Home Novel Seram/Misteri NOVEL SERAM: HUTAN SEMAMBU KUNING
NOVEL SERAM: HUTAN SEMAMBU KUNING
S.Kausari
25/7/2016 21:34:19
16,374
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 8

BAB 8

BALAI raya kampung bersebelahan Hutan Semambu Kuning sudah sesak dan riuh dengan penduduk kampung yang berkumpul tengah hari itu. Masing-masing cemas dan resah menunggu perbincangan dimulakan. Haji Zul, Dol dan Ajib juga ada di situ. Begitu juga Jiman, ayah Musa dan Haron. Kiai Nordin dan ketua kampung masih belum sampai lagi.

“Tak payah tunggu dia oranglah. Kita mulakan dulu.” Desak Dol. Dia memang tidak berapa serasi dengan Kiai Nordin. Mendengar perkataan kiai sudah cukup menimbulkan rasa jelek. Gelaran yang tidak layak untuk lelaki seperti itu pada pendapatnya.

“Mana boleh. Kita tak boleh mulakan selagi Tok Penghulu Deris belum sampai.” Celah Haji Zul.

Dol tarik muka. Ajib yang ada bersama mereka di warung kopi sebelum Haron hilang hanya memerhatikan gelagat Haji Zul dan Dol.

Tidak lama kemudian, ketua kampung tiba bersama Kiai Nordin. Dol mencebik sambil mulutnya kumat-kamit menggerutu sesuatu yang sukar didengar dalam keadaan hingar itu.

“Bawa bertenang semua!” Tok Penghulu Deris cuba mengawal keadaan.

“Macam mana ni tok? Rancangan asal kita nak berbincang cara menangkap perempuan bunian tu. Tapi sekarang jin hutan dah bawa lari anak Jiman, si Haron tu.” Kata seorang lelaki yang duduk di barisan depan.

“Bukan jin hutanlah. Pontianak.” Ada yang membetulkannya.

“Bukan pontianak. Pontianak muka cantik. Ini langsuir. Sebab Musa kata muka dia menggerutu.” Celah seorang lagi.

“Musa kata mula-mula benda tu menyerupai budak perempuan. Lepas tu baru dia berubah.” Tambah seorang lagi.

Suasana jadi kecoh apabila yang bertelagah cuba mempertahankan pendapat masing-masing. Ada di antara yang lain turut serta memihak kepada yang bertelagah.

“Sudah! Sudah!” Jerit Tok Penghulu Deris.

Suasana hingar kembali sepi.

“Yang kita semua nak bertelagah sama ada benda tu pontianak ke, langsuir ke, jin tanah ke, jin hutan ke, apahal? Kita ada masalah lebih besar lagi ni. Buat apa nak bergaduh pasal benda remeh macam tu?” Sambung Tok Penghulu Deris.

“Betul kata tok. Benda tu boleh menyerupai apa-apa yang dia nak. Fikiran kita pun dia boleh baca. Apa yang kita takut, semua dia tahu.” Celah seorang penduduk kampung.

“Tok, saya rasa baik kita tangguhkan dulu rancangan perangkap bunian perempuan tu. Mencari anak Jiman jauh lagi penting.” Kata seorang lagi.

Dol yang sedang bersandar malas tadi terus bangun. “Mana boleh! Cari anak Jiman penting. Hentikan kerja bunian perempuan tu pun penting. Kita kena buat dua-dua sekali.” Kata Dol.

“Apa salahnya kalau kita tumpukan dulu pada kerja mencari anak Jiman? Dah selesai baru kita tangkap bunian tu.”

Dol bingkas bangun. “Tak boleh! Bunian tu pun sama jahatnya!” Jerkah Dol.

Penduduk kampung mula bertelagah semula.

Kiai Nordin yang berdiam diri sejak tadi mula bersuara. “Dengar sini! Kalau macam tu, elok kita buat dua kumpulan. Satu tangkap Nirmala. Satu lagi cari anak Jiman.”

Balai raya kembali riuh. Ramai yang mengangguk setuju.

“Baiklah, kalau macam tu siapa yang nak masuk kumpulan tangkap Nirmala?” tanya Tok Penghulu Deris.

Ramai yang mengangkat tangan. Lebih separuh daripada mereka yang ada di situ.

“Siapa yang nak cari anak Jiman?”

Hanya beberapa kerat yang mengangkat tangan termasuk Jiman. Yang lain adalah saudara-maranya sendiri.

“Kenapa ramai yang nak tangkap Nirmala? Mencari anak Jiman lagi penting.” Tok Penghulu Deris tidak puas hati.

“Siapa yang berani masuk hutan tu tok? Lagipun belum tentu kalau masuk kita boleh jumpa budak tu. Dah berapa ramai yang hilang.” Kata salah seorang yang duduk di tengah.

“Tapi kita kena cuba.” Tok Penghulu Deris tidak puas hati.

“Cuba tu satu hal. Nyawa kami ni macam mana? Kalau kami mati, siapa nak jaga anak bini kat rumah tu.” Tambah lelaki yang duduk di tengah.

Tok Penghulu Deris geleng. Melihat keadaannya, Kiai Nordin bersuara.

“Saya akan ikut kumpulan yang akan cari anak Jiman. Kita akan usahakan supaya kita jumpa budak tu dan kita semua terselamat.” Dia cuba memberi semangat.

Dol ketawa sinis. Beberapa orang kampung mula membebel tidak puas hati. Hakikatnya dalam operasi yang lepas, ramai yang bertempiaran lagi meninggalkan Kiai Nordin. Hanya dia seorang saja yang tinggal untuk berdepan dengan jin yang merasuk budak perempuan tempoh hari.

“Siapa lagi yang nak ikut Kiai Nordin cari anak Jiman?” tanya Tok Penghulu Deris.

Tiada respons. Malah ada yang berbual-bual seperti tidak mengendahkan soalan itu. Dol hanya tersenyum sinis.

Tok Penghulu Deris saling berpandangan dengan Kiai Nordin.

“Tak apa tok. Insya-Allah saya boleh uruskan.” Kata Kiai Nordin.

Dol yang memandang dari jauh tersenyum sinis.

“Dengar sini semua!” Tok Penghulu Deris cuba menarik perhatian semua penduduk kampung di dalam balai raya. “Memandangkan malam ni kita akan mulakan operasi memburu Nirmala, siapa yang nak ambil tanggungjawab uruskan operasi ni?”

“Bagi Rauf tok. Dia dulu komando.” Kata seorang lelaki yang berdiri di dinding bertingkap.

“Aku dulu komando, bukan pemburu hantu.” Rauf seperti tidak setuju. Atau mungkin dia sekadar berseloroh.

“Saya setuju tok.” Tambah lelaki berhampiran.

Dol segera menambah. “Nanti saya cuba pujuk Pawang Aki supaya ikut sama. Tapi… kenalah ada pengeras untuk dia.”

Kiai Nordin hanya menjeling melihat Tok Penghulu Deris yang sedang mengeluh.

“Baiklah. Nanti kau beritahu apa yang dia nak.” Jawak Tok Penghulu Deris.

“Lepas saya jumpa dia nanti saya beritahu,” kata Dol.

Kiai Nordin hanya memerhati gelagat Dol. Bukan dia tak tahu perangai Dol. Di depan bukan main manis, tetapi di belakang bermacam-macam cerita dijaja tentang dirinya. Tentang masa silamnya, tentang gelaran kiai yang dirasakan tidak layak dan bermacam-macam lagi. Pantang ada benda yang tidak berkenan di matanya, pasti akan menjadi bahan perbualan di belakang.Namun Kiai Nordin hanya membiarkannya.

Malah dia dapat rasakan penduduk kampung juga terbahagi kepada dua puak. Atau mungkin tiga. Puak pertama menyokong Kiai Nordin. Mereka biasanya adalah ahli kariah masjid atau surau yang menyokong aktiviti keagamaan.

Yang kedua adalah yang sering menjadi pelanggan Pawang Aki. Golongan ini lebih suka mencari jalan pintas dari banyak segi. Golongan ini termasuk yang ingin cepat kaya melalui tikam ekor. Amalan khurafat sering menjadi buruan mereka. Ilmu pengasih, ilmu penunduk suami dan macam-macam lagi. Muka-muka ini memang jarang sekali ke surau atau masjid. Kalau adapun mungkin kerana sebab tertentu termasuk jamuan atau kunjungan golongan atasan termasuk wakil rakyat. Namun apabila tiba waktu solat, semuanya lesap macam biskut Chipsmore.

Yang ketiga adalah pihak berkecuali. Mereka tidak memihak kepada mana-mana, tapi seringkali berdamping dengan kedua-duanya. Mereka ini lebih bahaya kerana rahsia kedua-duanya mereka tahu dan sering menjadi penyampai. Adakala seperti ingin melihat kedua-dua golongan itu bertelagah walaupun itu bukan matlamat sebenar.

Ini menyebabkan Kiai Nordin lebih berhati-hati. Dia tidak ingin menuduh sesiapa walaupun ada beberapa muka yang dia kenal sebagai tali barut.

“Kumpulan yang nak mencari Haron, anak Jiman akan bergerak secepat mungkin. Ikut arahan Kiai Nordin.” Arah Tok Penghulu Deris.

“Nanti kita berkumpul dan berbincang lepas ni.” Kiai Nordin menambah.

Setelah majlis bersurai, kumpulan yang ingin mengikut Kiai Nordin berkumpul di bahagian depan dewan balai raya.

“Kiai, kita kena cepat mulakan cari anak saya. Tak tahu apa yang jadi kalau kita lambat.” Desak Jiman.

“Nanti dulu. Kita berdepan dengan musuh yang bukan calang-calang. Kita tak boleh terburu-buru. Jaga amalan kita dulu.” Kata Kiai Nordin.

“Tapi kiai, kalau diapa-apakan si Haron tu nanti macam mana?” tanya salah seorang pengiring Jiman.

“Ajal maut di tangan Tuhan, itu tak dapat kita elak. Tapi kita kena tingkatkan pengharapan pada Dia, kalau nak hasil yang baik. Masalah ini datang dari Dia dan hanya Dia yang dapat selesaikan.”

Ada yang tidak berapa setuju dengan pendapat Kiai Nordin, tetapi mereka tidak membantah.

“Kita semua balik dulu. Bersihkan diri, jaga amalan sendiri. Malam ini kita akan adakan solat hajat lepas maghrib sebelum mula cari Haron. Esok pagi lepas subuh baru kita semua bertolak.”

“Esok? Tak lama sangat ke kiai?” Jiman nampak resah.

“Insya-Allah. Dia nak tengok macam mana kita berhadapan dengan masalah ini. Kita kena banyak tawajuh dengan Dia.”

Akhirnya Jiman mengangguk. Masalah ini benar-benar menguji keimanan dan kesabarannya.


EJAD masih teragak-agak dengan keputusannya. Kalau bukan kerana desakan Dol pak ciknya, dia mungkin tidak akan menyertai beberapa lelaki lain untuk ke rumah Pawang Aki.

Perbualan siang tadi kembali bermain di kotak fikiran.

“Ejad, kau kena ikut aku nanti.” Kata Dol.

“Ke mana Pak Ngah?” tanya Ejad.

“Ikut ajelah.”

“Tapi saya nak tahu juga kita nak ke mana.”

Riak muka Dol berubah. “Selama ni kau menumpang rumah aku, ada kau tanya? Sewa berapa, berapa lama boleh tinggal sini, apa yang aku nak sebagai balasan. Ada?”

Ejad tergamam. Tidak pernah pak ciknya nampak serius seperti itu. Ejad tidak menjawab. Dia bimbang angin lelaki itu akan bertukar menjadi angin saiklon tropika.

“Aku nak ke rumah Pawang Aki. Orang kampung nak perangkap bunian yang suka buat kacau kat kampung ni.”

Ejad teguk liur mendengar kata-kata Dol. Selama ini dia teruja dengan rasa seram semasa membaca novel atau menonton DVD filem. Namun dia tidak pasti dengan idea berdepan dengan makhluk seperti itu.

“Err… kalau saya tak tak ikut boleh tak Pak Ngah?” Ejad cuba berdalih.

“Kenapa?”

Ejad mencari alasan dalam kepalanya. Kemudian dia menjawab. “Nak pergi rumah Hasrul. Nak siapkan kerja sekolah.”

“Kau jangan nak buat alasanlah Ejad. Cuti kan lama lagi. Lagipun tak pernah aku tengok kau sentuh buku semenjak cuti ni. Tiba-tiba bila aku nak ajak ke rumah Pawang Aki, baru kau nak buat alasan. Jangan nak mengada-ngada. Ikut aku.”

Memori itu lenyap apabila mereka sudah hampir ke rumah Pawang Aki.

Melihat keadaan di sekitar rumah itu sudah cukup menimbulkan rasa seram pada Ejad. Rumah itu agak jauh ke dalam dari jalan besar. Sebaik saja melangkah dari jalan besar, Ejad dapat rasakan seperti ada yang memerhati dari pokok-pokok yang rimbun dan menggalah seperti hutan di kiri kanan lorong itu. Beberapa kali Ejad meneguk liur. Yang lain kelihatan tenang melangkah. Mungkin ini bukan kali pertama mereka ke situ. Mungkin juga perasaan mereka kali pertama tiba ke situ dulu sama seperti apa yang sedang Ejad alami sekarang ini.

Tengkuk Ejad terasa seperti dicuit-cuit oleh sesuatu. Mungkin perasaan takut yang menguasai hingga dia terasa yang bukan-bukan. Atau mungkin juga ada sesuatu yang perasan ini kali pertama dia ke situ, dan benda itu mengambil peluang mengacaunya.

Semakin jauh mereka melangkah dari jalan besar, semakin kuat perasaan Ejad. Seperti sedang melangkah ke dalam bilik sejuk beku, sedangkan cuaca senja itu agak hangat. Aroma kemboja mula menerjah hidung Ejad. Mungkin ada pohon kemboja berdekatan. Atau mungkin juga amaran bahawa mereka sedang melangkah masuk ke zon mistik. Perantaraan alam manusia dan alam makhluk yang tidak terzahir pada pandangan mata kasar.

Rumah Pawang Aki seperti rumah kampung biasa. Tiada yang mistik seperti yang Ejad selalu gambarkan. Mungkin ada tengorak manusia yang terikat pada tiang. Atau dedaun kering yang digantung seperti hiasan. Memikirkan perkara itu menyebabkan Ejad tersenyum sendirian. Penangan kerana terlalu banyak membaca novel seram atau menonton filem yang serupa.

Seorang lelaki tua dengan wajah berkedut dan berkulit kusam sedang menyambut ketibaan mereka. Lelaki itu duduk di serambi di sebuah kerusi malas. Keadaannya sudah terlalu uzur.

Ingin Ejad bertanya kepada pak ciknya siapa lelaki itu, tetapi dia membatalkan hasratnya. Lelaki tua itu merenung wajah Ejad tanpa berkelip. Ejad buat pura-pura tidak nampak, malah memalingkan wajahnya.

Setelah seorang lelaki bersama mereka mengetuk pintu, ia terbuka. Sebelum mereka masuk, Ejad sempat menjeling untuk melihat lelaki tua tadi.

Nafasnya terhenti seketika. Darahnya berderau dengan jantung berdegup lebih pantas daripada sebelum ini. Tiada sesiapa duduk di kerusi itu. Mata Ejad melilau memandang sekeliling. Dia terfikir kalau-kalau lelaki tua itu sudah beredar. Tapi mustahil dia boleh pergi dalam masa yang singkat.

Bulu roma Ejad dirasakan terapung satu badan. Di tengkuk, lengan, belakang, malah di ubun-ubun.

“Kenapa dengan kau ni? Masuk!” Jerkah Dol setelah melihat Ejad terpinga-pinga dengan wajah sedikit pucat dan mata terbeliak melihat sekeliling.

Ejad akur. Dia masuk dengan perasaan yang berganda seramnya. Seolah-olah dia sedang melangkah ke alam lain, tapi masih berpijak di alam nyata. Segenap dinding dan sudut dirasakan bernyawa. Dengan mata-mata halimunan sedang mengamati perinci dirinya, zahir dan batin.

Timbul rasa menyesal kerana menurut kehendak pak ciknya ke situ. Kalau diberi peluang, dia akan buka langkah seribu untuk pulang ke rumah sekarang juga. Namun dia hanya mampu meneguk liur berkali-kali sambil cuba menenangkan perasaan dalam diam.

Mereka duduk di ruang tamu yang luas tanpa perabot. Hanya tikar mengkuang dan permaidani lusuh yang dibentangkan. Pawang Aki duduk sambil menunggu para tetamunya mengambil tempat masing-masing. Mereka duduk berhadapan dengannya dan dipisahkan oleh beberapa perkakas yang biasa digunakan untuk upacara tertentu.

Ejad duduk sambil matanya melilau. Walaupun mereka yang ada di situ tidak sampai sepuluh orang, tapi dia dapat rasakan ramai lagi yang ada di situ.

Ah! Perasaan aku aje ni. Inilah akibat terlalu banyak baca dan tengok cerita mistik. Ejad menguatkan semangat. Dia teringat video 360 yang ditonton di laman sosial. Semasa upacara berjumpa dengan bomoh seperti ini, ada beberapa pendamping bersama mereka. Ketika skrin diskrol untuk melihat sekeliling, kelihatan lembaga perempuan berambut panjang dengan wajah kusam dan bermata lebam sedang melihatnya dengan pandangan yang aneh. Kepalanya terteleng-teleng. Begitu juga makhluk berponjot kain putih dengan wajah pucat dan kecut. Matanya lebam seperti disapu mekap hitam yang tebal.

Menggambarkan video itu sudah cukup untuk menambahkan rasa tidak selesa dalam dirinya. Bulu roma yang masih terapung itu dirasakan amat menyakitkan dan meresahkan.

“Sudah buat macam yang aku mintak?” tanya Pawang Aki.

Matanya merenung Ejad tanpa maksud yang difahami oleh remaja itu. Semakin resah dia dibuatnya.

“Sudah wak. Rancangan asal wak pun berjalan macam yang dirancang.” Jawab Dol.

“Bagus. Nordin ikut kumpulan satu lagi?” tanya Pawang Aki lagi.

Lelaki dengan misai tebal melenting di bahagian hujung itu tersengih. Melihat misai itu mengingatkan Ejad akan Wak Doyok. Namun hatinya tidak terasa digeletek walau sedikitpun ketika itu.

“Aku nak kau dan semua yang ada ikut Nordin. Buat macam apa yang aku suruh. Jangan sampai dia tahu ada yang mengekori dia dalam Hutan Semambu Kuning.”

Ejad terkedu. Mendengar nama itu sudah cukup menyebabkan dia tertelan liur.

Apahal pulak cerita pasal masuk Hutan Semambu Kuning ni? Aku ingat pergi rumah Pawang Aki je. Hatinya membebel.

Sambil itu matanya menjeling melihat ruang dapur Pawang Aki yang jelas kelihatan dari situ. Dia terlihat kelibat seseorang sedang mengintainya. Sekali imbas, kelihatan seperti seorang gadis pingitan sedang mengintai jejaka yang berkunjung ke rumahnya.

Setelah diamati, baru Ejad sedar. ‘Gadis pingitan’ itu sebenarnya adalah perempuan berambut panjang dengan baju putih labuh. Soket matanya cengkung dengan lingkaran gelap seperti lebam. Lebih mengerikan apabila Ejad sedar pandangan lembaga itu terpacak ke arahnya.

Peluh dingin Ejad mula merecik di dalam baju. Rasa tidak selesa semakin bertambah-tambah.

“Wak, jangan lupa bahagian kami. Aku dah buat macam yang wak mintak.” Dol tersengih.

Pawang Aki senyum lebar sebelum mencapai lipatan kain hitam di dalam saku bajunya. Wang kertas tebal tersusun diserahkan kepada Dol.

“Dah pergi ke belum Nordin dengan orang dia?” tanya Pawang Aki.

“Belum wak. Aku dengar esok lepas subuh baru dia orang nak pergi.”

Sengih Pawang Aki makin lebar.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.