Home Novel Cinta Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 7 Kelab

Anisah melihat jam. Dia menunggu dengan tenang di restoran sambil menghadap jus oren yang terhidang di dalam gelas berkaki tinggi.

Hampir lima minit kemudian, gadis berpinggang ramping yang ditunggu sejak dari tadi tiba. Dress yang dikenakan kali ini agak sopan walaupun masih dengan warna yang terang bersama cermin mata hitam yang terselit di atas dahi.

“Minta maaf kak. Eja ke hospital tadi.” Kata gadis itu sambil melabuhkan punggung ke kerusi.

“Hospital? Eja sakit ke?” Anisah rasa terkejut dengan tiba-tiba.

“Eh, tak adalah. Eja pergi melawat.” Jawab Eja sambil tersenyum.

“Oh...” Anisah bersuara dengan rasa lega.

“Jadi macam mana? Akak jadi terima tawaran saya hari tu?” Tanya Eja.

“Memang akak berminat. Tapi nak tahu juga maklumat lanjut. Takkan main terjah aje.”

“Oh, macam tu. Kerja dia senang aje Kak Anisah. Kerja pelayan. Tugas hanya layan tetamu yang datang supaya dia orang tak bosan. Duduk berbual-bual macam tu.” Jawab Eja.

“Kat mana tempatnya? Restoran?” Anisah minta penjelasan.

“Syarikat.” Jawab Eja selamba.

“Hairan ya? Biasanya syarikat ramai pelanggan masa siang. Macam mana yang ni sebelah malam pula?” Anisah masih belum puas hati. Tetapi mulutnya berat untuk bertanya soalan-soalan yang ‘panas’ kerana tidak mahu Eja berkecil hati. Tambahan pula Eja nampaknya seperti seorang gadis yang baik walaupun dengan penampilan yang agak berani.

“Kalau saya nak terang memang panjang kak. Saya rasa sampai esok pun tak habis cerita. Kalau akak masih berminat saya cadangkan akak cuba dulu sehari dua. Kalau rasa tak sesuai akak boleh berhenti.” Eja seperti mengelakkan bercerita panjang lebar tentang kerja itu. “Kalau akak tak ada pakaian yang sesuai, lepas ni kita pergi shopping. Boleh?”

Anisah serba-salah untuk bertanya lagi. Rasa terdesak setelah apa yang baru menimpa dirinya menyebabkan dia enggan menoleh ke belakang lagi untuk mencari peluang lain.

“Boleh juga.” Jawab Anisah dengan rasa musykil yang masih bersarang di hati.

***

Anisah melipat kain yang baru diangkat dari ampaian di luar. Sambil itu dia memerhatikan Zaiton sedang melayan Suraya tanpa Rokiah dan Jameah.

“Mana Jameah, Kak Eton?” tanya Anisah.

“Suami dia baru balik malam tadi. Kalau ada lori trelar tersadai tepi jalan besar tu maknanya laki dia adalah di rumah.” Jawab Zaiton.

“Rokiah?”

“Entah. Akak tengok pagi-pagi lagi dah merayap. Entah ke manalah tu.” Jawab Zaiton. Macam mana dengan tawaran kerja tu? Dapat?”

“Memang dapat. Tapi saya rasa tak sedap hatilah nak tinggalkan budak-budak ni malam-malam. Kalau jadi apa-apa susah nanti. Terutamanya Si Ben tu. Cuak saya.” Jawab Anisah.

“Kalau kau tak kesah, Kak Eton boleh ke sini tolong tengok anak-anak kau. Akak tunggu sampai kau balik. Kalau akak ada hal nanti akak minta Si Meah atau Kiah ganti. Lagipun akak bukannya ada suami lagi. Dah tak ada nak difikirkan kat rumah tu. Meah pun seminggu sekali laki dia balik. Itupun setakat semalam dua.” Zaiton mengatur rancangan.

Anisah masih tidak sedap hati. Bukan setakat memikirkan anak-anaknya, tetapi juga bidang kerja yang diterangkan oleh Eja.

“Terima kasih Kak Eton sebab sanggup tolong saya dalam keadaan macam ni. Biarlah saya fikir dulu.” Jawab Anisah yang hanya dibalas oleh Zaiton dengan senyuman.

***

Selepas makan malam itu, Anisah berkumpul bersama anak-anaknya di ruang tamu. Dia melayan kerenah Suraya sambil anak-anak yang lain sibuk dengan kerja rumah masing-masing atau sedang mentelaah pelajaran.

“Mama ada sesuatu nak cakap dengan kamu semua.” Kata-kata Anisah menyebabkan anak-anak yang lain berpaling melihatnya.

“Mama dah dapat kerja di bandar. Tapi mama terpaksa keluar malam. Siang baru mama balik untuk uruskan kamu pergi sekolah. Nanti jiran-jiran kita tolong tengokkan kamu semua.” Sambung Anisah.

“Kerja apa mama?” Soalan Benjamin menyebabkan Anisah serba salah untuk menjawab.

“Syarikat. Mama jaga operasi sebelah malam.” Jawab Anisah cuba mengelak salah sangka dengan menggunakan perkataan ‘pelayan’.

“Kerja kilang ke mama?” Tanya Marissa.

“Lebih kurang macam tulah.” Rasa bersalah menghurung Anisah kerana tidak berterus-terang dengan anaknya.

Anak-anaknya kelihatan puas hati dengan jawapan itu dan terus menyambung kerja sekolah masing-masing.

***

Anisah mengunci pintu bilik. Selepas itu dia memerhatikan pelbagai barangan yang di belikan oleh Eja siang tadi.

“Akak tak berani pakai baju macam ni Eja.” Bantah Anisah ketika mereka memilih pakaian untuk dia memulakan kerja di syarikat itu esok.

“Masa mula-mula memang rasa kekok. Dah lama nanti biasalah.” Pujuk Eja.

“Hish... mana boleh Eja! Cuba tengok baju ni. Dada terdedah. Kain singkat sampai nampak separuh peha!” Protes Anisah.

“Kak Anisah, takkan akak nak pergi kerja pakai baju kurung. Klien syarikat ni bukan setakat orang tempatan, orang luar negara pun ada. Malulah nanti. Ini masalah imej syarikat.” Tegur Eja. “Dah, akak jangan cakap banyak. Semua ni Eja yang bayar, akak jangan risau.”

“Banyaknya duit kau Eja. Mahal-mahal baju ni.” Anisah rasa serba salah.

“Saya ikhlas nak tolong akak. Kalau akak tak nak terima pun tak apa. Nanti bila dah dapat gaji akak bayar balik pada saya.” Pujuk Eja lagi.

“Tapi kalau akak berhenti kerja sebab tak sesuai nanti macam mana?”

“Itu cerita lain. Tapi saya rasa kalau akak dah sesuai nanti memang akak tak berhenti. Kerjanya mudah. Lagipun cuba akak fikir anak-anak akak. Hasil usaha akak ni untuk masa depan dia orang juga. Betul tak?” Tambah Eja. “Dahlah kak. Jom, lepas ni saya belikan akak mekap dengan aksesori untuk padankan dengan baju-baju ni.”

Anisah tidak mampu membantah lagi.

Anisah menyimpan pakaian, mekap dan aksesori yang terlambak di atas katil ke dalam beg. Dia sudah merancang untuk keluar memakai baju kurung supaya tiada yang syak apa-apa. Di tempat kerja nanti barulah dia akan menukar pakaian.

‘Betul kata Eja. Aku terpaksa lalui semua ini demi anak-anak. Tapi aku akan pastikan kerja ni tidak sampai menggadai maruah aku sebagai seorang wanita.’ Anisah berjanji pada dirinya sendiri.

***

Eja tiba ke rumah Anisah lewat petang itu dengan Proton Saga yang hitam berkilat. Setibanya di pekarangan rumah, dia membunyikan hon.

“Mama pergi dulu ya. Jangan nakal-nakal tau? Kalau kamu semua dah pandai jaga diri, tak payah mama menyusahkan Mak Cik Eton.” Suara Anisah di muka pintu kepada anak-anaknya sambil diperhatikan oleh Zaiton.

“Jangan risau Anisah, tak menyusahkan pun. Kak Eton ikhlas nak tolong. Kamu kerja elok-elok.” Pesan Zaiton.

“Terima kasih Kak Eton. Saya pergi dulu.”

Anisah masih keresahan sepanjang perjalanan. Dia masih tertanya-tanya tentang banyak perkara berkenaan kerja ini. Dia ingin bertanya pada Eja, tapi dia tahu gadis itu pasti akan mengelak. Tambahan pula dalam beberapa minit lagi semuanya akan terjawab.

Anisah rasa cuak apabila mereka lalu di kawasan deretan kedai bersama sebuah premis dengan papan tanda “Nirvana Night Life”. Tetapi Eja tidak berhenti di situ, sebaliknya dia memarkir kereta di kawasan belakang.

Segalanya terjawab apabila mereka berjalan menuju pintu masuk ke premis itu dari belakang.

“Kenapa kau tipu akak? Ini kan kelab malam?” Anisah mula berang.

“Kalau saya beritahu, awal-awal lagi akak dah kata tak nak kan? Relaks lah kak. Jangan risau, cuba dulu. Lagipun akak kerja pelayan aje.” Pujuk Eja. “Akak pergi tukar baju dulu. Nanti saya bawa jumpa Madam Vie.”

‘Kalau aku tahu kerja kat tempat macam ni, memang tak ingin aku nak kerja. Pandai betul Eja perangkap aku!’ Bentak hati Anisah.

Semasa menuju ke bilik persalinan pekerja di situ, Anisah terserempak dengan sekumpulan pekerja di situ. Pakaian mereka sama berani seperti Eja, cuma wajah-wajah mereka jelas menunjukkan ras meluat apabila melihat Anisah.

“Macam mana gadis pingitan macam ni boleh sampai sini?” Sindir seorang yang kelihatan agak matang berbanding rakan-rakannya. Dia mengepit sebatang rokok dengan dua jari yang merah disapu pewarna kuku. Rambutnya berwarna coklat bersama jalur keperangan.

“Tersesat agaknya. Nak cari surau tapi tersalah pintu.” Usik seorang lagi yang berambut panjang lurus dan hitam berkilat. Wajahnya ayu persis seorang model.

“Hmm... macamlah dah tak ada kerja lain kat luar tu.” Tambah seorang lagi yang berbaju merah dengan rambut ikal sambil dia menjeling dan mencebik melihat Anisah.

Anisah tidak mengendahkan kata-kata itu dan terus masuk ke ruang persalinan. Di dalam bilik itu ada dua orang lagi wanita, seorang india dan seorang lagi cina. Mereka memandang Anisah dengan pandangan yang pelik.

“Tumpang salin baju kejap,” Anisah dalam keadaan yang kekok diperhatikan sebegitu.

Kedua-dua wanita itu saling berpandangan dengan wajah yang serius tanpa berkata apa-apa. Kemudian mereka meninggalkan Anisah berseorangan di bilik itu.

“Bala apa yang aku dah terjebak ni?” Anisah menyelar dirinya sendiri.

***

Anisah berjalan masuk ke ruang premis yang agak luas itu. Di satu sudut tersusun botol-botol yang Anisah agak adalah ruang bar bersama sebuah meja panjang dan bangku-bangku tinggi memenuhi sepanjang sudut itu. Di satu sudut lain ruangnya agak lapang dan luas bersama bebola disko yang memancarkan pelbagai warna dalam suasana yang kelam. Di bahagian lain diletak kerusi sofa dan meja kopi seperti ruang lobi hotel, dengan lima ruang santai yang berlainan.

Ada beberapa pintu di ruang seperti dewan itu. Salah satu menuju ke ruang karaoke. Satu lagi menuju ke bahagian belakang untuk pekerja di kelab. Sebuah pintu bertanda “VIP Only”. Dua pintu lagi adalah pintu menuju ke bilik air dan pintu utama di bahagian hadapan.

“Madam Vie, saya perkenalkan. Inilah Anisah.” Suara Eja dari belakang. Apabila Anisah berpaling dia melihat seorang wanita cina yang sudah agak berumur dengan rambut menggerbang ala Elizabeth Taylor. Wajahnya dimekap tebal bersama pakaian merah berlabuci seperti seorang selebriti.

Wanita itu memerhatikan Anisah dari hujung rambut hingga hujung kaki. “Boleh tahan. Good choice Eja. Mula-mula mami risau sebab you main pilih sebarangan. Tapi bila mami dah tengok, mami memang puas hati. Well done!”

Wanita itu menghulurkan tangan kepada Anisah. “Selamat datang mami ucapkan pada Anisah. Mulai malam ni nama you Anise, macam star anise. You’re a star and you’re so spicy and hot!” Kemudian dia berlalu untuk berjumpa staf lain.

“Jom Eja perkenalkan akak dengan staf kat sini.” Eja menarik tangan Anisah menuju ke arah beberapa orang wanita yang sedang duduk di bar. Anisah dapat mengecam wajah wanita cina dan india yang ada di bilik persalinan tadi.

“Ini Kak Sofea. Staf yang paling lama kat sini dan mama yang paling hot.” Eja menunjuk ke arah seorang wanita melayu dengan rambut disanggul tinggi. Wajahnya sudah agak berumur tetapi masih cantik dan menawan.

“Yang ini Rachel Chandran. Dan yang ini Cynthia Goh. Mereka bertiga ni kawan rapat Eja kat sini.”

“Ada pengalaman kerja di tempat macam ni?” Tanya Sofea.

“Belum. Ini pertama kali.” Jawab Anisah.

“Kerja macam ni tak payah pengalaman. Selagi lelaki masih bernafsu. Selagi syaitan masih ada di muka bumi ni. Tempat macam ni akan kekal sampai bila-bila.” Jawapan spontan dan selamba Sofea.

“Kenapa cari kerja macam ni?” Tanya Rachel pula. Anisah terkedu untuk menjawab. Bukan pilihannya untuk ke sini. Dia sudah termasuk perangkap Eja.

Dengan segera Eja menjawab bagi pihak Anisah, “Kak Anisah baru lepas kematian suami. Habis harta syarikat kena tipu partner suami dia. Sekarang dia terpaksa tanggung lima orang anak. Dia yang jual nasi lemak kerang yang sedap tu” Terang Eja sebagaimana yang diceritakan oleh Anisah semasa mereka keluar bersama.

“Kenapa tak terus berjual? Nasi lemak macam tu tentu ramai yang suka.” Sofea bertanya.

“Entah apa nasib saya. Baru nak mula niaga dah ada yang fitnah macam-macam. Ubat pelarislah. Ubat guna-gunalah. Macamlah saya ni teringin sangat nak goda semua lelaki di kampung tu.” Keluh Anisah.

“Itu memang lumrah hidup. Perempuan macam kita selalu jadi mangsa disebabkan manusia yang tak berhati perut. Tambah lagi kalau berstatus janda. Bila dah terdesak kerja macam ni, kita juga yang dipersalahkan. Macam-macam label kita dapat.” Rungut Sofea.

“Kenapa? Semuanya ada masalah macam saya ke?” Tanya Anisah dengan selamba. Mereka berempat saling berpandangan.

“Tak apa biar aku cerita dulu.” Suara Sofea memecahkan kebisuan mereka. “Aku kahwin dengan lelaki dayus dan pemalas. Lepas kahwin dia gunakan aku untuk kepentingan dia. Kerana duit dia sanggup tengok aku bersama lelaki lain. Kerana tak tahan aku lari, dan sekarang inilah kerja aku.” Dia bercerita seperti sudah tidak berperasaan lagi. Mungkin apa yang dilalui menjadikan dia seorang perempuan yang berhati kental.

Kemudian Rachel pula bersuara, “Aku dapat laki pemabuk. Bila balik malam satu badan dia bau arak. Setiap kali balik aku dan David, satu-satunya anak lelaki yang ada kena belasah sampai lebam-lebam. Ada sekali anak aku kena pukul sampai patah tangan. Aku dah tak tahan. Hampir-hampir aku tikam dia dengan pisau malam tu, tapi kesabaran telah menyelamatkan aku. Aku fikir kalau aku masuk penjara, siapa nak jaga anak aku. Esoknya aku lari dari rumah dan bawa diri ke sini. Jumpa Madam Vie terus dia beri kerja. Nasib baik ada orang yang boleh tolong jaga David masa aku kerja malam. ”

Suasana hening seketika. Anisah menunggu cerita daripada Cynthia dan Eja.

“Cynthia, kau tak nak kongsi cerita?” Tanya Sofea.

Cynthia agak berat untuk membuka mulutnya bercerita. Sama ada dia memang jenis pendiam atau kisah yang ingin diceritakan terlalu mengganggu fikirannya.

“Aku mangsa kerakusan bapak aku sendiri. Masa aku di sekolah menengah lagi dia dah rosakkan aku. Aku pun macam Rachel, sampai satu peringkat aku dah tak tahan hadapi semuanya. Kadang-kadang aku rasa macam nak tamatkan riwayat aku sendiri. Pada masa yang lain aku rasa macam nak hapuskan manusia tak berhati perut macam bapak aku tu. Darah daging sendiri tapi perangai lebih teruk daripada binatang!” Cynthia beremosi. “Akhirnya aku lari dengan teman lelaki aku. Rupa-rupanya dia pun sama. Aku disuruh kerja di tempat macam ni.Sampai sekarang.”

Anisah menunggu Eja menyambung perkongsian kisah mereka malam ini. Akhirnya gadis itu bersuara.

“Kalau Kak Anisah nak tahu kenapa Eja kerja di tempat macam ni, esok ikut Eja.” Eja mengakhiri perkongsian kisah hidup mereka malam itu.

Sambil mereka berbual di bar, Anisah terpandang tiga wanita yang berdiri di luar bilik persalinan tadi.

“Siapa dia orang tu?” Tanya Anisah sambil memerhati ke arah mereka yang sedang duduk di sofa.

“Kalau di kolej, perempuan macam tu kita biasa panggil mean girls. Nasihat aku kau jangan cari pasal dengan dia orang bertiga. Kalau nak kerja lama di sini dan kalau tak mahu hidup sengsara, jangan buat hal.” Nasihat Sofea.

“Ketua dia orang perempuan yang pakai baju merah tu. Nama dia Maya. Kalau boleh dia nak bolot klien yang paling kacak dan paling kaya di sini. Sesiapa yang cuba potong jalan dia akan cantas.” Sampuk Rachel.

“Yang berambut panjang dengan muka macam model tu namanya Anne. Orang melayu biasa panggil perempuan macam dia tu pisau cukur. Kalau boleh dia nak kikis harta semua lelaki yang syok dengan dia sampai sehelai sepinggang.” Cynthia pula bersuara.

“Sorang lagi tu nama dia Zetty. Umur lebih kurang aku, tapi perasan muda lagi. Nak cari lelaki yang muda saja.” Tambah Sofea.

“Baik Kak Anisah jauhkan diri daripada dia orang. Saya dah tengok ramai staf kat sini yang dah kena dengan dia orang bertiga. Jangan sampai jadi mangsa.” Kata Eja sambil menjeling ke arah mereka bertiga.

Anisah masih belum mengerti mengapa dia tidak minta Eja menghantarnya pulang walaupun selepas dia tahu kerja yang dimaksudkan oleh gadis itu. Dia seolah-olah sedang menempuh satu pengalaman hidup baru yang berharga di tempat itu bersama rakan-rakan yan baru ditemui ini.

Namu jauh di sudut hatinya dia risau sekiranya dia tewas dalam mempertahankan janji yang dibuat pada dirinya sendiri.

Previous: Bab 6 Fitnah
Next: Bab 8 VIP

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.