tiba isu itu pula yang terlintas di fikiran Haziq.

“Bagi aku, nilai hantaran tak penting sangat. Ia hanya untuk menampung kos walimatul urus. Selesai nikah, kemudian buat kenduri doa selamat. Ajak saudara mara terdekat datang rumah. Kos dalam RM5000 aje pun.”

“Kau ni biar betul, Arash? Jangan bagi malu keturunan al-Bakri!” Haziq mengingatkan.

“Inilah masalah masyarakat sekarang! Kebanyakan orang memandang wang hantaran sebagai ‘price tag’. Nilai yang kita letakkan pada seorang wanita yang dipinang itu berdasarkan latar belakang keluarga, pendidikan dan kecantikan. Kalau benarlah perlu buat begitu,maka nilai wanita pilihan aku RM10 juta pun tak cukup!”

Bicara Arash buat Haziq terlopong!

“Aku hanya akan keluarkan RM5000 untuk majlis nikah. Nilai RM10 juta tu,aku akan guna untuk membina perkahwinan kami. Bukannya berhabis pada kenduri atau pada pengantin yang semata-mata mahu jadi raja sehari!” sambung Arash.

Berkelip-kelip mata Haziq. Jangan tak percaya apabila Zain Arash al Bakri berbicara tentang isu hantaran sebuah perkahwinan!

 

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.