Home Novel Cinta Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 11 Rindu

Lama Anisah memikirkan keputusan yang telah dibuat. Akhirnya dia membuat keputusan menelefon Eja.

"Helo Eja. Malam ni akak tak kerja."

"Kak Anisah ambil cuti? Tak sihat ke?"

"Taklah."

"Malam esok saya datang ambil akak macam biasa."

"Tak payah."

"Tak payah? Kak Anisah cuti berapa hari?"

"Akak bukan cuti."

"Habis, kenapa?"

"Akak dah berhenti."

"Kenapa buat keputusan mengejut macam ni kak?" Suara Eja agak meninggi.

"Datuk Shah. Akak keluar dengan dia tadi."

"Akak keluar dengan dia?! Akak okey tak?" Ada nada cemas dalam suara Eja.

"Nasib akak baik sebab ada orang tolong. Kalau tak, tak tahulah apa yang dah jadi."

"Syukurlah kak. Kan kami dah suruh akak hati-hati?"

"Akak tahu. Ini semua pengajaran supaya akak lebih beringat di masa akan datang."

"Ini semua perangkap dia dengan Maya. Ramai yang berhenti disebabkan dia."

"Tapi macam mana dia boleh lepas macam tu aje? Takkan tak ada yang lapor pada polis."

"Itulah hakikatnya hidup ni kak. Ada orang yang salah gunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri. Orang macam Datuk Shah tu ada kabel kuat. Sebab tu susah nak sabitkan kesalahan dengan orang macam dia."

Segala soalan Anisah tentang lelaki itu kini telah terjawab.

"Kenapa akak tak ambil cuti beberapa hari? Nanti datanglah kerja semula. Saya boleh terangkan pada Madam Vie." Cadang Eja.

"Entahlah Eja. Akak tak tahu macam mana nak berdepan dengan lelaki jahanam tu. Akak rasa tak cukup kuat nak hadapi semua ni. Entah apa cerita yang dijajakan pasal akak di kelab nanti."

"Pedulikan semua tu kak. Akak kan kerja kerana anak-anak? Buat apa nak ambil pusing apa yang orang lain kata."

"Nantilah akak fikir dulu. Nanti akak beritahu Eja kalau akak ubah fikiran."

"Eloklah tu kak. Lagipun bukan senang nak cari kerja sekarang ni. Madam Vie pun memang dah suka dengan akak. Akak fikirlah elok-elok ya?"

"Terima kasih Eja. Assalamualaikum"

"Waalaikumsalam."

***

"Kenapa kepala kamu ni Ben? Jatuh?" Tanya Anisah sambil membelek dahi anak lelakinya. Budak itu mendiamkan diri.

"Abang bergaduh lagi kat sekolah." Jawab Umairah.

"Umairah! Kan abang dah pesan!" Benjamin menjegilkan mata.

"Tak habis-habis kamu buat hal, Ben." Keluh Anisah.

"Budak yang buli Firdaus yang mulakan. Takkan Ben nak biarkan adik Ben kena buli depan mata. Apa guna jadi abang macam tu?" Benjamin membela diri.

"Niat kamu tu baik. Tapi salah buat keputusan sendiri macam ni. Apatah lagi kalau sampai bergaduh di sekolah." Tegur Anisah.

Lewat petang itu Anisah mendapat panggilan dari sekolah.

"Assalamualaikum. Puan Anisah?"

"Ya."

"Saya Cikgu Zain. Puan diminta hadir ke sekolah pagi esok. Ini berkaitan dengan Benjamin, anak puan."

"Ada masalah ke cikgu?"

"Dah beberapa kali dia terlibat dalam pergaduhan di sekolah. Tapi hari ni memang teruk dia bergaduh. Atas sebab itu pihak sekolah nak berbincang dengan puan tentang kes ini."

Anisah tergamam. 'Ben, Ben. Tengok apa yang kamu dah buat sekarang.' Keluhan hati Anisah.

***

Anisah mengelamun di tempat menunggu sambil memikirkan tentang Benjamin. Dia risau memikirkan apa yang akan didengar tentang anaknya. Adakah perjumpaan ini sekadar amaran atau tindakan akan diambil?

'Kenapa kamu selalu buat mama risau, Ben?' Keluhan hati Anisah.

"Puan Anisah?" Suara lelaki yang menyentak Anisah daripada lamunannya.

"Ya," jawab Anisah setelah dia menoleh ke arah lelaki itu.

"Saya Cikgu Zain. Boleh puan ikut saya." Ujar lelaki itu.

Setelah mereka tiba di tempat perbincangan, Cikgu Zain memulakan bicara. "Saya minta maaf sebab terpaksa ambil masa puan untuk datang ke sekolah. Tapi ini semua untuk kebaikan anak puan juga."

"Apa yang dia dah buat cikgu?"

"Saya tak salahkan Ben saja dalam hal ini. Saya tahu niat dia baik untuk bela adik dia yang selalu dibuli. Tapi bergaduh di sekolah bukan penyelesaiannya. Kami dah cuba nasihatkan dia. Saya harap puan juga boleh buat perkara yang sama."

"Saya bukan nak kata apa yang anak saya betul. Tapi kenapa anak saya saja yang dipersalahkan?"

"Itu saya faham puan. Di sekolah ni memang ada beberapa orang murid yang degil dan suka membuli. Dah macam-macam kami buat. Nasihat, denda, gantung sekolah, tapi mereka memang susah dibentuk. Jalan akhir adalah buang sekolah, tapi saya khuatir keadaan akan jadi lebih teruk kalau mereka diberhentikan."

"Tapi bukankah dengan membiarkan mereka berada di sekolah ni akan memberikan imej yang buruk pada sekolah? Macam mana kalau ada murid lain yang terpengaruh dengan tabiat mereka tu?" Anisah melahirkan rasa risaunya.

"Itu tugas kami di sekolah, puan. Biarlah kami yang fikirkan jalan penyelesaiannya. Cuma kami minta kerjasama puan supaya pastikan anak puan tak terlibat dengan murid-murid seperti ini. Ini untuk kebaikan dan masa depan dia juga." Jawab Cikgu Zain.

"Baiklah, saya akan cuba nasihatkan dia." Jawab Anisah ringkas dengan rasa tidak puas hati yang masih bersarang dengan pendirian pihak sekolah.

***

Anisah melangkah lesu pulang setelah selesai perbincangan dengan Cikgu Zain di sekolah. Kata-kata Cikgu Zain tadi masih kedengaran lirih di telinganya.

'Mungkin tak adil kalau aku nak salahkan pihak sekolah sepenuhnya. Sekurang-kurangnya mereka prihatin memanggil aku ke sekolah untuk berbincang. Bukan main lepas tangan saja. Agaknya ibu bapa budak-budak tu yang tak ambil tahu tentang perangai anak-anak mereka di sekolah.' Anisah cuba menyedapkan hati.

Ketika itu mata Anisah melihat sebuah kereta Proton Wira berwarna putih diperlahankan sebelum berhenti beberapa meter di hadapannya.

"Cik Anisah?" Suara lelaki yang muncul dari dalam kereta.

"Eh, Ustaz Hairi." Ada nada terkejut dalam suara Anisah.

"Cik Anisah nak ke mana? Kenapa berjalan kaki? Tak naik teksi?" Soalan bertubi-tubi lelaki itu.

"Saya dari sekolah tadi. Rumah saya dekat saja. Kat depan tu." Jawab Anisah.

"Mari saya hantarkan."

"Eh, tak payahlah ustaz. Nanti apa pula orang kata."

"Tak apa. Biar saya hantar. Naiklah."

"Tak payah hantar sampai rumahlah ustaz. Sampai jalan besar cukup." Anisah mengenakan syarat. Ustaz Hairi mengangguk.

Hati Anisah masih berbelah bagi ketika dia menumpang kereta itu. Terlalu banyak pengalaman yang telah dilalui menyebabkan perasaan itu timbul.

"Saya nak ke sekolah jumpa kawan saya sekejap tadi. Bila saya nampak Cik Anisah terus saya buat U-turn."

"Susah-susah saja ustaz."

"Tak adalah. Lagipun banyak masa lagi. Ada apa hal Cik Anisah ke sekolah tadi?"

"Anak saya buat hal di sekolah. Nak buat macam mana, nasib ibu tunggal macam saya. Semenjak kematian suami, semua saya kena fikir." Keluh Anisah.

"Cik Anisah jumpa cikgu yang mana tadi? Saya pun ada kawan di sekolah tu."

"Cikgu Zain."

"Itu memang kawan baik saya sejak kami kecil lagi."

"Oh, ya ke?" Jawab Anisah.

"Eh, bukan ke semalam ustaz pakai motor? Hari ni pakai kereta pulak." Anisah mengubah topik.

"Kalau cuaca tak elok atau kalau ada urusan baru saya guna kereta. Kalau pergi mengajar saya guna motor. Ringkas." Jawab Ustaz Hairi.

"Ustaz berhenti depan tu aje." Anisah menunjuk ke arah jalan yang menuju masuk ke rumahnya.

"Terima kasih ustaz." Kata Anisah sebelum menutup pintu.

Sedikit pun Anisah tidak sedar beberapa pasang mata sedang memerhatikan gerak-gerinya dengan rasa penuh curiga.

***

Malam itu Anisah sukar melelapkan mata. Dia asyik memikirkan tentang ustaz Hairi. Ada sesuatu yang membuatkan dia rasa pelik dengan tindakan lelaki itu.

'Aku hairan. Kenapa dia sanggup patah balik semata-mata untuk menumpangkan aku? Lagipun dia tu ustaz. Takkan dia senang-senang nak menumpangkan perempuan yang bukan muhrim macam aku? Kenapa dia sanggup buat macam tu?' Hati Anisah dilanda kemusykilan.

'Tentu bahagia kalau ada lelaki seperti itu dalam hidup aku. Aku yakin dia mampu membimbing aku dan anak-anak menghadapi pancaroba hidup ketika ini. Orangnya pun boleh tahan.' Sedikan nakal hati Anisah bersama senyum meleret di bibir.

Di kala itu kenangan bersama Jalaludin membangkitkan rasa rindu di malam yang dingin.

'Anisah boleh menipu orang lain, tapi Anisah tak mampu menipu diri sendiri bang. Anisah memang rindu berada dalam dakapan abang pada saat-saat seperti ini.' Air mata Anisah sudah mula tiris.

'Bila abang ada Anisah rasa tenang dan selamat untuk menjalani kehidupan. Anisah masih lagi terkapai-kapai mencari dahan untuk berpaut sekarang ni bang. Tapi dahan yang Anisah capai semuanya rapuh. Kalau tak rapuh pun, ada ular berbisa yang bersembunyi di celah-celah dahan. Sentiasa mencari peluang untuk menerkam Anisah.' Tangannya menyeka air mata yang sudah melimpah membasahi bantal.

'Anisah ingin bersama-sama abang sampai ke syurga. Tapi dalam keadaan ini Anisah tak tahu sama ada Anisah mampu bertahan atau tidak tanpa lelaki dalam hidup Anisah. Anisah terpaksa akui, Anisah masih belum cukup kuat untuk menempuh semua dugaan ini sendirian. Anisah minta maaf sekiranya ada lelaki lain yang akan mengisi hidup Anisah.'

Anisah memeluk bantal dengan harapan air mata akan surut dan dia dapat melelapkan mata.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.